4
Dua hari itu, Benjamin hanya duduk dalam biliknya. Banyak menghabiskan masa
dengan merenung siling bilik dan termenung.
Untuk berada di luar, buatkan dia berasa tidak senang dan menyakitkan
kepalanya yang sememangnya sudah sakit. Makan pun dia kurang, walaupun
senyap-senyap Mary akan memarahinya. Wanita itu risaukan kesihatan tubuhnya
yang sedia kering melidi tak berisi ini. Dia bukan sengaja tidak mahu makan
jauh sekali berdiet, tetapi seleranya tumpul. Kalau dipaksa, dia akan muntah
semula. Entah apa kena dengan badannya pun, dia tidak faham. Doktor Harper kata
dia demam dan alahan terhadap kaviar... mungkin itu penyebabnya.
Hari ini doktor akan datang menemuinya lagi. Dia sudah panik. Perihal
jantinanya, Daniel masih tidak tahu. Pelik juga, Doktor Harper tidak beritahu
Daniel-kah?
“Apa khabar hari ni Benjamin? Ada rasa nak muntah lagi ke?” soal Doktor
Harper sambil mengambil suhu badan badan Benjamin. “Ada rasa pening-pening? Tak
sedap badan ke? Apa-apa je?”soalnya lagi.
Benjamin berfikir. Daniel yang duduk tidak jauh dari mereka, dipandang.
Hairan dia dengan sikap Daniel yang begitu mengambil berat akan kesihatannya.
Tanggapan pertamanya terhadap lelaki itu ialah ‘Hospitaliti’. Sangat menjaga
tetamu dan memberikan yang terbaik atas setiap permintaan tetamu.
“Saya rasa tak selesa dengan cahaya matahari. Kepala saya akan sakit sangat
kalau tengok luar lama-lama. Rasa macam berpinar,” beritahu Benjamin seperti
berbisik. Dia tidak mahu Daniel dengar, takutkan lelaki itu akan risau akannya
lebih-lebih.
Doktor Harper berfikir. “Ada yang lain? Macam bunyi?”
Bunyi? Itu Benjamin tidak tahu. Selama dia duduk di rumah ini, suasananya
damai dan jauh dari bising. Jadi agak sukar untuk dia pastikan. Jawapan mudah,
dia hanya jongket bahu, tanda dia tidak pasti.
Doktor Harper menggangguk. Dia tidak boleh paksa pesakit. Lagi-lagi pesakit
seperti Benjamin. Mendengarkan cerita dari Benjamin dia dapat agak yang dia
mengalami konkusi cuma dia tidak pasti samaada ianya minor ataupun major. “Awak
mengalami konkusi akibat daripada hentakan yang kuat di kepala awak yang
menyebabkan awak hilang ingatan. Selalunya sakit macam ini, kita tak pasti
berapa lama masa yang diperlukan untuk awak peroleh semula ingatan awak. 24
jam, sebulan atau sehingga bertahun-tahun. Jadi saya nasihatkan awak banyak
berehat dan terima perlahan-lahan satu-satu maklumat. Jangan terlalu mendesak
diri awak.
Benjamin mengetap bibirnya. “Doktor, sebenarnya apa yang dah berlaku pada
diri saya?”
“Awak jatuh dari menara jam. Daniel tak cerita pada awak?”
Benjamin pantas menggeleng. Dia takut hendak tanya. Soal pada Mary, wanita itu
banyak mengelak. Kata yang dia perlu tanya Daniel sahaja.
“Mungkin dia takut awak terkejut dan tak boleh terima. Awak bertuah sebab
awak masih lagi hidup selepas terjun dari menara jam tu. Awak patut bersyukur
yang tuhan beri awak peluang untuk terus hidup,” pesan Doktor Harper.
“Baik,” jawab Benjamin. Terkejut? Ya. Tidak boleh terima pun ya juga. Apa
yang lebih memberi impak padanya ialah persoalan yang terbentuk besar dalam
kepalanya. Tanda soal kepada perbuatan membunuh dirinya itu. Kenapa dia tergamak
untuk membunuh diri sendiri? Sebab dia miskin? Atau sebab dia sememangnya
berniat untuk membunuh diri?
“ABANG tak nak turun bawah?” soal Julie di hujung talian. Ada nada bimbang di suaranya.
“Akan. Tapi bukan sekarang. Julie macam mana?” soal Juliane pula. Cuba
mengubah topik perhatian.
Julie mendesah lemah. “Macam biasa. Bosan abang tak ada. Dua hari ni, asyik
duduk kat rumah Daniel, tak buat apa-apa. Saya rindu Allisa.”
“Julie...”
“Saya tahu.” Bukan maksud dia untuk menambahkan lagi kesedihan abangnya.
“Macam mana akak?”
“Dia sihat. Dua tiga hari ni dia asyik merungut sakit pinggang. Tak larat
dah nak bawak perut dia. Ibu kata tak lama lagi, akak beranaklah,” beritahu
abangnya. “Balik tau.”
Julie berfikir-fikir. Dia tidak rapat dengan Kakak Sulungnya, Jannice. Beza
umur yang agak jauh menjadikan mereka kurang bercakap antara satu sama lain.
Walaupunbegitu, dia sayangkan kakaknya. Jannice banyak membelanya secara
senyap. Namun dia tidak senang dengan suami Jannice. Sedikit susah apabila diri
ini menyimpan perasaan terhadap abang ipar sendiri. “Tengoklah... Okeylah. Bila
abang nak turun bawah, abang telefon Julie, key? Saya rasa saya nak duduk sini
lama sikit lagi. Daa.” Julie meletak ganggang. Tidak mahu menunggu lama-lama.
Air matanya bertakung. Ah, jika Allisa ada dia tidak akan berasa sesunyi ini.
“Julie?”
Julie terkejut. Pantas dia menyorokkan diri dan menyapu air matanya. Ohh...
“Will! Hai!”
Willson gembira walaupun hatinya terdetik rasa tidak senang. Riak Julie
yang berpura-pura senyum itu... sedikit sebanyak mencuit hatinya. “Telefon
siapa?”
“Abang. Bila sampai? Nak jumpa Daniel ke? Saya pergi panggil,” kata Julie
pantas tanpa menunggu sebarang balas.
“Tak Julie. Nanti. Daniel dah tahu...” Ah, tak guna dia berkata. Julie
sudah pun menghilang. Hari ini, bukanlah hari yang bertuah untuk dia
berbual-bual biasa dengan Julie. Hajatnya tidak kesampaian.
“DANIEL!?”
Benjamin terkejut tetapi dia duduk diam, tidak bergerak. Dia mendengar
seseorang membuka pintu biliknya perlahan-lahan. Macam takut.
“Daniel?”
Benjamin berfikir. Siapa pula perempuan yang memasuki biliknya ini? Tidak
pernah dia dengar pun suaranya. Hendakkan pembantu rumah, tidak mungkin ada
pembantu rumah yang punya suara lembut dan muda begini.
“...Dia tak biasa dengan anak dara. Gadis yang dia kenal pun tak banyak.
Dua orang sahaja...”
Kawan Daniel mungkin, fikir Benjamin mengikut apa yang Mary katakan.
“...dan dua-dua tu, badannya sihat...”
Dia cuba membuka kelopak matanya. Mengintai. Tiada. Sudah keluarkah?
Benjamin bangun. Rasanya tadi dia tidak dengar pula gadis itu melangkah keluar
dari biliknya. Melihatkan pintu ke berandanya terbuka, terdengket-dengket, dia
berjalan menuju ke pintu ke beranda dan...
“Tuhan!”
Masing-masing dapat rasakan yang darah masing-masing sudah kering. Putih dan
pucat. Terkejut dengan pertembungan mereka. Benjamin mengurut dadanya. Hampir
pekak juga dia mendengar jeritan Julie itu.
“Saya ingat apalah...” rungut Julie yang sebenarnya cuba mengurangkan rasa
gemuruhnya itu. Lain yang dicarinya lain pula yang dijumpanya. “Maaflah saya
buat awak terjaga...” Julie tersenyap.
“Tak apa-apa. Awak cari Daniel? Dia dah keluar tadi ikut Doktor Harper,”
kata Benjamin. Dalam otaknya asyik memikirkan yang dia sepertinya pernah
berjumpa dengan gadis ini. Tetapi di mana?
“Allisa?”
Siapa?
“Allisa? Hah...” Julie menutup mulutnya. Dia melihat Benjamin atas bawah.
Berbaju kemeja berlapiskan kardigan. Seluar slack. Kasut potong. Rambut pendek
terpotong kemas. “Siapa buat awak jadi macam ni?”
“Awak siapa?” terpacul soalan itu di bibir Benjamin. Dia bukan berniat
kurang ajar atau apa, tetapi memorinya kosong saat ini. “Saya kenal awak? Awak
kenal saya?”
“Allisa jangan main-main. Saya Julie. Julie Graham. Sahabat baik awak.”
“Sahabat awak... ialah saya, Miza. Kita bestfriend forever and evvvahhh!
Hahaha....”
Benjamin mengundur. Kilasan memori yang tiba-tiba menjengah ruang mindanya
membuatkan dia ragu-ragu. Bagaimana seorang gadis dengan rupa yang sama tetapi
berlainan nama dan tempat, mengaku dirinya sebagai sahabat? Apa yang dia nampak
dan apa yang dia ingat ialah dua perkara berbeza yang kelihatan seperti ianya
benar-benar berlaku!
“Julie...?”
Julie mengangguk pantas. Sangat berharap yang Benjamin akan mengingatinya.
Namun melihatkan wajah keruh di wajah Benjamin, dia menjadi hampa.
“Saya rasa awak dah tersalah orang, Julie... Saya bukan dia...”
“Saya tak pernah tersilap orang. Mungkin awak tak ingat saya tapi saya
ingat awak. Saya tahu siapa awak dan saya pasti awak ialah dia. Dia sahabat
baik saya... lebih dari itu, dia seperti darah daging saya sendiri. Saya sangat
menghargai dia.”
Benjamin serba salah. Pada masa yang sama dia terharu. “Saya pasti sahabat
awak itu seorang yang sangat beruntung punya sahabat seperti awak. Tapi saya
lansung tak ingat apa-apa. Tiada satu pun memori yang ada tentang awak...”
Benjamin telan air liurnya. Melihat Julie atas dan bawah. Membezakan antara
gadis yang timbul di fikirannya dengan gadis di hadapannya ini. “...awak!”
‘Tok, tok, tok...’
Mereka berdua berpaling ke arah bunyi itu. Daniel masuk dengan wajah
tercengang. “Saya dengar ada orang menjerit tadi. Datang dari sini. Awak ke,
Julie?” soalnya kemudian melihat wajah Benjamin dan Julie silih berganti.
Sedikit terkejut melihat dua orang itu bersama.
“Ah ya, saya yang terjerit tadi. Minta maaf. Saya tak apa-apa. Saya cari
awak sebenarnya. Will ada di bawah, nak jumpa awak,” beritahu Julie dan
berjalan ke arah Daniel. Sesudah itu dia berpaling semula ke Benjamin. Matanya
kelihatan sedih.
“Will cari saya?” soal Daniel. “Kenapa dia cari saya?” Seingatnya, Will ada
menelefonnya semalam, memeberitahu kedatangannya ke mari, hari ini, semata-mata
mahu berjumpa dengan Julie, gadis yang diminatnya dalam senyap.
Julie memandang Daniel pelik. “Dah dia kawan awak, memanglah dia cari awak.
Buat apa dia cari saya? Saya ni bukannya kawan atau kekasih dia yang dia nak
jumpa. Awak dekat mana tadi?”
“Bilik bacaan. Bercakap dengan Doktor Harper.”
“Lain kali beritahu saya kalau awak nak ajak kawan awak ke mari. Buat
terkejut saya nak cari awak merata-rata. Dah lah saya nak balik bilik. Baca
buku, lebih baik!” Julie menolak Daniel ke tepi. Dia tidak mahu lelaki itu
nampak air matanya yang bila-bila masa akan mengalir ini.
“Kenapa dengan dia?”
Benjamin jongket bahu. “Entah. Saya sendiri pun tak pasti.”
JULIANE memasuki kamar hospital tempat Allisa diami sebelum gadis itu
tiba-tiba menghilangkan diri. Kamar yang Allisa habiskan sepanjang tiga tahun
ini dengan berbaring di atas katil dan tidur, tidur dan tidur. Lena yang sangat
panjang.
“Saya minta maaf, kami dah cuba segala apa yang mampu tapi kami sendiri pun
tak pasti apa yang menimpa tunang tuan muda. Tubuh badannya sihat dan tiada
apa-apa kesan keracunan. Seperti... rohnya tidak mahu pulang. Saya nasihatkan
kita tunggu dulu dalam beberapa hari ini untuk lihat perubahan.”
“Kalau dia macam itu juga doktor, macam mana?”
Teringatkan semula wajah simpati doktor yang merawat tunangnya itu
membuatkan dunianya ini retak seribu.
Saban hari, setiap masa, jika berpeluang, dia akan teman Allisa. Bercakap,
menyanyi kecil... apa-apa sahaja yang mereka sering lakukan bersama walaupun
tika itu yang berbual hanya dia seorang. Kadang-kadang, Julie akan datang
bersamanya. Adiknya yang tolong lapkan badan Allisa yang semakin hari semakin
kurus kerana tidak menjamah apa-apa makanan. Walupunbegitu, cintanya terhadap
Allisa semakin lama semakin menebal. Dia semakin sedar yang dia tidak mampu
kehilangan Allisa sekiranya ia benar-benar berlaku.
Kini... Allisa sudah meninggalkannya. Tanpa amaran, tanpa sebarang pesanan.
Tuhan tarik orang yang dia sayang dalam sekelip mata!
Katil hospital, tempat Allisa lena untuk tiga tahun dipandang lama. Berasa
pelik melihat katil itu kosong tidak bertuan dan tidak lama lagi akan ada orang
lain pula yang mendiaminya. Dia pula, tidak akan lagi melihat bilik ini.
Matanya terhenti pada tingkap kamar hospital itu. Tingkap itu sentiasa
tertutup. Jarang terbuka. Allisa sensetif dengan sejuk. Fikirannya terfikirkan
sesuatu. Dengan langkah berat, dia mendekati tingkap itu lalu membukanya. Angin
kuat pulau Brynn menapar wajahnya. Sejuk. Dia menjulur kepalanya keluar dari
tingkap melihat ke bawah. Bangunan hospital yang dibina betul-betul di hujung
pulau terapung ini sedikit sebanyak membuatkan dia gayat.
“Tuan muda!”
Juliane menoleh. Margerat tergopoh gapah berlari ke arahnya dan menarik
lelaki itu jauh dari tingkap. Semput wanita itu dibuatnya melihat aksi bahaya
Juliane.
“Saya tahu tuan muda rindukan cik muda, tetapi janganlah sampai bunuh diri.
Pasti cik muda sedih kalau tuan muda berhasrat buat begitu,” pujuk Margerat sambil
menggenggam erat tangan Juliane. Dia tidak mahu melepaskan tangan tuan muda
yang baharu menginjak umur 23 tahun dua bulan lepas.
Juliane ketawa kecil. “Baiklah Margerat, saya faham. Saya takkan buat macam
tu lagi. Awak boleh lepas tangan saya. Saya minta maaf eh?”
Teragak-agak Margerat mahu melepaskan tangan tuan muda itu. Takut jika
lelaki itu mahu cuba terjun bangunan itu semula.
“Saya nak tanya Margerat. Pagi kehilangan Allisa, siapa yang bukakan
tingkap dia?”
Dahi Margerat berkerut. “Tiada siapa yang buka tingkap bilik dia. Malam
sebelum tu saya dah pasti setiap tingkap di bilik cik muda tertutup walaupun
tak pernah terbuka. Seingat saya pagi tu, tiada siapa selain saya yang datang
ke biliknya, tuan muda. Saya pasti tu.”
Jadi, Allisa buka sendiri tingkap biliknya? Begitu?
“Kenapa tuan muda?”
Allisa tidak mungkin lompat bangunan ini tanpa motifkan. Allisanya tidak
akan buat perkara seperti itu. Terjun bangunan...
“Tak ada apa-apa Margerat.”
No comments:
Post a Comment