Thursday, April 25, 2013

Dua puluh empat


Dua pulu empat: Perfect Maze

16 April 2731, 2110pm, tandas wanita, High End Residance Hotel, Posh High

     Kasturi membuka matanya, rona jingga menerjah irisnya. Beberapa serpihan batu jatuh dari atap tandas itu dan mengena pada kepala Anna atau lebih tepat dopelgangger Anna. Tangan kanan gadis itu yang diangkat tinggi, jatuh bersama-sama terukirnya senyuman seribu makna. Kasturi berdiri tegak membetulkan posturnya dan menyalurkan sedikit rasa yakin diri.

     “Siapa kau sebenarnya?” soal Kasturi. Anak mata hijau tuanya tepat menikam senyuman sadis gadis itu.

     Gadis itu berpeluk tubuh lalu ketawa mengekek.

     “Aku? Heh!” ujarnya sambil berjalan mendekati Kasturi dengan lenggoknya.

     “Aku boleh jadi sesiapa daripada seorang yang kau benci...” seiring katanya itu badannya mula kabur dan mengalami transmutasi. Langkahnya semakin mendekati tubuh Kasturi sehingga perubahan itu menjadi sempurna dan berada di hadapan, Kasturi dapat rasakan biji matanya ingin terjojol keluar dari kotaknya.

     “...kepada seorang yang sangat kau sayangi,” tambahnya lagi dalam tubuh kecil milik Wan berserta pandangan dingin yang mempesonakan. Lalu pistol di tangannya diacukan pada wajah Kasturi.

     “...dan untuk pengetahuan kau, nama aku, Mira.” Dalam senyum sadis dan kilau mata persona itu.

     Kasturi mengatap bibirnya. ‘Jangan nak main-mainkan aku budak!’ desis hatinya dan lansung menendang perut Mira lalu menarik hujung kainnya lantas membelahnya hingga ke paras betis dan meyingkap sepucuk pistol yang tersimpan di tempatnya.

     Namun Mira yang ditendang, mendarat dengan sempurna juga tanpa lengah menarik picu dan...

     “Banng!”

     “Banng!”

     “Banng!”

     “Banng!”

     Beberapa das tembakan demi tembakan dilepaskan antara mereka, bergerak dalam putaran, puluru sesat menjadikan suasana keliling menjadi bersepah dan kucar kacir. Serpihan kaca cermin, pasu bunga, jubin dan sinki juga paip air yang sudah terpelanting dan memancutkan air keluar dari corongnya dengan arus air yang laju menjadikan bilik itu banjir. Masing-masing berdesah kuat dan laju, lencun dengan air yang keluar bak air terjun.

     “Kau tak boleh lari dari aku,” ujar Mira yang masih lagi dalam bentuk tubuh Wan.

     “Macam aku kisah?” jawabnya sadis benar-benar dalam mod KIL.

     “Hahahaha!” Mira ketawa mengilai dan tertunduk-tunduk. Kasturi mengetap giginya kuat. Melempiaskan rasa amarahnya, dia mengoyak kain gaunnya mendedahkan seluar tights tiga sukunya dan empat kompartmen senjata yang melekap di betisnya.

     “Banng!”

     Mira berhenti ketawa. Hujung matanya menjadi tajam dan dia mulai serius apabila sebutir peluru tepat mengenai lengan kanannya.

     “Heh!” Mira meludahkan liurnya ketepi lalu pistol itu bertukar tangan dan sekali lagi aksi tembak menembak bermula. Kasturi berlari ke hujung tandas dan setiap ruang tandas yang dilaluinya, pintu itu dibuka supaya menghalang tembakan gila Mira.

     Dalam tergesa-gesa, Kasturi cekap menyimpan pistol tersebut dan mengeluarkan sepucuk pistol laser yang diberi oleh Haidil beberapa malam lalu.

     “Cepat Kasturi. Keluar!” ujar Mira sambil ketawa mengekek dan tidak henti. Tangannya masih lagi memegang picu dan terus menekan sehingga berlobang-lobang setiap pintu yang berlapis empat itu. Tiba-tiba satu cahaya merah tepat bergerak dalam satu garisan lurus menuju pada lehernya. Awas, Mira merebahkan tubuhnya pada air yang bertakung. Bunyi becak air kedengaran laju menandakan Kasturi mara dengan pantas sambil menendang pintu dari belakang dan akhirnya pintu itu rebah sehinggakan semua pintu itu tertanggal dari engselnya.

     Tanpa amaran, Mira menggapai pergelangan kaki Kasturi dan menariknya sehingga gadis tinggi lampai itu terjatuh menyembam air bah. Hidungnya rasa perit dan dadanya rasa sengal.

     Mira bangkit dan mendekati Kasturi. Lehernya yang sedikit memerah di hujung kanannya digesel dengan belakang tangan kiri yang turut memegang pistol itu tanpa lepas. Lantas tangan kanannya yang cedera, menarik rambut Kasturi kasar sehingga Kasturi dapat rasakan yang rambutnya itu hendak tercabut sahaja dari kulit kepalanya. Belakang badannya dipijaki oleh kedua belah kaki kecil Mira menjadikannya berdiri di atas Kasturi. Wajahnya dirapatkan ke telinga Kasturi.

     “Kau tahu tak, aku bukan sahaja dapat memanipulasikan orang dengan rupa aku, malah aku dapat baca hati mereka,” bisik Mira lalu dengan perlahan meniup angin pada telinga Kasturi yang mengerang kesakitan.

     Kasturi menutup matanya.  Meminta tuhan membantunya menahan rasa. Tubuh yang memijak badannya itu hanya tubuh illusi dan bukannya Wan. Sekali lagi rambutnya ditarik kasar.

     “Yang ini untuk apa kau dah buat kat tangan kanan aku!”

     “Aaahh!” Kasturi menjerit kesakitan. Kedua belah tangannya ditongkat supaya menahan sakit di tulang belakangnya. Air matanya mengalir saat sekali lagi rambutnya ditarik kasar dan badannya seolah-olah dilipat dua setinggi 90°. Serasa satu benda sejuk diacu ke kepalanya.

     Kasturi mengetap bibirnya mendengarkan suara seronok Mira menyeksanya atau lebih kepada mempermainkannya bagai dia ini anak patung untuk dimusnahkan.

     “Apakata kita main permainan yang lebih seronok?” cadang Mira yang sudah bersila di atas belakang badan Kasturi, masih lagi menarik rambut Kasturi dengan rasa seronok. Tidak dapat Kasturi bayangkan bagaimana agaknya wajah itu beriaksi. Tubuh Wan yang didiami setan di dalamnya.

     Sekali lagi Mira menarik rambut Kasturi kasar.

     “Aku tanya kau, kau jawablah!”

     “Apa yang kau nak?!” soal Kasturi dalam suara yang kedengaran kasar.

     “Kita main sorok-sorok. Kalau kau dapat keluar dari tempat ni... kau menang dan dapat hidup. Kalau aku jumpa kau dulu sebelum kau keluar, kau mati. Faham?”

     “Apa motif kau nak bunuh aku?”

     “Oh senang aja soalan kau. Sebab masa pertama kali aku jumpa kau kat Suburban dulu aku tak dapat bunuh kau sebaliknya terbunuh kawan laki kau yang sepatutnya Kristal bunuh,” jawab Mira bersahaja.

     Bola mata Kasturi membesar. Seperti tidak percaya dengan kata-kata gadis itu.

     “Maksud kau?”

     “Bodoh! Aku ada kat tempat tu sepanjang masa! Aku perhatikan kau sepanjang aku menyorok dan tangan aku gatal sangat nak tarik picu ni dan halakan pistol aku ni pada kau macam sekarang dan untuk puaskan hati kau sebelum kau banyak tanya aku lagi, Kristal diarahkan untuk bunuh kawan kau tu sebab dia dah tahu lebih dari yang sepatutnya and that is why lead to another acounter with you at Posh High. Sekarang beritahu aku kat mana budak Nura tu ada sekarang?!!”

     Serentak dia menolak kepala Kasturi kasar sehingga terhantuk pada lantai marmar yang berkilat itu. Kasturi dapat rasakan kepalanya berpinar-pinar. Cepat-cepat dia menggeleng menghilangkan rasa pening di kepala.

     “Kau...” ujar Kasturi tenang.

     “...tangkap aku dulu!”

     Lalu dia memegang pergelangan kaki kiri Mira, memusingkan tubuhnya supaya dapat berdiri dan melemparkan tubuh kecil serupa Wan itu pada hujung tandas dalam sekelip mata. Pantas dia bergerak menuju ke pintu tandas dan membukanya. Nasib baik kali ini pintu itu dapat dibuka setelah tadi usahanya tidak menjadi sebelum perang matrix antaranya dengan Mira.

     Seperti peristiwa itu berlaku dalam gerak perlahan dan Kasturi terus berlari meninggalkan Mira di tandas yang sudah menjerit marah memanggil namanya disusuli beberapa das peluru yang terbang tepat mengena pada pintu dan peha kiri Kasturi.

     Dia rebah pada karpet hijau lumut itu namun segera dia bangkit dan mula berlari dalam terhinjut-hinjut. Bibir bawah diketap kuat. Keselamatan dirinya harus diutamakan dahulu.

     “Kau tunggulah Kasturi!” jerit Mira nyaring. Wajahnya dipenuhi darah yang mengalir dipandang Kasturi sayu namun dia tetap membuka seribu langkah. Tidak, dia tidak berasa sedih pada gadis itu namun dia berasa sedih pada diri sendiri yang masih lagi boleh berasa kasihan pada tubuh yang memegang jiwa Mira. Sedarlah Kasturi!



     DIA menyandarkan dirinya pada dinding. Melepaskan lelah di dada. Dia melihat kiri dan kanannya. Imej yang terbentuk di skrin matanya kabur dan terumbang ambing. Langkah diayun perlahan. Dia rasa seperti dia sudah melangkah jauh dari tandas itu namun rasa seperti dia bergerak dalam satu kawasan yang sama tanpa ada penghujungnya. Sedikit pelik dengan situasi dihadapi apabila barisan bilik suite terbentang di setiap sisinya.

     Lalu dia mencuba buka salah sebuah suite tersebut. Alangkah terkejutnya apabila tombol pintu itu dapat ditolaki olehnya. Sekali lagi dia melihat kiri dan kanannya. Memastikan Mira tiada di belakangnya atau meninggalkan kesan pada karpet dan tombol pintu. Melihatkan tombol itu disalut dengan darahnya, dia mengelap tombol itu dengan kain lengannya yang basah lantas perlahan-lahan dia menutup pintu itu.

     Kaki diatur menuju ke bilik air. Kemudian dia duduk di atas para sinki. Dari rifleksi cermin, dahinya jelas kelihatan bertindan-tandan, menahan sakit di pehanya. Dengan lemah dia mengeluarkan satu kit kecil dari salah satu kompartmen di betisnya. Di dalam bekas tersebut terdapat benang, jarum, gunting, pengepit, gulungan kecil kapas dan segulung pita juga sebekas plastik jernih yang kecil. Dia kemudian menutup lobang sinki dan memulas tombol paip air panas. Setelah penuh isi padu sinki itu, dia mencampak pengepit, gunting dan jarum ke dalam sinki tersebut dan menunggu seketika. Dengan berhati-hati dia mengambil pengepit dan memulakan proses mengeluarkan peluru dari peha kirinya. Sekali-kali matanya akan melingas pada cermin yang berada bertentangan dengan dirinya yang berserabut itu.

     Gigi diketap kuat. Air matanya mengalir sebagai bayaran sebuah keperitan bersama bunyi bersiul kedengaran seirama dengan pergerakan pengepit itu berjalan. Sebaik sahaja peluru kecil itu berjaya dikeluarkan, dia mengambil plastik dari kit tersebut dan meletakkan peluru yang kurus dan kecil itu ke dalam plastik.

     Sejurus kemudian dia membalut lukanya dengan gulungan kapas dengan cermat dan disudahi prosedur itu dengan melekatkan pita pada penghujung gulungan. Nafas dihela lemah. Dia tersandar pada cermin dan matanya tertutup sebaik sahaja dia menyimpan semula kit itu pada kompartment tersebut.

     “Saya minta maaf Wan,” ucapnya seperti berbisik. Memorinya berulang tayang mengingati kejadian yang berlaku di tandas lebih setengah jam yang lepas. Tidak pernah pun terlintas di fikirannya dia akan menendang, membaling malah menembak Wan apatah lagi menggunakan laser!

     Dia mula berasa mual. Mula berasa teruk dan mengecewakan. Setitis air matanya mengalir lagi di pipinya perlahan. Perasaan ini teruk dan bodoh! Jerit hati Kasturi sambil belakang kepalanya dihentak pada cermin.

     Lambat-lambat dia mendekati tingkap suite selepas puas menghamburkan rasa yang dialaminya. Dalam keadaan terhinjut-hinjut sempat lagi tangannya menggapai telefon pintar yang berada di poket belakang seluar. Senyuman hambar terukir saat gajet itu masih lagi mampu berfungsi dengan baik setelah dihempap, direndam dan dilenyek kasar. Hebat betul ciptaan gajet zaman sekarang sehingga mampu manahan kapasiti melebihi had hentakan normal walaupun skrinnya sudah retak sedikit di hujung petak.

     Namun selepas matanya tertancap pada bar signal pada hujung skrin telefon berkenaan, dia hampa. Dengan kening V, mulut yang cemberut dan mata yang sedikit terjojol, dia menggawang-gawangkan telefon berkenaan.

     “No! No!” tuturnya perlahan.

     Pantas jarinya menari di atas skrin mencari signal lain. LAN tiada dalam perkhidmatan malah WLAN juga tiada. Dia mengeluh kuat. Bagaimana dia mahu meminta bantuan?

    Tanpa sedar mulutnya sudah menyumpah seranah. Sambil itu tangannya pula mula meraba-raba kompartment mencari beeper miliknya. Sebaik sahaja jarinya tersentuh sesuatu yang mini lagi comel itu, telinga terdengar namanya diseru-seru berselang seli denga hentakan pintu yang kuat. Pantas tangannya menggenggam beeper tersebut dan mengeluarkannya.

     Matanya ralit melihat benda itu masih dalam keadaan yang baik malah masih lagi boleh mengeluarkan bunyinya yang comel itu. Serta merta jarinya bermain dengan angka menghantar pesanan pada Haidil untuk datang menyelamatkannya. Satu-satunya alat yang mampu dia guna dan harapkan.

     Mulutnya terkumat kamit membaca doa semoga mesej itu sampai pada beeper Haidil manakala akalnya laju memerah setiap neuron untuk dia berhadapan dengan Mira. Sempat juga matanya melingas pada suasana luar cermin tingkap suite itu.

     GULP!!!

     Bagaimana dia boleh ada pada aras setinggi ini? Sedangkan tadi rasanya dia berada di aras bawah bersebelahan dengan Dewan Gerasole. Sekali lagi telinganya menangkap suara halus Wan. Mira!

     Terdengket-dengket dia berlari ke ruang sebelah di dalam suite terus ke cermin berkembar yang sebesar dua kali ganda tingginya. Dia mengetuk-ketuk cermin tersebut kemudian tangannya mula membuat kerja. Selepas itu, dia terus ke bilik air yang menempatkan  tab jakuzi disaluti saduran platinum. Tangannya mencapai tuala dan menghidupkan jakuzi tersebut ke mod mandian wap tahap maximum. Sengaja dia memasang air itu kuat-kuat.
             


    MIRA membuka sebuah pintu suite. Namun sebelum sempat dia melihat isi dalam bilik itu, telinganya dapat menangkap bunyi sesuatu. Senyumannya tersungging di hujung bibir. Lantas pintu itu ditutup kembali. Dia melihat sekelilingnya sambil deria pendengarannya dipertajamkan.

     Matanya menjadi sepet saat langkah kakinya berhenti di hadapan sebuah pintu bilik S-165. Disebalik daun pintu itu, dia dapat mendengar bunyi deru air yang melimpah dan apabila dia memegang tombol pintu itu, dia dapat rasakan tombol itu hangat. Juga matanya perasankan kesan darah di celahan makenik tombol itu.

     “Apa yang kau rancangkan hah?” ujarnya lalu tersengih gembira. Sedikit berpuas hati dengan permainan yang diatur oleh Kasturi. Nasib juga LZ mengaturkan tempat mereka dalam sebuah maze yang tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar. Hatinya berbunga riang. Walaupun dia cedera di lengan kanannya rasanya sudah cukup setimpal dengan apa yang telah dia hadiahkan buat Kasturi tadi. Dia ketawa kecil. Selepas ini apa pula gerak langkah dan syarat permainan di dalam bilik ini.

     Bersahaja Mira memulas tombol itu dan wap panas menerjah wajahnya. Garis senyumannya semakin panjang. Perlahan-lahan dia menutup pintu bilik itu dan menyusun langkah kaki berjalan dalam gelap malam juga rasa hangat diudara. Bajunya yang tadi sudah kering kini mula lembap semula. Matanya waspada memerhati suasana yang kelam itu. Dengan bantuan cahaya dari bulan yang menembusi melalui cermin tingkap, dapat juga dia melihat keadaan bilik tersebut.

     Dari ruangan itu dia bergerak ke ruang sebelah. Namun apa yang dicarinya tidak dujumpai. Kemudian matanya tertancap pada pintu bilik air yang bercirikan cermin itu. Cahaya lampu terpasang dan cerminnya berkabus, sesekali wap panas itu menjalar keluar dari celahan pintu yang saiznya ¾ saiz bingkai pintu.

     Dengan sedikit berhati-hati dia melangkah ke ruang itu. Tangan kirinya kejap memegang pistol Snowy Beaver yang direka khas untuknya hadiah daripada Zaim beberapa tahun lalu. Dia menolak daun pintu itu luas sehingga dia dapat rasakan sebahagian angin wap menyerbu ke mukanya menyerap terus ke liang wajah.

     Dengan kabus yang mengaburi pandangan mata dan lantai yang licin, pergerakannya menjadi terbatas. Suasana tegang dan misteri itu menjadikannya tidak gembira. Dia dapat rasakan urat di lehernya timbul.

     “Baik kau keluar cepat Kasturi sebelum aku tembak kau dari setiap sudut!” Jeritannya menjadi dengung yang saling bersahutan.

     Namun Kasturi tiada disitu membuatkan dia tersentak lalu tertembak cermin muka yang besar akibat terkejut melihat bayang sendiri. Bunyi kaca jatuh berderai menyakitkan telinga dan hatinya yang sudah sedia membengkak. Tiba-tiba setitik cecair pekat jatuh ke atas pipinya dan laju menuruni geografinya. Jarinya laju menyapu cecair itu. Darah!

     Menyedari hakikat itu, bahunya menjadi tenang, tangannya jatuh dari posisi asal lalu rambutnya yang jatuh ke dahi di tolak ke belakang.

     “Hehehe,” ketawanya.

     “Kau memang pandaikan. Aku suka cara kau main permainan ni,” ujarnya lantas mahu mendongak ke atas tetapi gadis bak lelabah itu pantas bertindak dengan jatuh dari tempatnya dan menindih diatas badan tegap Mira sambil tangannya cekap melilit kain tuala pada leher Mira lalu menjeratnya kuat.

     Kini keadaan tertukar. Kasturi bertindak diatas belakang badan Mira yang besar. Walaupun dia berasa sedikit pelik, dia tetap menarik tiap hujung tuala. Dia memastikan tangan tegap Mira berada pada bawah lingkungan kakinya. Dia menindih kuat dan keras. Mira di bawahnya seperti nyawa-nyawa ikan. Tercungap-cungap memohon oksigen.

     “Sekarang beritahu aku apa yang kau nak dengan Nura?!” bisik Kasturi di tepi telinga Mira.

     Mira menggeleng dalam kesakitan. Suaranya antara mahu keluar dan tidak. Kasturi mengetap gigi lalu menarik lagi kuat tiap hujung tuala.

     “Aaark!” Gadis itu menjerit sakit. Suaranya kedengaran haus dan kasar seperti seorang lelaki matang.

     “Cakap! Kalau tak, aku takkan lepaskan kau hidup-hidup!” ugut Kasturi.

     “D...”

     “D apa?!” Sekali lagi Kasturi menarik hujung kiri dan kanan tuala.

     “Disket!” luah Mira disamping semput yang kuat.

     Lilitan tuala sedikit mengendur. Namun Kasturi masih berwaspada. “Disket apa?”

     “Manalah aku tahu.  Yang pasti disket tu bermakna untuk kumpulan aku dan aku cuma menjalankan tugas,” jawabnya dengan keluhan kelegaan.

     Kasturi berfikir sejenak. Adakah disket yang dimaksudkan adalah disket yang arwah Farid berikannya padanya itu? Jadi benarlah disket itu sangat berharga! Ini juga bermakna jika sesiapa yang mengetahui isi kandungan itu akan menjadi sasaran?

     “Jadi Farid...” Tidak semena-mena apa yang difikirkannya terluah di mulutnya tanpa sedar.

     “Hihihi, kau baru sedar?” soal Mira.

     Wap kabus yang semakin berkurangan menjadikan mudah untuk Kasturi melihat belakang Mira.

     “Sebab tu kau buru Nura?” teka Kasturi.

     “Bingo! Dia dah tahu segala isi disket dan juga disket tu sendiri ada pada tangan dia. Sekarang ini kau bagitahu aku mana Nura?”

     “Takkan!” kata Kasturi sambil mengetatkan semula pegangannya.

     “Aark! Kas...tu...ri.”

     Mendengarkan suara lembut dan tampan itu, Kasturi kaku sebentar. Maka Mira pantas mengambil kesempatan dengan meloloskan dirinya dari lilitan tersebut dengan menggulingkan badannya dan menjatuhkan Kasturi dari belakangnya.

     Kasturi yang sudah tersungkur itu cepat-cepat mahu bangun namun pergerakannya terhenti apabila sepasang mata itu memerhatikannya tajam dengan pistol di tangan di acu pada wajahnya. Liurnya tersekat di kerongkong dan dia dapat rasakan matanya mahu terjojol bersama anak tekaknya apabila pemuda yang berdiri di hadapannya itu memijak balutan kakinya.

     “Patut tadi aku guna wajah ni untuk perdaya kau, Kasturi,” ujar Mira dengan sengihan jahatnya. Dia menolak rambut yang jatuh di dahi dengan gaya menggoda.

     “Aku rasa lebih macho... dan bergaya. Lebih-lebih lagi senyuman ni. No wonder kau head over heels kat,” provok gadis itu sambil ketawa tak sudah bagai sunti yang baru bebas dari pakunya.

     Kasturi mengetap bibirnya. Rasa sakit di pehanya ditahan dan dengan semangat yang dikumpul dia menolak badannya ke atas dan kaki kirinya diangkat selari pada bahagian tengah.

     “Banng!”

     Picu itu tertarik dan sasarannya lari ke tempat lain apabila anu itu ditendang kasar oleh gadis bernama Kasturi. Mira terbongkok-bongkok kesakitan sambil kedua belah tangannya tidak lepas memegang ‘itu’. Sakit! Sakit sekali rasa seperti hendak mati sahaja. Lagi sakit dari lengannya yang cedera. Rasa seperti seluruh tubuhnya kaku dan tertumpu pada satu bahagian.

     Pantas Kasturi melarikan diri dan menuju pada tingkap bilik. Dia melihat pada jam di pergelangan tangannya. 2245pm. Tangan kanannya laju mengeluarkan pistol lalu menembak pada cermin tingkap itu. Sekelip mata cermin tebal dan dilengkap sejenis plastik kalis peluru itu jatuh berderai selepas dia bersusah payah menggunakan pistol lasernya dengan membuat sebahagian ukiran pada setiap kawasan tertentu.

     Sebelum sempat dia melangkah ke bingkai cermin itu, pistol di tangannya telah ditembak. Kasturi berpaling ke belakangnya dan melihat Mira berdiri di belakang sedikit terbongkok dengan wajah berkerut. Wajah Fairul yang berkerut.

     “Kau takkan dapat lari dari aku,” tutur Mira marah.

     Kasturi berpaling memandang langit malam. Satu cahaya biru dari jauh seperti bintang di langit membuatkannya berasa yakin dan selamat. Dia tersenyum menang. Lantas menghadap tubuh Fairul dan berjalan mengundur sehinggalah ke hujung bingkai.

     “Then make me,” ujar Kasturi lalu menjatuhkan dirinya dari bangunan aras 16 itu dengan gaya freefall. Matanya dapat melihat Mira memandangnya dari bingkai itu dengan pandangan terkejut namun wajah itu bertukar merah apabila dia selamat dalam dukungan Haidil. Lantas dia melambai pada Mira dan memberikan flying kiss sambil mengenyit matanya. Mini ASP itu pantas meluncur membelah pekat malam membawanya pergi dari situ yang dipandu oleh Ah-In dan meninggalkan Mira yang menjerit nyaring seperti orang gila memanggil-manggil namanya.

     “KIL kau okey?” soal Haidil cemas melihatkan tubuh Kasturi yang berlumur darah dan bajunya yang terkoyak serta rambut yang berserabai.

     “Okay as ever PAGE,” ujarnya dengan senyuman tak sudah. Pelupuk matanya rasa seperti berat dan badannya tiba-tiba menjadi letih. Tanpa sedar, dia sudah pengsan di pangkuan Haidil dengan lelehan air mata.

     “Kita nak kemana ni PAGE?” celah Ah-In tiba-tiba.

     “Kita jumpa Doc, HA. Hal yang lain biar HQ uruskan,” arah Haidil sambil menyapu air mata yang jatuh itu dengan rasa yang sebal.



     “RADAR Kasturi dapat dikesan!” jerit Baiduri gembira. Beberapa orang ahli berdekatan berlari ke tempat gadis itu mahu melihat skrin yang menunjukkan bulatan kecil bewarna merah. Senyuman terukir lebar dan melepaskan nafas kelegaan sambil mengucap syukur. Mahyudin sudah bersandar kepenatan. Selepas berperang dengan detik cemas dengan keadaan setiap komputer yang tiba-tiba diserang virus, dia malah ahli yang lain hampir berputus asa.

     “Alhamdulillah. Dia kat mana sekarang?” soal Amran dicelah kerumunan anak buahnya.

     “Blok P45,” jawab Baiduri.

     Sekali lagi mereka berpandangan. Dahi bertindan tandan.

     “Are you sure Bai?” soal Amran sekali lagi. Mahyudin yang mendengar jawapan pelik Baiduri mula mendekati meja sebelahnya itu. Mereka bersama-sama ditugaskan untuk menjaga belakang Kasturi.

     “Yes. Dia sekarang ni ada kat Hospital Benard Gordon Private Hospital. Nama dia baru sahaja registered dalam rekod dua minit yang lepas,” kata Baiduri. Jemarinya laju menekan-nekan skrin komputer.

     “Lebih kurang 15 minit dari sini kalau dengan kereta,” celah Mahyudin pula.

     “Tapi kita...” kata salah seorang ahli. Wajahnya berkerut seribu memandangkan dia yang mengawal sistem CCTV kawasan itu. Walaupun dilanda masalah namun deria penglihatannya masih lagi berfungsi. Dia dan sahabatnya menggunakan kaedah lain dengan menggunakan binocular sebagai alat mereka untuk terus memastikan keluar masuk kenderaan. Hasilnya tiada kenderaan yang mencurigakan melalui kawasan itu dengan menggunakan pancuan empat roda melainkanlah...

     “Kalau guna ASP...” Dia tidak jadi meneruskan katanya saat semua mata memandang wajahnya.

     “Teruskan Zen,” ujar Amran.

     “Saya rasa Kasturi dibawa oleh ASP ke hospital kerana hanya trafik udara sahaja yang kami tidak boleh pantau dengan keadaan tadi,” ujar Zen yakin lantas ke mejanya tidak jauh dari situ kerana mahu melihat pita rakaman jika CCTV ada menangkap rakaman trafik udara sepanjang sejam 40 minit lepas. Rafique turut sama membantunya dalam usaha itu.

     “Kalau macam tu bermakna selama ini Kasturi ada kat dalam bangunan itu ataupun berada di tempat lain yang kita sendiri tak pasti tempatnya.” Baiduri membuat konklusi.

     “Lagipun perjalanan dari sini ke hospital menaiki ASP adalah lima minit sahaja,” beritahu Mahyudin.

     “... dan kenapa hospital? Apa yang berlaku sepanjang huru hara tadi?” soal Amran lebih kepada diri sendiri. Mindanya bergerak seiring dengan langkah kaki. Anak-anak buahnya yang lain sudah bergerak ke meja masing-masing, ingin meneruskan kerja yang tergendala sebentar tadi. Masih ada satu lagi masalah yang harus mereka tangani iaitu kerja penyiasatan Fairul-Periya.

No comments:

Post a Comment