12
Daniel
tutup pintu bilik Benjamin. Tidak, bilik Allisa. Sahabat Julie yang dikatakan
hilang itu. Dia masih tidak mampu menerima yang lelaki dia selamatkan jatuh
dari langit itu seorang gadis bangsawan dan yang memedihkan hatinya...
“Jul,
siapa tu?”
“...siapa
tu?”
“...siapa...”
Bila
dia dengar pertanyaan sebegitu dari bibir Allisa sendiri, hatinya berhenti
berdetak. Telinganya seperti bisu. Kata-kata Allisa berulang tayang dalam
mindanya. Dia tidak pernah berasa begitu sedih, kecewa dan marah. Malu tidak
usah disebut. Semua orang di dalam rumah ini sudah tahu yang Allisa itu seorang
perempuan. Sedangkan dia? Bodoh. Tidak dapat membezakan lelaki dan perempuan.
Kenapa tiada siapa mahu menegurnya? Membiarkan dia terus-menerus membuat silap.
Hah. Dia tidak bodoh. Silap? Bukan silap dia. Dalam hidup dia, berapa ramai
perempuan sebayanya yang dia kenal? Lelaki pun seorang dua sahaja yang dia
rapat. Jika bukan kerana Allisa jatuh dari langit, jika bukan kerana dia tidak
terlalu teruja mendapat seseorang yang dia boleh jadi seorang yang
bertanggungjawab... jika bukan kerana Allisa hilang ingatan... semua ini tidak
akan terjadi. Tetapi pelik, kenapa bila dia bersama Allisa, dia tidak menjadi
seperti selalu?
Daniel
intai ke dalam bilik itu semula. Dia lihat Allisa sedang di rawati oleh Doktor
Harper. Tangan gadis itu erat memegang tangan sahabat baiknya.
Allisa
Reed. Dia cantik. Dia harus akui, pertama kali dia lihat wajah gadis itu jatuh
dari langit, hatinya sudah terdetik ayat itu. Allisa Reed. Dia lembut. Samaada
menjadi Benjamin ataupun Allisa, kedua-duanya menunjukkan sifat lemah lembut
dan kesopanan. Kecuali bila marah. Allisa Reed. Dia pernah dan sehingga kini
terus mencuri perhatiannya tanpa dia sedar. Selalu.
“Danny?”
Daniel
berpaling. Matanya terus melekat pada sesusuk tubuh tinggi lampai dan tegap
yang berdiri di sebelah Puan Scot.
“Kenapa
berdiri depan pintu ni? Tak masuk?” tanya Puan Scot.
Daniel
pandang Puan Scot. “Ini siapa?”
Lelaki
itu menghulurkan jemarinya. “Juliane Graham. Tunang Allisa,” perkenalnya.
Daniel
merenung huluran tangan Juliane. Terkebil-kebil. Dia silap dengar ke?
“Danny!”
asak Puan Scot.
“Oh.
Ah!” Daniel buat-buat ketawa padahal hati mula rasa tercabar tiba-tiba. Dia
menyambut huluran tangan Juliane. “Maaf. Memproses. Silakan,” pelawanya. Dia
memberi laluan pada Juliane untuk masuk ke dalam. Bila mamanya melintasi,
dia tahan wanita itu.
“Bila
dia sampai?”
Puan
Scot pandangnya dengan pandangan tidak senang. “Tadi. Dia datang dengan Tuan
Wheatherspoon. Papa tengah layan dia. Kamu pergi jenguk dia juga. Pergi!” Puan
Scot menolak-nolaknya pergi.
“Juliane!”
Suara
Allisa mengejutkan seisi bilik itu. Semua memerhatikan sepasang merpati sejoli
itu berpegang tangan dan Allisa sudah menitis air matanya dan Juliane menyapu
air mata tunangnya. Walaupun perlakuan mereka kecil tetapi hati Daniel seperti
dirobek-robek sehingga menjadi keping-keping kertas kecil yang dibuang ke dalam
bakul sampah. Hatinya berdenyut. Sakit. Rahangnya menegang.
Puan
Scot perasankan perubahan air muka anaknya. Rasa simpati mula menular dalam
diri. “Mama kata pergi jumpa bakal bapa mertua awak tu...” Dia pukul manja
anaknya.
“Yelah...
yelah...” Daniel mengalah sambil meyapu-nyapu lengan yang dipukul mamanya.
Matanya mengintai ke arah Allisa buat kali terakhir. Hatinya berat mahu
meninggalkan gadis itu. Dia tidak seperti selalu bila berhadapan dengan seorang
gadis – mengeras dan membenci. Pelik, hatinya jadi sakit setiap kali dia dengar
Allisa ketawa bersama lelaki lain, memandang lelaki lain, menjadi tunangan
lelaki lain...
Allisa
seperti mendengar panggilannya. Gadis itu memandang ke arahnya. Dari mata ke
mata. Pandangan mereka terkunci. Masa seperti tidak bergerak pada itu. Kaku.
Sekejap cuma mereka berpandangan bila Allisa kembali memandang Juliane dan
ketawa... atau buat-buat ketawa. Mana satu pun, Daniel pasrah kemudiannya. Dia
pergi berjumpa dengan Tuan Wheatherspoon, bakal bapa mertuanya.
“OH,
datang pun dia!” Suara papanya menerjah bila dia memasuki ruang tamu itu. Dia
memandang kedua orang lelaki itu dengan senyuman paksa. Dia cuba menampakkan
yang senyumannya itu senyuman ikhlas dan bukannya senyuman palsu.
“Maaf
kalau saya buat tuan-tuan menunggu,” ucapnya.
Tuan
Wheatherspoon ketawa. “Tidaklah orang muda. Saya tak perasan pun yang masa
berjalan dengan pantas, bila dah berborak dengan papa kamu. Tapi saya rasa
mungkin ada seseorang tu yang memang tertunggu-tunggu kehadiran kamu,” cakapnya
sambil memandang Daniel yang mengambil tempat di sebelah Tuan Scot. Mendengarkan
cakapnya itu, anak muda itu kelihatan terkejut sedikit. Tuan Wheatherspoon tersenyum-senyum.
Daniel
pandang wajah Tuan Scot sebelum dia pandang wajah Tuan Wheathersponn semula.
“Anita ada sini?” teka Daniel walaupun dia berharap bukan.
Tawa
Tuan Wheatherspoon menjawab tekanya. Daniel senyum kerana mahu simpan rasa
gelisahnya. Dia pandang semula wajah papanya. Minta simpati.
Tetapi
Tuan Scot buat-buat tidak faham dan menyuruh dia pergi bertemu dengan
tunang-yang-tidak-pernah-dia-ingini itu. Hendak tidak hendak, dia bangun juga,
pergi bertemu Anita di laman belakang. Jauh betul gadis itu berkeliaran. Siapa
sahaja yang bawa gadis itu sampai ke belakang? Daniel ketawa sarkastik.
“Dia
ingat ni rumah dia nak jalan sesuka hati mak bapak dia?” kata Daniel dalam nada
berbisik.
Di
kaki lima dia bertemu Mary yang sedang menolak troli berisi teko dan kuih.
Daniel hulur senyuman. Tidak sempat berkata apa-apa bila Anita sudah
memandangnya dengan matanya yang bersinar-sinar itu. Mata yang Julie paling
tidak suka. Dia ingat lagi lima tahun lepas, Julie terlepas cakap di hadapannya
sewaktu di majlis hari lahirnya.
“Perempuan
hipokrit perasan bagus! Gedik! Dia ingat buat mata bersinar-sinar dia tu, semua
orang suka? Aku yang tak rabun ni pun boleh jadi rabun tengok mata dia tu.
Ergh! Dasar pelacur...”
“Awak
cakap apa?” tegur Daniel tiba-tiba pada Julie. Sengaja dia buat muka marah
kononnya dia tidak suka orang mengutuk tunangnya itu.
Julie
yang terkejut dengan kemunculan Daniel yang tiba-tiba itu hampir terlucut gelas
airnya. “Daniel!”
“Cuba
awak ulang balik ayat kurang ajar awak tu, saya kurang jelaslah...”
“Ay...
ay... ayat apa? Tak cakap apa-apa pun. Salah dengar ni...” Julie minum airnya.
Menggigil tangannya menyua bibir gelasnya ke bibirnya.
Daniel
buat-buat terkejut. “Oh habis tu saya dengar ‘Perempuan hipokrit perasan bagus
dasar pelacur tak guna yang asyik melekat dekat lelaki-lelaki kacak’ gitu?”
Mata
Julie membulat. “Bila masanya saya cakap ‘tak guna yang asyik melekat dekat
lelaki-lelaki kacak’? Jangan nak menambah ye Encik Scot. Awak dah melampau!”
Julie bangun. Badannya seperti membahang pula rasanya.
Daniel
pantas menggapai tangan Julie. “Duduk. Layanlah saya. Tengah bosan ni. Ada
tunang, tunang lari dekat lelaki lain...”
Julie
buat muka tidak percaya. “Siapa yang tak layan siapa sekarang ni? Macam mana
dia tak lari dekat lelaki lain kalau awak tak layan dia? Dia sengaja nak buat
awak cemburu tahu? Ke awak tak tahu?”
“Tahu...”
“Habis
tu...?!”
“Rimaslah.
Dengan mata dia yang bersinar-sinar tu, mata yang tak rabun pun boleh jadi
rabun. Kan?”
Terkebil-kebil
gadis itu memandangnya.
“Apa?”
Julie
menggeleng-geleng. Dia kembali duduk di tempatnya. “Kiranya kita sekarang ni...
0-0?” soalnya takut.
“0-0.
Kata kawan baik?” soal Daniel bersama sengihan yang panjang. Suka dia mengusik
Julie.
Mereka
ketawa.
“DANIEL...
awak termenungkan apa? Saya tengah cakap ni...” rengek Anita.
“Saya
dengar...” jawab Daniel malas. Dia menghirup tehnya. Kemudian dia makan biskut
mentega pula. Biskut kegemaran Benjamin.
Anita
ketap bibirnya. Dia tidak suka bila dia kelihatan sangat terdesak untuk
dapatkan perhatian seorang lelaki. Lebih-lebih lagi tunang sendiri. Seperti
tidak guna dia ikat Daniel dahulu. “Kalau macam tu, saya cakap apa tadi?”
suaranya kembali mengendur.
“Awak
tak tahu nak pakai gaun yang mana satu untuk majlis sabtu ni...” Nasib baik
telinganya ini jenis cepat tangkap. Kalau tidak, nahas dia. Apa yang dia nak
cakap pada papanya kalau budak ini mengadu? Dia bukannya tidak tahu. Kaki adu!
Anita
mengukir senyum sedikit. Sangkakannya tadi Daniel tidak mengendahkannya. “Awak
rasa dalam banyak-banyak jenis yang saya cakap tadi... yang mana satu sesuai
dengan saya?”
Oh-oh...
Daniel tidak dengar bahagian yang itu. Apa nak jawab? “Pilih yang mana awak
sukalah. Asalkan yang cantik dengan awak, sudahlah.” Daniel pilih jawapan yang
paling selamat.
“Tapi...”
Anita jeda.
Dada
Daniel berdebar.
“...
semua yang saya pakai tu, semuanya nampak cantik dengan saya. Madame Rosevile
pandai reka baju-baju dia sampai saya keliru nak pilih yang mana satu,”
beritahu Anita. “Kan Fyna?”
Fyna
mengangguk-angguk. Berkerjasama dengan cik mudanya supaya Daniel termakan
dengan pujuk rayu itu. Dia tahu Anita akan lebih bersemangat menyambut hari
debutnya jika Daniel memberi sedikit sokongan. Sedikit pun tidak mengapa. Asal
hati Anita gembira.
Daniel
ketap giginya. ‘Itulah masalah kau!’ desis hati Daniel.
“Kalau
boleh...” Anita tarik nafasnya. Dia berharap sangat Daniel akan bersetuju.
Sangat-sangat. Dia bukan apa. Dia rindukan lelaki ini. Kalau boleh selalu
melawat, memang dia akan buat. Tetapi mata-mata yang memandang, lebih-lebih
lagi mulut-mulut tu... betapa dia cemburukan Julie. Dahulu, mereka rapat.
Tetapi sejak hari itu, Julie mulai menjauhinya. Tidak... dia yang bertindak
menjauhi Julie. Dia menjadi begitu cemburu sehingga dia menjadi bermuka-muka
dengan gadis itu. Hatinya sakit bila dia buat begitu tetapi lebih sakit bila
Julie boleh senang sekali berbual dengan Daniel. Mentang-mentanglah dia
kecualikan Julie dari sumpah setia itu, makin menjadi-jadi pula hubungan
mereka. Tetapi hendak buat macam mana? Terlajak perahu boleh diundur, terlajak
kata? Sekarang ini, bertambah lagi pesaingnya dan seolah-olah sumpahan tu
lansung tak menjadi ke atas Allisa tetapi terjadi ke atasnya pula. Macam mana
ia boleh berlaku?
“Anita?”
panggil Daniel.
Gadis
itu pantas berpaling. Tercengang-cengang memandang wajah Daniel.
“Awak
nak cakap apa tadi?”
Oh...
“Um, kalau boleh... saya nak awak teman... saya pergi Madame Rosevile. Boleh?”
Teman
Anita? “Bila?”
“Esok!”
laju Anita menjawab. Dia seperti nampak cahaya.
Daniel
berfikir. Tidak salahkan dia teman Anita berjalan-jalan esok walaupun dia rasa
esok akan jadi hari paling penat dan bosan buatnya. Kesian pula dia rasa, Anita
pula yang susah payah mengajaknya keluar sedangkan dia buat tidak tahu... sibuk
fikir tentang gadis lain.
“Bisinglah!
Berambus dari depan tu sekarang gak! Semaklah!”
Memang
patut pun tempoh hari Allisa marahkannya. Daniel hembus nafas berat. Allisa
sudah ada tunangnya sendiri untuk menjaganya dan dia... dia ada tunangnya
sendiri untuk dijaga.
“Okeylah.
Saya teman awak tapi jangan lama-lama sangat. Awak tahukan saya tak suka – ”
Belum
sempat Daniel menghabiskan ayatnya Anita sudah
melompat suka. Tanpa sedar dia sudah berlari ke arah Daniel dan
menghadiahkan Daniel satu ciuman di pipi. Daniel kaku di kerusinya.
“SAYA
nampak tadi.”
Daniel
berpaling. Julie sudah berdiri di balik pintu biliknya sambil bersilang tangan.
Gadis itu tersenyum sinis.
“Haaa...
untungnyalah orang ada tunang. Boleh peluk cium suka hati dia. Kita ni... tak
ada sesiapa pun yang nak...” luah Julie dengan mimik muka sedih. Dia mengambil
tempat di sofa. Duduk dengan selesa sekali.
Daniel
tersengih. Faham dengan makna kata-kata Julie. Dia duduk di sebelah gadis itu.
“Will kan ada. Taknak? Dah lama tahu dia kejar awak.”
Julie
muncungkan bibir. Macam dah tak ada lelaki lain agaknya.
Ketawa
Daniel meletus. Suka dia dapat menyakat Julie. “Ni apa awak buat dekat bilik
saya? Abang awak mana?”
Tiba-tiba
Julie buat-buat menangis. “Sedihnya... Abang saya kalau dah jumpa buah hati
dia, lansung tak ingat saya. Allisa pun sama. Macam terpinggir je kalau duduk
dengan diaorang. Jadi saya larilah kat awak tetapi tadi saya nampak pula adegan
tak sedap mata memandang, tu yang saya lari naik atas...”
“Hey
apa yang tak sedap mata memandang?!” jerit Daniel.
“Cium-cium
tu. Eee...” Julie ketawa.
“Pipi
je okey! Pipi! Itu pun sekali!”
“Yelah
tuan muda.” Julie semakin galak mengetawakan Daniel bila wajah lelaki itu
merah. Jarang lelaki itu bersikap begini.
“Ergh...
menyesalnya!”
Julie
berhenti ketawa. Mukanya menjadi serius. “Nak menyesal apanya? Dia tunang
awakkan. Tak lama lagi dia jadi isteri awak. Awak patut belajar terima Anita,
Daniel. Dia... baik apa?”
“Baik?
Habis tu yang awak cakap ‘hipokrit’ tu apa?” soal Daniel. Memulang semula paku
buah keras Julie lima tahun dahulu.
Terangkat
kening Julie. “Hello abang. Cuba jangan lawan cakap saya boleh tak? Yang tu hal
perempuan.” Tidak disangka yang Daniel masih ingat lagi kata-katanya itu.
“Dengar cakap saya Daniel. Awak patut belajar terima baik kurang Anita. Dari
dahulu lagi. Tak adalah awak jadi macam sekarang. Merana!”
“Apa?”
“Daniel...
ni baru sedikit. Awak dah cemburu sampai macam tu sekali. Awak tak ingat saya
cakap tadi? Saya nampak. Semuanya.”Julie pandang wajah Daniel. Ketara perubahan
wajah lelaki itu. Nampak terkejut dan sedih. Kemudian Daniel buat-buat ketawa.
Menyembunyikan perasaan sebenarnya.
“Apa
ni Julie? Awak nak cakap apa sebenarnya?”
“Saya
nak awak berhenti Daniel. Sebelum ia jadi lebih sakit. Sebelum awak susah nak
lepaskan dia,” nasihat Julie. Dia pegang tangan Daniel. Menyalur semangatnya
sebanyak yang boleh.
Daniel
hembus helanya. Berat. Perlahan dia tarik tangannya. “Macam mana awak tahu ia
sakit Julie? Macam mana awak tahu ia susah? Awak... tak pernah ada sesiapa.
Hati awak, hati batu.”
Hati
Julie seperti ditusuk sembilu. Namun dia tahan juga. Daniel tidak tahu
hubungannya dengan James. Dia tidak pernah beritahu. Dia tidak pernah mahu pun.
Biarlah dia simpan sakit itu sendiri. Dia genggam jemarinya. Kuat.
“Ini
nasihat saya yang terakhir Daniel. Tolong jauhi Allisa. Sebelum terlambat.
Sebelum awak menyesal. Berhenti. Saya sayang awak Daniel. Awak kawan baik saya
dan saya taknak awak jatuh lebih dalam lagi. Tolong.”
PUAN
Scot letak berusnya di atas meja bila suaminya memasuki bilik. Dia pandang
suaminya yang membuka baju dan melangkah ke bilik air. Dia ketap bibirnya. Rasa
seperti ingin memangis tetapi dia tahan. Dia tidak mahu menangis sekarang. Lalu
dia ambil losyen dan dituang sedikit ke atas telapak tangannya. Disapu rata ke
seluruh lengannya sebelum dia tidur. Rambutnya yang panjang dan lurus itu
diikat longgar ke belah kiri bahunya.
Perlahan
dia tarik selimutnya menutup sebahagian badannya. Kelopak matanya dikatup
rapat. Bila dunianya menjadi gelap, wajah Daniel menari di tubir mata. Kasihan
anak itu. Suatu masa dahulu, sebelum dia mengahwini suaminya, dia berazam yang
anaknya akan berkahwin dengan pasangan yang mereka cintai dan hati rela.
Seperti dirinya dan bukan berkahwin kerana terpaksa. Seperti kakaknya.
Sepanjang dia membesar, dia lihat kakaknya mengharungi rumah tangga dengan
penuh sabar. Sentiasa menahan perasaan. Walaupun akhirnya kakaknya mencintai
suaminya tetapi semuanya terlambat bila suaminya meninggal. Wajah sedih
kakaknya sehingga kini dia ingat. Jadi dia tidak mahu, Daniel jadi seperti
kakaknya.
“Kenapa
menangis, Shie?” soal Tuan Scot yang melingkari tangannya ke pinggang
isterinya. Dia cium belakang kepala isterinya bila tiada tindak balas.
Puan
Scot ketap bibirnya. Dia mengalah. Dia berpaling lalu memeluk erat tubuh
suaminya. Dia menangis semahunya.
Tuan
Scot tepuk perlahan belakang wanita itu.
“Apa
patut saya buat bang? Saya tak sanggup tengok anak saya macam tu... Saya tak
nak dia jadi macam Kak Shel...” tangis Puan Scot.
Tuan
Scot senyap.
“Macam
mana saya nak pujuk Danny supaya berhenti menyukai Allisa? Macam mana saya nak
suruh dia sayang Anita? Danny tu anak yang baik bang. Dia tak pernah susahkan
kita. Saya nak dia kahwin dengan bahagia. Macam Vince. Macam kita. Abang tak
nak tengok anak kita bahagia?” soal Puan Scot. Dia pandang wajah Tuan Scot.
Lelaki yang dia cinta sejak dia di awal zaman remaja. Walaupun makin dimamah
usia, pada pandangan matanya lelaki ini tetap sama seperti pertama kali mereka
berjumpa.
“Shie...
hati anak awak tu biar dia sendiri yang pujuk. Awak kena ingat satu perkara
Shie. Jodoh tu di tangan tuhan. Belum tentu orang yang kita cinta tu, kita
kahwin dan belum tentu orang yang kita kahwin tu orang yang kita cinta. Mana
tahu, dia bahagia lepas berkahwin? Kalau awak sentiasa risau fasal masa depan
dia... bila dia nak membesar? Sampai bila dia nak duduk bawah skirt awak? Awak
tak nak tengok anak awak membesar menjadi lelaki yang bertanggungjawab?
Berdikari?”
“Macam
mana kalau rumah tangga dia macam Kak Shel?”
“Macam
mana kalau rumah tangga dia macam adik saya, Darling? Bukankah hidup dia
bahagia? Terpaksa-terpaksa pun, bahagia juga. Shie... kalau kita tahu macam
mana masa depan mereka, kita akan jadi manusia yang tak bersyukur. Kita akan
jadi pemalas dan hanya tahu meminta. Awak jangan risau... bila tiba masanya,
kita akan tolong dia. Buat masa sekarang ni, kita tengok. Okey?” Tuan Scot cuit
hidung isterinya.
“Okey...”
Mulut kata lain hati kata lain. Dia tetap risaukan Daniel.
No comments:
Post a Comment