Pernahkah terlintas di fikiran kita,
apakah perkara pertama yang akan mengalu-alukan kesedaran kita? Penglihatan?
Bunyi? Atau... kedua-duanya sekali?
Puteri Eryna tidak berapa pasti akan hal
itu. Kepalanya agak berat untuk memikirkan hal itu secara lanjut. Suasana yang
begitu asing dan suara orang berbisik-bisik serta cahaya matahari yang
menerobos masuk ke dalam biliknya, semuanya diadun menjadi satu.
‘Tuan puteri dah sedar...’
‘Tuan puteri dah sedar...’
‘Puteri Eryna, selamat sedar,’ kata
seorang doktor yang duduk di sisi Puteri
Eryna di birai katil queen size itu. Doktor Rayyan tersenyum senang melihat
Puteri Eryna yang melihatnya tanpa berkelip.
Dengan matanya yang kuyu itu, Puteri Eryna
melihat sekelilingnya. Siling plaster tinggi bercorak bunga-bungaan bewarna merah
jambu dan kuning keemasan. Dinding plaster dengan corak yang sama dan warna
yang seiring. Ada juga terselit warna biru dan sedikit hijau. Dia kemudian
melihat orang-orang di sisinya.
Masing-masing memakai pakaian bewarna biru
muda dengan jalur halus bewarna seakan-akan laut dalam dan tersarung apron di
leher mereka dan bonnet putih tersisip kemas bersama-sama rambut disanggul
cantik. Wajah mereka kelihatan gembira tetapi bersama iringan air mata. Puteri Eryna
pelik. Siapa mereka ini semua?
Puteri Eryna kembali memandang doktor di
sisinya. Dahinya berkerut. Doktor itu masih lagi menghulur senyuman nipis
padanya. Eryna cuba untuk mencerna siapakah mereka yang berkerumun di setiap
sisi katilnya. Namun, kepalanya berasa sakit untuk terus memerah otaknya. Lalu
matanya dipejam rapat. Dia berasa penat dan puas.
JAM di dinding itu Puteri Eryna lihat
tanpa jemu. Perlahan sahaja jam itu berdetik. Setiap saat Puteri Eryna kira.
Apabila letih dia akan melihat ke luar tingkap pula. Bukit-bukau yang hijau
muda dan segaris hijau tua di merata-rata tempat menjadi tatapannya. Tidak jemu
rasanya melihat ke luar. Unggas yang terbang menghiasi langit biru yang luas
itu menjadi santapan mata Puteri Eryna untuk dikagumi.
Kemudian dia berkalih semula pada jam
dinding yang bersaiz besar dan berbentuk bujur seperti telur ayam itu.
Berkelip-kelip matanya melihat jam itu. Jarum panjang menunjuk ke nombor 12 dan
jarum pendek menunjuk ke nombor tiga. Pantas Puteri Eryna melihat laluan ke
pintu biliknya.
‘Tap, tap, tap...’
Saban hari bunyi tapak kasut itu menjadi
isyarat untuknya menjadi ralat seketika kerana selepas bunyi tapak kasut itu,
tuan kepada bunyi yang Eryna rasa bisa membuat jantungnya seperti hendak
meletup itu akan tiba pula. Entah kenapa, dia seperti akan tertunggu-tunggu
akan kehadiran orang itu. Orang yang lansung tidak dia kenal. Tetapi, dia tidak
kisah akan kehadiran orang itu... dia rasa senang dan tidak kesunyian walaupun
mereka tidak berbual apa-apa. Hanya sepi menjadi teman bual mereka juga bunyi
jarum jam berdeting.
Puteri Eryna mengalihkan anak matanya
melihat ke cermin luar bila sahaja orang itu muncul dan berdiri di tiang tengah
di laluan ke pintu biliknya. Hari itu, sama seperti hari-hari lain. Orang itu
akan berdiri di situ ataupun duduk di kerusi di sebelahnya sambil membaca surat
khabar atau apa-apa sahaja bahan bacaan yang ada di tangannya. Puteri Eryna
menjeling orang itu.
Hari ini, orang itu memakai baju yang sama
seperti semalam cuma warnanya sahaja berbeza. Senyuman kecil timbul di muka
Eryna. Orang itu yang baru sahaja hendak memulakan bacaannya tersedar akan
senyuman kecil itu. Dia terkesima lalu membalas senyuman Puteri Eryna. Bulat
sahaja mata Puteri Eryna melihat senyuman orang itu. Tiba-tiba pipinya rasa
hangat.
Pantas Puteri Eryna baring dan
menyembunyikan mukanya di sebalik selimut tebal itu. Dia tidak akan berganjak
keluar dari katil itu sehingga dia mampu untuk berkata-kata semula.
‘BAIKLAH tuan puteri. Berapakah jari yang
patik keluarkan?’ soal Doktor Rayyan.
Puteri Eryna mahu menjawab soalan Doktor
Rayyan tetapi mulutnya berat. Seperti dijahit dengan kemas tanpa sebarang cacat
cela. Namun, Puteri Eryna tetap juga mencuba tetapi bila sahaja mulutnya
terbuka, suaranya pula susah untuk bergetar. Kotak suaranya rosak ke?
‘Tuan puteri boleh, tuan puteri jangan
putus asa,’ Syarizan, dayang Puteri Eryna yang sering berada di sisinya. Ketika bangun
pagi, makan, mandi, dan tidur juga. Syarizan sentiasa berada di sisinya.
Berceloteh sahaja dia tanpa kenal erti penat dan Puteri Eryna hargai usaha
Syarizan untuk menceriakan susasana bilik yang dia tidak pasti besarnya.
Puteri Eryna menghembus nafas kecewa.
Kepalanya menunduk lemah. Doktor Rayyan tersenyum. ‘Tidak mengapa tuan puteri.
Sekurang-kurangnya tuan puteri ada semangat untuk mencuba. Itu perkembangan
yang bagus,’ kata Doktor Rayyan sambil mencatit sesuatu di dalam buku kecil.
‘Tap, tap, tap...’
Puteri Eryna mengangkat kepalanya. Tidak
sedar sudah pukul tiga petang dan orang itu sentiasa menepati janji tidak
rasminya. Doktor Rayyan melihat arah pandangan Puteri Eryna. Jam dinding itu
Doktor Rayyan lihat. Kemudian dia berpaling melihat belakangnya apabila
mendengar bunyi tapak kasut yang berlaga dengan lantai marble itu.
Senyuman Doktor Rayyan mekar. Melihat
susuk tubuh lelaki itu menimbulkan tanda tanya di benak Doktor Rayyan kerana Puteri
Eryna kelihatan seperti teruja. Pantas Doktor Rayyan dan Syarizan menunduk
hormat menyambut kedatangan lelaki itu. Puteri Eryna kerut dahinya melihat
Doktor Rayyan dan Syarizan bertindak sedemikian.
‘Tuanku apa khabar?’ soal Doktor Rayyan
sambil menghulurkan salam. Putera Mahkota Rifqi menyambut salam Doktor Rayyan.
‘There is no need to be formal Rayyan. Dia
macam mana?’ soal Putera Mahkota Rifqi sambil matanya mengintai gadis yang
duduk di katil itu. Eryna menghalakan kepalanya ke tingkap. Tidak mahu melihat
lelaki itu.
Doktor Rayyan ketawa kecil. ‘Ada sedikit
perkembangan. Kita tak boleh paksa dia sebab dia baru sahaja bangun seminggu
lepas. Jangan letak harapan yang tinggi pada dia. Dia perlukan ruang dan masa,’
jawab Doktor Rayyan juga turut melihat ke arah Puteri Eryna.
Gadis berusia 20 tahun itu dipandang sayu.
Koma untuk tiga tahun lamanya dan bila sedar, dia seperti lupa segalanya. Doktor Rayyan
menghembus nafas dengan perlahan. Tragedi tiga tahun lalu yang meragut nyawa
orang yang gadis itu sayang dan Doktor Rayyan pasti perkara itu adalah perkara
terkhir sekali yang gadis itu mahu tahu.
PUTERI ERYNA membuka kotak musik itu. Lagu
irama umpama piano itu, Eryna hayati. Ia kedengaran sedih sekali tetapi ada
terselit bunyi yang sangat romantis yang penuh ranjau. Eryna suka bunyi itu.
Seakan-akan bunyi itu memainkan bunyi lagu dongeng untuknya. Angan-angan si
kecil untuk menjadi sang puteri yang dicintai oleh sang putera yang kacak dan
hidup bahagia selamanya.
‘Itu adalah antara barang kegemaran tuan
puteri...’ kata Syarizan yang berdiri tidak jauh dari Puteri Eryna. Puteri Eryna berpaling melihat
Syarizan. Dahinya berkerut.
‘Barang kegemaran saya?’ kata Puteri Eryna
terkejut. Tidak sangka kotak musik yang sederhana besar itu pernah menjadi
kegemarannya dan kini juga menjadi kegemarannya.
Syarizan mengangguk sekaligus menjawab
soalan Puteri Eryna. Puteri Eryna lihat kotak musik itu dengan rasa gembira.
Seulas senyuman muncul di bibirnya. Dia bersyukur kerana kini, selepas dua
minggu dia sedar dari komanya dia mampu untuk berkata-kata dan berjalan
sedikit. Agak penat juga untuk dia bergerak walaupun tidak sampai dua meter.
‘Awak tahu siapa yang berikan saya kotak
musik ini?’ soal Puteri Eryna dengan matanya masih lagi melihat ke kotak musik
tersebut. Kotak musik itu cantik dengan ukiran awan dan kuda unicorn dengan
tanduknya yang keemasan sedang mengejar seekor pari-pari kecil bewarna merah
jambu. Di tangan pari-pari tersebut terdapat hati yang kelihatan seperti sedang
berdegup dan bewarna merah saga.
Syarizan tersenyum nipis. Agak susah untuk
dia memikirkan jawapan yang sesuai untuk diberikan pada puteri yang satu itu.
Jika dia tersalah jawab, susahlah dia nanti. Syarizan masak benar dengan
perangai Puteri Eryna dan walaupun sekarang ini tuan puteri yang berdiri di
hadapannya itu hilang ingatan, tabiat-tabiat itu tidak akan hilang dengan
mudah. Maka, dia tidak mahu ambil risiko.
‘Saya tiada jawapan yang pasti namun, dia
seorang yang amat tuan puteri cintai,’ jawab Syarizan penuh hati-hati.
Terkesima Puteri Eryna mendengar jawapan Syarizan. Matanya yang tadi bersinar
galak kini berubah redup. Satu keluhan terbit di hujung bibirnya.
PUTERA MAHKOTA RIFQI melihat Puteri Eryna
yang duduk senyap di hadapan cermin. Syarizan pula leka menyikat rambut Eryna
yang ikal mayang itu. Kemudian Syarizan meletakkan sikat berus itu dimeja
solek.
‘Siap. Tuan puteri mahunya begini bukan?’
soal Syarizan sambil melihat Puteri Eryna dari cermin solek. Puteri Eryna tersenyum nipis.
Puas. Dengan penuh tertib, Puteri Eryna mengucapkan terima kasih. Entah mengapa,
setiap ayat yang keluar dari mulutnya hari ini sangat berbeza dari hari-hari
lain. Syarizan sendiri pun perasan akan hal itu tetapi dia buat tidak endah
sahaja kerana begitulah stail percakapan Puteri Eryna dahulu. Penuh santun dan
lembut sahaja. Mungkin sebahagian dari memorinya sudah kembali.
Pantas Syarizan mengundur diri dan
membiarkan Putera Mahkota Rifqi dan Puteri Eryna. Pintu bilik berkembar itu,
Syarizan buka luas. Walaupun masih lagi tidak menampakkan ruang dalam bilik
Puteri Eryna, Syarizan tidak mahu orang-orang istana tersalah sangka. Lagipun,
Putera Mahkota Rifqi juga selalu buat begitu bilamana dia datang menjenguk
Puteri Eryna setiap hari. Syarizan tersenyum lalu berjalan pantas menuju ke
pantry di tingkat bawah sekali.
Puteri Eryna berjalan mendekati tingkap.
Tempat dia selalu lihat pemandangan luar itu menjadi tempat kegemarannya untuk
melayan perasaan. Bersamanya, kotak musik kegemarannya. Dia kemudian membuka
kotak musik tersebut.
‘Ting, ting, ting...’ Kotak musik itu mula
berdeting, memainkan irama yang begitu nostalgik pada halwa telinga Puteri
Eryna. Kemudian dia menutup matanya. Terbit satu imej yang tidak jelas pada
kotak ingatan Puteri Eryna. Simbahan cahaya keemasan dan bunga-bunga merah
jambu yang besar mengelingi dirinya. Menari-nari di sekelilingnya. Puteri Eryna
mencelikkan matanya. Walaupun rasa penat menyinggah benaknya tetapi rasa
bahagia muncul bersama. Puteri Eryna tidak faham akan perasaan itu. Rasa mahu
dimiliki dan dibelai menggamit dirinya. Jari-jarinya yang runcing, diteliti. Dia berasa seperti tangan itu
disentuh oleh satu tangan yang besar dan hangat. Tiba-tiba dia menjadi perindu
kepada kehangatan sentuhan jemari-jemari besar itu.
‘Apakah tuanku tahu lagu yang sedang
berdendang kini?’ soal Puteri Eryna tiba-tiba.
Putera Mahkota Rifqi mengangkat mukanya.
Tidak sangka Puteri Eryna akan bersuara dengannya. Putera Mahkota Rifqi menelan
liurnya lalu meletakkan buku berkulit tebal itu di meja sebelahnya. ‘The
merry-go-round of life,’ jawab Putera Mahkota Rifqi sepatah. Jantungnya gugup
kerana ini adalah kali pertama semenjak tiga tahun dulu mereka berbicara.
‘The merry-go-round of life?’
Putera Mahkota Rifqi mengangguk sambil
tersenyum manis apabila Puteri Eryna berpaling memandangnya. Putera Mahkota Rifqi
bangkit dari duduknya lalu mendekati Puteri Eryna. Itupun tidaklah dekat
sangat. Hanya dua tapak sahaja. Putera Mahkota Rifqi takut untuk mendekati Puteri
Eryna. Takut dirinya akan terluka lagi. Cukuplah sedekat itu.
‘It was composed by Joe Hisaishi. Lagu
tema untuk Howl’s Moving Castle pada tahun 2004 yang diarah oleh Hasao
Miyazaki,’ tambah Putera Mahkota Rifqi sambil matanya tidak lepas daripada
memandang gadis yang sangat dia cintai dahulu.
Puteri Eryna mengangguk perlahan.
Tiba-tiba kotak musik itu berhenti bermain. Lagunya sudah tamat diputarkan.
Suasana menjadi senyap. Puteri Eryna melihat keluar tingkap. Dari jauh
kelihatan beberapa orang sedang menunggang kuda dalam seragam biru cair dan
berseluar putih. Puteri Eryna lihat kuda-kuda itu dengan teliti. Entah kenapa,
apa yang dia lihat kini bertukar menjadi satu imej lain. Imej dirinya sedang
berada di atas kuda putih sedang bergelak ketawa sambil tangannya tidak lepas
dari memegang topi jerami yang dihias cantik dengan reben putih dan ungu.
Di sisinya seekor kuda hitam ditunggang
oleh seseorang yang kabur mukanya. Lelaki itu sedang tersenyum padanya kemudian
berkata sesuatu lalu menghenyak kuda hitamnya. Menyuruh kuda itu berlari
meninggalkannya di belakang dengan keadaan terpinga-pinga.
‘Tunggu!’ jerit Puteri Eryna tiba-tiba. Putera
Mahkota Rifqi terkejut begitu juga Puteri Eryna. Tiba-tiba Puteri Eryna berasa
marah dan jengkel. Tetapi kenapa air matanya mengalir? Seperti rasa gembira dan
teruja hilang dan diganti sepi dan kesedihan.
‘Puteri?’ soal Putera Mahkota Rifqi risau
dan mendekatinya. Puteri Eryna tiba-tiba sahaja menjerit. Adakah dia sedang
mengingati sesuatu?
Pantas Puteri Eryna menahan Putera Mahkota
Rifqi sambil tangan kirinya menutup matanya. Rasa marah dan malu bercampur
baur. Bukan maksudnya untuk menyakiti hati lelaki di depannya ini cuma mindanya
penat. Dia perlukan rehat.
‘Patik... pamit dulu. Tuan puteri
berehatlah. Take care,’ kata Putera Mahkota Rifqi dengan suara yang kendur lalu
mengundur setapak demi setapak dan apabila tiba di tiang pemisah bilik Puteri
Eryna dan laluan ke pintu keluar, Putera Mahkota Rifqi membongkok hormat dan
mengambil bukunya. Dia berpusing dan berjalan keluar dengan perasaan yang
tertahan-tahan. Rifqi menggigit bawah bibirnya kerana dia seperti seorang
lelaki yang tidak ada gunanya apabila berada di sisi Puteri Eryna.
MALAM itu, dengan langkah perlahan Putera
Mahkota Rifqi menyelinap masuk ke dalam bilik Puteri Eryna. Kasutnya sudah
ditanggalkan dan diletakkan di luar bilik tersebut takut bunyi geseran kasutnya
menyedarkan lena Puteri Eryna. Walaupun kakinya mungkin menggigil kesujukan
tetapi dia tidak kisah. Asalkan rindunya yang bertandang kala matanya tidak
boleh terlelap itu, dilunaskan. Sejak bila, rasa kasih dan sayangnya terhadap
Eryna muncul semula itu dia tidak tahu.
‘Ah! Engkau tidak pernah lupakan perasaan
itu. Engkau tidak pernah padamkan rasa itu, Rifqi. Engkau lelaki pengecut!’
hatinya berbesik.
Putera Mahkota Rifqi berhenti berjalan dan
berdiri sedepa dari katil Puteri Eryna. Puteri Eryna tidur dengan nyenyak
sekali. Sesekali anak mata Puteri Eryna bergerak-gerak. Bermimpikah dia? Putera
Mahkota Rifqi berharap, Puteri Eryna mimpi yang indah-indah. Putera Mahkota Rifqi
tersenyum. Senyuman seorang jejaka yang dilamun cinta.
Tanpa sedar, Puteri Eryna mula didekati
oleh Putera Mahkota Rifqi. Puteri Eryna seorang gadis cantik dengan kulit yang
tidak terlalu putih dan tidak terlalu gelap. Keningnya bak tulang busur dan
bulu matanya lentik walaupun tidaklah panjang. Bibirnya pula yang bewarna merah
jambu seperti air bandung. Puteri Eryna kategori gadis yang biasa-biasa sahaja
namun yang biasa-biasa itulah yang memikat hatinya. Mungkin kerana keletah Puteri
Eryna yang ceria dan bebas menyuarakan pendapatnya. Sedikit susah untuk
didekati tetapi susah untuk dilepaskan bila bersama. Apa yang paling menarik
tentang Puteri Eryna ialah senyumannya yang sentiasa ikhlas dan matanya akan
menjadi sepet seperti sedang tersenyum.
Putera Mahkota Rifqi mencangkung di sisi Puteri
Eryna. Wajah puteri itu ditatap tanpa jemu. Inilah peluang yang dia ada pun.
Selama ini ketika dia menemani gadis sebaik sahaja dia bangun dari koma, Putera
Mahkota Rifqi hanya mampu untuk melihat
belakang Puteri Eryna. Gadis itu juga jarang tersenyum. Jika tersenyum, susuah
untuk dilihat. Gadis itu sentiasa menyembunyikan ekspressinya.
Setiap kali selepas solat, Putera Mahkota Rifqi
akan berdoa pada Allah SWT supaya kembalikanlah Puteri Eryna yang dahulu.
Kembalikanlah puteri yang sentiasa bercahaya dengan senyumannya. Dengan
perlahan, Putera Mahkota Rifqi menghulurkan jari kanannya. Cuba untuk mengusap
pipi Putri Eryna. Sekejap sahaja. Hanya untuk seketika.
‘A... azim...’ Puteri Eryna mengigau.
Perlakuan Putera Mahkota Rifqi terhenti.
Tinggal satu inci lagi untuk jemarinya untuk menyentuh pipi mulus Puteri Eryna.
Putera Mahkota Rifqi terkejut. Pantas dia beristighfar banyak-banyak. Dia
mengundur ke belakang dengan belakang. Jarinya mengigil. Putera Mahkota Rifqi
berhenti mengundur apabila terlihat Puteri Eryna bergerak-gerak sedikit. Pantas
Putera Mahkota Rifqi berlari keluar dari bilik Puteri Eryna.
Puteri Eryna mencelikkan matanya. Dia
pantas bangkit dari pembaringan. Sebentar tadi dia rasa ada orang berdiri di
hujung katilnya atau adakah dia sekadar bermimpi? Perlahan-lahan Puteri Eryna
turun dari katilnya dan berjalan ke pintu biliknya. Pertama kali dia cuba untuk
membuka pintu itu namun rasanya seperti sudah banyak kali Puteri Eryna sentuh
ambal itu.
Dalam kiraan detik yang perlahan, Puteri Eryna
membuka pintu. Sepanjang lorong itu gelap samaada kiri atau kanan. Puteri Eryna
mengetap bibirnya. Rasa takut menyebulunginya. Hajatnya untuk mencari
dilupakan. Dia takut untuk melangkah keluar. Lalu Puteri Eryna tutup pintu
biliknya. Puteri Eryna pasti dia nampak seseorang berdiri di hujung katilnya.
Lagipun sebelum itu, dia mimpikan seseorang. Seseorang yang mambuatkan jiwanya
berlari laju. Puteri Eryna mengeluh lalu kembali semula berbaring. Dia mahu
mimpikan lelaki yang muncul dalam mimpinya itu kembali.
Di hujung lorong itu, Rifqi duduk
sendirian berteman simbahan cahaya rembulan. Kasut boot kulitnya di letakkan di
sebelahnya. Lantas kepalanya disandarkan pada dinding dengan air matanya
mengalir perlahan-lahan. ‘Kekanda... apa yang harus adinda buat? Kekanda...’
‘SYARIZAN... minta bantu patik. Patik
tidak cukup tinggi untuk capai buku itu,’ panggil Puteri Eryna yang sedaya
upaya cuba mencapai buku yang berada di barisan rak keempat. Tingginya yang
tidak sampai 160cm itu sedikit sebanyak menyukarkan dirinya untuk mencapai
sesuatu barang yang berada jauh nun di atas.
Syarizan yang sedang membancuh teh di meja
koktail itu, meletakkan sudu teh dan berlari mendapatkan Puteri Eryna yang
berada di ruang sebelah, di kawasan di mana Puteri Eryna simpan buku-bukunya
juga bilik almari bajunya.
‘Buku manakah yang tuan puteri berkenan?’
soal Syarizan sambil matanya melihat Puteri Eryna kemudian ke rak buku yang
mempunyai 10 tingkat itu. Pantas Puteri Eryna menunjukkan buku berkulit hijau
pada tulang belakangnya dengan tulisan putih.
Berhati-hati, Syarizan menggelongsor
tangga yang berada di rak sebelah. Kemudian dia daki satu-persatu anak tangga
itu. Puteri Eryna melihat Syarizan mendaki anak tangga itu. Lama Puteri Eryna
renung Syarizan sehingga bayang Syarizan bertukar menjadi bayang lelaki yang
menjelma dalam mimpinya semalam.
Puteri Eryna mendongak. Cuba melihat
seraut wajah misteri itu tetapi hampa. Yang dia nampak hanya dagu lelaki itu
yang runcing dengan leher yang jenjang. Bidang badannya besar hingga mampu
membayangi dirinya. Rambut lelaki itu pula hitam dan tersikat rapi. Seperti
potongan rambut budak-budak sekolah. Tiba-tiba lelaki itu berpaling dan
menghulurkan buku permintaannya.
‘Yang ini bukan?’ soal lelaki itu. Puteri Eryna
renung wajah lelaki itu. Kabur. Puteri Eryna tidak nampak rupa lelaki itu
tetapi hanya senyumannya sahaja. Hanya senyuman lelaki itu sahaja yang jelas
pada pandangan Puteri Eryna. Puteri Eryna panasaran. Kenapa dia begitu tamak?
Kenapa dia begitu lemah untuk mengingati semua itu? Dia seperti menjadi Si
Perindu yang merindukan lelaki tanpa wajah.
‘...ri...’
‘Tuan puteri?’ panggil Syarizan. Puteri Eryna
tersentak. Sedar lelaki yang berdiri di hadapannya itu hanya imbasan imej
memori lalunya. Puteri Eryna mengeluh. Sekali lagi dia tenggelam dalam
memorinya. Puteri Eryna kemudian menarik nafas lalu memandang Syarizan dan
memaksa dirinya untuk tersenyum.
‘Kenapa tuan puteri berduka?’ soal
Syarizan risau sambil melihat langkahnya menuruni anak tangga. Sebaik sahaja
dia menjejakkan kaki ke lantai, Syarizan mengeluarkan sapu tangan miliknya yang
bewarna krim dan bersulam renda oren. Puteri Eryna menyambut sapu tangan itu
dengan tangan yang terketar. Kali ini imbasan memorinya memberi sapu tangan itu
pada Syarizan ketika hari lahir Syarizan yang ke 21, dua tahun sebelum dia
koma.
Tidak semena-mena air mata Puteri Eryna
merembes keluar bak air hujan. Syarizan kalut. Tidak menyangka puteri yang
sudah dianggapnya seperti adik sendiri itu menangis setelah menerima sapu
tangan pemberiannya.
‘Tuan puteri?’ panggil Syarizan risau.
Syarizan mencapai tangan Puteri Eryna lalu dia menjenguk muka Eryna yang
tertunduk itu.
‘Tuan puteri? Bukankah bila kita berdua
sahaja, kakanda akan memanggil patik adinda? Kakanda sudah hilang kesetiaan
pada patikkah?’ marah Puteri Eryna dalam sendu. Syarizan terkedu. Tidak sangka Puteri
Eryna sudah memperoleh sebahagian ingatannya. Syarizan berasa sebak. Dia juga
kala itu tidak dapat menahan air mata gembiranya. Sepanjang 20 tahun dia
berkhidmat sebagai dayang peribadi Puteri Eryna, hari itu adalah hari yang
paling bahagia buat Syarizan.
‘Maafkan kakanda, adinda Nur Cala Eryna,’
mohon Syarizan lalu memeluk Puteri Eryna. Mereka masing-masing menangis dalam
pelukan mereka.
LAGU itu berkumandang lagi setelah Puteri Eryna
pusing kuncinya untuk kali ke lima. Doktor Rayyan tersenyum melihat gelagat Puteri
Eryna yang kelihatan seperti budak-budak. Sungguh comel apabila gadis itu
melihat kotak musik itu tanpa jemu. Kemudian Doktor Rayyan mencatit sesuatu
dalam buku kecilnya dan memanggil Syarizan. Apabila Syarizan berada di sisi
Doktor Rayyan, lelaki itu membisikkan sesutu pada telinga Syarizan. Syarizan
memandang Doktor Rayyan dengan rasa teragak-agak. Namun Doktor Rayyan hanya
senyum dan mengangguk. ‘Pergilah ambil,’ bisik Doktor Rayyan seperti memaksa.
Syarizan mengerutkan dahinya lalu akur
pada perintah tidak rasmi itu. Sementara itu, Putera Mahkota Rifqi masuk ke
dalam bilik Puteri Eryna setelah lima hari tidak datang melawat Puteri Eryna. Putera
Mahkota Rifqi menyorokkan dirinya di sebalik dinding pemisah itu namun Doktor
Rayyan pantas menghidu kehadiran Putera Mahkota Rifqi.
‘I know you’re there, your highness,’ kata
Doktor Rayyan perlahan tidak mahu menarik perhatian Puteri Eryna yang berada di
bilik bacaan dan leka dengan kotak musiknya.
Putera Mahkota Rifqi terkejut lalu
menjengulkan mukanya. Satu sengihan muncul di tubir bibirnya. Doktor Rayyan
tersenyum sinis lalu menggeleng-geleng. Setelah 15 tahun berkawan rapat dengan Putera
Mahkota Rifqi, Doktor Rayyan seperti boleh membaca setiap gerak geri sahabatnya
itu apatah lagi kini dia menjadi doktor peribadi ahli istana. Lantas Doktor
Rayyan mendekati Putera Mahkota Rifqi. Wajah Putera Mahkota Rifqi, diteliti
oleh Doktor Rayyan. Jelas riak kepenatan terpancar di bawah mata lelaki itu.
‘Tuanku apa khabar?’ kata Doktor Rayyan
sekadar berbahasa basi. Putera Mahkota Rifqi ketawa kecil. Nampaknya Doktor
Rayyan bertegas untuk memanggil dirinya tuanku walaupun mereka hanya berdua
sahaja. Dengan senang hati Putera Mahkota Rifqi meletakkan tangan kanannya pada
bahu Doktor Rayyan dan berkata, ‘Jika patik masih mampu untuk berdiri di sisi
sahabat patik dengan senyuman, kiranya tiada apa yang perlu kamu perlu risaukan
Rayyan.’
Doktor
Rayyan tersenyum nipis lalu menggeleng. ‘Tuanku tidak perlu berselindung dari
patik kerana semuanya terlukis di wajah tuanku. Apakah tuanku runsing tentang
dia? Sedangkan kesihatan tuanku perlu diutamakan,’ nasihat Doktor Rayyan dalam
nada sinis. Matanya tajam menikam anak mata Putera Mahkota Rifqi.
Putera Mahkota Rifqi membalas renungan
Doktor Rayyan. Lama mereka berkeadaan begitu sehinggalah bunyi kunci kotak
musik diputari oleh Puteri Eryna dan memecah kesunyian. Putera Mahkota Rifqi
melepaskan pegangan kejapnya dari bahu Doktor Rayyan. Dia kemudian tersenyum
lebar. ‘Kesetianmu tidak akan patik sia-siakan malah kedatangan patik ke sini
adalah kerana dia juga tidak akan patik nafikan. Tetapi buat masa ini patik
tidak mahu kita bertengkar,’ kata Putera Mahkota Rifqi tegas sambil berjalan
mendekati dinding bilik yang memisahkan bilik tidur Puteri Eryna dan bilik
khasnya. Dari jauh Putera Mahkota Rifqi intip perlakuan gadis yang sudah
menakluk hatinya semula.
Satu keluhan kecil terbit di hujung bibir
Doktor Rayyan. Dia sudah tidak boleh buat apa-apa apabila hati sang putera
sudah dikuasai cinta dan rindu. Demikian itu, dia membiarkan Putera Mahkota
Rifqi melayan perasaannya dan dia pula pergi membantu Syarizan mengangkat
sedikit album-alabum gambar dan dibawa ke meja tempat Puteri Eryna merenung
kotak musiknya.
Puteri Eryna duduk tegak apabila
berjilid-jilid album diletakkan dihadapannya. Dia memandang Doktor Rayyan dan
Syarizan silih ganti. Kemudian dia melihat album-album itu semula. Satu tanda
tanya besar timbul di kepalanya. Perlahan-lahan dia mencapai album yang
tertulis ‘majlis tamat sekolah 2009’ di tulang album tersebut.
Helaian demi helaian, Puteri Eryna selak
tanpa ada sebarang reaksi hinggalah di muka surat dua yang terakhir. Lama dia
merenung gambar tersebut. Doktor Rayyan dan Syarizan saling berpandangan
kemudian masing-masing mengangkat kening. Dengan gerak perlahan, Syarizan
mendekati Puteri Eryna lalu menjengah gambar yang dilihati oleh puteri
tersebut.
Gambar Puteri Eryna bersama-sama Putera
Mahkota Rifqi dan Allahyarham Putera Mahkota Azim di dalam kereta 1962 Bentley
S2 Mulliner Drophead Coupe milik
Allahyarham Tuanku Muhd Omar Yazid Aminullah iaitu datuk kepada Putera Mahkota Rifqi dan Allahyarham Putera Mahkota Azim.
Syarizan memandang Doktor Rayyan. Doktor Rayyan membalas pandangan Syarizan.
Syarizan mengetap bibir.
Putera Mahkota Rifqi perasan akan
perubahan riak pada wajah Syarizan. Keningnya bertemu. Lalu dia mendekati dua
gadis itu, ingin melihat gambar apakah yang Puteri Eryna lihat sehingga lansung
tidak berganjak. Sebaik sahaja matanya terpandang foto mereka bertiga, Putera
Mahkota Rifqi berasa jantungnya seperti berhenti berdetup. Seingatnya, foto itu
adalah foto pertama yang mereka ambil bersama secara tidak rasmi dan dirakam
oleh Cik Muda Sofia Serina, bekas bakal tunang abangnya.
Putera Mahkota Rifqi cuba menelan liurnya
yang dia rasa seperti pasir halus dengan batu-batu tajam yang bisa menghiris
esofagusnya. Dia sedar lambat laun, Puteri Erina akan bertanya tentang orang
itu. Tentang arwah abangnya, Putera Mahkota Muhd Azim Labeeb Aminullah. Doktor
Rayyan memandang lelaki yang berdiri di hadapannya. Wajahnya penuh dengan
ketakutan dan bersalah yang cuba disembunyi. Doktor Rayyan jatuh simpati
padanya.
‘Puteri...’ pangil Syarizan lambat-lambat.
Tiada riaksi. Syarizan cuak. Dia sudah
dapat mengagak bahawa Puteri Eryna tidak bersedia untuk mengingati lelaki yang
sudah meninggalkan dunia tiga tahun lalu itu tetapi Doktor Rayyan berkeras
juga. Kini, dia berharap sangat Puteri Eryna tidak bertindak di luar dugaan
walaupun Syarizan tidak dapat menduga apa-apa.
‘Adakah... ini patik?’ soal Puteri Erina
dalam ketidakpercayaan. Dirinya yang dahulu dan dirinya yang sekarang sangat
berbeza hingga dia lansung tidak mengenali dirinya sendiri. Dari helaian
pertama hinggalah helaian itu, barulah dia mampu untuk berfikir adakah gadis
yang tersenyum ceria dengan mata sepet seperti bulan sabit itu sebenarnya ialah
dia sendiri?
Syarizan menjawab pertanyaan Puteri Eryna
dengan suara yang hendak tidak hendak keluar sahaja. Puteri Eryna mengangguk.
Kemudian dia menunjukkan gambar lelaki yang duduk di sebelah kirinya sambil
tersenyum memegang gulungan sijil milik Puteri Eryna. ‘Yang ini...,’ kata
Puteri Eryna teragak-agak cuba mengingati gerangan si pemilik senyuman nipis
itu.
Putera Mahkota Rifqi terkejut kerana
dirinya pula ditunjuk. Rasa berdebar-debar pun ada. ‘Tuanku yang bisu dan
angkuh bukan?’ kata Puteri Eryna polos dan tidak sedar akan kehadiran Putera
Mahkota Rifqi dibelakangnya sambil kepalanya laju sahaja memandang Syarizan
yang jelas terpancar riak terkejut mendengar kenyataan dari mulut Puteri Eryna.
Putera Mahkota Rifqi yang mendengar berasa seperti hendak sahaja dicubit
telinga gadis yang mulutnya celopar sangat itu.
‘Tuan Puteri!’ marah Syarizan sekaligus
mengingatkan Puteri Eryna supaya menjaga tutur kata. Sudahlah Putera Mahkota
Rifqi sedang berdiri di belakang Puteri Eryna dengan aura yang menakutkan.
Tiba-tiba Puteri Eryna ketawa. Seluruh ahli di dalam bilik itu terkejut mendengar
tawa yang meletus itu. Putera Mahkota Rifqi tidak jadi hendak mencubit telinga
Puteri Eryna apabila mendengar tawa yang lahir dari hatinya.
Setengah jam kemudian, barulah Puteri
Eryna perasan akan Putera Mahkota Rifqi. Itupun kerana Putera Mahkota Rifqi
sudah hilang dari bilik itu dan Syarizan dengan berat hati memberitahu Puteri
Eryna akan hal itu. Puteri Eryna berasa sangat malu dan bersalah memanggil
Putera Mahkota Rifqi angkuh dan bisu tetapi...
‘...tuanku itu memang bisu dan angkuhlah,
kakanda,’ kata Puteri Eryna mengakui kebenaran lidah yang celopar itu. Syarizan
pula hanya mampu menggeleng. Jika Puteri Eryna peroleh semula memorinya,
Syarizan pasti Puteri Eryna akan menyesal mengaku lelaki yang bernama Muhd
Raqib Rifqi Aminullah itu angkuh dan bisu kerana ada yang lebih teruk dari itu.
Percayalah!
SEBULAN berlalu. Puteri Eryna sedikit demi
sedikit dapat mengutip memori lampaunya dengan perlahan-lahan dan tidak
dipaksa-paksa. Pada itu, sesekali ibu bapa Puteri Eryna akan datang menjenguk
dan bertanya khabar. Tidak lupa juga bertukar cerita akan keadaan di rumah tika
Puteri Eryna koma. Cerita tentang abang dan adiknya. Cerita tentang saudara
mara yang tinggal di Malaysia dan cerita tentang keadaan syarikat keluarga
mereka.
Cuma mereka tidak dapat bercerita tentang
sebab-sebab kenapa Puteri Eryna masih lagi di istana. Ini kerana pihak istana
mempunyai alasan tersendiri dan demi menjaga reputasi keluarga Puteri Eryna.
Puteri Eryna akur dan tidak lagi bertanya. Cukuplah dia mengetahui bagaimana
dia boleh menjadi ahli istana dan memperoleh gelaran puteri sedangkan dahulu dia hanya memegang gelaran Cik Muda sahaja, walaupun kadang-kadang dia berfikir... siapakah lelaki yang menjadi tunangannya? Putera Mahkota Rifqikah atau lelaki yang lagi seorang yang pernah dia lihat dalam album fotonya dan tidak pernah lihat melawatnya itu.
Selain itu, Cik Muda Sofia juga datang
melawat Puteri Eryna. Walaupun Puteri Eryna tidak dapat mengingati sangat akan
tuan pada nama itu, tetapi Puteri Eryna layan Cik Muda Sofia dengan kompromi
dan sopan santun. Cuma yang memelikkan Puteri Eryna apabila Cik Muda Sofia
memberitahunya, ‘... sayang sekali jika dahulu kita dipertemukan dalam keadaan
yang berbeza, kita pasti boleh menjadi sahabat yang rapat. Bukan begitu tuan puteri?’
Dalam pada itu juga, Puteri Eryna sudah
semakin rapat dengan Putera Mahkota Rifqi dan memperoleh sedikit sebanyak
ingatannya tentang lelaki itu walaupun terkadang dia akan tersilap fikir akan
orang yang muncul dalam kotak memorinya dengan Putera Mahkota Rifqi.
Walaupun begitu, Puteri Eryna rasa seperti
hidupnya seperti tidak sempurna. Seperti ada satu kehilangan yang sangat besar.
Seseorang itu tiada di sisinya. Seseorang yang Puteri Eryna kerap mimpikan
sejak akhir-akhir ini.
‘Bilamana sahaja saya tutup mata saya,
sambil saya dengar lagu itu, ada satu bayangan kuning keemasan akan muncul
bersama-sama tarian bunga-bunga merah jambu di sekeliling saya. Setiap masa
saya akan nampak imej itu Rifqi,’ kata Puteri Eryna sambil menutup mata. Putera
Mahkota Rifqi setia mendengar celoteh gadis pujaannya tanpa jemu. Dia melihat
Puteri Eryna seperti sedang mengatur langkah untuk menari. Tarian waltz-kah?
‘Kemudian setiap masa pasti ada imej baru
akan menyusul. Seperti warna-warna kelabu dan hitam, bunyi gelas berdeting,
rasa jari-jemari saya dipegang membawa saya berputar begini,’ kata Puteri Eryna
lalu membuat demostrasi pusingangnya itu dan Puteri Eryna berpusing sendiri dan
dia mula hilang imbangan. Pantas, Putera Mahkota Rifqi menyambut tangan dan
merangkul pinggang Puteri Eryna. Terkelip-kelip mata Puteri Eryna memandang Putera Mahkota Rifqi.
Secepat kilat, Puteri Eryna melarikan wajah
mereka yang bertemu pandang kerana tidak mahu lagi debaran di dada menjadi
rancak. Puteri Eryna tidak sedar bila dia mula berperasaan begitu tetapi
seperti ada satu tembok pemisah yang menghalang dari berfikir yang tidak-tidak.
Sedikit sebanyak Puteri Eryna berasa lega kerana baginya sejak awal
perkenalannya dengan Putera Mahkota Rifqi hingga sekarang tidak akan berganjak
dari sekadar status sahabat baik, freinds forever. Itu sahaja. Noktah.
‘Mari... saya lead awak untuk waltz awak,’
kata Putera Mahkota Rifqi lantas menyambung semula tarian Puteri Eryna yang
tergendala gara-gara hilang imbangan badan. Tanpa cakap banyak, Puteri Eryna
mengikut rentak kaki Putera Mahkota Rifqi sambil itu matanya terpejam rapat.
‘Jadi, apa lagi yang awak nampak?’ soal
Putera Mahkota Rifqi sambil matanya tidak lepas memandang wajah di hadapannya.
Peluang yang ada itu, pantas dia rebut. Putera Mahkota Rifqi sedar peluangnya
untuk merebut sekeping jiwa milik Puteri Eryna begitu susah kerana jauh di
sudut hati gadis itu sudah ada orang yang bertakhta tanpa boleh dialih-alih
hatta dengan cara paling lembut mahupun paksaan. Dan sejak kali pertama puteri
melihat wajah arwah Putera Mahkota Azim tidak pernah sekalipun Puteri Eryna
bertanya siapakah lelaki yang duduk di kanannya dan merenungnya seolah hendak
tembus biji matanya melihat Puteri Eryna dengan pancaran cinta yang tiada belah
dan bahagi.
‘Rifqi... apakah awak dengar ataupun awak
berada di alam lain?’ tegur Puteri Eryna lantas mencantas lamunannya.
‘Ah... er... maaf. Saya tidak sengaja,’
pohon Si Putera Mahkota. Puteri Eryna mengerutkan dahinya lalu mengulang semula
patah katanya tadi yang mahu Putera Mahkota Rifqi melepaskan pegangannya kerana
mahu memutar semula skru kotak musiknya yang sudah berhenti bermain.
Sebaik sahaja Puteri Eryna selesai memutar
skru, Putera Mahkota Rifqi menghulurkan semula tangan kanannya pada Puteri
Eryna namun kali ini dengan penuh adab dan etikanya.
‘May I have your dance?’
Saat itu, saat Putera Mahkota Rifqi
menghulurkan tangannya, Puteri Eryna seolah-olah berada di satu tempat yang
asing. Kelihatan dirinya sedang berdiri di hujung dewan bersendirian dengan
segelas jus apple sparkle di tangannya. Dengan penuh hati-hati, Cik Muda Eryna meneguk
air itu sambil matanya tidak lepas memandang ke tengah ruang tari, dimana
rata-rata tetamu sedang menari dengan riang mengikut rentak jazz kontemperori.
Dari jauh, Cik Muda Eryna perasan ibu dan bapanya
berada di meja koktail sedang berbual mesra dengan ahli-ahli bangsawan yang
lain dan mereka kadang-kadang akan ketawa. Kemudian dia perasan adik
perempuannya, Nur Izzati Eryna yang leka melihat sang rembulan bersama-sama
abangnya, Ahmad Pasha Setiawan. Cik Muda Eryna tersenyum sendirian. Nampaknya, ahli
keluarganya tidak bersendirian seperti dirinya di majlis esklusif yang pihak
istana anjurkan.
Mata Cik Muda Eryna melingas mencari kelibat Putera
Rifqi. Tiada. Dia tiada dimana-mana. Adakah lelaki itu merajuk dengannya kerana
dia menolak cinta lelaki itu? Jujurnya, Cik Muda Eryna tiada pilihan lain selain
daripada menolak cinta Putera Rifqi kerana dia cintakan lelaki yang bernama
Muhd Azim Labeeb Aminullah.
Pada tika itulah, Putera Mahkota Azim
datang dan menghulur tangan kanannya. ‘May I have your dance, my love.’ Hati
Cik Muda Eryna melonjak gembira apabila Putera Mahkota Azim memanggilnya begitu namun
dia harus mengawal tingkah lakunya dan hanya mampu tersenyum dan dia pasti
Putera Mahkota Azim mahupun semua orang yang lain dapat melihat betapa merahnya
pipi Cik Muda Eryna saat itu.
Dan dengan senang hati Cik Muda Eryna menyambut
tangan lelaki itu dan berjalan ke tengah dewan tari. Gelasnya dihulurkan pada
Syarizan yang sedia menunggu di tepi bahagian lantai tari. Lagu-lagu jazz serta
merta berhenti. Para tetamu mula beredar dan memberi ruang pada pasangan merpati
sejoli itu untuk memulakan langkah waltz untuk malam itu.
‘Lepas ini, janganlah dinda terkejut
mendengar lagu tarian kita malam ini kerana lagu ini kanda sendiri yang
pilih... khas untuk dinda,’ bisik Putera Mahkota Azim. Cik Muda Eryna tergamam. Apakah
lagu yang Putera Mahkota Azim pilih. Haraplah bukanlah lagu alisana atau
mana-mana heavy metal atau crazy frog kerana Cik Muda Eryna faham benar dengan perangai
gila-gila si bakal raja itu.
Lagu The Merry-go-round of life
berkumandang tika jari-jari merka bersentuhan. Putera Mahkota Azim sempat
mengenyitkan mata sebelum membuka langkah kakinya. Cik Muda Eryna tersenyum malu melihat
kenyitan nakal Putera Mahkota Azim. ‘Nakal!’ kata hati Cik Muda Eryna.
‘RIFQI...’ panggil Puteri Eryna lantas dia berhenti menari mengikut rentak kaki Putera Mahkota Rifqi. Dia mendongak melihat wajah lelaki di hadapannya. Wajah kedua-dua lelaki tersebut, suasana bilik itu dan suasana di dewan tari, Bunyi lagu orkestra dan lagu kotak musiknya, suaranya mengira-ngira setiap langkah dan suara-suara para tetamu berbisik... semuanya saling bertindih.
Puteri Eryna menutup telinganya. Dia
berasa segalanya seperti berat. Berat sangat. Kepalanya berpusing-pusing. Apa
yang berlaku ini? Putera Mahkota Rifqi terkejut melihat Puteri Eryna yang
tiba-tiba mencangkung dan menutup telinganya. Pantas Putera Mahkota Rifqi
keluar memanggil Doktor Rayyan dan Syarizan.
SAAT Cik Muda Eryna sedang sibuk mengira langkah
dan tiba-tiba Putera Mahkota Azim memutarkan dirinya dan Cik Muda Eryna berputar dengan
gembira sekali. Terpacar jelas di wajahnya yang dia sangat bahagia di sisi
lelaki yang senang dipanggil sebagai Azim itu.
‘I did it!’ teriak Cik Muda Eryna perlahan dan
terus menari. Putera Mahkota Azim tersenyum melihat Cik Muda Eryna gembira begitu.
Hatinya rasa bahagia dan sedikit berdebar kerana selepas ini dia akan melamar
gadis itu pula.
‘That’s because you’re a brilliant girl,
Eryna.’
‘Thank you for the compliment,’ kata Cik Muda Eryna
dengan senyuman yang melebar.
‘And... that’s...’ Putera Mahkota Azim
tidak dapat meneruskan kata-katanya. Tiba-tiba Putera Mahkota Azim berhenti
menari dan mengangkat tangan kanannya, tanda dia mahu kumpulan orkestra itu
berhenti bermain. Suasana menjadi senyap. Cik Muda Eryna termangu melihat perubahan
teruna itu.
Putera Mahkota Azim melutut di hadapan Cik Muda Eryna
dan bersaksikan seluruh tetamu yang lain dia melamar Cik Muda Eryna. ‘Will you be mine
for eternity and even in heaven?’ kata Putera Mahkota Azim setelah tiga hari
tiga malam dia memikirkan ayat yang sesuai untuk diluahkan pada Cik Muda Eryna. Cik Muda Eryna
menekup mulutnya. Air matanya bergenangan. Dia memanjatkan kesyukuran kepada
Allah SWT kerana cintanya pada Putera Mahkota Azim berbalas. Syukur
Alhamdulliah.
AIR mata Puteri Eryna mengalir bagai air sungai.
Hingusnya juga tidak lupa untuk sama-sama berlari turun. Puteri Eryna berasa sangat
gembira hingga dia rasa dia perlu mencari Putera Mahkota Azim saat itu juga.
Pantas dia berlari keluar dari biliknya dan mula berlari mengikut kata hatinya.
Apabila dia melintas di hadapan tingkap
yang menghadap ke tasik buatan manusia itu memorinya bersama Putera Mahkota
Azim sedang bertengkar bermain di fikiran. Kumudian apabila dia menuruni anak
tangga juga, memorinya bersama Putera Mahkota Azim sedang berlawan mata
melintasi kotak fikirannya. Selepas itu banyaklah lagi tempat-tempat yang dia
lalu penuh dengan memorinya bersama Putera Mahkota Azim sedang bertengkar,
saling mengusik, ketawa, dan menangis bermain-main di laman memorinya hinggalah
dia melintasi sebuah bilik muzik.
Puteri Eryna berhenti berlari. Seperti
masih lagi terngiang-ngiang sonata The merry-go-round of life bermain di
mindanya. Sonata kegemaran Putera Mahkota Azim. Dalam bilik itulah dia pertama
kali berjumpa dengan Putera Mahkota Azim, dalam bilik itulah juga setiap kali
Putera Mahkota Azim akan memujuknya dan memberi kata semangat padanya. Dan
dalam bilik itulah Putera Mahkota Azim memberikan kotak musik itu padanya.
Sekali lagi air mata Puteri Eryna tumpah
menderu-deru bak air terjun. Dengan sepenuh kudratnya dia menolak pintu bilik
itu dengan harapan Putera Mahkota Azim ada di situ namun hampa. Bilik itu
kosong malah piano milik Putera Mahkota Azim juga berlindung di bawah kain
putih dan dihuni habuk. Pelbagai tanda tanya bermain di fikiran Puteri Eryna melihatkan keadaan itu.
‘Azim takkan tinggalkan pianonya berhabuk
macam ni? Apa yang??’ bisik hati Puteri Eryna. Dengan langkah besar Puteri
Eryna berlari keluar dari bilik muzik itu sambil itu mulutnya tidak henti
memanggil-manggil nama Azim.
‘Azim...!’
‘Azim...!’
Puteri Eryna terus-terusan memanggil nama
Putera Mahkota Azim sehinggalah dia berdiri di anjung di bahagian selatan istana. Apabila
memori yang terakhir tentang Putera Mahkota Azim kembali padanya, Puteri Eryna terduduk lemah.
Rasa menyesal bertamu di hatinya. Rasa kehilangan dan bersalah mula menjalar.
‘Tidak...’ kata Puteri Eryna seolah-olah sedang berbisik. Dan tika itu tiada
lagi setitik air mata pun menitis. Hatinya sudah kering. Tiada lagi air mata.
Perlahan-lahan Puteri Eryna bangkit dan
berjalan ke biliknya. Setiap dayang dan pengawal istana yang berjumpanya di
persimpangan tidak dapat berkata apa dan hanya mampu mengikut. Syarizan dan
Doktor Rayyan masing-masing terkejut melihat perubahan wajah Puteri Eryna.
Sebaik sahaja tiba di hadapan pintu
biliknya, Puteri Eryna terserempak pula dengan Putera Mahkota Rifqi. Lama
Puteri Eryna merenung wajah Putera Mahkota Rifqi. ‘Adakah sekarang tuanku
gembira?’ soal Puteri Eryna tidak semena-mena dengan nada yang sinis. Putera
Mahkota Rifqi tergamam. Tidak faham dengan soalan yang cuba Puteri Eryna
lontarkan.
Malam itu, Puteri Eryna minta untuk
bersendirian dan tidak mahu diganggu mahupun Syarizan. Puteri Eryna mengerekot
di atas tilamnya. Kedinginan malam tidak memaksanya untuk menyelimutinya.
Sebaliknya hatinya diselimut dengan rasa bersalah dan kosong. Kosong
sekosong-kosongnya. Rasa menyesal lagilah. Menyesal kerana menerima cadangan Putera
Mahkota Azim untuk keluar pagi itu untuk keluar membeli tudung sempena hajatnya mahu berhijrah itu. Menyesal kerana berlama-lama di kedai
tudung itu. Menyesal kerana menarik lengan baju Putera Mahkota Azim ke kedai
Tutti Frutti dan dia sesal kerana tidak mendengar permintaan terakhir Putera
Mahkota Azim untuk menikmati campuran ais krim vanila, black forest chocolate
dan respberry.
‘Jangan dikesal perkara yang dah lepas
kerana apa yang berlaku adalah kehendak-Nya. Walaupun Azim dah tak de nanti,
Azim mahu Eryna ingat Allah sentiasa ada di sisi kita samaada susah atau
senang. Jadi, jangan ditangisi takdir yang menimpa kita sebaliknya
berhadapannya dengan iman dan taqwa. Okay?’
Pantas Puteri Eryna duduk. Memori ketika
dia berada di tingakap yang menghadap tasik itu berpusing semula. Puteri Eryna
meraup mukanya dan beristighfar panjang. Bagaimana dia boleh lupa? Bagaimana
dia boleh lupa nasihat pertama Azim padanya tika dia menangis sendiri, menyesal
bersetuju untuk menjadi calon Puteri Mahkota. Lalu insiden itu berterusan ke
insiden pertelingkahan dan rasa menyampah wujud dengan sendiri.
Maka, di atas tikar sejadah... Puteri
Eryna mengadu dan memohon. Dan malam itu, dia kembali mendapat semangatnya
semula. Semangat untuk menentang dan memelihara hatinya daripada dirusuhi
Putera Mahkota Rifqi kerana dia sedar perjalanannya di istana itu akan menjadi
lebih mencabar tetapi dia tahu, dia punyai kawan dan keluarga untuk
menyokongnya. Dia perlu kembali berdiri dan menegakkan pendiriannya setelah
tiga tahun dia koma. Sekarang ini dia akan menunjukkan belangnya pula.
‘Tuanku tunggulah...’ kata Puteri Eryna
bersemangat pada tika fajar terbit di ufuk timur. Berbekalkan iman dan
nasihat arwah Putera Mahkota Azim,
Puteri Nur Cala Eryna akan mara.
TAMAT
10/03/2012
hai, well this the first cerpen based on palace love story yang aku buat and hopefully, korang satisfied [^.^]V
No comments:
Post a Comment