3
Doktor Harper menyimpan statoskopnya. Sebuah buku nota khas untuk dia
menulis perskripsi pesakit dan ubat yang perlu diambil pesakit. Kemudain
helaian itu diberikan pada Daniel.
“Dia tak apa-apa. Cuma alahan terhadap kaviar dan demam yang ringan.
Pastikan dia rehat untuk dua hari ini,” beritahunya. Ada sesuatu yang tersekat
di kerongkongnya.
“Baiklah doktor. Terima kasih banyak-banyak sebab sudi datang walaupun
sekarang ni waktu peribadi doktor dengan keluarga.”
Doktor Harper menggeleng. “Sudah jadi tanggungjawab saya untuk merawat
mereka yang perlu dirawat. Awak tak perlu rasa begitu,” dia jeda. “Baiklah,
kalau tiada apa-apa, saya hendak pulang dulu.”
Daniel ketap bibirnya. Wajah Benjamin dipandang. Hatinya berdolak-dalik dan
akhir sekali dia ikut kata hatinya. “Doktor!”
Lelaki separuh abad itu berpaling. “Ya?”
“Kawan saya... dia amnesia sebenarnya. Tetapi saya tak tahu mungkin ia lebih
teruk dari itu, saya nak doktor rawat dia,” pinta Daniel. Tidak... lebih kepada
menagarah.
Doktor Harper termangu. Apa patut dia jawab dalam keadaan macam ini
sedangkan yang dia dah berjanji kepada Mary yang dia akan bekerjasama dalam hal
ini. Dia mahu ‘bebas’kan Daniel dari ikatannya. Dia betulkan posisinya. Dia
harus bijak. “Baiklah tetapi seeloknya pada waktu siang ketika pesakit sedar.
Baharulah saya boleh lakukan pemeriksaan ke atasnya. Saya balik dulu.” Dia
melangkah keluar dan menutup pintu perlahan di belakangnya. Wajah Mary yang
berdiri di sebelah kiri pintu, dipandangnya.
Daniel tidak boleh buat apa dan hanya menurut. Jika itu apa yang doktor
katakan, mangapa harus dia bantah sedangkan dia hanya lelaki biasa yang tiada
ilmu perubatan di dada. Asalkan Doktor Harper sudi merawat Benjamin, itu sudah
cukup bagus. Dia kembali memandang wajah Benjamin yang lena. Jika tidak kerana
Benjamin ini seorang lelaki, hatinya pasti sudah tertarik untuk mengenali insan
yang sedang lena itu. Walaupun kering melidi dan sedikit cengkung, Benjamin
tetap ada daya penarik. Seperti satu aura. Namun bila memikirkan semula, mana
mungkin untuk dia mendekati Benjamin jika dia seorang gadis. Dia akan serta
merta menjadi kaku dan bercakap perkara sebaliknya. Satu penyiksaan yang halus.
Bukannya dia gemuruh atau gementar berhadapan dengan jantina bertentangan cuma
seperti yang dia kata sebelum ini, dia telah di’ikat’ oleh seorang gadis yang
bernama Anita Freaser Wheatherspoon, tunangnya sejak kecil.
10 tahun lalu, di sebuah keramaian, meriah dan jamuan yang menyelerakan.
Seorang kanak-kanak lelaki, berambut coklat gelap dengan iris blackforest, pipi
putih gebu juga sedikit kemerehan di tengahnya. Itu Daniel.
Dalam suasana yang penuh dengan gelak ketawa dan renda, dia ternampak
seorang kanak-kanak perempuan, tidak jauh darinya, sedang bermain sendirian. Lansung
tidak menghiraukan suasana sekelilingnya, kanak-kanak perempuan itu leka dengan
anak patung perempuan, beruang dan arnab. Sambil itu, dia menuang air halimunan
ke dalam cawan lalu diletakknya teko kecilnya itu. Kanak-kanak perempuan itu
mengangkat cawannya dan sedaya upaya menunjuk jari kelingkingnya keluar.
Lagaknya seperti orang dewasa yang sedang menikmati jamuan teh yang penuh adab
sopan. Tak ubah seperti keadaan sekelilingnya sekarang.
Daniel memberanikan dirinya mendekati kanak-kanak perempuan itu. “Selamat
petang,” tegurnya. Apabila kanak-kanak perempuan itu memandangnya atas bawah,
Daniel membongkok penuh adab. “Saya Daniel James Scot. Kisah jika saya sertai
jamuan teh awak?”
Kanak-kanak itu membalas tundukkan Daniel. “Selamat petang buat awak juga.
Saya Anita.” Anita melihat anak-anak patungnya. Tiada tempat kosong untuk dia
beri pada Daniel. Dia tidak mahu alih Cik Jelita atau Encik Pemarah atau Encik
Masa. Mereka adalah tetamu jamuannya. Tetapi dia mahu Daniel juga menjadi
tetamunya.
“Maafkan saya sebab kecewakan awak tetapi mereka tetamu saya dan saya tak
boleh halau mereka. Saya tak nak nampak seperti kurang ajar,” bisik Anita. Dia
kemudian mengangguk bersungguh, meyakinkan Daniel.
Daniel hampa.
“Tapi kami ada satu tempat kosong!” Anita cuba menceriakan Daniel. “Awak
boleh jadi butler saya. Awak mahu?”
Daniel teragak-agak. “Tapi saya tak tahu macam mananya untuk menjadi
seorang butler. Saya hanya mahu duduk di meja awak dan menjadi tetamu awak,”
minta Daniel. Mukanya seperti hendak menangis. “Saya hanya mahu biskut awak...”
Anita serba salah. Antara tetamu setianya atau seorang kanak-kanak lelaki
yang dia baharu kenali. Dia melihat kakak saudaranya yang duduk di meja bulat
tidak jauh dari tempatnya bermain. Di sebelahnya, ada seorang lelaki yang segak
dengan rambut yang kemas dan wajah yang kacak. Itu tunang kakak saudaranya.
Mereka baharu bertemu hari ini untuk sesi suai kenal. Dia kasihankan kakak
saudaranya. Lelaki itu tidak bagus untuknya. Kaki perempuan. Dia nampak dengan
mata kepalanya sendiri. Jika dia mahu seorang suami, dia tidak mahu suami
seperti lelaki itu duduk semeja dengannya di hari suai kenal pertunangan
mereka. Dia berkalih memandang Daniel yang masih mengharap untuk makan biskut
dari jamuannya.
“Awak memang betul-betul mahu makan di meja saya?” soal Anita.
Daniel mengangguk laju.
“Adakah awak seorang yang setia?”
Dia angguk lagi.
“Pegang pada janji?”
Daniel bersumpah.
“Awak sangat comel Daniel,” puji Anita. Pipi Daniel sudah memerah. “Saya
suka awak. Awak suka saya?” tambah Anita.
“Apa sahaja untuk awak Anita.”
“Jadi janji dengan saya yang awak takkan pandang perempuan lain selain saya
dan hanya saya. Sudikah awak berjanji? Sudikah awak bersama saya?”
“Saya sudi!” ‘Demi biskut!’ sambung Daniel di dalam hati.
Anita tersenyum suka. Dia mengambil Encik Pemarah. “Awak boleh duduk sini
kerana sekarang awak ialah tunang saya.”
‘TOK, TOK, TOK!’
“Masuk!”
Daniel masuk. Matany melilau mencari kelibat Julie. Dia tersenyum. Langkah
diatur kemas menuju ke beranda. “Maaf Julie sebab tak sambut awak semalam.”
Julie hanya tersenyum tawar. Tangannya disilangkan ke dadanya. Jauh dia
melihat ke pemandangan luar. Ke arah hutan pinggir kota Darmadin.
“Sedih je. Kenapa?” Daniel mengambil tempat duduk di atas tiang beranda.
Melihat ke arah yang sama.
“Sahabat saya melarikan diri. Hilang entah ke mana.”
Dahi Daniel berkerut. “Yang mana satu?”
“Allisa.”
“Yang koma tu? Kena culik ke?”
Julie senyap.
“Dia dah sedar?”
“Saya rasa sedih sangat Daniel. Tiga tahun dia tidur. Bila dia sedar, dia
lansung tak tinggalkan jejak. Saya terasa dengan perbuatannya. Apa salah saya
sehingga dia perlu buat begitu?”
Daniel hanya diam. Dia tidak kenal Allisa. Hanya tahu nama dan situasi
gadis itu sahaja. Koma tiba-tiba untuk tiga tahun. Allisa sahabat baik Julie
sejak kecil. Mereka membesar bersama. Sudah seperti adik beradik. Malah Allisa
ditunangkan pada abang Julie, Juliane. Dengarnya meraka saling mencintai.
Untungnya.
“Bagaimana dengan abang awak?”
“Lebih teruk. Dia macam orang mati bini. Saya hilang sahabat dan abang
saya, dia hilang cinta sejatinya. Semua ni salah saya. Abang saya tak patut
menderita seperti itu jika dia tak berjumpa Allisa. Semua ni salah saya,” sesal
Julie.
Daniel duduk mengadap Julie. Wajahnya serius. “Abang awak beruntung. Awak
beruntung. Sekurang-kurang dia menderita kerana cinta sejati tetapi saya? Saya
menderita kerana cintakah? Cintakah yang mengikat saya Julie?”
Gadis itu tersentak. Tersedar yang dia sudah tersilap cakap. “Saya tak
maksudnya macam tu, Daniel. Saya sedih.”
“Jadi awak patut bersyukur kerana awak bersedih kehilangan sahabat yang
awak sayang.”
“Saya minta maaf...” Betul juga kata Daniel. Tetapi, hatinya akan tetap
sedih. Orang yang hilang ialah orang yang dia sayang sepenuh hatinya.
Sahabatnya dunia dan akhirat. Allisalah satu-satunya orang yang sudi melayan
kerenah gilanya, mendengar kisah merapunya, memahami jiwanya yang bagai angin.
Dia orang seni yang tidak suka dikongkong, ingin bebas terbang menghinggap di
mana sahaja yang dia mahu. Namun keadaan dirinya menyukarkan dirinya untuk
berbuat demikian. Dia terikat dan segala protokol tatasusila walaupun tidak
seketat Allisa. Allisa keluarga diraja dan dia hanya dari golongan politik
sahaja. Kadang-kadang apabila Allisa tidak mampu menemaninya, dia akan turun ke
bawah, ke Darmadin. Berjumpa Daniel.
“Semalam awak cakap ada masalah. Masalah apa yang awak cakapkan tu sampai
tak menyempat?” soal Julie, teringat akan perbualan mereka di telefon semalam.
Daniel lihat kiri kanannya. Takut jika ada orang terdengar. Kisah Benjamin
jatuh dari langit hanya sebilangan sahaja yang tahu. Yang lain hanya fikir yang
Benjamin itu jatuh dari tingkat atas menara jam dan menghempap sisi tepi lori
yang menjual tilam secara lelong sebelum mencium lantai.
“Dekat Brynn, selain sahabat baik dunia akhirat awak tu, ada orang hilang
tak?” soal Daniel, berbisik.
Julie mengerutkan dahinya. Apa kena mengena orang di Brynn dengan Daniel di
Darmadin? “Manalah saya tahu! Saya bukannya polis. Kenapa?”
Daniel mendekatkan dirinya pada Julie. Kali ini dia betul-betul berbisik.
Mata Julie membulat, tidak percaya. “Jatuh?” Siap aksi sekali Julie berikan
dengan tangan tergawang-gawang. Mustahillah cerita Daniel ni. Mana mungkin.
Ceh! Jatuh! “Tipu... Awak mamai eh semalam? Minum di siang hari ke?”
“Saya tak minum dan takkan minum! Saya serius ni! Dia sekarang ada dalam
bilik tetamu sebelah awak. Sebab jatuh tu, dia jadi amnesia!” bersungguh Daniel
yakinkan kawannya itu.
“Lelaki ke perempuan?” soal Julie dengan harapan mungkin orang yang jatuh
itu ialah Allisa.
“Lelaki.”
“Oh...” nada kecewa yang keluar dari bibir Julie. Walaupunbegitu, dia tetap
berasa syukur kerana bukan Allisa yang jatuh dari langit. Kerana jika ya,
memang ada yang kena pancung dengan raja!
No comments:
Post a Comment