Tuesday, February 7, 2017

Kopi & Waffle [Part Two]


“Hm, tengah beli gula.”

Lucy lihat harga yang tertera di rak lantas membandingkannya pula dengan jenama yang lain. Tangan kanannya memegang paket gula manakala yang satu lagi memegang telefon pintarnya. Sedang berbual dengan ibunya.

Setelah pasti dengan pilihannya, dia letak paket itu ke dalam bakul troli.

“Okey. Kirim salam abah. Bye.” Dia letak telefonnya ke dalam beg tangan dan saat matanya terpandangkan tag promosi untuk daging ayam pantas dia menarik troli kecil itu ke arah bahagian basah.

Dia tersenyum suka saat daging ayam itu kini selamat berada di dalam bakul trolinya. Malam ini dia akan masak ayam kari. Lauk orang bujang.

“Tersenyum-senyum aja adik kita ni,” tegur satu suara.

Lucy berhenti menarik trolinya. Bibirnya juga mengendur. Dadanya berdebar sakan namun panggilan yang terluah penuh kasual. “Hai Jun.”

Dahi lelaki itu berkerut mendengar teguran yang tiada hiasan senyum yang diharapkan. “Awak memang benci sayakan?”

Lucy menjungkit bahu. Langkahnya disambung dan lelaki itu turut sama mengikutnya.

“Seorang je ke?”

“Tak. Dengan troli,” jawab Lucy penuh bersahaja nadanya menyembunyikan rasa cemasnya itu. Bila dia dapat rasakan yang Jun tidak lagi mengikutnya, badannya berpaling mencari wajah itu. Rasa bersalah mula menyerangnya melihatkan wajah itu menjadi muram. “Awak pun, seorang je ke?”

Jun mengangguk kemudian menggeleng. Ada senyum penuh keanak-anakkan terukir di bibir itu dan melihatkan itu, hati Lucy berasa lega. Sejak dari hari itu, setiap hari Jun datang ke kafe dan memesan menu yang sama. Kopi dan waffle. Yang berbeza hanya inti di dalam waffle itu dan hiasan di luarannya. Hari Isnin ialah set A, Selasa pula set B, Rabu seperti yang dijangka set C diikuti pula dengan set D dan set E untuk Kamis dan Jumaat. Hari minggu pula waffle set istimewa. Masuk minggu baru, lelaki itu akan ulang semula menunya.

Oleh kerana sifat peramah dan setianya terhadap kafe itu, semua orang di Fiction sukakan Jun termasuklah si muka ketat Fredrick itu kerana Jun merupakan salah satu penyumbang tetap hasil kafe dan kadang-kadang lelaki itu rajin mencari penaja untuk menderma buku-buku non-fiction pada kafe. Usahanya itu buatkan Fiction semakin sukakan kehadiran Jun dan Lucy juga sedar yang dia juga sukakan Jun, dengan caranya yang tersendiri.

“Tadi dengan kawan tapi sebab saya nampak awak sensorang kat sini, saya decide untuk teman awak,” ujar Jun riang.

“Habis tu kawan awak?!” soal Lucy terkejut.

“Oh, dia boleh manage. Dia dah besar,” balas Jun yang kini telah berdiri di sebelah Lucy.

Mata gadis itu bulat. “Habis tu saya ni tak besar?”

Jun menggeleng. “Awak perempuan dan awak sensorang. Different story.”

Jawapan itu buat mulut Lucy tertutup. Dia berharap sangat yang Jun tidak nampak pipinya yang merah kerana ia berasa sangat hangat di bawah kulitnya. Lantas dia tarik troli kecil itu ke arah rak roti. Dia tidak akan bagi peluang untuk lelaki itu bulinya begini, buat jantungnya berdegup begini dan berfikir sebegini. Dia bukan gadis mudah dan lembik. Lagi-lagi di usia begini, bukannya masa untuk bermain-main.

“Lagi baik awak ambik yang ini.” Satu tangan kekar muncul di belakangnya dan mengambil roti yang berada di tangan kanannya. “Lagi berbaloi,” tambahnya lagi.

“Huh?”

“Huh?”

Lucy pandang roti di tangan Jun dan roti di tangan kirinya. Dia lansung tidak menyedari yang dia telah termenung sambil memegang dua jenis roti di tangan. Pada pandangan Jun pastilah dia kelihatan seperti sedang membandingkan keduanya. “Maksud saya kenapa?” soalnya cuba menutup kesilapannya tadi. Suaranya juga digarangkan dan dia lansung tidak mendongak memandang wajah itu.

Tanpa ragu-ragu, Jun memberi pendapatnya dan hanya sepatah dua kata sahaja yang masuk ke dalam otaknya. Yang selebihnya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Dia cuba untuk fokus tetapi bila berhadapan dengan seseorang yang mampu buat jantung berdegup selaju 200km/j, mampukah dia untuk fokus? Pasti tidak bukan? Memikirkan itu, Lucy hela nafas berat tanpa dia sedar.


“DUA tiga hari ni dia asyik mengelamun aje...”

“Apa kata kau pergi serve dia?”

Lucy pandang Suri yang kini berdiri di sebelahnya. Entah bila gadis itu berdiri di situ. Dia tidak sedar dan itu membuatkan pipinya berubah warna. Pasti gadis itu dengar akan luahan kecilnya tadi yang lebih dituju untuk pendengaran dirinya sahaja.

“No way! Kedai ni self service. On second thought, kenapa aku nak ambil kisah fasal dia? Hah!” tepisnya laju dan tanpa menunggu balasan rakan sekerjanya itu. Pipinya sudah panas dan kepalanya sudah tidak tahu hendak disorok di mana. Tidak fasal-fasal, dia termarahkan Suri. Bibirnya diketap. Dia angkat kepalanya dan dia nampak Jae Rim sedang memandangnya. Dengan wajah yang masih merah, dia alihkan wajahnya ke arah lain.

Lelaki itu ketawa kecil. “Kau patut belajar jadi lebih jujur dengan diri sendiri,” nasihatnya. Kedua belah tangan selesa di pinggang. Pandangannya lembut sepertimana Lucy selalu lihat dahulu ketika mereka pernah bekerja bersama di dapur hotel terkemuka ibu kota beberapa tahun lalu.

Mata Lucy tajam menjeling patissiere itu. “Just bake your cookies, Jae Rim. Aku tak perlukan nasihat kau,” balasnya perlahan.

Jae Rim menggeleng kecil lantas memulakan semula menguli tepungnya. Keith pula khusyuk membasuh pinggan dan mangkuk yang mana Lucy pasti pemuda itu mencuri dengar perbualannya. Bahunya jatuh. Kepala tertoleh ke arah pasangan yang sedang berbual dan senyap-senyap dia berharap yang dia duduk di kerusi Suri dan bukannya berdiri di belakang dinding, berasa begini.


LUCY RENEGARD, single dan available, sunyi dan sepi pada malam krismas di tengah-tengah kesibukan pasangan yang hangat bercinta.

Dia kata pada Suri yang bekerja pada masa cuti krismas pasti akan sunyi dan dia pada saat dan ketika ini sangat-sangat berasa sunyi. Dia termakan dengan kata-kata sendiri. Teman lelaki tiada, cuti pula tidak lulus... Waktu-waktu begini dia cemburukan Suri. Seminggu bercuti sehingga cuti tahun baru...

Tiba-tiba Lucy tampar wajahnya. Dia sepatutnya bersyukur. Fredrick janjikan tambahan upah bekerja sepanjang minggu cuti ini dan ada beberapa tambahan pekerja yang tidak dikenali datang bekerja hanya untuk cuti perayaan minggu ini. Jadi dia dapat imbuhan dengan suasana kerja yang rileks tanpa ada tekanan. Walaupun ramai pelanggan namun disebabkan bantuan tambahan, dia sememangnya patut berasa bersyukur.

Lucy berhenti melangkah. Matanya menangkap susuk tubuh Jun. Riak yang dipakai wajah itu mirip riak beberapa hari lepas. Kadang-kadang dia terfikir, adakah lelaki itu marah dengannya? Kerana sejak kali terakhir mereka bertemu di pasaraya tempoh hari, sikap Jun berubah. Mungkin dia ada tersilap kata tanpa dia sendiri sedar dan ada baiknya dia pergi bertanya. Dia tidak suka bila diperlakukan begini.

“Jun!” laungnya kuat namun pantas kedua belah tangannya menutup mulut. Malu.

Lelaki itu berpaling. Bibirnya ukir senyum nipis saat Lucy berada dekat.

“Pergi mana?” soalnya dengan nada yang dia sering guna bila berhadapan dengan Jun. Mungkin sedikit teruja di hujung kata.

Jun unjuk satu arah. “Makan.”

Lucy mengangguk. Mata mencari bayang figura seseorang. Tidak kisahlah sesiapa mungkin seorang gadis yang lebih cantik dan lebih menawan daripada dia. “And where’s your date?”

Kening Jun terangkat. Hanya kening kirinya sahaja. “Date? Untuk apa?”

Gadis itu buat-buat ketawa. Di dalam hati, dirinya yang kerdil sudah tersenyum lebar mendengarkan jawapan itu. Nasib baik dia mampu kawal perasaan itu. “Malam ni kan christmas eve. Suppose, kena ada date.”

“Kata seorang perempuan yang tak ada date pada malam krismas,” sindir Jun. Keningnya masih lagi terangkat. Tampak sinis.

Lucy ketap bibirnya. Pipi yang sedia merah kerana sejuk bertukar suhu. “Apa yang buatkan awak fikir yang saya tak ada date?” marahnya.

Jun ketawa pendek. “Kalau awak ada date, awak takkan terhegeh-hegeh datang kat saya.”

Kelu lidah Lucy dibuatnya. “Apa?” soalnya dengan perasaan sungguh tidak percaya selepas lidah yang kelu tadi mampu berbicara.

Lelaki itu menggeleng dan biarkan soalan Lucy tergantung di udara. Dia menunduk sedikit dan tanpa menunggu balas gadis di hadapannya, dia menyambung semula langkahnya.

“Awak!” panggil Lucy. Dia tidak boleh biarkan Jun tinggalkan dia begini. Tidak lagi selepas lelaki itu menemaninya membeli belah tempoh hari dan pergi begitu sahaja tanpa pesan dan salam. Dia perlu tahu jika dia ada membuat silap. “Kalau–” “ – saya minta maaf kalau saya ada lukakan hati awak.”

Jun berhenti dan perlahan dia pusingkan badannya sedikit. Kepalanya menoleh ke arahnya. Ada senyuman nipis di bibir itu. “Selamat hari natal Cik Renegard.” Usai itu dian menunduk sekali lagi dan pergi.

Kaki Lucy patut bergerak. Kejar.

Mulutnya patut bercakap. Marah.

Jantungnya patut berdegup. Cemas.

Semua itu harus berfungsi.

Tetapi kenapa hanya air matanya yang bergenang di tubir matanya. Sebak di hujung lidah yang mengetuk-ngetuk dinding mulutnya minta dilepaskan. Seluruh tubuhnya menggeletar. Dia cintakan Mizuno Jun dan bukan sahaja lelaki itu malah dirinya sendiri tidak menyedari akan hal itu.

“Saya kisahkan awak...” bisiknya. “... awak lelaki bodoh!” jeritnya walaupun tubuh Jun sudah tiada lagi di pandangan matanya.

“Bodoh! Bodoh! BODOH!”


“BODOH! BODOH! BODOH!”

Lelaki tua yang sibuk melayan tetamunya yang rata-ratanya terdiri daripada pekerja-pekerja pejabat dan juga terdiri daripada kaum adam itu berpaling ke arahnya, melihatkan dia masih lagi berdiri di muka pintu kedai itu. Lansung tidak berganjak.

“Siapa yang gila menjerit malam-malam panggil orang bodoh tu?” soal salah seorang pelanggan yang duduk di kaunter.

“Kena tinggal dengan kekasih lah tu,” jawab sahabatnya.

Tukang masak itu tidak mengendahkan perbualan itu. Perhatiannya tertumpu pada Jun.

“Jun?”

Jun angkat wajahnya dan hadiahkan senyuman yang dia mampu ukirkan. Walaupun bergetar, walaupun rapuh. Dia sedang menahan dirinya daripada berlari keluar daripada kedai itu. Dia sedang menahan.


SETIAP hari selepas insiden itu, Jun datang ke kedai (seperti biasa). Tetapi tidak lama. Selagi Suri tidak datang bekerja, kunjungan lelaki itu hanya sementara. Kadang-kadang hanya menjenguk dari luar sahaja. Lucy teruskan rutin kerjanya. Lansung tidak menghiraukan perangai Jun yang pelik waima tanda tanya warga kafe yang pelik dengan sikap lelaki itu. Hanya Keith sahaja yang berani berbual dengan Jun.

Bila tiba hari Suri memulakan tugas, cerita lain terjadi. Gosip mula menari-nari di bibir pelanggan dan pekerja. Pandangan mata Fredrick pula menyakitkan hatinya. Dia tahu pengurus itu sengaja memprovoknya dan dia suka rela makan provokasi itu. Dia cemburu dan dia tidak boleh biarkan orang lain buat cerita-cerita yang tidak munasabah lansung!

Apa yang membuatkan hatinya kuat berasa demikian adalah kenapa mesti Suri? Kenapa Jun mesti libatkan dirinya dengan Suri? Apa lebihnya Suri dan apa kurangnya dia sehingga perlu menarik keluar gadis itu dari kedai?

Cuaca dingin tidak mampu menyejukkan perasaan yang dia alami saat ini dan cuaca ini tidak mampu menahannya daripada berjalan laju, kepala tertoleh-toleh kiri dan kanan, mencari pasangan yang menghilang beberapa ketika tadi. Lucy hela nafas berat. Kepulan asap keluar dari rongganya. Apa yang dia sedang lakukan sekarang ini?

“Luce?”

Dia berpaling dan melihat gadis yang sedikit rendah daripadanya itu sedang memandangnya dengan wajah yang berkerut. Badannya berpeluk tubuh kesejukan. Namun bibir itu merah, pipi dan hidungnya tidak menampakkan yang gadis itu berada di tempat yang sejuk dan dingin sebaliknya di suatu tempat yang hangat dan selesa.

Begitupun Lucy serah kot Suri yang dia bawa bersama tadi.

“Terima kasih. Kau datang semata-mata nak hulur ni?” soal gadis itu polos.

Lucy menggeleng. “Sekarang waktu rehat aku dan Fred minta aku bawakan ni untuk kau,” balasnya jujur.

Wajah itu jelas nampak terkejut. “Oh.”

“Lebih baik kau balik cepat kalau tak nanti angin dia jadi lagi pelik,” nasihatnya dan gadis itu mengangguk setuju. Ingin sahaja Lucy bertanya keberadaan Suri sebelum ini tetapi soalan itu tidak dapat dia luahkan.

“Sebelum tu,” cakap Suri selepas dia siap memakai kotnya dan bergegas ke kafe. “Tahu tak ada kedai udon kat simpang tu?” Jarinya mengunjuk ke arah simpang yang dikatakan. “Sedap! Kau patut cuba. Maksud aku, kau patut makan tu hari ni. Sesuai dengan cuaca. Bye!”

Lucy membalas lambaian Suri walaupun di dalam hatinya dia cuba fahami maksud kata-kata gadis itu.

“Sekarang tau!” laung gadis itu lagi dan Lucy mengangguk.

Tiba-tiba lampu di mindanya bersinar terang. Kepala tertoleh ke arah simpang tadi kemudian pada belakang Suri yang sedang berlari anak menuju ke Fiction. Lucy gigit bibirnya lantas tersenyum nipis. Pantas dia berjalan ke arah kedai itu.


HAMPIR. Dia hampir melanggar tubuh tegap Jun jika bukan kerana pintu yang memisahkan antara dia dan lelaki itu. Dia tidak menyangka yang dia akan bertembung dengan Jun sepantas ini dan melihat dari riak di wajah itu, fikiran mereka memikirkan perkara yang sama.

“Saya tak tahu yang awak tahu kedai ni,” cakap Jun dan memberi laluan untuk Lucy masuk ke dalam.

Lucy menggeleng lantas memberikan laluan untuk Jun keluar dahulu. “Kedai ni bukan untuk awak seorang je,” balasnya. Mata memandang ke arah kasutnya.

Jun menapak keluar dan berdiri di hadapannya. Seorang senyap menanti dan seorang lagi senyap berharap. Kesudahannya dua-dua hanya berdiri menghadap satu sama lain. Kekok.

“Saya–”

“Saya–”

Mereka berpandangan sebelum perasaan kekok menguasai suasana. Lucy perasan yang Jun sedang memandang ke arah jam tangan. Mungkin lelaki itu harus segara pulang ke pejabat dan dia tidak mahu menahan lelaki itu dari pergi. Hah...

“Saya masuk dulu.”

“Nanti!”

Jun pegang pergelangannya. Lucy pandang lelaki itu dengan mata bulat.

“Saya ada masa lagi. Care to accompany me?”

Gila dia hendak tolak? “Saya pun bukannya lapar sangat tapi jangan lama,” balasnya perlahan namun dia tahu Jun mendengarnya, melihatkan senyuman yang mekar di bibir itu. Dia suka melihat senyuman itu dan dia suka Jun pegang tangannya begitu. Tidak terlalu kejap, tidak juga terlalu longgar. Ia seperti memegang sesuatu yang rapuh. Menunjukkan yang dia dipimpin oleh seorang lelaki yang sangat bertimbang rasa dan penuh kasih sayang. Cuma...

Dia bukannya gadis untuk Jun. “Apa yang awak bualkan dengan Suri tadi?”

“Adalah... tentang sesuatu.”

Jadi dia tidak boleh tahu? “Awak sayangkan dia?”

Suri mungkin tahu yang dia ada hati pada Jun. Tetapi itu tidak mengubah apa-apa jika Jun hanya memandang gadis lain.

Jun tidak teragak-agak untuk menjawab persoalannya. “Ya.”

“Awak dah beritahunnya?”

“Perlu ke?”

“Ya.”

“Hm... baiklah.”

Perlahan dia tarik tangannya dari pegangan Jun. Dia tidak patut tanya soalan itu tadi. Dia sudah lukakan hatinya sendiri. Tetapi dia tidak boleh berhenti. “Awak patut cepat tahu. Saya baca dalam berita yang dia dah bertunang dengan pewaris Robb and West Corp..”

Kata-katanya itu menarik perhatian Jun. “Apa?”

“Awak tak baca berita? Ia ada dimana-mana. Kalau awak betul sayangkan dia, beritahu dia dan jangan mengalah walaupun lawan awak mungkin lagi superior dari awak–”

“Kejap. Awak tahu?”

“Mestilah. Awak setiap hari datang–”

“Tak!” sekali lagi percakapan Lucy dipotong. “Awak tahu fasal Suri?”

Dahi Lucy berkerut. “Kenapa? Saya tak patut tahu ke?”

Jun menggeleng. “Tak. Dia memang popular. Pelik kalau orang tak kenal dia,” cakapnya lebih kepada diri sendiri. “Tapi kenapa awak cakap macam tu?”

“Cakap macam mana?”

“Cakap yang saya perlu beritahu...” Jun pandang Lucy. Tepat ke anak mata gadis itu. Peliknya dia tidak berasa cemas atau malu diperlakukan begitu namun dia berasa bersalah. Jun terluka dengan sikapnya.

“Awak fikir saya ada hati dengan Suri? Dengan adik saya sendiri?”

“Adik? Dia anak tunggal,” balas Lucy keliru.

“Saya abang tiri dia, Lucy! Ayah dia kahwin dengan emak saya!” marah Jun.

Mendengarkan suara itu melenting begitu, itu adalah kali pertama. Lelaki itu kecewa dengan dia. Dia mungkin bersalah tetapi itu tidak semestinya Jun boleh marah dengannya begini. Dia tidak tahu. Sesiapa yang melihat boleh salah faham. Begitupun, antara Suri dan Jun tiada pertalian darah. Tiada apa yang boleh menghalang. Dia pula siapa? Hanya seorang bystander.

“Itu!” Suara itu naik satu oktaf lagi. “Awak buat muka tu lagi!”

“Muka apa?!” balas Lucy naik angin.

“Victim face! Really Luce. Everything is impossible for you.”

Itu buat Lucy tergamam.

“Saya–” Jun pandang wajah gadis di sebelahnya. Dia hela nafas berat. “Luce, apa yang saya nak buat dengan awak?”

Mata Lucy terkebil-kebil keliru. Dia sedang mengolah apa yang Jun ingin katakan padanya. Dia mungkin seorang gadis berusia 25 tahun tetapi perkara sebegini, dia masih tetap tidak tahu bagaimana hendak menanganinya. Apa yang dia tahu, Jun tampak seperti perlukan bantuan. “Awak perlukan bantuan?”

Kali ini Jun pula tergamam. Lama dia merenung Lucy sebelum ketawa. “Bantuan macam mana tu yang awak maksudkan?”

Lucy jungkit bahunya. “Mana saya tahu. Sejak kebelakangan ni awak berperangai pelik dan awak asyik murung. Adakah ia ada kaitan dengan Suri?”

Sekejap tadi mereka bertengkar namun sekejap kemudian mereka saling bertukar senyum. Dia mungkin tidak faham dengan apa punca kemarahan Jun tetapi dia tahu yang lelaki ini perlukan bantuan dia.

No comments:

Post a Comment