Wednesday, February 8, 2017

Rialiti Prolog

Prolog

“Tengok tangan saya betul-betul, okey?”

Dahinya sudah berkerut. Matanya juga tidak lepas dari memandang wajah lelaki di hadapannya ini. Pada senyuman nipis yang terukir di bibir itu, pada cara lelaki itu memandang ke arahnya. Kabur. Wajah itu kabur walaupun dia dapat melihat bibir dan mata itu. Namun arahan yang diberi tadi dipatuhi.

Dia lihat tangan lelaki itu bergerak ke arah langit malam yang ditaburi cahaya bintang-bintang yang birsinar terang dan berkilau-kilau. Ia buat matanya yang melihat berasa sedikit berpinar dan takjub tetapi tidak terlalu lama kerana fokusnya lebih kepada tangan itu yang seeprti menunggu langkah seterusnya. Dadanya berdebar-debar akan kejutan yang akan tiba.

“Awak pilihlah mana-mana bintang yang awak nak,” kata lelaki itu. “Saya akan petikkan untuk awak.”

‘Gila apa nak petik bintang?’ desis hatinya. Begitupun dia cuba sorok senyuman sarkastiknya.

“Cepatlah!” gesa lelaki itu.

“Yang itu!” pilihnya. Dia hendak lihat bagaimana seorang lelaki biasa mampu untuk memetik bintang di langit yang jelas saiznya yang sebenar adalah jauh lebih besar dari tapak tangan manusia dan jauh beratus ribu batu dari planet ini. 

Berhati-hati lelaki itu arahkan tangannya ke arah bintang yang dia tunjuk. Setelah lelaki itu pasti kedudukan yang tepat untuk memetik, ibu jarinya dan jari telunjuknya dikeluarkan, seolah-olah sedang memetik sesuatu dan sesuatu itu adalah sebuah bintang yang mustahil untuk dipetik.

“Tengok betul-betul...” kata lelaki itu perlahan seolah berbisik. Jari itu yang tadi seolah-olah sedang memetik itu dibawa dekat ke hadapan wajahnya dan bintang itu betul-betul berada di hadapan matanya.

Dia berasa tidak percaya namun pada masa yang sama turut berasa kagum. Bibirnya mengukir senyuman lebar. Dia pandang wajah lelaki dengan perasa yang sukar digambarkan. “Macam mana awak – ”

Lelaki itu letak jari telunjuk kiri ke bibirnya menandakan persembahan tidak habis lagi. Kemudian lelaki itu simpan bintang yang berkelip-kelip itu tadi ke dalam genggamannya. Dua-dua belah tangan itu menggenggam dan meramas bintang itu tadi lalu dia bawa ke mulutnya dan di hala ke arah luar beranda. Perlahan, orang yang asing itu namun berasa begitu dekat dengan dirinya itu, meniup lubang genggamannya lalu bintang tadi yang diramasnya menjadi debu-debu yang bersinar-sinar yang terapung di udara. Sangat cantik.

Melihatkan persembahan itu, dia menepuk tangannya sambil ketawa takjub. Rasa sungguh tidak percaya akan kebolehan lelaki itu untuk membuat sebuah helah yang sangat romantik dan penuh keajaiban.

“Cantiknya,” katanya  tanpa dia sedar. Mata ralit melihat kerlipan debu yang jatuh ke tanah.

“Itu hadiah hari jadi awak dari saya.”

Dia pandang wajah lelaki itu. Sedikit tergamam namun yang selebihnya sebuah perasaan yang bercampur baur. Dia kenal perasaan ini. Dia sering rasakannya suatu masa dahulu yang dia telah lama lupakan. Seakan perkara itu berlaku terlalu lama dahulu.

“Lepas ni bila awak rasa sedih, awak hanya perlu ingat momen ni. Jadi segala kesedihan awak akan pergi sebagaimana debu-dubu tadi pergi. Saya dah buat awak gembira bukan?”


IANYA sebuah mimpi. Mimpi yang selepas lima saat dia sedar, ia menjadi pudar. Hanya senyuman yang lelaki itu berikan berkekalan di dalam memorinya dan lima minit kemudian, semuanya hilang. Tiada satupun yang tinggal walau sekuat mana sekalipun dia cuba untuk mengekalkan rupa dan bentuk lelaki asing yang hadir dalam mimpinya itu. Adakah mimpi itu berkaitan dengan sesiapa yang dia kenali sebelum ini atau ia hanya sebuah mainan tidur lakaran sang pengembara mimpi?

Suri bangun dari pembaringannya. Jarum suntikan air dicabut dan selimutnya dibuang ke tepi. Dia harus keluar dari biliknya ini. Masuk hari ini, ini adalah kali ketiga dia pengsan mengejut kerana masalah tidurnya dan dia tahu, doktor peribadinya itu tidak akan teragak-agak untuk bawa dia ke hospital besar dan kemukan hal ini pada datuknya yang garang itu.

Perlahan dia buka pintu biliknya. Kepala intai kiri dan kanan. Dia pasti doktornya itu menahan dia dari membawanya ke hospital terus dan biarkan dia berehat di sini dahulu sebelum ke sana setelah dia sedar. Dia berasa syukur yang Miza mampu membuat permikiran doktor peribadinya menjadi begitu. Lantas dia atur langkahnya ke arah dapur, menuju ke arah pintu belakang dan seterusnya ke arah pagar. Belum sempat dia melompat pagar belakangnya, namanya dipanggil kuat.

“Cik muda!”

Pantas Suri melompat turun dari atas pagar dan berlari sekuat hatinya. Dia tidak mahu ke hospital. Dia sudah muak dan dia sudah penat dengan bau ubatan dan wajah-wajah sakit yang muncul di situ. Dia tidak suka!

“Aduh!”

Wajahnya tersembam ke atas permukaan keras. Tetapi ia masih lembut dan sedikit berbulu. Kapas; baju. Pantas dia angkat wajahnya dan dia lihat seorang lelaki malang yang telah dia langgar secara tidak sengaja tadi di persimpangan blok rumah teres ini sedang memandang ke arahnya juga. Yaiks!  

“Sorry! Sorry!” ucapnya seraya bangun. Kepala tertoleh-toleh ke arah belakang, melihat samaada dia masih dikejar atau– tidak, dia masih dikejar dan dia perlu cepat pergi. Dalam keadaan kelam kabut itu dia ternampak darah yang mengalir di bawah hidung lelaki itu.


“Betul-betul sorry– urmmm...” Suri mencari dompet yang tersimpan di dalam beg sandangnya. Tanpa melihat jumlah yang dia keluarkan, dia campak duit itu pada lelaki tersebut. Kaki sudah tidak sabar untuk menyambung larian. “Saya betul-betul tak sangaja tapi saya kena pergi. Guna duit tu untuk hidung awak. Kay, bye!” cakapnya laju dan tanpa menunggu balas dia larikan dirinya dari doktor peribadinya. Dalam kepala sudah sibuk memikir untuk mencari bunker untuk dia menyorok. Sebelum itu sempat lagi dia melihat ke arah lelaki yang dia langgar tadi, yang kini telah ditegur oleh pengejarnya a.k.a seorang doktor yang sangat komited dengan kariernya. Harapnya lelaki itu tidak apa-apa. 

No comments:

Post a Comment