13
“Jul...”
panggil Allisa.
“Hm...”
“Awak
tak rasa lain?” Allisa pandang sekitar perkarangan taman depan rumah agam Scot.
Cuaca cerah. Angin pun bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dia tarik nafasnya.
Menghirup udara bumi bawah pulau yang pertama kali dia jejak. Hutan ada di
mana-mana. Tumbuh melata. Udara yang dia sedut ini melapangkan dadanya walaupun
udara di pulau lebih nyaman tetapi dia suka.
“Tak...”
jawab Julie lambat. Gadis itu tekun membaca novel tulisan M.J.Horthworths,
penulis kegemarannya.
Allisa
ukir senyum lebar. “Saya rasa lain.”
“Uh’huh...”
kata Julie acuh tidak acuh. “Rasa macam mana?”
Allisa
berfikir. Sekarang ini dia berasa seperti seekor burung yang baru lepas dari
sangkar dan terbang rendah dan sekejap tinggi tetapi pada masa yang sama dia
takut.Takut kepada apa pun dia tidak tahu.
Perasaan yang dia tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. “Tak tahu.
Tapi saya rasa lain... Saya kacau awak ke?”
“Awak
rasa?”
Dari
jauh mata Allisa nampak kelibat kereta kuda yang membawa penumpangnya yang baru
pulang dari membeli belah. Danielkan? Salah satu sebab dia berasa lain ialah
lelaki itu. Kejadian pada malam dia ‘meracau’ itu... dia ingat lagi ekspressi
yang Daniel tunjuk. Ada sekelumit perasaan bersalah bersarang di sudut hatinya.
“Jul...”
panggilnya lagi.
“Hm...”
“Awak
kata yang Daniel dah ada tunangkan? Anita-kan nama dia?”
“Hm...
Kenapa?”
“Tak.
Tak ada apa-apa. Saya nak ke dapur. Haus. Awak nak air?” Dari balkoni bilik
Julie, dia masuk ke dalam bilik. Julie terbaring elok di atas tilamnya dengan
skirt dan kain dalam yang terselak, kasut yang berterabur di kaki katil, rambut
pula lepas bebas; mengerbang.
Julie
intai Allisa sekejap sebelum dia kembali menghadap muka bukunya. “Tak pelah.
Tak haus pun. Tahukan dapur dekat mana?”
“Tahu.
Selamat membaca dan hati-hati kalau ada orang tiba-tiba ketuk pintu tu. Rambut
sikat dulu,” pesan Allisa dan Julie hanya membalas, “hm...”
Allisa
tutup pintu bilik tersenyum-senyum sambil menggeleng-geleng. Julie tidak pernah
berubah. Ikut suka hati dia hendak buat apa pun. Dari kecil sehinggalah besar.
Sampaikan Tuan dan Puan Graham tidak tahu hendak buat apa. Hendak marah pun
sudah tidak larat. Bila dia rasa nak melompat, dia lompat. Bila dia rasa nak
tertiarap, dia tiarap. Bila datang angin kus-kus, jangan sesiapa pun berani
sentuh. Bila datang gila dia, semua orang kena jadi gila macam dia. Bukan semua
orang boleh kawal Julie. Juliane pun kadang-kadang pening kepala. Hanya James
sahaja yang pandai.
“Ada
perkara yang lucu ke kat tombol tu?”
Hampir
menjerit Allisa disergah dengan kehadiran Daniel yang tiba-tiba itu. Nasib baik
dia jenis terkejut senyap. Jenis yang menjerit tanpa suara. Nak gugur jantung
rasanya. Tanpa dia sedar tangannya laju memukul badan Daniel. Kuat.
“Ahh!”
“Padan
muka!”
Allisa
bergerak ke dapur meninggalkan lelaki itu mengusap-usap badannya yang sengal
dek pukulan berbisa Allisa. Boleh tahan juga minah ini.
ALLISA
urut dadanya. Kus semangat. Tidak sangka dia akan bertemu Daniel secepat itu.
Memang niat dia ingin mencari Daniel bila keluar dari bilik Julie tetapi
rupanya Daniel sendiri yang datang menyerah diri padanya. Siap main cak-cak
lagi. Memang dia suka.
“Apa
yang saya boleh bantu cik muda?” tegur Mary bila Allisa sampai ke muka pintu
dapur.
Allisa
ambil tempat duduk. Dia lepaskan lelahnya di situ. Penat berjalan laju
melarikan diri dari Daniel. “Bagi saya air kosong Mary. Terima kasih.”
Mary
ketawa nipis. “Dulu... Ben panggil saya makcik. Sekarang cik muda panggil saya
Mary. Rasanya saya lagi suka kalau cik muda panggil saya makcik. Yang lain pun
panggil macam tu,” beritahu Mary. Dia tuangkan air masak ke dalam gelas dan
kemudiannya dia letakkan di atas meja.
Allisa
pandang Mary. Dia tidak ingat memorinya sepanjang dia berada di sini tempoh
hari, jadi dia berasa sedikit bersalah pada Mary. “Saya minta maaf kalau saya
tergores hati Mary tapi kalau Mary panggil saya Ben sebelum ni dan sekarang
panggil saya cik muda... saya rasa adillah saya panggil Mary, Mary-kan?” Allisa
ukir senyum. Dia bukannya menyindir tetapi dia rasa selesa kalau orang tuan ini
memanggilnya dengan nama berbanding cik muda. Kebanyakkan pembantu rumahnya
juga panggil dia dengan nama memandangkan rata-ratanya baya-baya Mary juga.
“Kalau macam tu...”
“Kalau
macam tu panggil saya All dan saya akan panggil Mary, makcik. Okey?” potong
Allisa pantas. Dia hulurkan jemarinya untuk berjabat tanda perkenalan yang
baru. Mary teragak-agak untuk menyambut huluran tangan Allisa. Betullah kata
pembantu-pembantu lain. Allisa yang ada di depan mata berbeza dengan Benjamin
yang mereka kenal. Allisa ini tampak lebih berani, peramah dan periang
orangnya. Walaupunbegitu dia rindukan Benjamin yang introvert dan pendiam itu.
Senyap-senyap Benjamin, bila dia marah, bergegar juga rumah agam ini.
Senyap-senyap Benjamin juga, gadis itu mendengar kata. Macam mana sekalipun,
Benjamin dan Allisa ialah orang yang sama. Doktor Harper sendiri juga sudah mengingatkannya
yang perangai Benjamin akan berubah semula ke perangai asalnya. Itu sebahagian
daripada simptom post trauma amnesia dan setiap memori yang berlaku ketika dia
menjadi Benjamin akan dilupakan.
“Kenapa
makcik?” Allisa gelabah bila Mary tiba-tiba menangis di hadapannya. Dia ada
tersalah cakap ke? Atau ada perkara lain yang membuatkan wanita ini menangis
sampai begitu sekali. “Makcik saya minta maaf kalau saya ada buat makcik sedih.
Saya tak maksud pun untuk buat macam tu,” pujuk Allisa.
Tiba-tiba
Mary memeluknya. Terhingut-hingut tubuh wanita itu cuba menahan sendu. Allisa
jatuh kasihan. Dia pasti sebelum ini dia pasti rapat dengan Mary jika tidak,
takkan Mary akan bertindak sehingga memeluknya erat macam ini. Dia akan
pastikan yang dia yang sekarang ini juga akan berkawan baik dengan Mary. Wanita
ini lembut orangnya.
“All
tak buat salah pun. Makcik rasa bersyukur sangat sebab All dah dapat memori All
semula. Makcik cuma sedih bila fikirkan yang All mungkin akan tinggalkan makcik
bila All dah dapat semula memori All. All dah macam anak makcik...” luah Mary.
Oh,
itu rupanya. Allisa peluk kuat tubuh gempal Mary bersama ketawa kecil. “Yeke
makcik? Saya gembira sangat kalau makcik terus fikir macam tu. Saya takda mak
tetapi saya ada ramai mak angkat. Makcik bolehlah jadi salah seorangnya kan?”
Mata
Mary terkebil-kebil melihat Allisa. “Tak pe ke?”
“Tak
pe... Mak angkat All pun rata-ratanya macam Mary juga. Comel dan manis. Tapi
diaorang tu semua banyak mulut. Bising setiap hari. Pening kepala All. Harapnya
makcik tak macam tu,” usik Allisa bersama ketawa yang panjang. Teringat dia
pada Pengajar Coxe. Setiap kali dia buat salah pasti wanita itu akan memberi
ceramah panjang sehingga dia boleh tertidur.
“Itu
makcik tak boleh janji...” Mary berhenti bercakap. Matanya fokus pada satu
arah. Allisa dilanda hairan. Dia ingin berpaling tetapi Mary pantas menariknya
duduk. Wanita itu kelam kabut memanggil-manggil pembantu lain yang ada di dapur
supaya mengikutnya keluar. Allisa sekali lagi berasa hairan. Dia pasti ada
sesuatu di belakangnya yang membuatkan Mary berjalan seperti lipas kudung.
Allisa buat tidak tahu. Dia menahan Mary.
“Makcik
nak pergi mana cepat-cepat ni? Temanlah saya minum. Kesian saya
sorang-sorang...” Allisa buat suara ala-ala manja gitu. Jarang dia nak guna
suara ini kecuali jika dia terdesak. Bukan main lagi dia teringin nak minta
maaf pada Daniel itu, alih-alih bila lelaki itu ada, dia cuba mengelak dari
berjumpa. Apa kena entah dengan badan dia. Dia pun tidak faham.
Mary
pula yang serba salah. Tidak tahu hendak mengikut arahan siapa? “Maafkan makcik
All tapi makcik ni kerja makan gaji. Jadi makcik kenalah ikut arahan tuan
rumah,” bisik Mary sebelum meninggalkan Allisa bersama Daniel yang sudah
bersandar di muka pintu dapur sejak mereka berdrama air mata tadi.
WAJAH
Allisa bertukar keruh. “Kalau awak datang nak minta maaf, saya dah maafkan
dah...” cakap Allisa tanpa memandang Daniel. “... dan kalau awak dah tak ada
apa-apa alasan lagi untuk jumpa saya, saya minta awak tinggalkan saya seorang diri...”
Allisa pandang Daniel yang kini sudah duduk di sebelahnya sambil menuang air
masak ke dalam gelas. Muka lelaki itu selamba sahaja seperti tidak buat salah
apa-apa.
Bagi
Allisa mudah sahaja. Kalau orang itu tidak mahu pergi, biar dia yang pergi.
“Nanti!”
Daniel tahan Allisa. Tangannya pantas menggapai pergelangan gadis itu.
Mata
Allisa terbeliak. Juliane nak pegang tangan dia pun minta izin inikan Daniel
yang bukan ada apa-apa pertalian dengannya pun pegang tangannya sesuka hati.
Sungguh tak percaya!
“Duduk
dulu. Dengar apa yang saya nak cakap,” minta Daniel.
Patut
ke? Allisa berfikir dan wajahnya keruh tidak dapat disorok dari pandangan mata
Daniel. Apa lagi mata Allisa yang terjuling-juling memandang tangan mereka.
“Maaf,”
ucap Daniel sekaligus menarik tangannya. Hatinya berdebar kencang. Sekencang
angin Laut Reannean. Sakit. Seperti ruang udara pernafasannya tiba-tiba menjadi
sempit.
Kedengaran
Allisa hembus nafas berat. Gadis itu kelihatan serba tidak kena dan mengetap
bibirnya kuat. Lalu dengan berat hati, Allisa duduk di tempatnya tadi. Gelas
yang telah kosong dipegang buat pengalir semangat yang sekejap ada dan sekejap
tidak.
“Sebenarnya,
yang perlu minta maaf ialah saya,” cakap Allisa. “Julie dah beritahu saya segalanya.
Pertemuan kita di hadapan menara jam dan macam mana awak jaga saya seperti
menatang minyak yang penuh... maafkan saya sebab tiada satu pun ada dalam
memori saya... saya pasti saya dah banyak menyusahkan awak, Daniel.”
Daniel
menggeleng. Sedih hatinya bila mendengarkan yang gadis ini lansung tidak
mengingati dirinya. Walaupun dia sudah sedia maklum, namun mendengarkan sendiri
dari mulut itu, rasa seperti hendak menangis. Mungkin ini karma. Setiap
perbuatan jahat dia buat pada Anita akhirnya terbalas.
“Tapi...
saya nak ucapkan terima kasih juga pada awak. Tanpa awak, mungkin saya masih
lagi tak ingat siapa diri saya. Mungkin saya berjalan tak tentu arah, hidup
macam pengemis...” Allisa ketawa kecil bila memikirkan yang dia akan menjadi
pengemis di tepi jalan. Dengan muka kotor dan tidak terurus. Terkeruk-keruk
seperti anak monyet. Walhal dirinya yang sebenar ialah sangat pembersih.
Pantang ada kotoran, cepat-cepat dia bersihkan.
Daniel
ukir senyuman Allisa di ingatannya. Senyuman yang manis. “Saya rasa bangga
sebab dapat tolong awak Allisa. Sekurang-kurangnya tak adalah hari-hari saya
bosan. Awak banyak menghiburkan saya dan lansung tidak menyusahkan.”
Allisa
pandang Daniel curiga. “Betul ke? Lansung tak? Awak jangan nak bodek saya-lah.
Bagitahu saya!” perintah Allisa tanpa dia sedar.
“Tak.
Tak pernah sekelumit pun saya rasa awak ni menyusahkan,” beritahu Daniel laju
menyusur lidahnya. Dia kemudian terkebil-kebil memandang Allisa. Apatah lagi
Allisa. Gadis itu sendiri sangat terkejut. Jarinya menggenggam gelas itu erat.
Ada sesuatu. Sesuatu yang menghentam memorinya tetapi pintu menuju ke memorinya
itu tidak mampu dia buka walaupun sekuat mana sesuatu menghentam kepalanya.
Ketawa
Daniel pecah. Hatinya digaru rasa lucu melihatkan wajah Allisa yang serba salah
itu. “Awak ni kelakarlah Allisa. Janganlah serius sangat.”
Allisa
tergamam. Kemudian dia senyum perlahan-lahan. “Maaflah terbawa-bawa pula. Awak
pun apa kurangnya. Terus aja jawab. Tahu takut...” usiknya dan turut sama
ketawa bersama Daniel.
“Jadi
macam inilah rupanya Allisa Reed. Baru saya tahu,” cakap Daniel sesuadah
tawanya habis.
“Kenapa?”
Allisa berasa hairan bila Daniel berkata begitu.
Daniel
jungkit bahu. “Yelah masa saya pertama kali kenal awak dulu, awak ni perahsia.
Duduk dalam bilik aja. Asal petang, tidur. Malam berjaga macam burung hantu.
Saya tak tahulah apa masalah awak. Julie sendiri pun naik risau tengok perangai
awak,” ceritanya.
Bahagian
ini Julie tidak cerita padanya. Allisa benar-benar tertarik. “Ya? Pelik. Saya
ni bukannya jenis tidur petang. Asal pukul 11, saya dah tertidur. Lagipun saya
ni suka duduk luar. Berbasikal, naik kuda, main tenis, memanah... apa sahaja lagi yang saya tak buat?” Allisa
memikir sejenak. “Oh, memandu!”
“Saya
boleh ajar awak,” tawar Daniel.
“Betul
ke? Awak boleh pandu kereta?” soal Allisa teruja. Sudah lupa dengan rasa
marahnya pada Daniel tadi.
“Dah
tentulah. Tapi awak tak kisah ke?”
“Kenapa?”
“Yelah,
dengan skirt awak tu... ropol-ropolnya... boleh ke awak nak memandu dengan
pakaian awak tu?”
Kening
Allisa terangkat. Tidakkah lelaki ini nampak yang dia sedang memakia pakaian
apa? Ada nampak ropol-ropol ke? “Awak cabar saya Encik Scot?” Fikirkan air laut
sudah surut rupanya ia kambali mengganas! Hatinya terbakar tiba-tiba.
Ke
situ pula... Daniel menggeleng. “Saya tak maksudkan. Saya cuma risau. Awak tak
takut?”
Allisa
ketawa sinis. Nampaknya Daniel tidak kenal siapa Allisa Reed. Cakap macam tahu.
Huh! “Awak jangan menyesal awak sebut ayat tu Encik Scot. Sekali saya kata saya
akan buat, saya buat.” Allisa bergerak ke dapur. Mencari air masak. Panas! Panas!
Kenapa
perlu dia berasa marah tiba-tiba sedangkan Daniel memang maksudkannya. Lelaki
itu tiada niat hendak mencabarnya. Apatah lagi sepatutnya ini bukan masa untuk
dia berasa tercabar! Bukankah Daniel ada katakan dia asa sesuatu hendak
dikatakan?
Memikirkan
perkara itu Allisa pandang belakangnya. Ke arah Daniel. Siap dengan jelingan.
Bukan dia sengaja tetapi mungkin sisa marah itu masih ada. Namun dia pula
terkedu bila terpandang air muka Daniel yang lembut itu. Tersenyum-senyum.
Tidak jadi Allisa untuk menyoal secara berhadapan. Gelas dipegang erat.
Jantungnya berdegup laju. Gemuruh. Entah ke mana marah itu lari tiba-tiba dek
penangan senyuman Daniel itu.
“Seb...
sebenarnya awak nak cakap apa dengan saya?” Allisa gugup. Janganlah
soalan-soalan yang dia tidak mampu jawab. Jangan kata Daniel tahu statusnya
yang sebanar sudahlah. Dia sudah beritahu adik beradik Graham itu agar tutup
mulut dan jangan beritahu akan statusnya sebagai seorang puteri. Dia tidak mahu
dibeza-bezakan. Lebih-lebih lagi, mereka yang sudah tinggal dengannya selama
dua minggu ini, pasti akan berasa kekok. Tetapi kalau Daniel tahu... dia tahu
dari siapa? Siapa antara dua orang itu yang mulut tempayan? Rasanya tiada
antara mereka yang berani.
“Malam
sabtu ni awak pergi tak? Majlis Ulangtahun Perkahwinan pasangan Wheatherspoon?”
Soalan
Daniel membantutkan syak wasangka Allisa yang bukan-bukan. Penat sahaja dia
fikir yang jauh-jauh rupanya, tentang majlis ulangtahun bakal bapa mertua
Daniel. Allisa menghembus nafas lega. Dadanya kini berasa lapang.
“Tak.”
Tanpa memikir panjang, Allisa menjawab. Dia punya banyak sebab untuk kenapa dia
tidak perlu pergi. Perlukah dia tergedik-gedik hendak pergi majlis orang yang
dia tidak berapa kenal hanya kerana orang menjumputnya selaku tunang Juliane? Walaupun
dia ada rasa sekelumit rasa kesian pada Juliane yang terpaksa menghadiri majlis
itu tanpanya tetapi Julie-kan ada. Julie boleh ganti tempatnya dan gadis itu
tidak perlu memaksa diri untuk bersama Willson.
Belum
sempat bibir gelas itu capai ke bibirnya, Allisa letak semula gelas. Dia
pandang Daniel semula. Ada kerutan di dahinya. “Awak ada cakap dengan saya ke
tadi Daniel? Saya tak berapa dengar.”
Mata
Daniel terkedip-kedip. Riak tidak bersalah. “Saya tak cakap apa-apa. Awak
dengar apa?”
“Tak.
Saya rasa tadi saya dengar awak cakap...” Allisa tidak berani menyebutnya.
Takut dikatakan perasan sendiri. Tetapi telinganya tidak pekak lagi dan dia
sangat-sangat pasti yang Daniel katakan ayat itu padanya. Makin
bertambah-tambah debaran di dada Allisa. Kata-kata Daniel terus
terngiang-ngiang di mindanya.
No comments:
Post a Comment