Wednesday, February 12, 2014

Mimpi 2

2

Benjamin merenung tubuhnya. Pelik melihat fizikalnya. Dibeleknya tubuh itu depan belakang. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Bentuk tubuhnya silinder, kering melidi Cuma ada beberapa bahagian yang sedikit berisi. Dia ni... keliru jantina ke?

“Benjamin... awak dah siap ke?” panggil Daniel. “Saya masuk eh?”

Benjamin berpaling. Melihat ke arah pintu biliknya yang berkunci itu. Sengaja dia kunci pintu bilik itu. Seperti kebiasaannya pula untuk mengunci pintu bilik. Habitnya dulu, mungkin. Benjamin berjalan lenggang ke pintunya. Dia membuka pintunya sedikit, cukup sekadar menjengukkan kepalanya.

“Dah siap?” soal Daniel.

Benjamin menggeleng. “Saya belum pakai baju lagi. Baru je siap mandi. Nak masuk ke?”

Daniel menggeleng. “Tak apalah kalau macam tu. Saja saya nak tengok awak okey tak. Saya tunggu awak kat bawah. Okey?”

“Hm...”

Perlahan Benjamin tutup pintu. Sebaik sahaja dia rasa Daniel sudah hilang dari depan pintunya, dia tersandar lemah. Tidak faham kenapa dia perlu rasa takut sedangkan dia dan Daniel... sama-sama lelaki. Kalau dia nak masuk pun, tak mengapakan? Kan?

Benjamin kembali berdiri di hadapan cermin. Kepalanya berdenyut kuat. Perkara seperti ini bukanlah satu masalah besar. Mudah sahaja untuk difahami. Hanya dia yang tidak pasti. Daniel panggilnya begitu tetapi fizikalnya begini. Jadi apa yang dia perlu percaya?

“Kau! Kaulah yang perlu kau percaya. Ni...” Benjamin tunjuk jarinya pada tubuhnya. “... kenyataan. Badan kau dan bukannya orang lain. Okey?”

Benjamin pengang kepalanya. “Macam mana aku nak beritahu Daniel yang aku ni perempuan?” soal Benjamin pada refleksinya di cermin. Ah, serabut!


BENJAMIN melangkah ke dalam ruang tamu utama di mana Daniel menunggunya di situ. Apabila mata mereka saling berlaga, dia tundukkan wajahnya. Rasa bersalah. Takut pun ada. Di sisi Daniel, seorang wanita tua merenungnya tajam. Wanita itu meletak teko teh lalu berjalan laju ke arahnya. Benjamin berhenti berjalan. Terkejut melihat wanita itu meluru ke arahnya.

“Daniel, makcik pinjam Benjamin sekejap dulu eh?” kata Mary lalu menarik Benjamin supaya mengikutinya.
Benjamin tidak mampu menolak apabila lengannya dicengkam kuat oleh wanita tua itu. Tidak sepadan dengan umurnya. Dia menoleh ke belekang melihat Daniel. Lelaki itu menjungkit bahunya lalu menyuruhnya mengikut sahaja kehendak Mary. Hah?

“Makcik nak bawak saya pergi mana ni?” soal Benjamin.

“Ikut sahaja orang muda!”

Amboi garangnya.

Mary membawanya ke dapur. Terus ke laman belakang, ke kebun sayur. Benjamin lihat sekelilingnya. Beberapa mata pembantu rumah memandang ke arah mereka, terintai-intai. Kebanyakan pembantu rumah di rumah Daniel ini, wanita yang sudah berumur. Dia sudah berasa tidak sedap.

“Hulur tangan kamu,” arah Mary.

Teragak-agak Benjamin menghulur tangan kanannya. Mary menyambutnya lalu mengurut-urut tangannya itu. Kening wanita itu terangkat. Kemudian dia lihat wajah Benjamin. Dibelek-beleknya pula wajah itu.

“Pusing,” arahnya lagi.

Akur, Benjamin pusing tanpa banyak soal.

Mary sudah bercekak pinggang. “Pelik...”

“Apa yang peliknya?” soal Benjamin tidak faham. Sebaliknya, kepalanya dihempuk. Ahh!

“Makcik!” rungutnya. Kepalanya diusap sakit. Boleh tahan orang tua ni.

“Makcik nak tanyalah... kamu jawab jujur soalan makcik ni.”

Benjamin berpaling semula ke pintu belakang dapur. Daniel sudah berdiri di situ dengan cawan tehnya. Tersengih-sengih melihatnya. Rasa menyesal pula mengikut lelaki itu balik ke rumahnya.

“Kamu sedar tak yang kamu ni perempuan?” soal Mary terus terang.

Mata Benjamin membulat. Terkejut. “Macam mana makcik tahu saya ni perempuan?”

Mary membuat muka ‘sahlah’. Lalu dia membetul-betulkan baju Benjamin. Kolar baju dan bahu kot. Baju Daniel ketika berumur 17 tahun. Fikirkan sudah tiada makna dia menyimpan baju ini rupanya ada guna juga dia simpan. Kemudian dia membetulkan ira rambut Benjamin yang sudah kemas terpotong.

“Tengok cara kamu berpakaian pun mak cik dah tahu. Nampak sangat kekok. Tangan ni, lembut macam tak pernah buat kerja. Muka kamu bujur dan tumpul. Bidang badan kecik. Halkum tu yang ketara sangat. Makcik tak tahulah macam mana tuan muda boleh fikir kamu ni lelaki. Malah kamu jalan pun makcik dah perasan. Sangat menjaga langkah. Tak kengkang. Lagilah suara kamu tu, halus,” beritahu Mary panjang lebar.

“Mungkin agaknya dia tengok aset kamu tu rata sangat, tu yang dia fikir kamu ni lelaki. Dah berapa lamu kamu tak makan? Kenapa tak jaga badan?” tambah Mary lagi. Memang stail makcik jiran sebelah betul.
Benjamin sudah tertunduk malu. Dia tak tahu nak kata apa. Bukan salah dia badannya begini. Juga bukan salah dirinya yang Daniel beranggapan begitu. Segala apa yang Mary cakapkan itu ada benarnya. Daniel patut sedar dari awal tetapi kenapa lelaki itu macam tak tahu apa-apa?

“Makcik tak boleh nak salahkan tuan muda kalau dia anggap kamu ni lelaki. Dia tak biasa dengan anak dara. Gadis yang dia kenal pun tak banyak. Dua orang sahaja dan dua-dua tu, badannya sihat.”

Benjamin ketap bibir. Betul-betul terasa.                     

“Tapi kamu jangan risau, mak cik takkan bagitahu tuan muda yang kamu ni perempuan. Biar kamu sendiri yang beritahu dia. Tapi bukan sekarang. Mak cik nak biar tuan muda tu bersosial sikit. Boleh makcik harapkan kamu?” Mary memandangnya penuh harap. Benjamin pula rasa serba salah. Kenapa dia tidak boleh beritahu sekarang?

“Makcik apa yang lama sangat tu? Kesian kawan saya tu...!” jerit Daniel dari ambang pintu, sambil itu dia menghirup tehnya. Sungguh buruk perangai.

Kedua orang perempuan itu saling berpandangan. Benjamin agak berat hati untuk bersetuju.

“Beginilah. Selagi kamu tak tahu siapa diri kamu yang sebenar, selagi tu kamu tutup mulut kamu. Jangan buka pun. Makcik minta kamu buat begini pun demi kebaikan kamu dan kepentingan kamu juga. Kalau tak, kamu tak ada tempat untuk tinggal. Nak ke kalau tuan muda hantar kamu ke hospital?” soal Mary membuatkan Benjamin pantas menggeleng. Dia tidak mahu pergi ke sana. Rasa seperti dia akan muntah sahaja kalau dia berada di sana.

“Jadi, janji?”

“Saya janji.”

Mary tersenyum lega. Hatinya senang. Masalah keluarga ini akan selesai tidak lama lagi dan dia tidak sabar-sabar mahu memberitahu puan besar akan berita ini!


DANIEL mengambil tempatnya di hadapan Benjamin. Wajahnya penuh curiga. Melihatkan lagak Benjamin yang tenang dan bersahaja itu membuatkan rasa curiganya sedikit berkurangan tetapi masih ada.

“Apa yang awak tenungkan Daniel?” soal Benjamin yang tadi ralit membaca majalah yang terdapat di biliknya. Namun tumpuannya lari apabila Daniel menganggunya dengan beraksi begini. Lantas dia meletak majalah itu di atas meja.

“Apa yang awak bualkan dengan makcik?”

Benjamin jongket bahu. “Biasa-biasa... dia kata saya selekeh.”

Daniel memuncungkan bibirnya. Yelah tu. Dia membetulkan duduknya. Wajah Benjamin diamati lagi. Bagaimana seorang manusia yang jatuh dari langit... tidak mempunyai kecederaan? Tolak tepi soal hilang ingatan itu. Benjamin tidak sakit belakangkah? Kaki patah ke? Tangan patah ke? Demam ke? Trauma...

“Daniel...”

“Apa kata saya panggilkan awak seorang doktor? Saya risaulah.”

Benjamin menghela nafas. Dia fikir Daniel dapat mengagak yang dia ini seorang perempuan. Cuak dia. “Ikut suka hati awaklah. Saya dah cakap saya tak apa-apa. Saya cuma tak ingat siapa saya. Itu sahaja.” Dia bangun. Resah. Kalau makcik boleh tahu dia ini seorang perempuan hanya dengan melihat, seorang doktor pasti dapat mengenal pastinya dari degup nadinya. Macam mana ni?

“Okey, besok saya panggil doktor keluarga saya datang. Jom makan. Makcik suruh turun tadi,” beritahunya lalu berjalan mendahului langkah ke ruang makan. Benjamin yang mengikut dari belakang menjarakkan diri sedikit. Resah. Kepalanya semakin lama semakin kuat berdenyut.

Sesampai di ruang makan yang menempatkan sebuah meja makan diperbuat daripada kayu jati yang boleh memuatkan seramai 10 orang bersama-sama 10 buah kerusi dari material yang sama. Sebuah lampu chandeliar tergantung cantik betul-betul di tengah kawasan meja makan. Benjamin duduk menghadap Daniel. Hanya mereka berdua sahaja yang makan di situ.

“Mana ahli keluarga awak yang lain?” soal Benjamin baharu perasan akan ketidakhadiran mereka di dalam rumah itu. Pembantu rumah mula membawa keluar hidangan makan malam mereka. Kemudian dihidang di hadapan mereka. Salad buah sebagai pembuka selera.

“Ibu bapa saya di pinggir bandar, di rumah percutian keluarga. Abang saya dan kakak ipar saya di luar negara, jaga bisnes keluarga di sana. Tinggal saya seorang di sini,” beritahu Daniel. Dia mencucuk buah anggur.

“Oh... kenapa awak tak ikut ibu bapa awak?”

“Buat apa? Biarlah diaorang nak berbulan madu. Saya lebih selesa di sini,” jawab Daniel pantas.
Benjamin mengangguk faham. Dia sudah tidak bertanya apa lagi. Hanya menyuap makanannya perlahan-lahan. Selesai pembuka selera, pembantu rumah menghidang hidangan utama. Daging stik bersama kaviar, salad dan sos tartar.

Sedang elok mereka makan, tiba-tiba butler rumah datang menghampiri Daniel. Dia menghulur sekeping kad pada Daniel.

“Dia dah sampai?” soal Daniel.

Encik Callagan hanya mengangguk, mengiakan. Daniel menjeling Benjamin yang menyuap kaviar ke mulut. “Okey, terima kasih. Suruh dia kemari. Makcik!” panggil Daniel mahu menyuruh wanita itu menyediakan lagi sepinggan makan malam.

‘Uhuk!’

Benjamin memuntahkan semula apa yang dia makan. Dia kemudian terbatuk-batuk. Daniel terkejut. “Makcik!!” semakin lantang dia memanggil Mary. Dia berlari mendapatkan Benjamin yang terus-terusan terbatuk-batuk sambil isinya terburai keluar.

“Ya tuhan Benjamin!” Mary berlari mendapatkan gadis itu. “Apa yang dah berlaku?”

“Saya nak makcik panggil Doktor Harper. Sekejap lagi Julie akan datang jadi saya nak mak cik lencongkan dia ke tempat lain dan jamu dia. Saya nak hantar Benjamin naik bilik dia. Sekarang!” arah Daniel tidak bertangguh. Lantas dia membantu Benjamin bangun dan mengambil semangkuk besen yang dihulurkan oleh pemabntu rumah yang lain. Dia menyuruh Benjamin memegang besen itu dan dia akan bantu memapah gadis itu. Baharu sahaja gadis itu berdiri, dia rebah tidak sedarkan diri.

“Benjamin!”


“MANA adik kamu, Juliane?” soal Tuan Graham.

Juliane tersentak. Pisau dan garpunya jatuh serentak. “Maaf...” ucapnya. Pisau dan garpunya berganti dan yang jatuh telah dikutip oleh pembantu rumah.

“Kamu tak apa-apa?” soal Puan Graham risau. Melihatkan anak lelakinya itu termenung sahaja di meja makan sangat merisaukan hati perutnya. Dia juga jadi tidak lalu untuk makan.                

“Saya tak apa-apa mama,” jawab Juliane. “Tak silap saya Julie kata dua malam ni dia akan bermalam di rumah kawannya di Darmadin. Katanya nak tenangkan diri. Saya yang izinkan dia pergi,” beritahu Juliane.
Puan Graham mengeluh.

“Jangan mengeluh depan rezeki Anna,” tegur suaminya. Tuan Graham meletak perkakas makannya. “Jadi kenapa kamu tak ikut dia sekali? Kenapa berada di sini kalau kamu tahu kamu tak boleh fokus?”

“Saya tak mahu. Selagi Allisa tak dijumpai, saya takkan ke mana-mana,” jawab Juliane tegas. Daging ikan salmon dipotong tanpa dia hiraukan renungan tajam bapanya itu.

“Ayah tahu kamu sedih atas kehilangan Allisa tetapi dalam keadaan kamu yang macam ni... bukannya memudahkan kerja mencari dia. Kamu dengar tak cakap ayah?”

Juliane mengunyah makanannya. Dia dengar cakap ayahnya cuma dia ialah seorang anak yang degil. Allisa baginya ialah segala-galanya. Dia cintakan gadis itu sepenuh hatinya. Mereka saling mencintai. Saling memerlukan. Jadi kenapa begini sekali dugaan cinta mereka? Mereka sedang menanti saat bahagia mereka. Meniti hari perkahwinan mereka. Namun suatu hari Allisa tidur lena tidak sedarkan diri. Tiada kesan diracun atau sebarang bentuk tekupan atau apa-apa sahaja yang boleh menyebabkan roh gadis itu tidak kembali pada tubuhnya.

Tiga tahun dia menanti. Tiga tahun dia tabahkan hati, jiwa dan raganya. Jika dahulu, di awal-awal penyakit Allisa menimpa, dia tidak seperti dirinya dan kini... bila gadis itu hilang... lagilah dia jadi tidak menentu. Ini belum lagi dia menghadap datuk gadis itu yang tersangatlah menyayangi cucunya. Agak sukar juga dahulu untuk dia meminang Allisa.

“Apa yang polis kata tentang kehilangan Allisa? Ada tanda-tanda pembunuhan ke?” soal Tuan Graham.

Juliane menggeleng. “Mereka tidak dapat pastikannya lagi. Tiada tanda pergelutan atau bahan racun yang ditinggalkan. Seolah-olahnya Allisa tinggalkan tempat itu dengan rela hatinya. Tetapi mereka kata mereka jumpa helaian rambut Allisa di dalam bilik air tidak jauh dari bilik Allisa dan ada sepasang baju dan seluar milik tuan bilik itu hilang. Saya tak tahulah ayah. Saya tak nak fikirkan kemungkinan yang Allisa benar-benar tinggalkan kita atas keralaan hatinya. Saya sedih ayah,” cakap Juliane. Pinggannya ditolak ke tepi. Tidak guna dia berlagak untuk berselera. Hatinya walang. Jiwanya resah.

Tuan dan Puan Graham masing-masing berasa sedih akan berita itu.

“Dengar cakap ayah kamu Juliane. Ibu rasa itu, satu cadangan yang bagus. Kamu pergi tenangkan hati kamu. Allisa pasti pulang. Dia cintakan kamu, bukan?” pujuk Puan Graham.


“Entahlah... saya tak tahu. Nantilah saya pertimbangkan cadangan ibu ayah. Saya nak naik dulu.” Juliane bangun. Dia mahu cepat-cepat beredar dari situ. Dia tidak mahu ibu ayahnya lihat dia menangis di hadapan mereka. Air matanya tumpah buat kesekian kalinya. 

No comments:

Post a Comment