Saturday, April 16, 2016

Kopi & Waffle [Part One]




Pertama kali dia berjumpa dengan lelaki itu ialah pada waktu pertama kali kaki itu menjejak ke dalam kafe ini. Kaki yang panjang dan lengan yang panjang. Wajah manis dengan bibir merah dan hidung mancung itu. Matanya bersinar bila bibir itu tersenyum. Rambut pula potongan terkini dan kemas. Pakaian juga kemas. Dia dapat rasakan yang jantung dia berdetak kuat saat berhadapan dengan lelaki itu. Pelanggan kafe ini.

“Hai, selamat datang. Encik nak pesan apa?” ujarnya dengan penuh sopan dan teratur meskipun dia rasa bibirnya menggeletar – tidak, seluruh badannya menggeletar kerana cemas. Dia tidak boleh berhadapan dengan orang yang sebegini.

“Americano satu dan waffle set B,” pesan pelanggan itu.

Dia menekan-nekan pada skrin komputer. “Ada apa-apa lagi yang encik nak tambah?”

Lelaki itu menggeleng diikuti dengan senyum manis.

Payah sekali dia meneguk liurnya sebelum membalas senyum pelanggan di hadapannya. Dia kemudian menyebut harga pesanan dan bergegas membuat waffle manakala rakan sekerjanya membuat kopi di stesen sebelahnya. Dia perasan sorot mata pelanggan itu memandang ke arahnya atau sebenarnya ke arah sebelahnya. Begitupun, dia tetap berasa gugup.

Apabila rakan sekerjanya itu siap membancuh kopi tersebut, gadis itu meletaknya di hadapan pelanggan kacak itu. Apa yang mengejutkannya ialah mereka berbual. Lelaki itu mulakannya dahulu dan dia teringin sekali ingin menyampuk tetapi dia tidak endahkannya lagi.

Dia letak sepinggan waffle yang disapu mentega kacang dan coklat diserta sekali dengan aiskrim dan krim putar dan kacang tanah yang ditumbuk kasar. Perbualan keduanya terhenti. Mungkin tadi dia tidak patut menyelit. “Americano dan waffle set B siap,” katanya mengelak dari berasa kekok.

Pelanggan itu menghulur duit dan dia sambut lantas baki di beri. “Terima kasih, selamat menjamu selera,” ujarnya bersama dengan rakan sekerjanya itu.

Dia teringin sekali hendak tahu apa yang mereka bualkan tetapi dia tidak patut menyibuk. Itu bukan hal dia. Namun sebagai kawan, apa salahnya bukan?

“Kau bercakap apa je dengan dia?” soalnya pada gadis itu.

“Dia tanya nama, umur dan dah berapa lama kerja dekat sini... tu je. Kenapa Luce?” soal gadis itu polos.

Lucy menggeleng. Pipinya hangat. Haa, kan dah kena. Suka sangat fikir yang bukan-bukan. Padahal pelanngan itu bertanyakan hal yang biasa-biasa sahaja dan kenapa perlu dia berasa cemas? Hanya kerana lelaki itu kacak dan membuatkan jantung dia berdebar-debar, dia berasa tercabar kerana pelanggan itu lebih berminat dengan Suri? Gadis muda juga cantik. Mewah lagi. Siapalah dia yang lebih dewasa dan tidak berapa cantik. Belajar pun tidak pandai. Hanya sijil sekolah tinggi sahaja yang dia ada. Keluarga pun tidak berapa kaya.

Walaupun Suri tidak nyatakan yang gadis itu berasal daripada keluarga berada tetapi dia tahu keadaan semasa dan status seseorang. Apa guna media sosial jika tidak ambil tahu isu semasa. Dia mengeluh kecil.

Bila seorang pelanggan datang mendekati dia cepat bersedia di kaunter.


“Selamat datang ke Fiction.” 

Mimpi Epilog


Epilog



“Bakal permaisuri bisu?” lantang suara itu mempersoalkan ahli dewan senat yang lain. Wajah tiga orang hakim yang duduk di barisan hadapan lansung tidak berubah, begitu juga wajah datuknya selaku pengganti ketua negera.
“Bakal permaisuri bisu?! Dah tu dia nak memerintah macam mana? Dengan kertas dan pen? Bagaimana dia nak dengar suara rakyat? Bolehkah kita harapkan dia?!” terus menerus lelaki yang berkumis nipis dengan misai tebal, berwajah angkuh dengan dada yang tinggi dan hidung yang serupa burung belatuk itu.
Meskipun suasana di dalam dewan makhkamah sepi tetapi tekanan yang wujud antara ahli senat memenuhi ruang udara sehingga dia yang menyorok di dalik dinding bilik kecil itu pun seperti hendak lemas dibuatnya. Matanya tajam merenung wajah bapa saudara dua pupunya itu. Dari dahulu dia tidak pernah suka lelaki itu. Dahulu ketika ibu bapanya memerintah, lelaki itu sentiasa cuba untuk menjatuhkan kepimpinan keluarganya dan kini bila ibu bapanya tiada, lelaki itu ambil setiap peluang yang ada untuk menjatuhkannya pula.
“Sekalipun dia bisu, wahai yang berhormat tuan senat, ia tidak akan mengganggu kredibiliti dan keupayaan dia untuk memerintah negara kita. Walaupun tak mampu bercakap, dia mampu mendengar!” bidas seorang menteri yang berbadan kenit dengan rambut palsu putih yang tinggi dan cermin mata bulat kecil yang tergantung di atas tulang hidungnya. Datuk saudara Julie.
“Saya dengar suara dia minggu lepas,” celah seseorang tanpa menonjolkan dirinya. Kemudian beberapa orang yang lain turut sama mengiakan kenyataan itu.
“Mustahil! Doktor sahkan dia tidak mampu bersuara! Merepek.” Bapa saudaranya enggan untuk menerima kenyataan itu.
“Apa bukti yang kamu semua ada yang bakal permaisuri kita tu mampu bersuara tanpa membuka mulutnya? Mana buktinya?” tambah pula seorang wanita tua yang merupakan sekutu bapa saudaranya itu.
Suasana dewan jadi gamat bila setiap seorang mula berbalah tentang bukti dan kesetiaan terhadap institusi diraja dalam penggunaan magis terlarang dan sebagainya. Allisa ketap bibirnya. Dia hembus nafas berat lantas menutup tingkap kecil yang membenarkan dia untuk melihat ke arah dalam dewan itu. Perlahan dia menuruni tangga berpusar dan keluar dari bilik itu. Bianca dan Willson sudah menunggunya di luar pintu.
Dia memandang ke arah Willson, yang kini telah sepenuhnya berkhidmat di bawahnya sejak seminggu lepas. Bianca pula, menurut dari mimpi Allisa bekerja sebagai pembantu di rumahnya dan juga sebagai pegawai elit pada satu masa. “Awak jumpa di mana dia berada Will?”
Willson menarik keluar secebis kertas yang dia simpan di dalam poket seluarnya. “Menurut sumber, di sinilah tempat terakhir mereka nampak dia menetap sejak sebulan lepas.”
Allisa ambil kertas tersebut dan melihat alamat yang tertera di situ. Jauhnya... “Kapal terpantas untuk pergi ke sana ambil masa berapa hari Will?” soalnya lagi. Bibirnya terkunci rapat namun matanya saling berbalas pandang dengan pegawainya itu.
“Empat hari, tuan puteri,” jawab Willson.
Allisa berfikir. Jika dia lengah-lengahkan masa yang ada dia takut, Aria akan berpindah ke tempat lain dan menurut Willson, saudaranya itu sudah menetap di situ hampir sebulan. Lambat laun, gadis itu akan berpindah semula. Hampir dua bulan dia cuba menjejak saudaranya yang hilang itu semenjak dia pulih sepenuhnya dan keluar dari hospital. Rehab memakan masa hampir setengah tahun dan dia sudah buang banyak masa yang ada untuk mencari. Tambah lagi dengan huru-hara yang saudara maranya yang lain cuba timbulkan, dia tidak boleh lengah lagi. “Kita gerak sekarang.”
“Nanti cik,” tahan Bianca.
Allisa pandang pembantunya itu.
“Malam ni cik ada majlis debut,” gadis itu mengingatkannya dan Allisa serta merta mengeluh berat. Dia hampir terlupa tentang hal itu sedangkan empat tahun dahulu, dialah gadis paling teruja sekali ingin menyambut hari itu. Dia tolak rambutnya ke belakang. Tangan yang sebelah lagi mencekak pinggangnya.
“Kalau begitu...” ujarnya. “Will, awak tulis surat akan kedatangan kita kepada Raja Hugh ke negaranya. Kita akan berangkat esok pagi. Ada bantahan?” Dia pandang wajah dua pegawai yang setia berkhidmat di sampingnya itu.
Bianca angkat tangannya. “Ia tentang... Daniel Scot.”
“Teruskan.”
“Cik pasti ke itu nama dia? Cik mungkin tersilap dengar atau cik tersalah orang atau itu hanya ima– ,” bebel gadis itu.
“Bianca,” panggil Allisa. Pegawai itu terdiam. “Kenapa tentang Daniel?”
Bianca ketap bibirnya. “Tiada rekod tentang lelaki bernama Daniel Scot.”
Kening Allisa terangkat. Dia pandang wajah Willson. Minta kepastian. Daniel dalam mimpi Suri ialah sahabat baik Willson dan mereka membesar bersama-sama Julie. Semua perkara tentang apa yang wujud di dalam mimpi kembarnya itu benar kecuali yang satu ini. Sejak sebulan lepas, dalam senyap dia melancarkan perangnya dengan pegawainya itu tentang kewujudan Daniel. Malah Willson menambah yang dia ada bukti zaman persekolahannya yang sunyi sepi dengan kepingan-kepingan foto graduasinya. Tambahan pula dengan wajah penuh tanda soal dari Julie bila dia sebut nama Daniel di hadapan gadis itu.
Enggan untuk mempercayai, dia menyuruh Bianca untuk menyiasat tanpa menimbulkan syak wasangka. “Awak pasti Bianca?”
Gadis itu mengangguk pasti.

Keluhan Allisa semakin berat. Jadi bagaimana Daniel boleh wujud dalam mimpi Suri? Adakah ia hanya mimpi semata-mata? Jika begitu, adakah Daniel juga tidak wujud di rialiti milik Suri? Memikirkan hal itu buatkan hati Allisa kecut. Perlahan dia mengukir senyum tawar pada pegawai-pegawainya. “Baiklah. Untuk malam ini... selamat berhibur,” ucapnya lantas beransur ke biliknya bersama-sama satu perasaan yang berat.   

Mimpi 39

39



“Beritahu saya... apa yang sebenarnya telah berlaku? Apa yang sudah terjadi pada Allisa?” Kali ini Suri memberanikan dirinya berhadapan dengan Kimihiro. Air mata yang tadi kering seperti hendak bertakung semula. Rasa terkejut dan marah saling berlawan dalam dirinya dan bergabung menjadi satu perasaan sedih. Semakin lama dia memandang ke arah Kimihiro, rasa takutnya pula timbul. Berada di tempat asing sendirian dan selepas melihat kehilangan drastik Allisa seperti itu, pelbagai persoalan muncul dalam benaknya.

“Adakah saya juga akan hilang sepertinya?” esak Suri.

Kimihiro menggeleng. Wajah lelaki itu serius. Namun mata lelaki itu memancar sinar simpati. “Adakah awak masih tidak ingati sebab kenapa awak berada di sini?”

Suri menahan esakaknnya. Mata tidak lepas dari memandang anak mata hitam Kimihiro. Iris biru cair yang seumpama biru awan di atas kertas. Anak mata itu... dia sering pandang suatu ketika dahulu. Tidak terlalu lama. Namun setiap hari dia lihat mata itu. Mata itu...

Suri tersentak. Matanya terkebil-kebil memandang Kimihiro. Lama kemudian dia ketap bibirnya. “Maafkan saya. Maafkan saya Watanuki. Saya tak tahu bagaimana saya boleh lupa awak. Saya...” Perasaan bersalah menjenguk dirinya. Lelaki yang dia sering lawati setiap petang selepas sekolah sejak di menengah tinggi lagi, bagaimana dia boleh lupa?

Mendengarkan namanya disebut Suri, Kimihiro tersenyum senang tetapi sekejap bila dia lihat wajah muram Suri. Gadis itu setiap kali berhadapan dengannya, pasti akan berwajah muram, mata memandang jauh merindukan seseorang yang telah lama tiada namun senyuman di bibirnya itu tidak pernah tidak ikhlas. Walaupun kasar peribadi gadis itu, jiwanya lembut. Mudah terluka.

Kimihiro menghembus nafas berat. “Awak tak buat salah pun... kenapa minta maaf dengan saya?”

Mendengarkan kata-kata Kimihiro, Suri menunduk. Air matanya disapu. Nafas ditarik dalam lalu dihela perlahan. Mata menebar ke seluruh tempat. Senyap dan sunyi. Indah dan nyaman. Awanan biru dan merah jambu yang mengusai suasana membuatkan dia rasa selesa pada waktu yang sama.

“Kita berada di mana sebenarnya?”

Kimihiro menebarkan pandangannya juga. Putih menguasai suasana dan di hadapannya terdapat sebuah tasik yang besar. Kakinya yang dicelup ke dalam tasik tersebut berasa sejuk dan ringan. Jika dia pandang lama ke dalam tasik itu dia akan nampak wajah wanita itu. Wanita yang telah lama hilang dari pandangannya. Meninggalkan dia dengan pelbagai persoalan juga satu perasaan rindu yang telah lama dipendam.

“Kita berada di antara dua dimensi yang bergerak selari, umpama satu garis halus memisahkan yang hitam dan yang putih. Ianya jambatan antara rialiti dan mimpi. Apa yang awak nampak berlainan dengan apa yang saya nampak. Awak boleh panggilnya alam luar sedar,” terang Kimihiro.

“Alam luar sedar?” Badan Suri kaku. Saat itu, sebuah memori datang mengetuknya. Menyedarkannya akan satu perkara terakhir akan dia terlupa. 

“Kebanyakkan mereka yang koma akan tersekat di sini.” Seakan berbisik Kimihiro membicarakannya itu. Dia tidak mahu melihat wajah kaku yang memandangnya dengan rasa sedih dan kecewa. Mengingati saat pandangan gadis itu menjadi merah sebelum menutup mata.


LAMA gadis itu termenung, merenung laut. Kakinya yang tercelup ke dalam air lansung tidak bergerak-gerak. Fokus mata tidak beralih dari terus merenung bias wajahnya. Setiap saat yang berlalu, memorinya bangkit seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Tiada satu pun yang tinggal dan dia ulang tayang di dalam kepalanya tanpa jemu. Betapa dia rindukan belaian ibunya saat ini. Betapa dia rindukan suara Yurino memujuknya. Betapa penatnya selama ini dia berlari. Apa yang berlaku di kerajaan Neon membuatkan yang dia sedar yang dia sudah tidak mahu lari lagi dari masalahnya dan sekarang ini dia perlu berhadapan dengan masalah yang telah dia tinggalkan.

Dia pandang Kimihiro yang masih setia di sisinya. Menunggu dia. Betapa dahulu dia dan Kimihiro sering duduk begini di beranda rumah lelaki itu, sambil menikmati teh hijau yang panas dan mereka akan berbual apa sahaja. Selalunya mengenai masalahnya walaupun dia hanya berkias-kias. Kimihiro seperti dapat membaca setiap kiasannya. Mungkin kerana itu dia senang berbual dengan lelaki itu untuk dua tahun lamanya, hampir setiap petang. Waktu seperti ini dia rindukan celoteh lelaki itu yang kadang-kadang menghiburkan hatinya dan tidak lupa juga dia rindukan haiwan hitam kecil itu.

Tanpa sedar Suri tertawa sendiri menarik perhatian Kimihiro untuk memandangnya. “Kenapa?”

“Saya rindukan Mokona.”

Kimihiro menarik senyum. “Dia juga.”

“Saya nak pulang.”

“Awak dah sedia?”

“Saya takkan berada di sini jika saya tak sedia.”

Kimihiro mengangguk setuju. Lantas dia bangkit lalu menghulur tangan kanannya, membantu Suri untuk berdiri. Bila Suri mampu untuk menstabilkan diriannya dan berdiri tegak, Kimihiro menarik nafas sedalam-dalamnya lalu menekap kedua belah tangannya bersama menghasilkan satu tepukan yang kuat bersama helaan nafas yang kuat juga dan mengejutkan gadis itu.

Mata Kimihiro tajam memandang anak mata Suri yang gelap. “Untuk pengetahuan awak, untuk perjalanan pulang kali ini memerlukan bayaran seperti mana awak membayarnya untuk pergi.”

“Beritahu saya harganya,” tenang Suri menuturnya.

“Itu... saya ada beritahu awak tempoh hari... jika awak ingat,” ujar Kimihiro.

Kepala Suri terteleng ke kiri sedikit. “Awak ada?” soalnya. Mindanya pantas mengimbas memorinya sepanjang dia berada di Darmadin, di Brynn dan di Beth.

“Kalau awak tidak ingat tidak mengapa tetapi jika awak ingat, saya ada melawat awak.”

Bila Kimihiro memberitahunya baharu dia terfikirkan peristiwa itu. Matanya membulat memandang lelaki itu. “Awak ada! Tapi...” Suri ragu-ragu.

“Saya ada ingat awak datang temui saya. Pertama pada malam selepas saya berbual dengan Abang Vince walaupun hanya dalam mimpi dan yang kedua ketika saya sedang sakit. Betul?”

Kimihiro mengiyakan.

“Tetapi...” pantas Suri mencelah. “Hairannya kenapa saya lansung tak ingat apa yang kita bualkan?”
Lelaki itu berpeluk tubuh. Diriannya mula menyenget. Wajah itu bertambah serius bila lelaki itu membetulkan cermin mata bulatnya membuatkan Suri terundur sedikit. Dia mengetap bibir.

“Watanuki?”

“Itu bukan sebab awak tidak mampu mengingati apa yang kita bualkan tetapi awak tidak mahu mengingatinya pun. Emosi awak mengawal minda awak. Seperti yang saya katakan tadi, awak tidak ingat... tidak mengapa. Saya akan beritahu awak sekali lagi.” Ton suara Kimihiro bertukar datar. Tiada lagi nada kemesraan yang Suri kenal. Seperti pada hari terakhir yang Suri jumpa lelaki itu; hari dia membuat permintaannya, Kimihiro menggunakan ton yang sama dan kata-kata itu seperti menampar wajahnya. Rasa itu sangat kuat sehingga dia dapat rasakan apa yang Kimihiro katakan itu benar. Dia yang sebenarnya tidak rela untuk mengetahui isi perbualannya dengan Kimihiro waktu itu.

“Untuk awak melangkah dari jambatan ini, awak harus membayarnya dengan memori sepanjang awak berada di kerajaan Neon. Jika tidak, awak akan tersekat di sini untuk selama-lamanya.”

Liur yang Suri telan teras perit. Seperti dia menelan setiap butir pasir halus yang mampu melukakan dinding esofagusnya, menyukarkan dia untuk terus bernafas. Dia harus korbankan memorinya di kerajaan Neon untuk dia kembali semula ke rialitinya. Jika dia tidak sanggup berbuat demikian, dia akan tersekat di sini untuk selama-lamanya atau dalam erti kata lain...

“Jika tidak... saya akan mati?” teka Suri. Dia teringat saat pertama kali dia membuat permintaan pada Kimihiro sebelum ini di mana dia ingin lari dari dunia rialitinya. Bukan setakat itu sahaja, dia juga meminta sekiranya ada sekelumit perasaan untuknya pulang ke dunia rialiti, Kimihiro harus datang dan hilangkan perasaan itu. Namun jika perasaan ingin pulangnya lebih dari keinginannya untuk lari, pada masa itu, Kimihiro harus bawanya pulang walaupun bayarannya ialah kematian.

Kimihiro tidak menjawab persoalannya. Malah lelaki itu lansung tidak beriak. Cermin mata dipakainya memantulkan cahaya, menyilaukan pandangan Suri. Memaksa dia untuk terus menunduk.

“Kenapa bayaran yang saya lakukan tampak tidak setimpal dengan apa yang telah saya bayar sebelum ini?” Suri mempersoalkan isu dengan rasa keliru. Dua perkara yang berlaku sebelum ini dan ketika ini membawa haluan yang berbeza. Sedangkan dia hanya mahu pulang ke tempat yang dia lari semula.

“Setiap bayaran tidak semestinya sama. Setiap perjalanan yang awak lalui tidak pernah sama. Untuk membawa awak keluar, mudah. Tetapi untuk membawa awak kembali... ianya memerlukan perngorbanan. Memori awak mengandungi emosi setiap orang yang berinteraksi dengan awak. Ianya sangat berharga bagi awak sehingga ianya menjadi setimpal dengan nyawa awak sekarang ini Suri. Awak faham maksud saya?” terang Kimihiro. Penerangan yang sama yang telah Allisa berikan tadi.

Suri melawan pandang mata Kimihiro walaupun bahunya berasa berat. Dia tahu dia harus buat keputusan. Sekuat manapun dia ingin berpegang pada memorinya, dia harus lepaskan juga. Dia harus bergerak. Dia tidak mahu lari lagi. Dia mahu berhadapan dengan masalahnya. Dia ingin kembali ke rialitinya.

“Sebelum saya akad pemabayaran saya, boleh saya tanya awak sesuatu?”

“Dipersilakan.”

“Apa yang berlaku pada Allisa selepas dia pergi tadi? Adakah dia baik-baik sahaja?” Suri tidak mampu mengusir ikatan yang terjalin antaranya dengan Allisa. Apa yang terjadi beberapa ketika tadi meninggalkan kesan pada dirinya.

Kimihiro menunduk memandang ke arah bawah. Memandang kosong ke satu arah. Kemudian dia mendongak. “Jika awak fikirkan yang positif, dia juga begitu.”

Mendengarkan jawapan Kimihiro, Suri menghela nafas lega. “Jadi bila saya sedar, adakah saya akan jumpa awak lagi? Adakah kita akan terus menjadi teman berbual?”

Lelaki itu tersenyum tawar. Seakan berat untuk dia menongkat garisan di hujung bibir itu. “Jika kita ditakdirkan untuk bertemu lagi, kita akan.”

Suri cuba ukirkan senyum. “Jika begitu... saya akan rindukan awak, Watanuki.”

“Saya juga.”

Suri dapat rasakan air matanya mula bertakung. Dia cepat-cepat sapunya lalu dia katup rapat matanya. “Selamat tinggal Watanuki,” ucapnya sayu.

“Selamat tinggal Suri...” Suara Kimihiro seakan sayup-sayup namun begitu dekat di telinganya. Suri tidak mampu menahan air matanya. Dia akan meninggalkan memorinya di belakang. Dia akan meninggalkan Kimihiro juga dibelakang. Untuk dia terus maju, dia akan letak dua perkara yang dia sayang ke belakang dan tidak akan menoleh lagi. Sekali lagi angin bertiup ganas ke arahnya. Kali ini bersama-sama suara gadis yang telah tinggalkannya tadi. Menjatuhkan akad ke atas bayaran untuk dia melintasi jambatan ini. Dia tersenyum nipis. Air matanya berlinangan.

“Sehingga kita berjumpa lagi,” ucap Suri dalam esakannya mengharapkan balasan dari Kimihiro namun ucapannya tidak bersambut. Selama mana sekalipun dia tunggu, ucapannya itu tidak akan bersambut kerana dia telah pun tiba pada rialitinya.    

Mimpi 38

38



Telefon terlepas dari ganggang. Dunianya berputar ligat. Retinanya tidak mampu memfokuskan pada satu objek di hadapannya. Jantung berdegup lebih laju dari tadi malah dari kebiasaannya. Dia tercungap-cungap mencari nafas. Tiba-tiba dia rasa gementar. Bercelaru dan takut.
“Suri... Awak minta saya panggil awak Suri.”
Terhuyung hayang dia cuba cari pusat diriannya. Bibirnya kering. Hatinya menyebut nama ‘Suri’ berulang kali, meninggalkan dengung yang tiada penghujung di tempurung kepalanya sehinggalah nama itu menghentam satu rak laci yang paling tinggi, membongkar isinya. Nama itu... Dia kenal. Dia pernah mendengarnya sekali. Di dalam mimpi. Suara gadis yang wujud dalam mimpinya ada menyebut sekali nama itu. Suri...
Bila fokus matanya dapat raih titik tengahnya, dia mula dapat melihat dengan jelas sedikit demi sedikit. Aroma bunga petunia jelas di hidungnya bila sesekali angin bertiup lembut. Dia tersentak. Dia kini berada di taman belakang biliknya. Namun tiada kelihatan binaan rumahnya atau istana atau pagar yang memagari perimeter kawasan istana. Tiada hutan yang tumbuh berkelompok pada satu-satu tempat atau apa-apa kewujudan makhluk lain selain dia, bulan, bintang, malam yang tenang dan perigi. Satu-satunya perigi yang dia lihat pagi tadi dan hanya dia sahaja yang mampu melihatnya. Hairannya, perasaan takut yang dia rasakan tadi lenyap. Tiada rasa gentar seperti yang dia rasakan. Satu rasa takjub mengusai hatinya. Bulan penuh memantulkan cahaya terang matahari. Keemasan, bersinar seperti mutiara dengan lekuk besar pada hemisferanya namun itulah pesonanya.
Matanya bulat melihat bulan itu yang seakan dekat dengan tanah tempat dia berdiri. Bulan itu seakan membesar seperti belon yang ditiup dengan sepenuh hati. Menyingkir kilauan bintang-bintang yang berada jauh darinya; kelihatan kecil dan terkedip-kedip sinarnya. Bulan it membesar dengan besar sekali tidak membenarkan Allisa mengerdipkan matanya sehingga bila dia tersedar kepalanya tertunduk ke dalam lubang perigi, melihat biasnya, bias bulan dan bintang. Malam masih lagi tenang. Tiada awan yang berkumpul dan berarak dan dia tidak berganjak dari melihat bias wajahnya.
Air tenang di dalam perigi itu seolah cermin licin, memantul cahaya; membiaskan apa yang terbias di permukaannya. Hanya satu yang berbeza.
Allisa sentuh hujung kening kirinya. Permukaan kulit jarinya merasai kesan parut itu namun dalam bias air itu, wajah gadis yang yang memandang ke arahnya kekal memandang kearahnya. Mata Allisa mengecil. Bibirnya mengetap. Namun biasnya tidak berbuat demikian. Mata masih bulat merenungnya semula. Mulut sedikit terbuka. Terpegun dengan apa yang dilihat. Allisa sedar. Apa yang sedang berlaku tika ini sudah tidak konsisten dengan apa yang sepatutnya. Ia sudah mula lari. Konsistensi itu.
“Awak siapa?” soalnya berani.
Biasnya yang tadi bermata bulat dengan bibir membentuk ‘O’ itu berubah wajah. Gadis itu tersenyum. “Saya ialah awak,” jawabnya namun bibirnya tidak berbicara.
Allisa cuba mencerna maksud kata gadis di dalam perigi itu. Dia cuba cari maksud jawapan itu pada setiap yang berlaku, setiap babak yang konsistensinya lari. Setiap gambar rajah yang berlubang dia bandingkan dengan jawapan biasnya dan jawapan dari Daniel. “Jadi... siapa Suri?”
Gadis itu tersenyum manis. Bibirnya lebar mengukir senyuman. “Awak.”
Ia semakin pelik. Jika gadis di dalam biasnya ialah dia dan dia ialah Suri... siapa Allisa? Kepalanya canggung. Ini tidak masuk akal. Dia mula mempersoalkan identitinya sendiri. Allisa pandang biasnya. Persoalan tadi dengan tanda soal besar dia letupkan. Dia olah semula jawapannya tadi. Ianya jawapan yang jelas tetapi dia masih ragu-ragu. Dia rasa seperti orang gila.
“Awak Allisa, bukan?” tekanya.
Gadis itu tidak memberi respon. Sekali lagi Allisa mengetap bibir. Dia paksa dirinya untuk cari lagi jawapan yang dia tertinggal. Perincian kecil yang mungkin dia tidak nampak atau terlepas pandang. Lama dia fikir dan pada saat itu dia jumpa juga. Mimpi-mimpi memori yang dia alami ketika dia di Beth. ‘Allisa’ yang dia nampak, setiap satu konsistensinya jelas. Dia tidak nampak sebabnya kerana dia yang mencari jawapan yang ‘Allisa’ mahukan dan bukannya dia mahukan! Dan pada akhir mimpi itu, ayat itu bukan sebarang ayat. Ianya satu jawapan yang dia cari.
Allisa ingin mencuba sekali lagi. Dalam sekali helaan nafas dan suara yang tenang dia bersuara, “awak ialah Allisa dan saya ialah Suri. Namun kita ialah orang yang sama.” Matanya memandang kembarnya itu. Dia yakin yang gadis itu menunggu jawapan ini dari dia. “Semua ini hanya... mimpi.”
Akhirnya gadis itu tertawa gembira sambil mengangguk. Lantas dihulurkan jemarinya mahu ‘dia’; Suri sambut tangannya dan Suri tidak teragak-agak menyambut jemari tersebut. Saat Suri melepasi cermin air itu dia menutup matanya dan hatinya terus berbisik yang semua ini hanya mimpi. Hanya mimpi.

BILA dia buka matanya, serta merta bibirnya terukir senyuman. Dia terlompat sedikit. Tangan kirinya meraih tangan kiri Allisa. Tubuh gadis itu dilihat atas bawah dengan rasa tidak percaya. Bila matanya kembali mendarat pada wajah Allisa, kedua belah tangannya menggenggam erat kedua belah tangan kembarnya. Kepalanya tergeleng-geleng tetapi dia ketawa.
“Apa yang berlaku sebenarnya?” soalnya lebih kepada dirinya sendiri.
Matanya melilau melihat sekitarnya. Walaupun sekali, dia ingat tempat ini. Di sinilah dia... Allisa jumpa Permaisuri Raina buat kali terakhir. Sebuah alam awanan yang bewarna merah jambu dan biru dan kakinya terapung di awanan, di bawahnya tiada tanah seakan dia berdiri di atas kaca tebal dan dia yakin dia tidak akan jatuh seperti di dalam mimpinya sebelum ini.
Dia pandang semula wajah Allisa dan tidak semena-mena, dia ketawa gementar lagi. Selepas itu dia hembus nafas. Tadi dia begitu yakin yang selama ini dia hanya alami mimpi; setiap pertemuannya dengan Julie, Juliane, Willson, Bianca, Anita, mereka di rumah agam Scot, mereka di Prace, mereka di Beth dan mereka di Brynn... semua itu hanya mimpi. Mimpi. Dan jika benar ini mimpi, di mana rialiti-nya?
“Dah tak sabar nampaknya nak pulang?”
Suri berpaling ke arah punca suara. Terkejut bila menyedari bukan dia dan Allisa sahaja yang berada di ruangan tidak berpenghujung itu. Kening Suri bercantum. “Awak?”
Kimihiro menunduk hormat. Tangannya berpusing di udara lalu mempersembahkan dirinya sambil kaki kanannya disilangkan ke belakang. Lagak seperti lelaki budiman. Tiga saat kemudian dia berdiri semula. Tangan kanannya mencekak pinggang dan tangan kirinya dibiar bebas. Berdiri ala-ala peragawan dengan sepasang kaki panjang berpakaian serba hitam, bercermin mata berbingkai halus, rambut hitam, iris biru cair dan kulit cerah tidak bermaya. “Kita berjumpa lagi,” ujarnya ceria.
Terkebil-kebil mata Suri melihat Kimihiro. Atas bawah kemudian kiri dan kanan. “Saya tak ingat awaklah. Kita jumpa di mana?”
Terbejat Kimihiro seketika. Allisa menutup mulutnya, ketawa pada riaksi Suri dan gadis itu memandang Kimihiro dan Allisa dengan pandangan keliru.
“Saya minta maaf kalau tadi saya tergores perasaan awak tapi saya memang tak ingat jika saya pernah jumpa awak sebelum ini.”
Kimihiro tersenyum tawar. Cermin matanya dibetulkan di atas tulang hidungnya. Kepala tergeleng-geleng sambil berjalan mendekati Suri. Bila dia berada dekat berbeza jarak 0.5 meter dari Suri, dia membongkok agar aras matanya dan Suri selari. Kedua belah tangannya bercekak pinggang. “Jangan risau. Awak akan,” cakapnya yakin.
Tidak semena Suri terundur ke belakang, berasa sedikit terancam dengan kemesraan yang ditunjukan Kimihiro. Wajah pucat dengan iris biru cair yang tampak seperti tidak nyata. Bila dia lihat mata itu, dia rasakan sesuatu yang dia tidak dapat jelaskan.
Kimihiro tarik senyuman puas. Badannya ditegakkan semula lalu dia berpaling memandang Allisa. Lama dia pandang wajah gadis itu kemudian dia berpaling semula ke arah Suri yang masih lagi mendongak, memandang wajahnya. Perangai Suri itu membuatkan Kimihiro berasa senang di dalam hati. Tidak pernah berubah... kata hatinya.
“Saya pasti awak ada banyak soalan yang bermain di fikiran awak. Allisa akan tolong jawabkannya untuk awak. Kalau saya yang terangkan, awak kena bayar tambahan perkhidmatan untuk itu.”
“Hah?” Suri tercengang tidak faham.
Allisa tarik tangan Suri menjauhi Kimihiro. “Awak akan fahamnya nanti. Saya ada banyak benda untuk bercerita dengan awak sebelum kita berpisah,” cakap Allisa tetapi masih, Suri dapati Allisa tidak membuka mulutnya ketika bercakap. Seperti gadis itu sebenarnya bertelepati dengannya.
Apabila dirasakan Kimihiro tidak mampu mendengari perbualan mereka dan kewujudan lelaki itu seperti sebesar semut di atas jalan, Allisa berhenti menarik lalu dia lepaskan jemari Suri. Tiada apa yang berubah di sekeliling mereka. Hanya ada awanan merah jambu dan biru dan lantai kaca yang tebal seolah mereka terapung tinggi di udara tanpa dapat mengetahui di mana tanahnya.
Mereka berdiri secara berhadapan. Mata, hidung, bibir, tinggi dan lebar semuanya seiras. Yang membezakan ialah parut di kening kiri. Jika dilihat dari jauh, parut itu sukar untuk dikesan kerana ianya terlalu kecil. Berhati-hati Allisa sentuh kening kiri Suri. Berasa simpati dengan kisah disebalik parut tersebut.
“Awak tak rasa yang semua ini sesuatu yang menakjubkan? Mengetahui yang ada orang lain yang seiras kita tetapi berbeza situasi? Saya dapati semua ini menakjubkan.”
Suri tergamam. Malu juga bila diperlakukan begitu. Sentuhan lembut Allisa mengingatkan dia pada seseorang. Tangan besar dengan permukaan yang kasar dan setiap kali tangan besar itu menyentuh kulit wajahnya, penuh rasa berhati-hati dan terasa lembut membelai. Kemudian dia nampak senyuman manis seorang wanita, berdiri di sebelah suaminya. Siapa?
“Itu memori awak.”
“Memori?”
Allisa mengangguk. Dia tiba-tiba duduk di atas lantai dan kakinya terjuntai ke bawah, seakan dia duduk di atas kerusi. Dia mendongak memandang Suri dan menepuk-nepuk tempat disebelahnya, menyuruh Suri turut duduk sepertinya.
Teragak-agak Suri ikut duduk seperi Allisa. Janggal sekali, kakinya turut terjuntai ke bawah sedangkan tadi lantai kaca ini keras dan kukuh. Tiada satu lubang pun yang wujud.
Kedengaran tawa halus Allisa. Menampakkan baris giginya yang putih bersih dan tersusun rapi.
Rasa kekok masih ada walau banyak mana sekalipun Suri lihat diri Allisa kerana Allisa ialah dia dan dia ialah Allisa. Untuk itu, dia alihkan wajahnya dan memandang ke bawah. Melihat kakinya terhayun-hayun di udara. Tiada pun angin yang bertiup namun seakan merasa sejuk, seakan kakinya dicelup masuk ke dalam air masin tika waktu petang, berkaki ayam dan dia dengar gelak tawa, tangis dan rasa rindu yang menyelinap di sudut hatinya. Adakah ini memorinya juga?
“Macam mana saya nak tahu apa yang bermain dalam kepala saya ini ialah memori saya ataupun bukan? Bagaimana pula dengan memori saya berada di Brynn selama 15 tahun sebelum ini?” soal Suri. Dia menendang-nendang air yang kini menjadi nyata di hadapan matanya. Kakinya sememangnya tercelup di dalam air laut namun dia masih mampu melihat apa yang ada di bawahnya. Atau adakah itu biasan langit di atasnya?
Diam Allisa menarik lirik Suri ke arah gadis itu. Allisa sedang memandangnya. Mata itu redup. Jemari gadis mendarat di bahagian halkumnya. Air mata Allisa bertakung di tubir mata.
“Kebisuan saya dan parut awak membezakan kedua memori yang wujud dalam kepala awak. Adakah itu dapat membantu awak?” soalnya. Dia sapu air mata yang mengalir di pipi. Dia tidak tunggu lama untuk Suri menjawab. “Saya minta maaf kerana telah mencelarukan fikiran awak. Kerana saya ingin lari dari terus mencari jawapan, saya telah menyebabkan awak terseksa.”
Suri tidak tahu untuk berkata apa. Segalanya rasa begitu asing lagi buatnya. Dia cuba untuk membezakan antara dua situasi memorinya yang ketara perbezaannya namun buat masa ini, yang jelas hanyalah tempat dan suasana. Tempat tinggalnya ialah sebuah rumah campuran tradisional dan moden di tengah kota raya yang membangun dengan pesat juga jumlah penduduk yang ramai. Sejak awal pagi, kota raya sudah sibuk sehingga ke malam. Lampu-lampu neon di puncak menara sehinggalah sekecil-kecil bangunan. Asap karbon dioksida berterbangan di udara datang dari ekzos kereta, kedengaran hon sana sini, pejalan kaki memenuhi sisi jalan mengejar waktu dan bila burung terbang di udara, di atasnya terbang sebuah kapal terbang penerbangan komersial. Warna-warni musim, festival, gelak ketawa dan duka cita segalanya terlukis jelas dalam memori ini dan saat itu dia wujud dalam kerumunan orang ramai berpakaian seragam, rambut diikat tinggi dan berwajah garang. Di sisinya seorang lelaki tinggi lampai sedang tersenyum lebar juga seorang gadis sedikit tinggi darinya ketawa mengekek membawa sebuah beg kanvas. Itu... Julie dan Juliane. Tidak! Miza dan Yurino!
Selepas itu, memorinya memasuki setiap ruang fikirannya, sangat terperinci kerana dia yang alaminya sedangkan memori 15 tahunnya di Brynn, sedikit-sedikit, berlubang sana dan sini dan dia ingat bila ia tiba-tiba menerjah ruang memorinya, menyakinkan dia yang itu ialah rialitinya sedangkan itu semua hanya memori milik orang lain. Milik Allisa Leann Reed.
Suri menekup mulutnya. Rialitinya penuh dengan duka dan kecewa. Jika ada gembira ia hanya sementara. Cinta yang dia ada untuk lelaki bernama Yurino Genji bertukar menjadi satu pengkhianatan dan bila dia sedar dia hanya digunakan... saat itu dia jumpa Kimihiro Watanuki. Pada lelaki itu dia  membuat permintaan untuk lari dari segalanya. Lari dari kenyataan. Dia pandang Allisa. Air matanya titis demi titis mengalir laju lalu menjadi lebat. Semuanya bermula dari situ dan dari situ dia... dia...
“Allisa...”
Kembarnya itu membuka kedua belah tangan, menjemputnya untuk mencurahkan perasaannya yang selama ini tertutup kemas.
Suri dakap tubuh gadis di sebelahnya. Dia hamburkan segala rasa kecewa dan kesal yang ada. Sakit di hatinya mula memancut keluar setelah dia tutup tanpa tinggal sebarang kebocoran sehingga ia tidak mampu menampung tekanan. Lalu inilah yang terjadi. Kesilapan yang tidak dapat diundur. Berulang kali dia katakan pada Daniel yang lari dari hakikat tidak mampu mengubah realiti. Ironinya, dia juga serupa. Bermula dari kehilangan ayahnya, pemergian ibunya, rasa rendah diri dan malu, setiap episod rialiti yang hadir, dia hanya tahu lari dan lari. Malah apa yang terjadi antara dia dengan Daniel juga, dia pilih untuk lari dari perasaan dia yang sebenarnya.
Badan Suri tiba-tiba tegak. Mata membulat. “Bagaimana dengan Daniel? Besok hari perkahwinan dia dan... dan... bagaimana saya nak jelaskan pada dia yang saya ini bukan awak dan gadis yang dia cintakan itu bukan awak tapi saya?” Suri tersenyap. “Atuk, Julie dan Juliane pula?” Wajah Suri tampak serabut. Setiap satu masalah mula berlanggar antara satu sama lain.
“Tenang,” ujar Allisa. Bibir gadis itu terukir senyuman lembut. Dia usap rambut pendek Suri. Nafas dihela perlahan. “Kelak bila awak kembali ke dunia awak, semuanya akan kembali semula ke tampat asalnya. Segala apa yang awak alami sepanjang tempoh awak berada di kerajaan saya, umpama sebuah mimpi panjang di musim panas.”
Mata Suri membundar. Setiap patah kata yang menari masuk ke dalam fikirannya, meresap ke dalam jiwanya. Patutkah dia berasa lega? Semua akan lupa siapa dia. Seorang gadis yang jatuh dari langit dan jatuh cinta dengan tunang orang dalam usaha untuk melarikan diri dari episod rialitinya. Namun sanggupkah dia jika dia tinggalkan semua orang selepas apa yang telah dia buat? Ada baiknya mereka lupa siapa dia.
“Ba... bagaimana pula dengan Aria? Suara awak?” 
Allisa terdiam. Matanya meredup. Kebenaran yang ibunya katakan ialah Aria. Dalang disebalik pembunuhan ibu bapanya namun hatinya berasa berat untuk mengakuinya. Sukar untuk dia terima bila dia ingati dalam tempoh dia terseksa seminggu sebelum dia memilih untuk melalui jalan yang perit ini, Aria ada disampingnya. Saudaranya itu ada menemaninya tika dia sedih dan menangis bersama. Walaupun dahulu dia tidak faham kenapa gadis itu kerap memohon maaf padanya namun sekarang ini dia jadi lebih keliru bila dia tahu kebenarannya. Dengan kehilangan Aria dari Kerajaan Neon, gadis itu bawa bersama jawapan lengkap yang dia mahukan. Mungkin kerana itu juga suaranya masih terkunci.
Matanya menangkap susuk tubuh tinggi lampai duduk disebelah Suri. Lelaki itu memandangnya dengan pandangan simpati. Tubir mata Allisa hangat. Mengingati setiap peristiwa yang berlaku tiga tahun lalu, mengingati saat dia terjumpa perigi di tamannya... merupakan satu titik perubahan yang besar dalam hidupnya. Dia katup kelopak matanya perlahan. Wajah Kimihiro muncul di mindanya. Tiga tahun lalu, dia buat permintaan pada Kimihiro melalui perigi yang dia jumpa itu. Permintaannya untuk mencari jawapan kepada pembunuh sebenar ibu bapanya dan dia jumpa pembunuhnya. Apa pula kaitan antara Aria dan sahabat baik ibunya?
Ibu dan anak. Lebih tepat, ibu susu dan anak. Ibu bapa Aria sudah lama pergi sejak tragedi kebakaran kapal udara hampir dua dekad dahulu dan Aria bertuah terselamat dalam kebakaran itu. Sebab kenapa Aria mahukan kuasanya ini? Dia tidak pernah tahu. Gadis itu pendiam. Tidak banyak bercakap. Jarang melibatkan diri dalam aktiviti keluarga dan sering mengasingkan diri dari kerumunan orang ramai. Salah diakah kerana tidak pernah ambil inisiatif untuk berkawan dengan Aria sedangkan dia juga seperti terkapai-kapai dalam menyesuaikan dirinya di istana? Tiada jawapan yang tepat untuk itu.
Dia kembali menoleh ke arah Suri. Melihat wajahnya sendiri pada orang lain seperti melihat cermin di meja solek. Tiada apa yang berbeza melainkan parut di kening itu. Parut itu bayaran kepada pelarian Suri dan tidur lenanya untuk tiga tahun ialah bayaran untuk sebuah jawapan manakala untuk dia bangkit semula, walaupun berat... dia harus lakukannya juga.
“Oh Suri... tanpa suara ini saya masih boleh lagi berbicara dengan awak. Hanya mereka yang benar-benar memerlukan saya akan mendengarnya. Hati yang ikhlas dan niat yang jujur adalah asasnya. Tentang Aria... dia tidak akan apa-apakan saya. Saya jamin awak itu,” beritahu Allisa lembut. “Dan atas kebaikan awak, saya doakan awak ini. Semoga bila awak sedar dari mimpi ini, awak akan jumpa apa yang awak cari. Awak terus percaya pada diri awak dan tidak akan lari lagi,” doanya lalu tersenyum simpul matanya memandang ke arah lelaki yang dari menunduk memandang ke bawah.
“Betul tak, Kimihiro?”
Suri tersentak. Pertanyaan tiba-tiba Allisa itu menyedarkan Suri pada kewujudan Kimihiro di sebelahnya. Lelaki itu duduk tenang menghadap ke arah laut tenang di hadapan mereka dengan kaki tercelup ke dalamnya. Lelaki itu menoleh ke arah mereka dan mengukir senyum tipis.
“Awak dah sedia Allisa?” soal Kimihiro pula.
Gadis itu tertawa kecil. Di hujung tawa itu seperti kedengaran satu helaan pendek yang menggeletar.
Suri pandang kedua mereka dengan pandangan keliru. Apa yang mereka bualkan pun dia tidak tahu.
Allisa tarik nafasnya dalam lalu dia lepaskannya melalui bibirnya bersama-sama kata-kata perintah yang dia lafazkan dari lubuk hatinya. Dia tahu air matanya bertakung dan dia tahu seperti sukar untuk dia lepaskan Suri namun dia harus juga lakukannya kerana inilah bayarannya. Dia harus lepaskan ikatan yang ada antara Suri dari dunianya dan dunianya dari Suri.
Tiba-tiba angin bertiup kencang ke arah mereka. Suri alihkan wajahnya lantas memandang ke arah kembarnya. Angin yang bertiup kembali reda. Gadis itu sedikit pelik bila angin bertiup ganas sedangkan tadi seperti tiada tanda akan kehadiran sebegitu. Anak mata Suri mendarat lama pada tubuh Allisa yang semakin lama semakin menghilang.
“Allisa!”
Gadis itu masih lagi tersenyum manis. Kedua belah tangan Suri digenggam kuat. “Saya harap awak tak akan lupakan saya, Suri,” ujarnya walaupun dia tahu itu semuanya hanya sia-sia. Matanya menjeling Kimihiro. “Saya dah bayar seperti yang dijanjikan, awak... jaga kawan saya baik-baik ya, Kimihiro? Kalau tak, saya akan sumpah awak!” ugut Allisa. 
“Apa awak cakap ni Allisa?” Suri panik.
Tubuh Allisa semakin lama menyatu dengan cahaya dan hilang upaya padu. Dalam sekelip mata gadis itu hilang bersama-sama cahaya samar dan bayu lembut yang menyisir. Yang masih berlegar hanya bayangan senyuman gadis itu seperti gadis itu masih lagi di situ. Tersenyum manis.

Dalam dimensi yang asing, Allisa kembali semula ke tempatnya semula. Tersedar dalam keadaan yang tenat dengan tubuh yang keding tidak bermaya. Walaupun dia tahu suranya tidak mungkin akan keluar, dia cuba untuk memanggil. Di dalam bilik jauh dari bisik-bisik manusia, dia cuba untuk menarik perhatian. Cuba untuk memberitahu yang dia sudah kembali. Dia sudah kembali.

Mimpi 37

37


Dia telah selamat sampai ke rumah. Selamat dimarahi. Dinasihati. Tidak lebih dan tidak kurang. Dia terima semuanya. Dia tahu yang dia sudah buat kesilapan kali ini. Dia akhirnya sedar. Perjalanan dari Beth ke Darmadin buatkan dia banyak berfikir. Dia sudah banyak lukakan hati orang. Lebih-lebih lagi hati Anita. Gadis itu terima segala kedinginannya, kemarahannya tetapi tidak pernah sekalipun gadis itu menyerah kalah dalam merebut cinta dia. Allisa? Gadis itu tinggalkan dia begitu sahaja dengan sepecuk surat! Dia tahu yang Allisa tidak mahu apa-apa hubungan dengannya walaupun diakhirnya Allisa mengaku cintakan dia juga, semua itu hanya bawa kesedihan dan kemarahan dalam hati dia dan dia lansung tiada hati ingin buka surat peninggalan tuan puteri itu.

‘Tok, tok, tok.’

Daniel angkat wajahnya dari terus tertunduk menghadap muka meja kerjanya. Nafas dihela berat. Dia tiada keinginan untuk berjumpa sesiapapun. Tetapi dia juga tiada niat untuk menghalau. Lantas dia putarkan kerusinya menghadap ke luar tingkap, membelakangkan pintu.

Pintu terbuka perlahan. Berhati-hati dan sedikit takut-takut. Dia pasti itu bukan abangnya atau papanya. Dengar dari derap langkah, ianya seorang perempuan.

“Tuan muda...”  

Daniel pejamkan matanya. Kenapa mesti wanita ini? Satu-satunya wanita yang dia tidak mahu bersua muka hari ini. Dia takut.

“Tuan muda...”

Selain Puan Scot, pada wanita inilah dia mengadu dan menumpang kasih. Dia takut jika dia berhadapan dengan Mary secara berhadapan, dia akan runtuh.

Mary berasa serba salah. Sedikit kecewa juga. Dia tidak berharap dia akan berhadapan dengan Daniel hari ini tetapi dia berharap yang Daniel kuat menempuh dugaan dan tidak cepat terusik dengannya. Bila dia lihat tuan muda ini bersikap begini, dia mula fikir yang dia sepatutnya tahu akan akibatnya jika dia pilih pilihan ini dan berterus terang dengan tuan muda itu sejak awal. Tidaklah keadaan menjadi begini.

Dia tarik nafasnya dalam. Dia harus naikkan semangat Daniel. Esok hari perkahwinan anak muda itu dan dia tidak mahu lihat Daniel berjalan dengan rupa mayat hidup seperti tiga bulan lepas. Dia bersyukur bila Anita minta tunda perkahwinan tempoh hari. “Makcik nak minta maaf. Sebab makcik tak beritahu kamu awal-awal akan perkara yang sudah lama makcik tahu, kamu merana. Kalau dapat putar waktu, memang makcik nak perbetulkan keadaan ni.”

Daniel ketap bibirnya. “Ini bukan salah makcik. Benda dah nak jadi,” pingkas Daniel. Dia tidak suka bila Mary letakkan seluruh kesalahan di atas bahu wanita itu sedangkan dari mula tiada siapa yang bersalah. Semua ini ialah kerja takdir.

Tanpa sedar, Mary ukir senyum nipis. Hati tuanya gembira bila anak muda itu ingin juga membuka suara. “Kamu tahu, kamu banyak mengingatkan makcik pada ayah kamu.”

Mendengarkan kata-kata Mary, menarik perhatian Daniel untuk berpaling tetapi dia cepat-cepat tahan diri dia dari berbuat demikian.

“Ayah kamu sebelum dia berkahwin dengan ibu kamu, dia bercinta dengan seorang gadis yang tiada siapa pun tahu asal usulnya. Gadis itu berbeza dan dia menawan. Tiada siapa pun di bandar ini tahu yang ayah kamu dan gadis itu ada hubungan sehinggalah ayah kepada ayah kamu menyuruhnya berkahwin dengan ibu kamu. Ayah kamu menentang sehabis mungkin tetapi ibu kamu dia lansung tidak menarik diri dari perjanjian itu. Makcik tak tahu apa yang ibu kamu fikirkan, apa yang makcik tahu, ibu kamu lansung tidak mencintai ayah kamu. Entah macam mana, suatu hari, akhirnya ayah kamu bersetuju juga untuk berkahwin. Itupun bersyarat. Dia kata pada ibu kamu, jangan harap rumah tangga seperti pasangan lain dan jangan harap zuriat dari dia. Bila makcik tahu apa yang ayah kamu tetapkan, makcik bersungguh menyuruh ibu kamu untuk putuskan pertunangan tu, tapi ibu kamu degil juga.

Makcik yang masa tu hanya pembantu ibu kamu, tak boleh buat apa dan biarkan ibu kamu dengan keputusan dia dan lihat dia berkahwin dengan ayah kamu. Tujuh tahun, ibu kamu menderita mengharungi rumah tangga yang tidak pernah bahagia. Ayah kamu tunaikan janji dia dan ibu kamu perlahan-lahan cuba ambil hati ayah kamu. Sayangnya, seperti yang kamu tahu, ayah kamu suka mengembara dan dia jarang pulang ke rumah.” Mary sapu air mata dengan lengan bajunya. Tidak mampu menahan rasa sedih bila setiap kali mengingati Shelby, ibu Daniel.

“Setiap kali ayah kamu pulang, ibu kamu pasti akan masak dan cuba seboleh mungkin untuk tarik perhatian ayah kamu walaupun sedikit. Lama-lama usaha dia menjadi. Ayah kamu mula selalu jenguk rumah dan habiskan masa dia dengan ibu kamu. Mereka bahagia dan mereka dapat kamu. Tetapi bahagia mereka hanya sekejap. Lima bulan selepas ibu kamu mengandungkan kamu, ayah kamu hilang dan tidak pernah pulang. Ibu kamu pula, kerana pertumpahan darah yang banyak dan kerana terlalu rindukan ayah kamu, dia ikut pergi bersama ayah kamu dan bila mama kamu datang dan mahu menjaga kamu, dia ajak makcik juga untuk bekerja di sini dan jaga kamu.” Di hujung ayatnya, wanita itu tertawa kecil. Malu bila dia tiba-tiba menangis dan hidung berhingus. Sungguh, dia rindukan Shelby. Bila dia cuba cari sapu tangan untuk menyapu hingusnya, dia terjumpa sepucuk surat dalam poket apronnya bersama-sama sapu tangannya. Dia cepat tersedar akan tujuan dia masuk ke bilik ini tadi. Bila umur semakin meningkat, dia semakin cepat lupa.

Dia sapu hingusnya dahulu kemudian baharu dia letak surat itu di atas meja. “Sebenarnya tujuan makcik masuk bilik kamu sebab makcik nak serahkan surat ni. Makcik jumpa dalam beg kamu masa makcik kemas tadi. Lagipun makcik tengok kamu tak buka lagi surat tu, itu yang makcik bawa ke sini.”

Mary tunggu riaksi dari Daniel dan seperti tadi, anak muda itu tetap tidak mahu memandangnya. Apa yang dia boleh lakukan jika itu pilihan Daniel? Dia mengundur perlahan-lahan lalu menunduk sedikit sebelum beredar.

“Makcik!”

Mary berhenti berjalan. Perlahan dia pusing tubuh gempalnya. Dia nampak Daniel, badan berpusing memandang ke arahnya, wajah separuh terdesak. “Ya, tuan muda?”

Daniel basah bibirnya. Liur ditelan. “Apa... jadi pada gadis yang ayah saya cintakan tu?”

Mary tidak ambil masa yang lama untuk menjawab. “Gadis itu tidak pernah diketahui kerana tiada siapa pernah melihatnya. Lama ditelan bumi.” Suasana sepi sebelum Mary menunduk hormat dan ucap selamat malam.

Daniel panggung kepalanya. Dia jadi kasihan pada dirinya sendiri bila dia dengar kisah ibu bapanya dari mulut Mary. Jalan cerita yang hampir serupa dengan kisahnya. Seperti dia sudah dapat agak apa kesudahan untuk dirinya juga. Ibunya tunggu tujuh tahun lamanya dan Anita... 10 tahun atau lebih. Kekasih ayahnya sudah lama mati sebelum ibu dan ayahnya bertunang dan Allisa?

Dia pandang surat yang terletak elok di atas mejanya. Patutkah dia baca surat tu sedangkan dia tahu dalamnya mungkin penuh dengan alasan yang sama? Ayat yang bakal mencalarkan hati? Hakikatnya, dia tidak akan tahu selagi dia tidak baca surat itu. Allisa sudah beri dia peluang. Dia juga harus beri Allisa peluang.

Berhati-hati dia tarik lilin yang melekat di bibir sampul. Surat dikeluarkan. Tulisan berlingkar yang halus dan kemas memenuhi dua helai kertas coklat itu. Mata Daniel laju membaca setiap patah kata tanpa meninggalkan satu huruf pun. Semakin lama dia baca, perasaan marah dan kecewanya pada Allisa kian memudar. Yang tinggal hanya pasrah.


Kehadapan Daniel,

Pertama sekali saya ingin ucap ialah saya minta maaf. Saya sepatutnya bagi awak peluang tiga hari tapi saya tak tunaikan janji saya. Ada sesuatu yang saya harus buat di Brynn. Sejak malam semalam, memori saya timbul sedikit demi sedikit dan saya keliru dan saya mahukan jawapan. Sekali lagi saya mohon kemaafan dari awak sebab masalah saya, awak merana. Saya tahu lambat laun saya harus juga jelaskan hal ini pada awak, saya tak sangka ia akan jadi seawal ini.

Saya juga nak ucapkan terima kasih kerana sepanjang dua hari saya di Beth, awak buat saya rasa gembira sangat. Saya dah lama tak rasa gembira seperti ini dengan awak Daniel. Jujur, saya rindu masa yang kita ada dahulu. Masa yang kita habiskan dengan berbual, ketawa dan bermain. Walaupun sekejap, ia kekal dalam memori saya. Tentang apa yang berlaku di ladang tulip semalam, juga tidak akan saya lupakan. Walau macam mana awak dan saya, kita saling cinta... bila tiada takdir bersama kita, usahalah macam mana sekalipun, kita hanya bawa kesedihan pada orang yang kita sayang dan saya tak mahu tu.

Ingat tak masa kita jumpa dengan perempuan gipsi yang menakutkan tu...? Awak ingat tak apa yang dia cakap? Yang walaupun kita tidak ada takdir untuk bersama di sini tetapi di satu tempat yang lain, kita pasti akan bersama. Mungkin nanti bila kita dilahirkan semula, kita akan berjumpa dan jatuh cinta dan berkahwin dan bahagia tanpa ada halangan dari apa sekalipun. Pada masa itu, saya cuma berharap yang awak akan ingat saya dan saya akan ingat awak.

Dan ada baiknya juga hubungan ini sehingga di sini. Dari mula tuhan tahu Anita memang untuk awak. Dia ada segalanya untuk awak. Awak beritahu saya yang awak ada satu ciptaan untuk ubah suai basikal kepada satu kenderaan bermotor. Saya rasa itu satu idea yang bernas dan Anita mampu bantu awak dari segi kewangan. Keluarga dia kuat di situ dan dia sangat-sangat cintakan awak. Saya tahu ia mungkin kedengaran seperti mengambil kesempatan tapi saya rasa suatu hari nanti awak akan cintakan dia juga. Saya dapat rasakan. Firasat perempuan selalu betul. Tentang sumpahan yang saya beri pada awak masa kejadian saya simbah air teh pada awak tempoh hari, saya minta maaf dan saya tarik balik kata-kata tu. Saya nak lihat awak bahagia Daniel. Saya doakan kebahagiaan awak.

Saya juga nak minta maaf jika selama ini saya ada buat awak terasa hati atau menceroboh kawasan yang tak sepatutnya. Saya rasa tempat tu selesa dan tenang. Sebelum ni saya sukar untuk tidur malam dan sering mimpikan sesuatu yang tidak munasabah yang saya lansung tidak faham. Kalaulah mimpi-mimpi itu ada bawa maksud pada persoalan yang saya alami ini, saya akan rasa sangat gembira!

Akhir kata, saya akan cuba hadiri hari perkahwinan awak. Ada banyak perkara yang saya harus uruskan dan saya pasti lagi beberapa minggu dari sekrang, saya akan naik takhta. Doakan untuk saya kerana saya sangat perlukannya.
Ikhlas, Allisa L. Reed.


TIADA satu ayat pun yang mampu dia proseskan saat ini. Semuanya terlalu mengejutkan untuk dia telan. Sistem dalam kepalanya terhenti berfungsi. Badannya jadi kaku. Mendengarkan setiap patah kata datuknya, buatkan kepalanya rasa berpinar-pinar. Nafasnya pendek. Hampir terlepas garfu dan pisau di tangannya dek terlalu terkejut. Dia cuba tarik nafas, isi setiap darahnya dengan oksigen agar dia mampu terus berfikir. Dia tidak boleh tersekat. Ini baharu permulaan.

Dengan tangan yang menggeletar, dia cuba potong hirisan daging yang dipanggang. Dia telan liurnya bersama suapan kepingan daging yang dia potong tadi. Dia perlu tenangkan diri dia. Hendak atau tidak dia harus telan satu-satu tiap patah kata Raja Dominick.

“Atuk faham yang masih ada beberapa memori kamu yang belum pulih tetapi untuk terangkannya buat kali kedua, seperti membunuh kamu dari dalam buat kali dua.”

Dia patut dengar pesanan datuknya. Tetapi dia degil. Dia hendak tahu juga. Dia perlu tahu.

“Sebab kenapa kamu sembunyikan hal ini dari sahabat kamu, tunang kamu dan sebab kenapa ibu kamu kunci kotak suara kamu ialah kuasa yang ada dalam diri kamu sangat kuat sehingga jika kamu tidak mampu mengawal emosi yang ada dalam diri kamu, ia akan membinasakan orang-orang disekeliling kamu, sayang.”

Allisa masih lagi mengunyah dagingnya. Semakin lama dia cuba telan semakin payah, besar dan liat gumpalan itu dirasakan. Bisa menyekat kerongkongnya. Cekik dia sehingga dia tidak mampu bernafas.

“Jadi kuasa apa yang ada dalam diri saya?” Suaranya masa itu seperti bergetar ketakutan. Serak dan kering.

Raja Dominick mengeluh kecil. Jika dahulu dia berhadapan Allisa yang bisu, sekarang dia berhadapan dengan Allisa mampu mengekspreskan ketakutannya. Suara yang yang menggeletar itu buatkan dia jadi takut juga. “Ianya kuasa untuk menakluk dan merubah seseorang hanya dengan berkata-kata. Ia terlalu halus juga terlalu kuat sehingga mampu menukar seekor ayam menjadi singa. Jika ia jatuh pada tangan yang salah, kerajaan ini akan huru hara.”

Glup!

Perit dan pahit. Sakit yang dirasakan sehingga ke hidungnya. Matanya berair. Menerima setiap patah kata itu membawa dia kepada siri memori yang janggal sepanjang dia sedar dari tidur. Bila dia marah, kata-kata yang lahir dari mulutnya menuntut seseorang untuk mematuhi setiap arahannya tanpa kerelaan empunya badan.

“Empat tahun lepas, kuasa itu hampir jatuh ke tangan perempuan sihir tu, tetapi atas tindakan pantas ibu kamu, dia tidak mampu ambil kuasa itu kerana ianya terkunci jauh di dalam kotak suara kamu.”

Allisa masih berdebar. Perbualan mereka terhenti dua minit lepas. Dia mahupun datuknya seperti tiada hati untuk menyambung bual tentang perkara ini. Akan tetapi dalam kepalanya masih lagi ada tanda tanya lebih-lebih lagi, tidakkah datuknya tertanya-tanya bagaimana dia boleh bersuara semula? Sedangkan dalam memorinya jelas, datuknya mengetahui akan sumpahan yang ibunya letak pada kotak suaranya empat tahun lepas. Ada sesuatu yang tidak kena. Konsistensi antara memorinya dan dengan apa yang sedang berlaku sekarang tidak sekata. Seperti yang pernah berlaku tiga bulan lepas bila dia tanyakan pada Julie tentang parut di kening kirinya ini. Seolah-olah semua ini...

“Allisa?”

Dia angkat wajahnya. Kening terangkat. Sedikit cemas bila semua mata memandangnya; Raja Dominick dan Bianca. Bingung pun ada juga kerana kehadiran Bianca di sebelahnya yang tiba-tiba. Dia pandang semula datuknya. “Y... ya?”

Wajah Raja Dominick berkedut seribu. Terukir kerisauan yang ketara bersama satu keluhan berat. Penuh penyesalan. Matanya redup memandang hidangan makan malamnya. Hatinya menangis melihat cucunya begitu. Masih lagi mencari jawapan dan dia sepatutnya membantu seboleh mungkin. Sebagaimana mendiang isterinya dan anaknya pesan, setiap pewaris berbeza dugaannya kerana setiap orang berbeza kompleksnya. Dia beranikan dirinya memandang sepasang anak mata bersinar misteri itu. Ada yang berbeza di sinar mata itu. “Cucu baik-baik?”

Allisa angguk sekali. Mata pandang ke arah datuknya sejak tadi tidak beralih. Dia tidak mahu bawa aura yang mampu membuatkan situasi berubah menjadi tidak terkawal. Apa yang dia fikirkan tadi dia simpan dahulu. Dia pandang Bianca di sebelahnya. Tanpa mengutarakan soalan, dia ajukan melalui pandangan mata. Gadis itu menunduk sekali lagi. Sedikit formal dari kebiasaan. Mungkin kemunculan datuknya dalam ruang makan itu membuatkan remaja itu menjaga batas lebih dari biasa.

“Ada panggilan untuk tuan puteri.”

Badan Allisa terundur ke belakang. Sedikit terkejut dengan pemberitahuan itu. Siapa yang menelefonnya waktu makan begini? Adakah ianya kecemasan sehingga tidak boleh tunggu malam sedikit? Allisa lentukkan kepalanya ke kiri sedikit, mata dibesarkan dengan kening yang terangkat. 
Bianca tundukkan wajahnya. Mata mencuri pandang ke arah Raja Dominick. Bibirnya digigit lalu dia pandang semula wajah Allisa bila dia nampak Raja Dominick menumpukan perhatian ke arah mereka. “Ianya penting,” tambahnya. Jangan kata dia tidak berusaha menolak panggilan itu. Mendengarkan permintaan di hujung talian, dia antara hendak dan tidak, terpaksa masuk ke ruang makan dan mengganggu makan malam anak beranak ini.


ALLISA pandang gagang telefon di tangan Bianca dengan rasa cemas. Walau macam mana sekalipun dia soalkan pada Bianca akan siapa yang menelefonnya, gadis itu enggan mendedahkan malah menekankan betapa pentingnya untuk dia menjawab panggilan dari pemanggil ini.

“Cik?”

Pantas Allisa sambar gagang telefon itu dan letakkan pada telinga-mulutnya. Mata pandang Biaca yang mengundurkan diri dari ruang tamu rumahnya. Namun fokus matanya lari bila dia dengar suara di hujung sana.

Untuk seketika jantungnya seperti berhenti berdegup. Untuk seketika dia seperti lupa untuk bernafas. Bagaimana dalam masa sehari, suara ini mampu buatkan dia rasa seperti hendak mati bila dia dengar? Dia teringatkan tindakannya meninggalkan lelaki itu pagi tadi dalam keadaan tergesa-gesa. Hanya dalam sepucuk surat dia mampu luahkan rasa dan harapannya. Seikhlas mungkin. Jujur, dia tidak pernah harap yang lelaki ini akan menalefonnya waima menegurnya dengan lembut seperti ini. Rasa bersalah bertimpa jatuh memberatkan pernafasannya.

“Saya tak jangka yang awak akan telefon,” ucapnya. Tubuhnya dipeluk.

Lelaki itu ketawa halus. “Saya sendiri pun tak jangka yang saya akan telefon istana waktu makan malam begini.”

Allisa tarik nafasnya. “Tentang pagi tadi... saya...” Dia tidak mampu meneruskan kata-katanya.

Daniel senyap dan sepi itu menjawab ucapan maaf yang Allisa berikan dalam suratnya, yang bahawasanya dia sememangnya sudah melukakan hati itu. Masa tidak mungkin akan dapat undur kesilapannya tetapi jika ia berundur ke titik itu semula, dia akan tetap pilih pilihan yang sama. Keutamaan dia sekarang ini ialah jawapan kepada kebenaran yang telah dia elak untuk tiga tahun lamanya.

“Kenapa awak telefon?”

Kedengaran suara itu mengeluh. “Saya tak tahu nak cakap macam mana...”

Kening Allisa bercantum. Wajahnya berubah garang. “Saya takkan – ”

“Bukan!” potong Daniel sedikit menjerit. Dia mendesah. “Saya bukan nak pujuk awak atau rayu pada awak. Saya dah putus asa sejak awak tinggalkan saya di Beth pagi tadi. Juga... saya turut harapkan perkara yang sama sebagaimana awak harapkan.”

Entah kenapa bila Allisa dengar Daniel berkata begitu, dia jadi kecewa. Hilang riak garang di wajahnya. Dia tersenyum tawar. Jika ia benar wujud alam lain itu... dia fikir. Dia tidak akan lari lagi. Dia akan maju. Dia akan jujur dengan hatinya sendiri. Jika... benar kata wanita gipsi itu, itu janjinya. Walaupun penuh duka cita dan rasa kecewa di hujungnya, dia tidak akan lari lagi.

“Saya ada satu pengakuan nak dibuat Allisa.”

Gadis itu tersentak. Untuk seketika dia benarkan fikirannya melayang jauh ke satu alam yang tidak pasti. “Pengakuan apa?” soalnya dengan suara yang dalam. Tiba-tiba jadi gugup bila dia tertangkap dirinya sendiri mengalamun jauh.

Daniel pandang lama permukaan muka surat diarinya. Matanya tidak lepas memandang sebaris ayat yang dia tulis tempoh hari dan di atas beberapa noktah yang dia tekankan, di atasnya dot-dot itu dia tulis satu nama yang asing tetapi rasa begitu dekat dengannya. Aneh...

“Malam sebelum saya jumpa awak depan bilik rahsia tempoh hari, saya ada datang jenguk awak.”
Mendengarkan hal itu, otak Allisa pantas mengimbas hari di mana dia bertengkar dengan Daniel di hadapan bilik rahsia. Hari itu sedikit kacau dan penuh air mata. “Malam tu?”

“Ya. Saya datang jenguk masa awak tidur dan saya dengar awak meracau dalam tidur.” Terbayang-bayang di mata Daniel saat dia melihat kelopak mata itu terbuka dan membulat tanpa berkelip, menumpahkan air mata titis demi titis. “Saya minta maaf.”

Allisa menggeleng seperti Daniel ada di hadapannya. Walaupun tika ini wajahnya merah dek malu bila tidurnya dilihati oleh Daniel dan racaunya didengari juga, hatinya lebih tertarik untuk mengetahui apa yang dia racaukan. Jantungnya berdebar laju. “Saya cakap apa dalam tidur?”

Daniel menarik nafasnya dalam. Matanya terus-terusan melihat sebaris ayat itu. Mulanya dia tidak faham akan apa yang dia tulis namun malam ini seperti dia terima satu pencerahan yang tiba-tiba. Dia rasa yakin dan pada masa yang sama dia juga sedikit ragu-ragu. Adakah betul terjemahannya ini? Jika betul, adakah ini mampu membantu Allisa dalam mencari cebisan teka teki yang dicari?

“Daniel?”

“Suri...” Nama itu berdengung-dengun dalam kepalanya. “Awak minta saya panggil awak Suri,” jawab Daniel.


“Suri...”

---

I have finished posting "mimpi' at other site called "ilham karangkraf" and has entered the new arc so feel free to go there. sorry for the late post in here. :)