Sunday, December 7, 2014

Mimpi 9

9



Teragak-agak Benjamin meniti jalan. Dia mengikut arah jalan yang bercahaya sepanjang lorong bila kadang-kadang dia sampai ke simpang T. Matanya meliar, cuba mencari di manakah bilik Daniel? Pertama kali perkara ini terlintas di fikirannya setelah dia menginap hampir dua minggu di rumah agam Scot. Selama ini dia hanya fikirkan tentang dirinya tetapi mendengarkan perlian Tuan Scot, dia sedar sesuatu.

“Boleh ke Danny percaya abang lagi?”

Benjamin berhenti berjalan. Suara Daniel menerjah gegendang telinganya.

“Abang tak rasa ini salah abang. Papa berhak tahu hal ni.”

Itu suara Vincent.

Benjamin ketap bibirnya. Patutkah dia teruskan hasratnya untuk berjumpa Daniel malam ini? Rasa macam tidak sesuai pula. Hatinya berdebar. Rasa bersalah kerana menghendap perbualan orang!

“Hah!” tawa Daniel tidak puas. “Untuk pengetahuan abang. Semua tu akan takkan bagi apa-apa makna bagi dia. Tapi merosakkan lagi keadaan yang dah memang sedia keruh!”

“Danny! Cuba bawa bertenang...”

“Abang tak faham Danny. Tiada siapa faham Danny! Semua orang hanya fikir Danny ni... budak yang tak cukup matang yang dah buat kesilapan besar dalam hidup sejak dia umur 10 tahun!”

“Oh tuhan... budak ni dah merepek dah...” kata Vincent pening kepala hendak melayan kerenah adik yang seorang itu.

“Betulkan? Betulkan? Apa yang semua orang fikir Danny ni... mesin? Abang, kereta elektromotif tu pun tak sesempurna mana... Ni lagilah Danny... Danny manusia bang...” repek Daniel.

Vincent urut dahinya. Tersengih-sengih mendengar bebelan Daniel.

“Abang ni bukannya benda lawak! Danny serius...”

“Ya abang tahu... Tapi adikku sayang, dengar cakap abang. Suatu hari nanti cita-cita adik akan tercapai, tetapi bukan sekarang. Awak tu baru 20. Banyak lagi yang perlu Danny belajar. Jadi sekarang ni abang nak awak balik bilik dan... oh!”

Mata Benjamin membulat. Tidak sangka yang kakinya masih lagi melekat di karpet tebal, menghendap dalam erti kata lain.

“Ben?” panggil Daniel tidak percaya.

Vincent memandang Daniel dan Benjamin silih ganti. Dia kemudain ketawa. Apa yang dia ketawakan, tiada siapa yang tahu. Apa yang Benjamin dapat simpulkan yang Vincent ini suka ketawa; seorang yang mudah didekati.

“Urm... Saya sebenarnya tersesat... Hurm... ha’ah. Ha,” cakap Benjamin teragak-agak, tidak tahu hendak menipu apa. Huu... harapnya tidaklah dia tertangkap mengendap orang. Malu pula rasanya.

“Uuu...” sakat Vincent. Bila dia mengetahui hakikat bahawa Benjamin ini seorang perempuan, lagilah dia kuat menyakat. Dia menolak Daniel pergi ke Benjamin. Cuba menjayakan usaha mamanya. Memang itu tujuan dia balik ke Darmadin. Dia mahu adiknya... sembuh.

“Pergi hantar tetamu kita ni ke biliknya Danny. Awak okey Ben?”

Benjamin pantas mengangguk.

Vincent senyum puas. “Baiklah. Abang nak pergi cari isteri abang yang cantik lagi comel. Jumpa lagi.”
Kedua-dua remaja itu terkebil-kebil melihat perangai seorang dewasa yang kebudak-budakkan itu.

“Maafkan saya terpaksa layan kerenah abang saya yang tak pernah nak matang bila dia balik rumah,” mohon Daniel. Benjamin pantas menggeleng.

“Tak apa. Saya terhibur sebenarnya. Abang awak... dia sayang sangat dekat awak, kan?”

Daniel senyum nipis. “Mungkin... Mari saya bawa awak ke bilik. Atau awak nak ke tempat lain?”

Benjamin berfikir. Dia nak jumpa Daniel tetapi dia tidak mahu ke bilik sekarang. Dia mahu tahu tentang sesuatu tetapi masa seperti tidak sesuai.

“Balik bilik.”


“BEN...”

“Tak boleh tidur lagi?”

Julie mengetap bibirnya. Perlahan dia memasuki bilik gadis itu. Tiada senyum di wajahnya seperti selalu. Agaknya apa yang terjadi pagi tadi?

Benjamin betul posisi duduknya lalu mengesot sedikit, memberi ruang pada Julie untuk duduk di sebelahnya. Dia meletak novelnya ke meja lampu. Mahu memberi sepenuh perhatian pada cerita Julie.

“Macam mana pagi tadi?”

Julie jongket bahu bersama hembusan nafas berat. Gadis itu intai novel yang Benjamin baca tadi. “Novel apa yang awak baca tadi?”

“Harga sebuah dara. Novel yang menarik,” ulas Benjamin pendek. Tiada apa yang perlu dia ulaskan kerana menurut Mary, novel ini ialah novel wajib bagi setiap wanita. Seperti satu kitab. Jadi kiranya, Julie juga pernah baca novel ini dan menguatkan penyatanya, Julie hanya senyum dan angkat ibu jarinya, menyetujui kata-katanya.

“Taknak cerita pada saya apa yang terjadi tadi? Tawaran sekali aja. Kalau tak... saya nak sambung baca,” tawar Benjamin. Pandangannya betul-betul pada wajah Julie yang sarat dengan masalah.

“Hah!” Julie merebahkan tubuhnya. Kemudian dia berguling kiri dan kanan. Merengek-rengek seperti anak kecil.

Melihatkan Julie seperti enggan untuk bercerita, Benjamin mahu sambung pembacaannya. Sejak kebelakangan ini setaip malam dia punya masalah untuk tidur. Setiap kali dia tutup mata, dia akan dengar macam-macam... dia akan lihat macam-macam... buatkan hati dia berlari tidak cukup tanah. Dia pernah cuba tanyakan hal ini pada Doktor Harper tetapi ayatnya tidak pernah keluar. Tersekat apabila wajah Daniel berdiri sebelah doktor itu berada dekat dengannya. Dia tidak mahu susahkan Daniel. Cukup-cukuplah dengan apa yang dia dah bawa pada lelaki itu. Takut nanti, Daniel akan buangnya ke hospital.

“Ben...” panggil Julie separuh merengek.

“Kenapa? Apa yang jadi?” soal Benjamin lembut.

Julie kalah. Air matanya bila-bila masa akan keluar. Bak kata Juliane, perigi bocor. Hah! Memang perigi boleh bocor. “Tadi saya jumpa dengan orang yang paling saya nak elak. Kalau boleh sampai saya mati pun, saya tak nak jumpa dia,” beritahunya. Wajah Willson terbayang-bayang di tubir matanya. Di malam hujan turun lebat, lelaki itu datang hulurkan sapu tangan.

“Kenapa?”

Julie berpaling. Tidak faham.

“Kenapa awak nak elak dia? Awak ada buat apa-apa salah pada dia? Awak benci dia?” teka Benjamin. Muka gadis itu keliru.

Julie ketawa. Kedengaran sarkastik. “Ya. Saya buat salah, mungkin. Benci? Itu...” Dia cuba mencari ayatnya. “Saya tak pernah benci dia. Saya... rimas. Dia tahu perkara yang tidak sepatutnya. Dia bukan sesiapa. Ini sepatutnya jadi rahsia hati saya...”

“Jadi kawan baik awak tahu rahsia hati awak?”

“Hah?”

“Allisa. Dia tahu rahsia awak tu?” soal Benjamin polos.

Julie cuba mencerna maksud pertanyaan Benjamin. Perlahan dia mengangguk. “Dia sahabat saya. Saya dah kenal dia lama...”

“Macam mana orang tu? Orang yang awak nak elak? Awak dah lama kenal dia?”

Kali ini Julie mati kata-kata.

“Macam mana dengan saya? Kenapa awak beritahu saya semua ni?” soal Benjamin bertubi-tubi.

“Apa yang awak cuba sampaikan Ben?”

“Saya nak katakan yang setiap perkara yang berlaku dalam hidup awak bukannya satu perkara yang patut awak elak. Lari dari masalah bukanlah jalan penyelesaian. Jika dia ditakdirkan mengetahui rahsia hati awak, biarlah. Dia berhak untuk tahu samaada awak sendiri yang beritahu atau sebaliknya. Macam sekarang ini, kenapa awak beritahu saya semua ini sedangkan kita baharu sahaja berkenalan beberapa hari? Tempoh perkenalan bukanlah pengukur segalanya. Betul?” soal Benjamin. Kemudian dia sambung, “manalah tahu orang yang awak nak elak itu, ialah seseorang yang awak perlukan bantuan di masa akan datang?” Dia sendiri pun tidak tahu dari mana semua ayat itu datang. Ianya keluar tiba-tiba dari bibir mungilnya. Seperti bercakap dari pengalaman.

Julie termenung panjang. Kata-kata Benjamin membuatkan dia terfikir sesuatu. Ada benar juga. Saat James menempuh gerbang perkahwinan, Willson banyak menjaganya tanpa dia sedar. Cuba untuk mengalihkan perhatiannya dari terus memikirkan untuk kahwin lari...

“Jadi, orang yang awak nak elak tu lelaki?”

“Dia pernah datang sekali di sini,” jawab Julie.

Benjamin perah memorinya. Dia banyak terperap dalam bilik. Kebanyakan orang yang dia kenal selepas dia hilang ingatan datang dari mulut-mulut orang. “Will?” tekanya. “Saya rasa hari itu awak ada sebut nama dia sekali. Masa awak marah-marahkan Daniel depan pintu bilik saya...”

Kening Julie terjongket. “Pelik. Kenapa benda yang saya sebut beberapa hari lepas... sekali pula itu awak boleh ingat tapi memori awak... tak datang-datang? Musykil...”

“Hm... saya sendiri pun musykil juga.” Dia ketawa kecil.

“Ben...”

Mereka saling berpandangan.

“Awak... tak sembunyikan apa-apa dari sayakan?” Kening Julie terjongket sedikit.

“Sembunyi apa?” balas Benjamin pantas.

Julie menghela nafas berat kemudian dengan selambanya dia menarik selimut menutupi badannya. “Tak ada apa-apalah. Selamat malam.”

Terkebil-kebil mata Benjamin melihat perilaku gadis itu. Tetapi sempat lagi dia menepuk punggung gadis itu.

“Hei!” Julie terjerit kecil.

“Pergi tidur bilik sendiri. Nanti kalau orang lain tahu, habis kita,” paksa Benjamin. Dia menolak-nolak tubuh Julie supaya turun dari katilnya. Mentang-mentanglah dia dapat tilam baru yang lebih empuk dan lembut, masuk dua malam Julie menceroboh biliknya semata-mata mahu tidur yang enak.

“Alah Ben... malam ni aja. Janji. Sedaplah tidur sini. Tilam saya keras...”

“Jangan nak mengada.”

“Ben...”

“Saya jerit karang.”

“Ish! Kedek la awak ni! Tahu tak kedek tu apa?”

“Apa?!”

“KEDEKUT! Hemph!” Julie bangun. Dengan kaki yang menghentak-hentak lantai, dia keluar dari bilik Benjamin.

Tanpa sedar Benjamin tersenyum senang. Jika suatu hari nanti, kebenaran terbongkar dan dia sememangnya ialah Allisa seperti yang Julie katakan, dia mungkin tidakak akan berasa kekok sangat kerana Julie ialah Julie.

“Saya tak pernah tersilap orang. Mungkin awak tak ingat saya tapi saya ingat awak. Saya tahu siapa awak dan saya pasti awak ialah dia. Dia sahabat baik saya... lebih dari itu, dia seperti darah daging saya sendiri. Saya sangat menghargai dia.”

“Saya kenal Allisa sejak kecil. Kami membesar bersama-sama. Dah macam adik beradik. Dia bagi saya ialah segalanya. Tanpa dia, saya takkan berada di sini. Mungkin takkan bernafas lagi. Dialah dorongan saya. Jadi saya tahu siapa Allisa bila dia tak ingat dirinya walaupun luarannya macam ini.”

Dia harus akui, sebahagian dirinya mahu mengakui dirinya Allisa. Dia mahu jadi Allisa. Kerana Allisa punya sahabat sebaik Julie. Kerana Allisa ada seseorang yang akan sentisa ingati dirinya namun sebahagian dari dirinya menariknya daripada terus berfikir sebegitu. Tiada secebis pun dia ingat tentang Julie. Tiada satu pun dia ingat tentang tempat ini. Bagaimana dia harus beritahu Julie  bila gadis itu dapat menghidu yang dia menyorok sesuatu? Apa yang patut dia buat supaya dia tidak lukakan hati sebaik Julie?


MAJALAH terkenal ‘Veen’ dengan paparan kulit wajah artis terkenal negara Yukano Amanda, dibelek sekali imbas olehnya sambil menanti Miza kembali bersama snek dan jus. Dia berhenti menyelak apabila wajahnya juga terselit dalam majalah itu. Dia mendengus tidak suka. Lantas dia tutup majalah itu dan campaknya di bawah meja kopi kecil. Matanya melihat sekeliling bilik Miza yang kecil dan penuh dengan hiasan barang vintaj.

“Snek dah sampai!” Miza letak dulang berisi sepinggan biskut butter dengan dua mug jus epal dan dia tanpa menunggu pelawaan Miza, terus mencapai biskut buatan ibu Miza.

Miza mencari majalah yang dia letak atas meja kopi itu tadi.

“Kau cari apa?”

“Veen.”

Dia capai majalah yang dia campak tadi dan berikannya pada Miza. “Sorry, tadi aku menyampah sangat sampai tercampak kat bawah meja kau,” ucapnya.

Miza kerut keningnya. “Betul ke kau campak bawah meja aku? Tak ada pun tadi...”

Dia sudah menjuling mata ke atas. “Aku letak bawah kusyen aku...”

Mendengarkan itu, ketawa Miza meledak. Dia tahu sebab kenapa sahabatnya berperangai begitu. “Nak buat macam mana? Family kau jenis orang terkenal... so diaorang akan sentiasa tengok kau.”

“Masalahnya aku just pergi 7E pakai baju tidur pun salah! Orang lain tak ada pulak masalah. Takat baju t-shirt dengan seluar track je,” luahnya tidak puas hati dengan perhatian yang diterimanya daripada masyarakat sekeliling.

Dahulu sebelum dia berpindah duduk dengan atukya itu, hidupnya lebih tenang dan bebas. Namun apabila bapanya tinggalkan rumah, ibunya jatuh sakit dan atuknya yang mengambil alih perihal mereka. Tidak pernah dia menyangka yang ibunya berasal daripada keluarga kenamaan di negara ini yang mengamalkan tradisi lama dan disegani oleh masyarakat. Malah, nama keluarga bukan sahaja membuatkan keluarga ini terkanal... antara syarikat eletronik yang terbesar di negara ini juga merupakan syarikat yang dijalankan dan diusahakan dari keluarga ini juga. Dan dia... dialah merupakan waris tunggal kepada segala yang keluarga ini ada. Secara kasarnya, dia ada sahaja saudara mara yang mahu ambil alih harta keluarga, tetapi Orang Tua Heitai itu, tidak percayakan orang.

“Kenapalah orang tua tu kena serahkan segala harta dia kat aku? Bagi jelah kat orang-orang gila yang rebutkan harta dia tu...” rungutnya lagi. Dia berpindah ke keluarga itu ketika dia lima tahun. 10 tahun berada di bawah jagaan atuknya, macam-macam hinaan dan tomahan yang dia terima dari saudara maranya. Walaupun bukan secara berdepan... tetapi rasa sakit itu begitu terasa apabila nama ibunya dikaitkan bersama.

“Sabarlah. Kau ada akukan?” pujuk Miza. Dia menepuk-nepuk tangan sahabatnya lembut. Dia memandang wajah Miza lama. Gadis yang sentiasa ada setiap kali dia dilanda perasaan marah dan sunyi. Setiap kali dia menghakimi dunia, Miza akan sedarkan dia semula. Bukan semua perkara yang berlaku kehendak mereka dan semestinya perkara yang berlaku ini kehendaknya juga. Semua ini takdir dan manusia telah diberi pilihan untuk memilih takdir mereka. Pilihan untuk menjadi kanan atau kiri dan kesudahannya adalah muktamad.


PAGI itu dia bangun, mandi, bersiap macam biasa. Tidurnya yang tidak cukup, mata yang tidak tahan mahu tertutup semula, dia biarkan sahaja. Memori/mimpi yang dialamainya tadi buatkan dia resah. Dia tidak senang duduk. Dia tidak faham. Bahasa yang dia tidak pernah guna, tetapi dia boleh faham maknanya. Buku nipis dengan muka buku yang pelik. Segalanya tampak pelik dalam memori/mimpi itu. Dia perlukan sesuatu untuk dia larikan fikiran dia daripada terus memikirkan hal-hal yang dia tidak faham ini.

Benjamin keluar dari biliknya. Berjalan terus ke tingkat paling atas. Menuju ke loteng. Sesat untuk beberapa kali, berjalan dalam kelam kerana matahari masih lagi malu-malu untuk keluar. Bila dia berselisih dengan tingkap rumah yang menghadap ke matahari terbit, dia berhenti berjalan. Tangan melekap ke cermin tingkap. Mengkagumi ciptaan tuhan.

Sedar betapa selama ini dia menyorok di balik langsir, takut untuk melihat cahaya matahari. Takut untuk berasa sakit. Namun hakikatnya, cahaya matahari adalah satu ciptaan yang sangat indah. Sebuah hadiah dari tuhan untuk umatnya. Cahaya yang seperti bunga mekar, perlahan dan kuat.

Dalam dia asyik, matanya terperasankan sesuatu. Seperti rumah hijau tetapi bukan. Ia berada sebaris dengan arasnya, sedikit tersorok ke belakang, menghadap ke hutan sebelah selatan Kota Darmadin. Benjamin pantas mengatur langkah, mencari pintu menuju ke rumah hijau itu.

Setiap kali dia berselisih dengan tingkap bilik, dia akan pastikan rumah hijau itu berada dalam pandangannya, memastikan dia di jalan yang betul, namun sehingga ke hujung koridor mahupun sepanjang koridor, tiada satu pintu bilikpun dia jumpa. Hanya potret lukisan koridor dalam waktu-waktu yang berbeza.

Benjamin menghela nafas penat. Sedikit kecewa kerana tidak berjumpa dengan tempat yang dia ingin jejak. 

No comments:

Post a Comment