Tujuh
belas : The Puppet Master
14
April 2731, 0815am, Saujana Apartment, Posh High
“Kasturi apa gunanya saya sebagai sahabat,
partner, dan orang yang mencintai
awak jika awak tak gunakan saya sebagai pendengar setia awak, penasihat awak,
peneman awak kala awak senang mahupun susah. Saya bukan insan yang patut awak
awak kongsi kasih sayang awak sahaja. Saya juga insan yang boleh kongsi
kesedihan awak, beban awak, dan kegembiraan awak. Saya bukakan hati saya untuk
awak bukan sahaja kerana saya cintakan awak, Kasturi. Saya mahu jadi sebahagian
dari awak. Saya mahu jadi cinta sejati awak.”
Kasturi mengangkat wajahnya. Kata-kata
dari Fairul sedikit sebanyak melembutkan hatinya yang keras seperti berlian.
Wajahnya jadi memerah apabila anak mata mereka bertemu. Hatinya berdegup
kencang tetapi rasa itu sangat senang. Dia seperti berada di dalam gumpalan
awan-awan kapas yang lembut dan tenang. Kasturi mengukir senyuman.
Fairul turut tersenyum. Senyuman yang
lahir dari hatinya. Lalu dia mengesot lagi terus ke dinding dan bersandar
padanya. Kemudian dia memandang pada Kasturi pula. Tempat di sebelahnya di
tepuk-tepuk perlahan tanda dia menyuruh gadis itu mengesot ke sebelahnya, di
bahagian penjuru window bay itu.
Tanpa teragak-agak Kasturi mengambil
tempat di sebelah Fairul. Bantal-bantal yang berselerakan di sekitar mereka,
dikutip dan dibina menjadi tembok pemisah di antara mereka. Selesai membina
tembok-tembok kecil yang cukup dibuat sebagai alas tangan mereka, Kasturi
melentokkan kepalanya pada penjuru bilik itu. Matanya melihat ke luar tingkap
yang bulat dan kecil yang berada dua meter dari tempatnya duduk.
Fairul mencapai cawan-cawan kopi itu lalu
dihulurkan satu buat Kasturi dan satu lagi untuknya.
“Terima kasih,” ucap Kasturi.
“Kasih diterima,” jawab Fairul lalu
mengenyit matanya. Kasturi tergelak kecil. Fairul ini ada-ada sahaja lawak yang
mahu dibuat.
Mereka kembali bersandar pada dinding dan
menghirup kopi mereka. Satu sisip, dua sisip... Fairul menjeling Kasturi. Dia
tahu Kasturi perlukan masa untuk membuka mulut dan mungkin jawapannya tidak
mungkin ada pada hari ini atau esok atau lusa atau tulat juga. Fairul tidak
akan memaksa dan dia akan menunggu.
Bunyi keluhan Kasturi mencuri perhatian
Fairul. Fairul tersenyum. Hari ini, esok, lusa dan tulat. Bila agaknya mulut
itu akan bercerita?
“Awak memang nak tahu siapa Wan?”
“Ehemm,” jawab Fairul sepatah lalu
menyisip kopinya.
“Awak tak tanya abang-abang saya?”
“Tanya.”
Kasturi berpaling memandang Fairul.
“Tapi diaorang cakap diaorang tak de hak
untuk bercerita...” tambah Fairul dalam suara yang sayu.
“Papa saya?” Kasturi teringat ketika malam
kelmarin Dato’ Mahmood ada memanggil Fairul untuk berbincang sesuatu. Jadi
kesempatan yang ada, dia akan rebutnya.
“Same
as your older brothers. Secretive ya keluarga awak ni.”
“Pujian atau sindiran?” duga Kasturi.
“Both!”
Meletus ketawa Kasturi dan Fairul. Tidak
menyangka jawapan itu yang akan keluar dari mulut lelaki yang bernama Muhammad
Fairul ini. Apabila ketawa itu mati, keadaan jadi senyap semula. Fairul tidak
tahu untuk berkata apa. Kasturi pula sukar untuk memulakan bicaranya.
“Apa yang awak nak tahu fasal Wan?” soal
Kasturi tidak semena-mena.
Fairul menjungkit bahu. Yang sebenarnya
dia tidak tahu untuk tahu perkara apa mengenai Wan kerana semua perkara dia
tahu. Wan ialah adiknya. Jadi dia menjadi sedikit blurr untuk soalan itu. “Well, everything that you know, I want to
know. Sayakan orang yang awak cintai, jadi untuk tidak buat saya salah
faham... cerita ajelah apa-apa yang saya perlu tahu,” jawab Fairul.
“Yang tak perlu?”
“Perlu jugak!”
Kasturi memuncungkan mulutnya. Apalah!
Cakap apa yang perlu sahaja, tetapi yang tak perlu pun perlu juga. Lalu Kasturi
mencapai foto Wan yang dia letak di atas meja tadi. Kerana foto itulah,
hubungannya dengan Fairul menjadi dingin semalaman. Kasturi melepaskan satu
keluhan. “Sebelum saya beritahu, spill
it! Mana awak dapat gambar ni?”
“Ett!
Secret!”
“Kalau macam tu taknak cerita!” Kasturi
hendak merajuk. Apa ni? Lansung berat sebalah tau!
“Okay, saya akan cerita,” Fairul mengalah.
Saat itu mata Kasturi sudah bersinar-sinar. Kalau begitu dia akan selalu
merajuk dengan Fairul. Hehe.
“Tapi lepas awak cerita kat saya fasal
Wan,” ugut Fairul bersama-sama tawa kecilnya. Lansung tidak menyangka yang
Kasturi akan bertindak seperti kebudak-budakan di hadapannya. Serta-merta dia
berasa kembang kempis kerana bukan semua dapat melihat sifat manja Kasturi.
Kasturi pula sudah buat muka 14. Hendak tidak hendak, dia mengalah juga.
“SAYA
kenal dia masa saya empat tahun. Saya didiognose
dengan penyakit jantung berlobang masa saya dua tahun. The rest of my childhood, saya boleh kata saya lebih suka
bersendiri dari bermain dengan budak-budak lain. Saya senang dengan kucing
robot saya, Neko dan Wan, satu-satunya manusia yang saya rapat,” cerita Kasturi
sambil merenung gambar Wan yang ketika itu sedang berdiri di sebelahnya pada
hari pemeriksaan kesihatan Kasturi di Hospital Evergreen.
“Manusia yang awak rapat?” soal Fairul
tidak faham.
Kasturi mengangguk. “Dulu disebabkan saya,
papa dan mama selalu kene tegur dengan doktor. Kerana saya juga saya dah tak
boleh main dengan pembantu rumah saya. Jadi saya jarakkan diri saya dari
mereka. Lagipun saya fikir masa itu, hayat saya seperti telur di hujung tanduk.
Hidup saya terlalu rapuh, Fairul. Saya tak mahu papa, mama, pembantu rumah, gardener, driver dan yang lain sedih
kerana saya. Saya tahu saya anak kesayangan semua, jadi saya buat mereka semua
benci saya, tidak mahukan saya, tinggalkan saya dan saya senang begitu. So,
sebab itu satu-satunya benda yang rapat dengan saya ialah Neko,” jawab Kasturi
panjang lebar.
“...dan saya lansung tak terfikir suatu
hari nanti saya akan berjumpa dengan Wan,” tambah Kasturi sambil tersenyum
sendiri. Memori ketika dia pertama kali berjumpa dengan Wan membuatkan hatinya
rasa geli. Seperti perjumpaan rahsia Romeo dan Juliet!
Fairul berasa sedikit cemburu dengan Wan.
Namun dia cepat-cepat buang perasaan itu kerana dia tahu, memori yang Kasturi
kongsi bersama Wan sangat berharga sehingga tiada siapa dapat mencelah antara
mereka.
“Dia mesti seorang sahabat yang awak sayangkan?”
soal Fairul lembut.
Kasturi tergelak kecil. Fairul mengerutkan
dahinya kerana pelik.
“Dia butler
saya! Seorang yang tiada perasaan dan riak. Macam robot!” kata Kasturi dan
terus ketawa. Bertambah kerut di dahi Fairul. Sebuah tanda tanya muncul di
dahinya. Kasturi tidak tahu perkara sebenarkah? Fairul mula rasa ada satu
perkara yang tidak kena.
“Kasturi...” panggil Fairul.
“Hm?”
“Macam mana awak eja nama One?” soal Fairul yang membuatkan tawa
Kasturi mati. Dahinya pula kini berkerut. Fairul juga mengerutkan dahinya.
Kenapa soalan itu yang meluncur dari mulutnya? Apa kaitannya dengan persoalan
yang berlegar dalam fikirannya?
“W. A. N. Wan! Awak ni kenapa tanya soalan
pelik-pelik?” soal Kasturi bersama sengihan.
Fairul tidak percaya dengan jawapan Kasturi. Sekejap-sekejap. Wan dan One. Dua perkataan yang berbeza ejaan
dengan bunyi yang serupa. Tetapi kenapa Kasturi memanggilnya Wan dan bukannya One? Fairul mula keliru.
“Fairul? Awak okay?” Kasturi menjadi risau
melihat riak Fairul yang seperti pucat itu. Fairul pantas mengangguk. Lalu
seukir senyuman dihadiahkan buat Kasturi. Kasturi membalas senyuman Fairul.
Lega hatinya melihat senyuman Fairul yang terukir.
“Jadi sekarang ‘One’ dekat mana?” soal Fairul dengan sengaja menekankan perkataan One.
“Tak tahu. Last saya jumpa dia 20 tahun dulu. Di hari pembendahan pemindahan
jantung saya. Hilang bak angin lalu. Dia selalu janji dengan saya yang dia akan
sentiasa berada di sisi saya, Fairul. Tapi, entahlah. Janji tinggal janji. Dia
tu manusia paling pelik yang pernah saya jumpa,” jawab Kasturi sambil matanya
melihat ke luar tingkap. Rintik-rintik hujan mula kelihatan di kaca tingkap.
Mendengarkan jawapan Kasturi membuatkan jantungnya
terhenti seketika. Ayat ‘manusia paling pelik’ dan ayat sebelum ini. Ayat
‘satu-satunya manusia’ menjadikan seluruh kekeliruannya menjadi sebuah potret
yang lengkap. Fairul memandang Kasturi. Dia berasa tidak percaya dengan apa
yang dia dengari ini.
“Kamu kene sedia
untuk yang terburuk Fai.”
Tiba-tiba pesanan ayahnya malam tadi
menjengah mindanya. Air matanya seperti hendak mengalir sahaja jika dirinya
diletakkan di tempat Kasturi yang diumpakan serupa dengan ‘Hidup tanpa
mengetahui apa-apa!’ Dada Fairul menjadi berombak. Sarat dengan oksigen dan
rasa pedih yang amat. Pantas Fairul mengusap-usap dadanya dan beristighar
banyak kali. Ya Allah, dugaan apa yang telah kau berikan pada hambamu ini Ya
Allah?
“Fairul? Awak pasti ke awak okay?”
“Awak okay Kasturi?” soalan dibalas
soalan.
Meletus ketawa Kasturi. Dia menekup
mulutnya dengan tangan kanannya dan tangan kirinya menahan rasa senak di perut.
Sah! Fairul sakit! “Saya rasa... awak patut... balik, hehe.”
“Hah?” soal Fairul tidak faham. Dia pelik
kenapa Kasturi berkata sedemikian padanya? Kenapa dia perlu pulang?
Kasturi menggeleng perlahan. What a ride! Hari ini Kasturi rasa
seperti hidupnya baru sahaja melepasi halangan tertinggi roller coaster! Sudahlah pagi tadi dia dikejutkan dengan panggilan
dari Nura, dengan mengatakan ada orang sedang mengekorinya, kemudian dia
menerima berita tentang penglibatan junior-juniornya
secara terangan. Sudahlah tu, tadi dia menangis, kini dia ketawa tidak
henti-henti?
Perlahan-lahan Fairul sedar sesuatu dan
sesuatu adalah senyuman dan gelak ketawa Kasturi begitu cantik dan beharga
kerana ia mahal buat sesiapa sahaja yang kenal Kasturi begitu sahaja. Dia rasa
dia tahu kenapa orang-orang di sekeliling Kasturi menyembunyikan kebenaran
bahawasanya One atau Kasturi panggil
Wan itu adalah robot! Robot manusia ciptaan pertama ayah angkatnya, Profesor
Doktor Hazril, bekas ahli saintis Ahli Kaji Universe.
Namun, Fairul berfikir. Kenapa perlu mesti
dirahsiakan? Kenapa tidak diberitahu sahaja? Bukankah hidup Kasturi akan lebih
mudah begitu? Senyumannya juga takkan mati untuk satu jangka masa yang lama.
Sekejap, sekejap. Adakah ini bermakna Zareen juga mengetahui kebenarannya?
Bagaimana dengan Syukri? Haidil? Zulaika? Tetapi yang paling utama, adakah
Kasturi mempunyai apa-apa perasaan pada One?
Persoalan ini kerap bermain di fikirannya sejak semalam, sejak Syukri asyik
bermain teka-teki dengannya selepas majlis itu di kafe di Gleam City.
“He’s
my first love,” jawab Kasturi tenang apabila Fairul mengajukan pertanyaan
itu pada Kasturi. Fairul pula berasa seperti batu besar yang menghempap
dirinya. Sungguh, beratnya hingga dia rasa beban yang tergalas pada bahu Dato’
Mahmood, Datin Melur, Zareen dan yang lain. Perasaan tidak sanggup itu menjalar
ke seluruh hatinya. Dia kini sedikit faham akan tindakan keluarga Kasturi
dengan menyembunyikan hal sebenar dari Kasturi dan juga mungkin keadaan mereka
ketika pertama kali mengetahui perkara ini sama sepertinya. Apapun, dia perlu
memastikan hal itu dulu dengan Zareen. Pantas tangannya mencapai telefon
pintarnya dan menaip sms.
Hujan terus lebat menyimbah bumi. Suasana
mula menjadi sejuk. Fairul ingin bertanya lagi mengenai apa yang Syukri
sebutkan malam tadi atau yang sebenarnya provok, namun ditahan dahulu apabila
dia melihat Kasturi turun dari window bay
lalu menuruni anak tangga menuju ke alat kawalan pintas. Ikon ‘heater’ ditekan dan alat pemanas pun
terhidup. Tidak mengapalah, nanti sahajalah aku tanya, fikir Fairul.
“Fairul, lunch sini okay? Kita ada tukang masak kat rumah lagipun hujan kat
luar,” laung Kasturi dari dapur dan turut serta bersama Nura yang sibuk
memotong itu dan ini di kabinet isle.
ZAREEN
menekan ikon ‘open door’ pada skrin
alat kawalan pintarnya. Sebaik sahaja pintu itu menggelongsor perlahan, membuka
pintunya buat tetamu yang hadir malam itu, tersembul Fairul dengan wajah yang
lesu. Zareen tersenyum nipis lalu menjemput Fairul masuk.
Fairul masuk ke dalam rumah dengan
perasaan yang berkecamuk. Salam diberi dengan suara yang perlahan. Kasutnya
dibuka lalu disusun cantik di tepi. Selipar sarung yang disediakan itu disarung
malas oleh Fairul. Zareen yang melihat cuaca mendung yang bermukim di wajah
Fairul, membuatkan hatinya timbul dengan pelbagai tanda tanya.
‘Bergaduh lagikah? Takkan Fairul yang
penyabar ini pun boleh kalah dengan Si Egois Kasturi?’ Zareen mula membuat
andaian. Setahunya, satakat ini hanya Fairul sahaja mampu membuatkan Kasturi
yang keras itu lembut dan mendengar kata selain daripada Wan.
Kedua-dua lelaki itu melangkah ke ruang
tamu yang tidaklah seluas ruang tamu di rumah Kasturi. Cukuplah ada satu set
sofa yang juga boleh diubah menjadi tilam tidur itu dan sebuah meja kopi yang
berbentuk seperti barel yang dicantum dengan dua buah lagi barel yang berbeza
saiz. Sebauh televisyen LCD slim 80’
inchi turut terlekat di dinding ruang tamu itu.
“Fairul duduklah dulu, abang nak pergi
dapur jap,” jemput Zareen lalu berlalu ke dapur. Fairul pula terus melabuhkan
punggungnya apabila tuan rumah sudah berkata begitu. Sesekali dia membetulkan
urat-urat tegang di lehernya dengan memusingkan kepalanya ke kiri dan ke kanan.
Matanya pula terpejam rapat. Selesai mengurut lehernya, dia melentokkan
kepalanya ke kepala sofa itu.
Masih terngiang-ngiang lagi
pertengkarannya dengan Kasturi petang tadi. Entah di mana silapnya. Dia sendiri
tidak tahu. Ingatkan pagi itu, dia dan Kasturi sudah berbaik, tetapi hari yang
panas disangka hingga ke patang rupanya hujan di tengah hari. Begitulah
hubungannya dengan Kasturi jika digandingkkan dengan perumpamaan. Sudah tiga
kali dia bercinta, ini adalah kali pertama dia rasa seperti betul-betul bertemu
buku dan ruas!
Celik mata Fairul apabila terdengar bunyi
laga cawan dan permukaan meja kopi. Pantas dia menegakkan duduknya. Zareen yang
dilihat, berhati-hati menuang kopi pekat yang berasap ke dalam cawan silinder
yang bewarna jingga.
“Abang Reen ni susah-susah je,” kata
Fairul lantas cuba mengambil tempat sebagai penuang kopi.
“Tak perlu. Fairul kan tetamu abang, jadi
biar abang yang sediakan.” Pantas Zareen menolak tangan Fairul dengan lembut.
Cawan kopi ketiga itu hampir dipenuhi olehnya apabila Fairul bertanya sesuatu
padanya.
“Tiga? Siapa lagi sorang bang?”
Zareen hanya tersenyum. Tiba-tiba loceng
rumahnya berbunyi tanda ada tetamu yang berada di hadapan pintu rumahnya. Lalu
Zareen bangkit dan pergi ke entrance hallnya.
Fairul mengerut dahi. Setahunya, malam ini hanya dia dan Zareen sahaja yang
akan berbincang. Siapa lagi seorang? Harap bukan Syukri. Dia tidak mahu
bergaduh dengan lelaki panas baran itu seperti semalam.
“Assalamualaikum Zareen.”
Suara orang yang memberi salam itu
membuatkan Fairul terserantak. Punggungnya menjadi ringan untuk bangun apabila
kelibat lelaki itu menjelma di depan matanya.
“Ayah...” ucap Fairul terkejut.
“Bila kamu sampai Fai? Nampaknya saya yang
terlambat ye...” ujar Encik Hazril seraya itu ketawa kecilnya meletus. Zareen
yang berada di belakang pantas membalas.
“Tak lah prof. Prof awal lima minit dari
yang dijanjikan. Fairul ni hah, lagi awal dia sampai.”
Serentak itu, ketawa Encik Hazril dan
Zareen berpadu dan menambahkan lagi kedut di dahi Fairul. Matanya tidak
lepas-lepas memandang wajah lelaki-lelaki dihadapannya silih ganti.
Melihatkan Fairul yang kelihatan seperti
rusa masuk kampung itu, Encik Hazril mengambil tempatnya di sebelah kanan
Fairul. Lalu bahu anak muda itu ditepuknya perlahan. Zareen pula sudah berlalu
ke dapur. Katanya mahu mengambil sesuatu lagi.
“Maaflah ayah tak beritahu kamu awal-awal
tentang ni Fai. Ayah fikir Zareen ada maklumkan pada kamu,” pohon Encik Hazril
lalu mengajak anaknya duduk di sofa.
Fairul seperti kehilangan kata-kata.
Sudahnya dia hanya menggeleng dan menjemput Encik Hazril untuk minum. Zareen
muncul sejerus kemudian bersama-sama sandwich
telur yang dibuatnya sendiri.
“Jemputlah makan. Makanan orang bujang,
takdelah istimewa sangat tetapi hanya itu sahaja yang mampu saya sediakan,”
kata Zareen merendah diri.
“Saya tak kisah Zareen. Sandwich pun dah kira cukup. Malam-malam
macam ni nak buat apa makan yang berat-berat dan berminyak? Saya ni dah tua,
kena jaga badan, kalau tak nanti susahkan Fairul juga,” kata Encik Hazril
sambil itu mengingatkan dirinya yang tidak berapa sihat semenjak paras
kolestrolnya meningkat dua tiga bulan lepas.
Zareen dan Fairul sudah tersenyum simpul
mendengar nasihat lelaki tua itu. Lantas mereka mencapai juga sekeping sandwich dan disuakan ke mulut. Seketika
suasana menjadi sepi dan yang kedengaran hanyalah bunyi cawan yang berlaga.
“Macam mana Kasturi, Fai? Pagi-pagi tadi
lagi kamu dah cari dia?” kata Encik Hazril sebagai pembuka perbualan dan juga
antara sebab kenapa mereka bertemu di rumah Zareen malam itu. Semuanya
gara-gara memori lalu Kasturi.
Fairul meletakkan cawan kopinya. Satu
keluhan kecil terbit di hujung bibirnya. Tidak tahu bagaimana dia harus
menjawab pertanyaan itu. Mengingatkan Kasturi membuatkan jiwanya resah gelisah.
Perasaan yang bercampur aduk yang dirasai olehnya pagi tadi kini mula menular
semula.
“Dia sihat-sihat saja, ayah.”
Kening Encik Hazril terangkat. Dia
berpaling melihat Zareen yang berada di sofa individual seat yang terletak di kiri Fairul. Zareen turut berbuat
demikian. Pelik melihat angin yang melanda Fairul.
“Sebenarnya, apa yang berlaku prof?” soal
Zareen cuba mengetahui duduk perkara sebenar. Dia sebenarnya kurang faham
dengan perkara yang berlaku lebih-lebih lagi, ketika Fairul menalefonnya petang
tadi mengatakan yang dia mahu berjumpa dan berbincang sesuatu mengenai masa
lalu Kasturi. Zareen yang berasa tidak sedap hati, terus menalefon Encik Hazril
dan meminta lelaki itu hadir sekali, sekurang-kurangnya jika ada perkara yang
tidak dapat dia beritahu pada Fairul, Encik Hazril yang akan menjawabnya.
Encik Hazril lihat pada Fairul yang bermuram
durja itu. “Kamu tahu bukan bahawa Fairul ini abang kepada One, Zareen?” soal lelaki itu. Setahunya One adalah robot.
Bagaimana Fairul boleh jadi abang sedangkan teruna di hadapannya itu manusia
ataupun seorang half-cyborg. Malah persoalan yang pernah bermain dalam mindanya
dahulu, masih tidak terluah. Adakah malam itu dia akan peroleh jawapannya?
“Abang? Maksud prof?”
“Fairul merupakan contoh model kepada One. Boleh kata, seorang mentor kepada
seorang protege,” jawab Encik Hazril serius.
Zareen menggeleng-geleng tanda tidak
faham. Dia tidak mengerti maksud Encik Hazril dengan kata-kata mentor dan
protege. “Saya tidak faham prof,” ujar Zareen terus terang.
Encik Hazril mengeluh. Terlampau banyak
rahsia dia dan Dato’ Mahmood simpan sehinggakan melukakan hati orang yang
mereka sayangi. Lantas Encik Hazril menjeling Fairul yang masih lagi tenggelam
dalam dunianya. Semalam, ketika anaknya pulang dari Vila Harmoni, anaknya itu
seperti orang hilang kawalan diri. Habis segala barang disepahkannya. Setiap
album yang tersimpan dibongkarnya.
“Ada sesuatu yang saya rahsiakan dari kamu
Zareen. Sesuatu yang penting dan perkara ini telah diketahui oleh papa kamu. Saya
mahu kamu bertenang dahulu.”
Terkebil-kebil mata Zareen melihat betapa
seriusnya wajah Encik Hazril tika ini. Jantungnya tiba-tiba sahaja berlari
laju. Dia mula berasa tidak sedap hati. Seperti ada sesuatu yang menekan-nekan
dadanya. Fairul yang berada di kanannya, masih lagi diam dan tidak menunjukkan
sebarang reaksi terhadap kata-kata Encik Hazril. Perlahan-lahan, dia menarik
nafas dan dihembusnya dengan tenang. Walau apapun yang bakal Encik Hazril
bongkarkan selepas ini, dia harus bertenang dan mengawal dirinya. Dugaan
seperti ini merupakan salah satu ujian untuknya menjadi pengganti Dato Bandar
Square Enix.
“Kamu tahukan One itu robot?” soal Encik Hazril.
Fairul yang tadi menunduk kini berpaling
memandang Zareen. Menanti jawapan daripada lelaki yang sangat dia hormati itu.
Jawapan yang bakal menjawab sebahagian daripada persoalannya.
Zareen mengannguk yakin. Perkara itu telah
lama dia ketahui semenjak dia mula menjejakkan kaki ke Vila Harmoni dan perkara
itu sendiri telah diberitahui oleh Datin Melur, mama tirinya.
Mata Fairul membulat melihat anggukan
lelaki itu. Jadi betullah apa yang dia fikirkan sepanjang satu hari ini. Satu
kenyataan yang jika dia berada di tempat Kasturi, seolah-olah dirinya telah
ditikam dari belakang.
“One
datang ke Vila Harmoni sebagai robot penjaga pesakit kemurungankan?” soal
Zareen yang begitu khusyuk dengan perbualannya dengan Encik Hazril sehingga
tidak sedar akan renungan tajam Fairul.
Encik Hazril mengangguk. “Ya... tapi itu
semua diperingkat percubaan.”
“Percubaan?” Kerut di dahi Zareen sekali
lagi terkelihatan. Apa maksud Encik Hazril dengan peringkat percubaan? Adakah
selama ini Kasturi hanya sebuah alat pengukur percubaan sebuah robot? Begitu?
“24 tahun yang lepas, setelah lima tahun,
saya masih lagi tidak dapat menyudahkan satu bahagian yang terdapat pada tubuh
projek 001 ataupun kamu panggilnya O.N.E atau W.A.N. Iainya sebuah projek yang
orang panggil ‘gila’...” tiba-tiba Encik Hazril berjeda. Memori lalu menggamit
mindanya membuatkannya sedikit sukar untuk menyambung ceritanya.
“Di saat saya temui kebuntuan... saya
jumpa Fairul bersama-sama dengan barang yang mampu... menyumbang kepada kejayaan projek 001 dan atas
rasa terima kasih saya terhadap apa yang saya terima... saya reka wajah,
personal, dan segalanya yang ada pada Fairul, sebiji dan sebulat pada One. Mereka ialah kembar dari segala
sudut...
“...kecuali pada riak One. Fairul mampu untuk ketawa, manangis dan marah tetapi One tidak mampu. Itu yang membezakan
mereka. Namun... ada sesuatu yang menghubungkan mereka yang membuatkan saya
fikir... One... harus berada pada
tahap percubaan dengan skala yang sangat tinggi.” Diakhir kata lelaki itu
menghembuskan nafas yang berat. Mulutnya menjadi kian berat untuk membuka.
Betapa kenyataan yang seterusnya adalah sesuatu di luar jangkauan ciptaan
manusia.
“Saya dan One mampu berkongsi rasa antara satu sama lain...” sambung Fairul
seperti tiada rasa di hatinya. Matanya masih lagi merenung wajah Zareen yang
berkalih memandangnya.
Kening Zareen bertemu. Kekeliruannya
bertambah mendengarkan kenyataan itu. Bukankah tadi Encik Hazril berkata bahawa
One tiada riak sedangkan lelaki di hadapannya ini mampu untuk ketawa, menangis
dan marah. Kemudian tiba-tiba Fairul kata mereka mampu untuk berkongsi rasa.
Apa yang sebenarnya yang mereka cuba beritahu?
“Pada zahirnya, kamu lihat One itu hanya sebuah robot biasa yang
tidak berasa apa-apa. Hakikatnya, robot
itu tahu apa gembira? Apa itu sedih? Apa itu geram? Dia rasa segalanya Zareen.
Tetapi saya tidak sedar itu semua pada awalnya Zareen. Saya tidak tahu mana
silapnya Zareen,” ujar Encik Hazril dalam nada yang sangat perlahan.
“Sekejap. Apa yang prof cuba katakan
sebenarnya? Adakah ketika prof hantar One
ke vila, prof sudah sedar akan kehadiran ‘sesuatu’ itu?” Pantas Zareen
memotong. Memikirkan hal itu, dadanya mula berlari lebih laju. Kepalanya mula
berpinar.
“Tidak Zareen. Tidak! Pada mulanya ia
sekadar satu sentuhan rasa!”
“Rasa?”
“Setiap kali saya letak tangan kiri di
dada One, saya rasa seperti satu arus tenaga mengalir melalui setiap saraf yang
ada dalam tubuh saya, Abang Reen. Seolah-olah ada satu tindak balas,” jawab
Fairul sambil memandang ke arah telapak tangan kirinya. Sebuah kenyataan yang
masih lagi memberi tanda tanya pada dirinya memandangkan apa yang telah berlaku
pada dirinya dan Kasturi tiga minggu lepas.
“Arus tenaga?” Wajah Zareen yang tadi
penuh kerut kini bertukar kendur. Entah kenapa mendengar jawapan itu, otaknya
seolah-olah menjadi kosong. Blank!
Encik Hazril menelan liur. Melihat
perubahan wajah Zareen dia menjadi sedikit takut akan perubahan yang
seterusnya. Namun, perlahan-lahan dia mengutip semangat yang ada supaya dia,
Fairul waima Zareen sekalipun mampu menempuh sesi itu. Semalam, dia telah
bercerita perkara yang sama pada anaknya dan hari ini dia membuka pekungnya
sekali lagi. Ah! Semua ini salahnya. Dia tidak sepatutnya memulakan projek itu.
Dia tidak sepatutnya menjadi terlalu tamak. Namun, nasi telah menjadi bubur.
Apa yang telah terjadi, tetap terjadi, dan apa yang bakal terjadi,
pandai-pandailah dia mencoraknya. Jalan sudah ada di hadapan mata. Cuma
menunggu masa sahaja untuk dipilih.
“Satu fakta yang menjadikan sebuah
hypothesis dan seterusnya kepada inferencenya... dan untuk mencapai sebuah
bukti kukuh untuk fakta itu, saya hantar One pada papa kamu terus ke adik kamu
Zareen.”
“Kasturi jadi alat kepada sebuah uji
kaji?!” marah Zareen tiba-tiba. Hatinya menjadi sakit mendengar kata-kata itu.
Hati adiknya telah dipermain-mainkan dengan dijadikan sebagai alat pengukur
kepada seekor tikus putih? What the?
“Zareen bertenang. Saya tahu kamu terkejut
dengar tentang hal ini tapi...”
“It
is unacceptable! Mengarut! Prof tahu tak, prof dah main-mainkan perasaan
adik saya! Prof tipu dia!” jerkah Zareen. Kali ini dia sudah tidak boleh
bertenang. Hatinya benar-benar telah dijilat api kemarahan.
“Habis Abang Reen tipu Kasturi boleh
pulak?!” marah Fairul tiba-tiba. Sudah lama dia menunggu masa untuk
menghamburkan kata itu. Namapaknya pada hari ini, Si Penyabar Fairul dan Si
Tenang Zareen, masing-masing sudah tidak seperti diri masing-masing.
“What?!”
“Abang Reen rahsiakan hakikat sebenar yang
One tu robot dari Kasturi tu, boleh
pulak? For 20 years! Wow! Syukri pun
tahu ke hal ni? Kak Ika? Dato’ dan Datin? Yang lain? Apa ni? Masing-masing
pakat tipu Kasturi. Untuk apa?!” jerit Fairul. Segala rasa yang terbuku di
hatinya kini beransur hilang. Dirinya kini rasa kosong, teramat kosong.
Encik Hazril yang duduk di sebelah Fairul
sedikit terkejut dengan perubahan mendadak anak terunanya. Semalam juga Fairul
bertindak sebegitu tetapi tidaklah sehebat ini. Nampaknya, anaknya kali ini benar-benar
mengamuk.
Wajah merah Zareen tadi kini beransur
hilang. Apabila dirinya dijerkah begitu, membuatkan dia tersedar sesuatu.
Perlahan-lahan Zareen menekup wajahnya.
“Is
it because of what Kasturi felt?” Suara Fairul kembali mengendur setelah menyedari
dia telah bertindak kurang sopan di hadapan orang yang dihormatinya. Ah marah!
Perasaan itu membunuh rasa hormat seseorang! Sesuatu yang Fairul pelajari hari
ini.
Zareen mengangkat wajahnya. Terkejut
mendengar pertanyaan Fairul.
“Need
no worry. Saya tersedar sendiri masa saya jumpa Kasturi pagi tadi dan saya
tak beritahu dia apa-apa tentang One,”
kata Fairul membuatkan hati Zareen sedikit lega. Lega kerana kebenaran masih
lagi tidak terbongkar. Lalu lelaki 30 tahun itu meraup wajahnya dan sekaligus
menolak rambutnya ke belakang.
“Kau jumpa dia pagi tadi?” soal Zareen
sambil matanya memerhati Encik Hazril yang mencapai secawan kopi.
“Ha’ah. Saya perlu dengar sendiri dari
mulut Kasturi tentang Wan walaupun semalam, ayah ada beritahu saya. Tapi bukan
sepenuhnya. Jadi saya jumpa dia.”
“Ada dia beritahu yang dia hampir bunuh
diri sebab kemurungan?” soal Zareen tiba-tiba.
“Hah?” Terbeliak mata Fairul mendengar
soalan Zareen. Pantas dia menggeleng tanda Kasturi tidak beritahu padanya
tentang hal itu.
Zareen ketawa kecil. Kepalanya disandarkan
pada kepala sofa. “Ada tak dia cerita dia kelar tangan dia sebab tak boleh
terima hakikat yang Wan hilang dari hidup dia?”
Sekali lagi Fairul menggeleng. Sungguh,
Fairul tidak menyangka gadis berumur sekecil itu mampu melakukan perkara yang
sebegitu. Susah baginya untuk percaya akan tindakan bodoh Kasturi suatu masa
dahulu. Perasaan simpati dan bersalah mula bersarang di hatinya. Tiba-tiba
hatinya diserang sesuatu hakikat yang ingin Zareen sampaikan.
Bagaimana jika Kasturi tahu Wan itu
seorang robot?
Apabila matanya berkalih melihat wajah
Zareen, jawapan mudah kepada persoalan yang timbul itu berulang bunyi di
mindanya. Birai mulutnya kering. Serasa air liur yang berkumpul tadi bertukar
menjadi pasir-pasir halus di pantai. Adakah kerana jawapan itu semua mengambil
jalan untuk membisu. Mati?
No comments:
Post a Comment