Dua
puluh lima : Aturan Sebuah Fiksyen
16
April 2731, 2300pm, Wad Pesakit Luar, Hospital Benard Gordon, Posh High
Henry Golding as Haidil |
Wajah nyenyak yang terukir kepenatan di
garis mata gadis itu, dipandang dengan rasa berbaur. Bibirnya diketap. Liurnya
ditelan. Dia dapat rasakan tubir matanya hangat dan berair. Pipinya kebas.
Pantas dia menyeka air matanya. Masih dia teringat lagi ketika gadis itu terlantar
di katil hospital, lima tahun lalu. Tika itu dia merasakan satu perkara yang
sangat mustahil apabila berita itu hinggap di telinganya. Kakinya pantas
mengatur langkah dengan kemas menuju ke wad khas.
Dadanya berombak deras saat dia berhenti
berlari dan matanya mendarat pada susuk tubuh gadis itu yang duduk di katil
putih gading, berwajah ceria dan bergelak ketawa bersama Saiful juga Serenne.
Di tangan gadis itu terdapat sejambak besar bunga matahari yang berbalut kemas
dan cantik. Mungkin pemberian dari dua orang juniornya itu.
Tawa mereka berhenti apabila tersedar akan
kehadirannya. Matanya berlari menilik siling apabila sepasang mata hijau tua
itu memandangnya dengan tajam. Wajah ceria itu bertukar kelat dan masam.
“Kau datang sini tak bawa cenderahati
untuk aku, Haidil?” soalnya tawar.
Serta merta dia berpaling semula memandang
gadis itu. Terukir senyuman sadis apabila dia melihat dan mendengar suara gadis
itu. Ah, kau baik-baik sahaja, bisik hatinya. Entah kenapa tika itu satu beban
telah pun teralih dari terus bermaustatin di hatinya.
“Aku nak beli tapi bila fikir; kau lagi
hebat dari aku, aku taklah membeli. Bukankah orang yang lembik sahaja yang
patut terima cenderahati?” sadis dia membalas soalan gadis itu.
“Apa kau kata?”
“Loser!”
Wajah gadis itu memerah. Jambangan bunga
di tangannya dipegang erat. Serenne dan Saiful hanya mampu melihat kedua orang
senior mereka berbalah. Satu perkara biasa di pandangan dan pendengaran mereka.
Malah jika mereka tidak saling mengatasi kehebatan masing-masing, itu adalah
perkara paling pelik yang berlaku walaupun mereka masing-masing adalah sahabat
baik. Kisah perbalahan mereka sering menjadi topik lucu para junior di akedemi
walaupun mereka sendiri tertanya-tanya bagaimana mereka boleh menjadi sahabat
baik.
Tiba-tiba gadis itu membaling jambangan
yang dipegangnya pada Haidil, tepat mengenai wajah tampannya itu. Terbeliak
mata Serenne dan Saiful melihat adegan yang berlaku. Haidil perlahan-lahan menunduk
mengambil jambangan itu kemudian tangannya menggenggam palang besi katil, gadis
itu pula masih di posisinya dengan riak yang marah dengan kening yang
terjongkit-jongkit. Namun tiba-tiba kedengaran letusan ketawa lucu yang
lama-lama berpadu menjadi gema di bilik besar itu.
“Hahaha!”
Kedua-dua orang sahabat itu ketawa
terbahak-bahak. Maka, Serenne dan Saiful hanya mampu mengeluh melihat sikap
kebudak-budakkan senior-senior itu yang mengenakan mereka walaupun pada mulanya
mereka berasa pelik dengan perubahan yang mendadak itu.
“I just love your expression Saiful,”
usik gadis itu yang menyapu air mata di hujung garis mata.
“Priceless!”
sambung Haidil pula dan sekali lagi ketawa mereka bergabung hingga seorang
jururawat wanita datang ke bilik mereka dan memberi amaran kerana terlalu
bising. Namun apabila jururawat itu pergi, mereka masih ketawa namun ketawa
yang tertahan-tahan. Tidak tahu apa yang sebenarnya menjadi bahan ketawa
mereka, namun rasa yang menggeletek tangkai hati setiap mereka tetap tidak reti
berhenti melakukan kerja.
“TOLONG
tengok-tengokkan dia ye?”
Doktor muda itu hanya tersenyum
mendengarkan amanat sahabat. Perlahan tangan kanannya mendarat di bahu Haidil
lalu ditepuk-tepuknya lembut sambil menggeleng-geleng.
“Kalau kau tak cakap pun aku akan buat
benda yang sama,” ujar Hawke.
Haidil tersenyum nipis. Dia terpaksa
pulang sebelum sempat melihat Kasturi membuka matanya. Hanya pada lelaki
Inggeris itu sahajalah dia bergantung harap. Tiba-tiba Hawke menyerahkan sebuah
beg kertas yang sederhana kecil padanya. Di hadapan beg kertas itu terlukis
logo hospital persendirian itu. Dia memandang Hawke kemudian pada beg
dipegangan sahabat. Lantas diambilnya beg itu. Isi kandungannya dilihat.
Terdapat beberapa peket beg kecil yang berisi ubat di dalamnya dan terdapat
sepeket beg berisi sebutir peluru yang kurus dan panjang. Peluru yang direka
khas dan hanya ada seorang sahaja yang mempunyai peluru rekaan begitu dan dia
perlu tahu siapakah pemilik peluru itu.
Haidil tersenyum lebar. Lalu bahagian atas
beg itu dilipat.
“Terima kasih doc,” ucap Haidil.
“Jangan lupa ambil pada masanya,” balasnya
bersama senyuman juga. Selepas itu mereka berpamitan dan berjalan ke haluan
masing-masing berharap pada sebutir peluru yang membawa kepada harapan untuk
penyelesaian masalah ini.
Ketika kakinya setapak ke hadapan di luar
pintu gerbang hospital, bahunya berselisih dengan bahu seorang lelaki yang
tegap, lengkap berpakaian serba hitam dengan sut kalis peluru di badannya.
Mereka masing-masing berpandangan kemudian mengucap maaf. Lelaki yang berdiri
di sebelah dipandang di hujung mata apabila mereka menuju ke destinasi
masing-masing. Ah, Zareen.
Haidil berhenti melangkah. Dia berpaling
ke belakangnya. Melihat susuk dua manusia yang berjalan laju tanpa menoleh kiri
dan kanan. Di belakang mereka terdapat beberapa orang bersut kemas dan berbadan
tegap dan besar mengatur lengkah seirima dengan mereka. Pasti pengawal peribadi
Zareen. Dia menghembus nafas berat. Topi yang menutupi kepalanya ditarik lagi
ke bawah lalu tangan kirinya masuk ke dalam poket, membiarkan cermin matanya
melorot sedikit ke bahagian tengah tulang hidungnya. Perjalannya yang
tergendala tadi disambung kembali. Pasti Ah-In sudah menunggunya lama.
Fairul berpusing ke belakang. Melihat
lelaki yang melanggar bahunya. Entah kenapa dia rasa seperti kenal sahaja
lelaki itu namun mungkin pelanduk dua serupa. Tidak mungkin lelaki yang berpakaian
serba mewah itu adalah lelaki yang sama yang dikenalinya. Ya, tidak mungkin.
“Cepat Fairul!” panggil Zareen yang kini
sudah berada di dalam perut lif bersama pengawalnya.
“Baik,” katanya lantas mengorak langkah
semula namun kepalanya masih terteleng-teleng memandang ke pintu gerbang, terus
ke luar, ke arah pekat malam yang sejuk. Perasaannya sahaja mungkin, bukan?
“PERLAHAN
la sikit bodoh!” jerit Mira sakit apabila Kristal cuba membalut tangan yang
sudah berlubang dimasuki peluru. Matanya mencerlung memandang wajah kosong
Kristal yang masih lagi setia membalut tangannya. Hendak sahaja dia meluku
kepala besi itu namun dia takut. Takut jika dia pula dipukul oleh Zaim.
Pengalaman lalu mengajarnya untuk menahan rasa membekam. Sudahlah dia marah
pada Kasturi, kali ini marahnya semakin meningkat apabila matanya menghadap
mata biru awan Kristal yang berkilau itu.
“Perlahan la!” jeritnya sekali lagi
apabila Kristal mengetatkan kemasan balutan. Tanpa sedar dia telah menolak
Kristal darinya dengan kuat dan mengakibatkan gadis itu terjatuh dari duduknya
dan menyambam lantai. Berombak dadanya mengeluarkan amarah yang menggila di
hati. Tangannya menggeletar. Tiba-tiba, entah dari mana, pipinya ditampar kiri
dan kanan. Tangan besar itu terus menampar pipinya tanpa henti. Apabila Kristal
bangun dari jatuhnya dan berdiri tegak, tangan sejuknya mencapai tangan Zaim.
Menyuruhnya berhenti dari terus memukul wajah Mira.
Mira menggeletar menahan sakit. Pipinya
berbekas merah akibat ditampar begitu kuat dan tanpa henti. Dia memeluk
badannya. Rasa sejuk mula mencengkam tangkai hatinya. Seperti beribu bilah
belati menikam-nikam jiwanya. Dunia yang dipijaknya beralun lembut, bagai
berada di atas kapal pelayaran di laut yang bergelora.
“Ada apa-apa yang kamu nak kata Mira?”
soal Zaim dalam nada yang dingin. Lelaki itu memandangnya dengan pandangan yang
tajam di hujung ruang mata. Mira menggeleng lemah. Pelupuk matanya pula kini
berasa berat.
“Maaf,” ucap gadis itu bersama linangan
air mata yang mengalir di pipinya. “Maaf.”
“LZ, bawa dia masuk bilik,” arah Zaim pada
LZ yang berdiri di penjuru bilik dengan tangan yang bersilang pada dadanya.
Patuh pada arahan, LZ bergerak menuju kepada Mira lalu mencempung tubuh gadis
yang sudah pengsan itu. Zaim melihat wajah sebenar Mira yang beransur kelihatan
di matanya. Mukanya yang cengkung dan tubuh yang kurus kering. Rambutnya pula
hitam keperangan jatuh mengurai pabila dicempung. LZ memandang Zaim yang leka
mengusap kepala Mira. Riak lelaki itu kelihatan berbeza berbanding tadi.
Dia berpaling memandang wajah Mira. Tubuh
gadis itu hangat dan pipinya memerah. LZ mengetap giginya geram. Rahangnya
mengeras.
“Pastikan dia ambil ubat dia,” pesan Zaim
saat matanya bertentang dengan anak mata pemuda cina itu. LZ mendengus lalu dia
berjalan membawa Mira ke bilik gadis itu, meninggalkan Zaim, Sophie, Parker dan
Kristal di ruang tamu itu. Hatinya rasa panas sahaja bila dia mengingati
insiden tadi namun dia sedar dia tidak mampu berbuat apa-apa. Tiada siapa yang berani
melawan Zaim. Tiada siapa.
Sophie memandang bayang lelaki itu
menghilang di sebalik dinding dan pintu ruang tamu itu. Nafasnya dihela. “You too harsh on her, Zaim.”
“Dia selayaknya dapat yang setimpal,”
balas Zaim bersahaja.
Sophie memegang dahinya. Dia kasihankan
Mira. Anak itu sering disakiti oleh orang-orang di sekelilingnya. Fizikal juga
mentalnya. Dia berpaling memandang Parker yang duduk di atas bahu kerusi di
sebelahnya. Berharap Parker menyokongnya tetapi dia tahu Parker juga tidak
mampu berkata apa. Sophie berharap sangat jika dia ialah ‘gadis’ itu, adakah
Zaim akan mendengar katanya? Melihatnya? Mencintainya? Semua itu bagaikan satu
harapan mustahil untuk dia kecapi walaupun secara fizikalnya dia sudah miliki
lelaki itu. Dia pasrah.
Zaim memandang ke luar tingkap. Otaknya
ligat memikirkan sesuatu. Jiwanya berasa tidak menentu. Di kala mata
terpandangkan biasan tubuh tinggi lampai Kristal, dia tersenyum licik. Jika
benar apa yang dia lihat tadi adalah benar, maka sahabat lamanya itu akan dia
bertemu lagi. Jika benar apa yang dia dengar dari mulut Mira tadi, maka
impiannya bakal tercapai. Juga jika semua itu mampu dia peroleh, dua jiwanya
yang bersatu dalam satu tubuh akan menjadi miliknya secara mutlak. Pasti!
“Aku mahu dia dan aku mahu sekarang,” ujar
Zaim perlahan seperti berbisik di sebalik senyumannya yang tidak lekang umpama
seorang penagih dadah yang tahu akan ganjaran ginjanya. Dia telah ketagih.
LZ
membaringkan gadis itu diatas katil dengan berhati-hati. Kemudian dia menutup
bahagian badan gadis itu dengan selimut tebal agar panas badan itu kebah.
Selepas itu tangan dan kakinya lincah bergerak ke sana dan ke sini, memasang
kipas bilik membuka langsir dan tingkap blik, menghidupkan penghalau nyamuk dan
akhir sekali dia duduk di sisi katil. Matanya lembut memandang wajah Mira yang
kelesuan dek hambatan kerja yang tidak sudah dan kejutan dari tangan Zaim tadi.
Dalam dia leka memerhati wajah Mira, ekor
matanya terperasankan tangan kanan gadis itu yang berbalut, terkeluar dari
selimutnya. Dicapainya tangan itu lalu diusapnya perlahan.
“Kau
dah buat yang terbaik,” ujarnya perlahan. Pandangannya mendalam memandang
jemari runcing dan kurus itu. Hakikat yang tidak pernah berubah. Gadis ini
sering kelihatan begini, tampak tidak bermaya dan sedih.
Sebuah senyuman nipis terhias di wajahnya
apabila satu pintasan deja vu melintasi mindanya. Merangkak jarinya menggapai
jemari halus Mira. Digenggamnya erat seperti tdak mahu melepaskannya juga
menyalurkan tenaganya pada gadis yang dicintainya dalam senyap dan selamanya
akan begini. Jika dia tidak berjumpa gadis itu hampir tiga dekad dulu, tidak
mungkin dia akan menjadi seperti ini. Malah dia dapat rasakan yang dia akan
menjadi lebih gila dari bapanya. Tidak dapat dia sangkal semua yang berlaku
adalah aturan tuhan namun jika dia tidak kekal bersama Zaim, dia tidak akan
berjumpa Mira dan Mira juga tidak akan menjadi begini. Gadis itu akan terus
tenggelam dalam dunia yang penuh derita, kelam dan penuh tangis.
No comments:
Post a Comment