Monday, May 13, 2013

Dua puluh enam


Dua puluh enam: Cahaya yang Kelam

Jun 2710, Ladang Teluki, Bukit Triumph, Phire

     Bayu sering menyapa lembut di kaki bukit itu dan apabila bayu bertiup, seharuman bunga Teluki pasti akan menyapa kampung itu. Tidak jauh dari situ, terdapat lebih lima ekar ladang bunga teluki yang diusahakan oleh sebuah keluarga yang harmoni dan penyayang. Setiap pagi, mereka membanting tulang menguruskan ladang bunga itu. Walaupun penat namun tidak pernah sekali pun mereka mengeluh mahupun mengalah tika bunga-bunga diserang penyakit. Semuanya dilakukan demi menjamin kebahagian keluarga itu. Pengurus ladangnya juga pemilik ladang tersebut, Encik Raddy Stamfordy ialah seorang yang tenang, peramah dan baik hati. Isterinya, Puan Frolica Stamfordy, ialah seorang yang lembut, penyayang dan penuh sifat keibuan. Juga ditemani oleh dua orang permata hati, Alicia Stamfordy dan Miririah Stamfordy. Anak gadis yang ceria dan nakal namun sangat bertanggungjawab.

     “97, 98, 99, 100! Bersedia atau tak, saya datang!”

     “Ahh!!!”

     Tempikan dan tawa kanak-kanak bergema di seluruh kawsan ladang itu sedangkan tidak sampai sepuluh meter persegi pun kanak-kanak itu bermain. Yang bermain juga tidaklah seramai yang didengari. Hanya Alicia, Miririah, Que, Cecillia dan Thimpson. Manakala Eric hanya duduk di pangkin sambil membaca novel pengembaraan tulisan G.H.Joong. Lansung dia tidak menghiraukan teriakan sahabat-sahabatnya bermain dengan penuh gembira dan asyik. Baginya apa yang ada di dalam buku itu lebih menjanjikan keseronokan yang tidak terhingga.

     Namun pengembaraan penuh fantasinya terpaksa berhenti seketika apabila dia terlihat sepasang kaki dibaluti skirt hijau yang lusuh dan kusam tanpa ditemani sepasang kasut yang ideal, hanya sepasang kaki ayam yang comot dan comel. Sedetik dia memandang kaki sahabat itu sebelum dia kembali menyambung pembacaannya.

     “Errich!” pelat Miririah memanggil Eric.

     “Apa yang awak nak Miri?” soal Eric dingin. Sesekali dia membetulkan cermin yang bertenggek di atas batang hidungnya.

     “Berhenti baca buku lapuk tu dan tolong saya cari yang lain!” jawab Miririah sambil menghentak-hentak kaki.

     “Tak minat... dan jangan paksa saya.”

     Miririah memuncungkan bibirnya. Eric harus bermain bersama! Tidak kisahlah Eric ini tua dua tahun darinya pun. Janji apa yang dia mahu, dihajati. Mudah!

     “Miririah!” jerit Eric sedikit terkejut dengan tindakan drastik kanak-kanak itu yang dengan selambanya mencampak buku itu ke atas pokok apel yang satu-satunya wujud di ladang itu. Lantas dia bangun, mendongak memandang ke atas; berharap dia mampu untuk mencapai buku itu. Sekali lagi dia tergamam melihat bukunya itu berada jauh dari pegangannya. Geram dia memandang wajah Miririah. Walaupun kanak-kanak itu berusia sembilan tahun dan pendek, dia sedikit kagum dengan kesungguhan kanak-kanak itu mahu dia bermain bersama. Lihatlah apa sudah jadi pada buku kesayangannya buat masa ini. Hendak sahaja dia meninggalkan kanak-kanak itu di sini dan mencari tangga, namun mengenangkan tanggungjawab yang diberi oleh makciknya; ibu Miririah, untuk dia menjaga sekumpulan kanak-kanak hingusan ini (sedangkan dia juga masih lagi dalam kategori itu).

     “Jomlah,” keluh Eric sedikit kesal.


    
     BERHATI-HATI Alicia membantu Eric membaringkan Miririah pada katil bujang yang bersaiz kecil dan kelihatan empuk dengan tilamnya yang diletakkan berlapis-lapis itu. Lantas Alicia membaluti tubuh Miririah dengan gebar tebal yang dijahit dengan kain perca yang pelbagai warna. Di dalamnya terisi campuran kekabu dan kapas, menjadikan tempat tidur itu tempat yang sangat selesa untuk merehatkan diri setelah penat seharian melakukan aktiviti cerdas.

     Senyuman Alicia terukir penuh rasa kasih apabila terdengar dengkuran kecil si adik. Lalu dibelainya pipi mungil itu namun ditahannya rasa ingin mencubit-cubit yang mula menggetar-getarkan tangannya.

     “Jomlah main...” ngigau Miririah.

     Alicia dan Eric, masing-masing sedikit tersentak kemudian mereka tertawa kecil. Miririah, dalam mimpi pun dia masih mahu bermain jugakah?

     “Jom?” soal Eric sebaik sahaja tawa kecil mereka berhenti. Alicia mengangguk lalu membuntuti langkah anak muda itu. Perlahan-lahan dia menutup pintu bilik adiknya, tidak mahu menganggu tidurnya yang pulas. Lebih-lebih lagi bertemankan malam yang sunyi dan tenang. Malam-malam tipikal musim tika ini. Jika tiba hari hujannya, ia akan turun mencurah-curah sehingga tidak tenteram hati ibu dan bapanya mengenai tanaman ladang mereka. Kadang-kadang, malam-malam begini... dia, Miririah juga ibu bapa mereka (sekali sekala Eric akan turut serta) mereka pasti akan duduk di pangkin di bawah rimbunan pokok epal dan melihat bulan penuh yang mengembang dengan indah sekali sambil itu menghidu bau bunga teluki dan menikmati hidangan makam malam ringan.   

     “Aku suka bila mulut dia diam,” ulas Eric lebih kepada mengutuk, sebaik sahaja pintu bilik Miririah tertutup rapat.

     Alicia tersengih sinis. “Kalau dia dengar, mati kau dia kerjakan.”

     Eric hanya menjungkit bahu. “Macam aku kisah.”

     “Amboi, hei kau tak ingat apa dia dah buat kat buku kesayangan kau tu?”

     “Itu cerita lain!”

     Gadis itu tertawa kecil. Matanya melingas melihat langit malam dari kotak cermin tingkap yang comel yang berada betul-betul berdepan dengan pintu bilik adiknya itu. Ah, dia benar-benar kepingin untuk bermalam di luar saat ini.

     “Itu sebab dia suka kau lah,” ujar Alicia dengan kening terjongket-jongket. Lantas ketawanya terbit terlihat kening Eric yang terangkat tinggi dengan mata yang terbuka besar.        

     “Tak ada orang lain yang dia nak suka ke? Aku ni bukannya kacak punnn,” katanya meleret-leret.

     “Percayalah kat diri sendiri sikit bang oi,” ujar Alicia sambil menepuk-nepuk bahu sepupunya itu.

     Kemudian suasana menjadi sunyi. Yang ada hanya bunyi cengkerik dan katak... atau kodok?

     Cerita tentang kodok, dia teringatkan kejadian yang berlaku dua tahun lalu. Ketika Eric mula tinggal dengannya selepas emaknya meninggalkan dia di sini buat sementara waktu. Ketika itu, Eric seorang budak bandar yang lansung tidak tahu apa itu erti kehidupan di kampung hanya tahu membaca, membaca dan terus membaca (walaupun sekarang ini dia masih lagi suka membaca, tetapi dahulu dia lebih suka terperap di dalam rumah a.k.a dalam bilik dia sahaja dan tidak mahu keluar).


      Seminggu kemudian musim panas tiba dan ya, kodok-kodok semua telah menyarang longkang belakang dapur rumah dan terus masuk ke dalam lubang paip salur yang kering kontang sebab hanya pada musim hujan sahaja paip salur itu akan penuh dengan air (pelik tapi benar). Yang melucukan, Eric menjerit ketakutan dan berlari tanpa seurat benang pun dari bilik air selepas menjumpai dua ekor kodok yang berada di dalam lubang jamban di mana ketika itu tiada siapa pun di dalam rumah kerana masing-masing sibuk di ladang. Kesian dia. Itu apa yang berlaku dua tahun lalu dan kini, Eric dia sudah pandai untuk duduk di luar rumah (mestilah membaca) ketika semua orang berada di luar juga berwaspada setiap kali musim panas (lebih-lebih lagi dalam tandas).

     “Bila makcik Gwaine nak balik?” soal Alicia tiba-tiba.

     “Tak tahu.”

     “Kau tak rindu mak kau?”

     “Rindu.”

     Senyap.

     “Kalau Makcik Gwaine datang nak ambil kau semula, kau nak ikut dia tak?”

     “Nak.”

     “Sebab kodok ke?”

     “Ding!”

     Sekali lagi tawa mereka meletus. Perlahan tetapi cukup mereka berdua sahaja betapa kuatnya ledakan ketawa mereka sehingga mereka menyapu air mata yang berada di hujung garis mata.

     “Tapi kalau boleh aku nak mama aku tinggal kat sini jugak. Kat sini tenang, orang kat sini pun baik dan kerja kat sini banyak. Kalau mama ada boleh jugak boleh tolong mak bapak kau,” tuturnya ikhlas sambil jarinya meramas sebutir batu permata yang dijadikan kalung. Alicia yang mendengar tersenyum senang. Dia juga berharap jika Makcik Gwaine hendak mengambil Eric, biarlah mereka tinggal di sini dan tidak berhijrah ke bandar semula.

     “Walaupun aku tak pasti sebab kenapa mama tinggalkan aku kat sini, yang pasti aku nak dia jugak tinggal dekat sini. Mama pasti suka,” ujar Eric yakin. Malah dia sememangnya yakin, Puan Gwaine pasti akan menyukai tempat ini sebagaimana dia jatuh cinta pada tempat ini walaupun dia tidak suka beberapa perkara yang tertentu itu namun biarlah. Itukan aturan hidup.



     TIDAK semena-mena dirinya juga Alicia dan Miririah ditolak masuk ke dalam bilik bawah tanah. Kedua-dua orang gadis itu telah mula menangis apabila keadaan tiba-tiba sahaja bertukar menjadi haru-biru. Eric berasa terbeban dan ingin melepaskan rasa sesak yang bergumpal di dadanya. Dia juga mahu menjadi cengeng dengan gadis-gadis itu tetapi dia ialah seorang lelaki yang dipertanggungjawab untuk menjaga sepupunya; adik-adik perempuannya.

     “Syy...” Eric cuba menenangkan sepupu-papatnya yang mula mengongoi itu.

     “Adik takut...”

     “Akak pun...”

     “Korang bertenang. Nanti dorang tahu kita kat sini,” kata Eric lagi.

     Alicia dan Miririah berhenti menangis sambil memandang wajah tenang Eric yang terukir senyuman. Namun apabila bingkai cermin Eric tiba-tiba menyenget, Miririah kembali menangis kerana mengingati kembali eksiden itu. Siapa sahaja yang tidak terkejut melihat sekumpulan lelaki bertubuh tegap berbaju hitam menyerang ladang bunga mereka dan menolak Eric hingga jatuh tersungkur. Sampai senget cermin mata anak muda itu akibat tolakan lelaki berbadan sasa itu. Nasib baik adanya Harris; pekerja Encik Stamfordy, membantu mereka melarikan diri dari kumpulan lelaki-lelaki itu yang tiba-tiba sahaja muncul bersama-sama senjata api.

     “Syyy... dah tak apa-apa. Eric tak apa-apa. Okey sayang,” pujuk Alicia sedar yang dia juga perlu bertenang dan berfikir dengan waras.

     “Siapa dorang tu akak?” soal Mirirah masih menangis walaupun hanya sendu sahaja.

     Alicia mengetap bibir. Dia memandang Eric dan anak muda itu memandangnya juga. Masing-masing kelu dan buntu akan perkara yang mendadak ini.

     “Mana ibu? Babah?” soal Miririah lagi. Dia memandang wajah kakaknya dan Eric. Kedua orang itu senyap, tidak tahu hendak berkata apa.

     “Kakak?”

     “Diaorang tak apa-apa. Adik jangan risau okey?” soal Alicia dengan wajah tenangnya. Miririah melihat anak mata Alicia dalam-dalam. Walaupun dia kecil, tetapi dia tidak bodoh. Namun dia telan juga kata-kata tenang Alicia buat tenangkan dirinya ini. Lantas dia membiarkan Alicia menyapu sisa air mata yang melakari pipinya.

     “Baang! Baang! Baang!”

     “Frolica!”

     “Kakak!”

     Serentak ketiga-tiga mereka berpaling memandang pintu yang menutup ruang bawah tanah itu. Memasang telinga mereka mendengar setiap derap langkah yang berlari-lari dari tadi, jeritan seorang lelaki, ngongoi seorang perempuan bersama beberapa lagi bunyi das tembakan.

     “Mama...”

     “Apa dah jadi dengan ibu kak?” soal Miririah gelisah. Air matanya mula bergenang.

     “Tak ada apa-apa. Syy...” Alicia memeluk tubuh menggigil adiknya. Dirinya juga mula menggeletar. Menidakkan apa yang dia fikirkan saat ini. Menepis segala bunyi yang bagai air mengalir memasuki lubang telinganya.

     “Apa yang kau dah buat Ken? Dia kakak akulah bodoh!”

     “Itu suara mama!” bisik Eric dengan matanya membulat bagai bola ping pong. Betullah dia tidak berhalusinasi. Itu benar-benar suara Puan Gwaine! Dia berdiri dari duduknya, badannya mula berpeluh lebat. Batu permata yang bewarna kelabu itu diramas kasar. Alicia mahupun Miririah memerhati Eric yang bagai cacing kepanasan.

     “Kakak? Sedar diri sikit G, kita sama-sama anak yatim piatu! Kau, Benji, Areff dan aku, kita semua yatim piatu! Tak ada siapa yang sayangkan kita.” kata satu suara garau yang asing dan kasar sepertinya dia sakit tekak.

     “Kau salah Ken... Ahhh!”

     Cepat-cepat Alicia memegang pergelangan tangan Eric, menahan anak muda itu dari membuat tindakan bodoh.

     “Lepaskan tangan aku!” marah Eric.

     Alicia menggeleng. “Tak. Kita harus duduk sini. Kita tak boleh buat apa nak tentang orang-orang ni Ric.”

     “Tapi mama aku...”

     Sekali lagi Alicia menggeleng. Pegangannya kejap. Dia tidak mahu kehilangan lagi sesiapa juga orang yang dia sayangi.

     “Baang! Baang! Baang!”

      “Ahhhh!”

     “Alicia tolonglah. Aku merayu kat kau...” Setitis air matanya menitis menuruni pipinya yang dahulunya bersih kini bercalar balar.

     “Kalau aku lepaskan kau Ric, siapa nak jaga kami? Siapa Ric?” rayu Alicia pula. Pegangannya longgar seperti sudah berputus harap untuk memujuk Eric supaya terus kekal di dalam ini dan tidak keluar. Sekali lagi air matanya gugur. Sesungguhnya, hatinya berasa berat dan tidak tenteram. Lebih-lebih lagi dengan keadaan yang kacau bilau di atas. Serabut!

     Tiba-tiba pintu ruang itu terbuka luas, membenarkan cahaya lampu menerangi seluruh ruang sempit dan sejuk itu. Terlihat tiga orang lelaki berdiri tegak, memandang mereka dengan sinis dan tegas. Salah seorang darinya yang berada di tengah, pipinya terdapat sebaris darah pekat. Bau hanyir kini mula menerjah rongga penafasan. Sejurus itu, Miririah menangis dengan kuat lantas memeluk badan Alicia dengan erat.

     “Bakar tempat ni...” kata lelaki di tengah itu. “... selain budak ni,” dia mengunjukkan jari runcingnya pada Eric kemudian dia melihat ke arah Alicia dan Miririah bersilih ganti. “...jadikan mereka ni kayu api macam mak bapak diaorang.”

     Serentak itu, ketiga-tiga mereka ditarik keluar dari bilik bawah itu dan digendong. Tangis Miririah menjadi lebih kuat apabila dia dipisahkan dari kakaknya juga dari Eric.

     “Kakak! Kakak! Kakak!!!”

     Pengakhiran sebuah malam di suatu hari pada musim panas selepas beberapa hari mereka menikmati hari dengan gembira dan tenang, merupakan sebuah tragidi yang terus-terusan bergema di minda yang mendengar sehingga ke hari ini.

No comments:

Post a Comment