Pertama kali dia berjumpa dengan lelaki itu ialah pada waktu pertama kali
kaki itu menjejak ke dalam kafe ini. Kaki yang panjang dan lengan yang panjang.
Wajah manis dengan bibir merah dan hidung mancung itu. Matanya bersinar bila
bibir itu tersenyum. Rambut pula potongan terkini dan kemas. Pakaian juga
kemas. Dia dapat rasakan yang jantung dia berdetak kuat saat berhadapan dengan
lelaki itu. Pelanggan kafe ini.
“Hai, selamat datang. Encik nak pesan apa?” ujarnya dengan penuh sopan dan
teratur meskipun dia rasa bibirnya menggeletar – tidak, seluruh badannya
menggeletar kerana cemas. Dia tidak boleh berhadapan dengan orang yang
sebegini.
“Americano satu dan waffle set B,” pesan pelanggan itu.
Dia menekan-nekan pada skrin komputer. “Ada apa-apa lagi yang encik nak
tambah?”
Lelaki itu menggeleng diikuti dengan senyum manis.
Payah sekali dia meneguk liurnya sebelum membalas senyum pelanggan di
hadapannya. Dia kemudian menyebut harga pesanan dan bergegas membuat waffle
manakala rakan sekerjanya membuat kopi di stesen sebelahnya. Dia perasan sorot
mata pelanggan itu memandang ke arahnya atau sebenarnya ke arah sebelahnya.
Begitupun, dia tetap berasa gugup.
Apabila rakan sekerjanya itu siap membancuh kopi tersebut, gadis itu
meletaknya di hadapan pelanggan kacak itu. Apa yang mengejutkannya ialah mereka
berbual. Lelaki itu mulakannya dahulu dan dia teringin sekali ingin menyampuk
tetapi dia tidak endahkannya lagi.
Dia letak sepinggan waffle yang disapu mentega kacang dan coklat diserta
sekali dengan aiskrim dan krim putar dan kacang tanah yang ditumbuk kasar.
Perbualan keduanya terhenti. Mungkin tadi dia tidak patut menyelit. “Americano
dan waffle set B siap,” katanya mengelak dari berasa kekok.
Pelanggan itu menghulur duit dan dia sambut lantas baki di beri. “Terima
kasih, selamat menjamu selera,” ujarnya bersama dengan rakan sekerjanya itu.
Dia teringin sekali hendak tahu apa yang mereka bualkan tetapi dia tidak
patut menyibuk. Itu bukan hal dia. Namun sebagai kawan, apa salahnya bukan?
“Kau bercakap apa je dengan dia?” soalnya pada gadis itu.
“Dia tanya nama, umur dan dah berapa lama kerja dekat sini... tu je. Kenapa
Luce?” soal gadis itu polos.
Lucy menggeleng. Pipinya hangat. Haa, kan dah kena. Suka sangat fikir yang
bukan-bukan. Padahal pelanngan itu bertanyakan hal yang biasa-biasa sahaja dan
kenapa perlu dia berasa cemas? Hanya kerana lelaki itu kacak dan membuatkan
jantung dia berdebar-debar, dia berasa tercabar kerana pelanggan itu lebih
berminat dengan Suri? Gadis muda juga cantik. Mewah lagi. Siapalah dia yang
lebih dewasa dan tidak berapa cantik. Belajar pun tidak pandai. Hanya sijil
sekolah tinggi sahaja yang dia ada. Keluarga pun tidak berapa kaya.
Walaupun Suri tidak nyatakan yang gadis itu berasal daripada keluarga
berada tetapi dia tahu keadaan semasa dan status seseorang. Apa guna media
sosial jika tidak ambil tahu isu semasa. Dia mengeluh kecil.
Bila seorang pelanggan datang mendekati dia cepat bersedia di kaunter.
“Selamat datang ke Fiction.”
No comments:
Post a Comment