14
“Sayangnya,
saya teringin nak lihat awak pakai gaun. Pasti cantik.”
Dia
bukan perasan tetapi ini satu fakta. Dia sememangnya cantik dalam gaun. Dia ada
bentuk badan yang menarik. Tidak tipu. Dia ada rambut beralun yang lembut.
Tidak tipu. Tetapi semua itu hilang ditelan masa. Tiga tahun di atas katil, tidak
makan dan tidak beriadah, dia hilang segala yang dia ada suatu masa dulu.
Badannya jadi kerimping dan rambutnya yang beralun itu... sudah pendek
mengalahkan rambut Juliane yang kini dia perasan panjang dari kebiasaan. Lebih-lebih
lagi dengan misai dan sedikit janggut di keliling wajah yang dahulu bersih dan
segar dengan bauan minyak selepas mencukur.
Wajah
Allisa semakin redup. Berdiri di hadapan cermin tidak akan merubah apa-apa.
Lebih baik dia berjalan dan membina semula otot-ototnya yang hilang itu. Dengan
itu dia akan dapat memakai gaun semula. Biarlah ianya mengambil masa, bukankah
orang kata untuk menjadi cantik, sakit datang dahulu?
Dia
keluar dari biliknya. Malam sudah menjengah dan dia menanti untuk dipanggil ke
dewan makan. Semenjak dia bangun ini, seleranya semakin bertambah-tambah. Bagus
juga untuk pembentukan badannya yang seperti papan lapis ini. Memikirkan yang
selama ini dia tidur untuk tiga tahun
membuatkan dia tertanya-tanya... apa penyebab kepada masalahnya itu. Dia
sendiri tidak mengingati puncanya. Dia berusaha untuk mengingati tetapi tiada
apapun yang kembali padanya. Doktor Harper berpesan padanya yang dia tidak
perlu memaksa diri untuk mengingati. Biarkan ia datang sendiri. Jika tidak, ia
akan bawa masalah lain pada dirinya pula. Lantas dia dengar saranan lelaki
separuh abad itu kerana dia tidak mahu menambahkan runsing yang ada pada Julie
dan Juliane.
Allisa
tersenyum nipis. Julie tidak nampak ketara akan perubahan selama tiga tahun dia
tidur tetapi Juliane yang menjaga penampilan itu buatkan dia hampir tidak
mengenali lelaki itu bila dia temu pandang dengannya semalam. Rambut panjang
dan bermisai... dia betul-betul berasa kekok untuk memandang Juliane tetapi
matanya tetap ralit memandang itu dan ini di wajah lelaki itu.
Betapa
tiga tahun merubah seseorang dalam sekelip mata. Banyak perkara yang berubah
dan baharu, menjadikan dia seorang yang ketinggalan. Malah untuk tiga tahun dia
tidak menyambut hari lahirnya. Sedihnya hati bila mengenangkan hari lahirnya
yang ke-16. Hari lahir yang dia tunggu-tunggu sepanjang dia hidup.
“Ehem!”
Allisa
melompat terkejut. Untuk hari ini entah berapa kali dia rasa jantungnya hendak
melompat. Semuanya angkara tidak lain dan tidak bukan...
“Daniel...!”
Allisa mencebik. Dia tiada mood hendak melayan perangai lelaki itu. Dia sedang
emosi.
Daniel
merapati Allisa. “Saya cari awak merata, rupanya awak kat sini...” katanya. Dia
sandar pada tiang balkoni yang menghadap ke laman belakang. Matanya tidak lepas
dari memandang wajah Allisa. “Kenapa dengan muka sedih tu? Marah saya?”
Allisa
tidak membalas. Dia pandang wajah Daniel.
Daniel
dapat rasakan yang Allisa mahu katakan sesuatu tetapi seperti teragak-agak.
“Ceritalah kat saya. Apa yang buatkan awak sedih sangat tu? Fasal Juliane ke?”
Allisa
menggeleng. “Tak. Saya tak ada apa-apa masalah dengan dia. Cuma saya rasa saya
dah ketinggalan banyak perkara dalam hidup ni. Habiskan tiga tahun dengan
sia-sia. Saya tak dapat sambut hari debut saya... hari debut Julie... saya buat
hidup orang sekeliling saya sedih, menanti hari saya bangun. Bayangkan tiga
tahun saya hangus macam itu. Bayangkan macam-macam perkara saya boleh buat atau
mungkin saya dah kahwin dengan Juliane!”
Allisa
rasa seperti hendak menangis. Muka sudah membahang. Nasib baik balkoni ini
gelap dan cahaya datang dari lampu-lampu di laman dan pantulan cahaya matahari
dari bulan. Dapatlah juga dia sorok air mata.
Daniel
hulur sapu tangannya dan Allisa pantas mengambilnya.
“Terima
kasih,” ucapnya.
Daniel
senyum. Otaknya ligat berfikir bagaimanakah caranya untuk dia pujuk hati Allisa
yang sedih ini. Takkan hendak pergi dewan makan dengan wajah macam itu? Tidak
fasal-fasal nanti dia kena sembur dengan Julie. Dia pandang dada langit.
Tiba-tiba idea datang. Lantas dia tepuk lembut bahu Allisa. Gadis itu memandangnya.
“Tengok
tangan saya betul-betul, okey?”
Dahi
Allisa sudah berkerut. Dia ikut juga arahan Daniel. Tangan lelaki itu dia
pandang betul-betul.
Sekali
lagi Daniel tersenyum. Kali ini lebih lebar. Lalu dia bawa tangan yang dia
unjuk pada Allisa tadi ke depan, menghadap dada langit. Terdapat berpuluh-puluh
anak bintang bertebaran dan berkelipan seperti kelip-kelip.
“Awak
pilihlah mana-mana bintang yang awak nak,” arah Daniel. “Saya akan petikkan
untuk awak.”
‘Gila
apa nak petik bintang?’ desis hati Allisa. Dia cuba sorok senyuman
sarkastiknya.
“Cepatlah!”
gesa Daniel.
“Yang
itu!” Allisa main pilih. Dia hendak tengok macam mana Daniel hendak petik
bintang.
“Okey!”
Berhati-hati Daniel arahkan tangannya ke arah bintang yang Allisa tunjuk.
Setelah dia pasti kedudukan yang tepat untuk memetik, dia keluarkan ibu jarinya
dan jari telunjuk, seolah-olah dia sedang memetik.
“Tengok
betul-betul...” kata Daniel perlahan. Dia bawa jarinya yang tadi memetik
bintang dekat ke hadapan wajah Allisa dan bintang itu betul-betul berada di
hadapan mata Allisa.
Allisa
berasa kagum. Bibirnya mengukir senyuman lebar. Dia pandang wajah Daniel dengan
rasa tidak percaya. “Macam mana awak – ”
Daniel
letak jari telunjuk kirinya ke bibir Allisa. Persembahan tidak habis lagi.
Kemudian dia simpan bintang yang berkelip-kelip itu tadi ke dalam genggamannya.
Dua-dua belah tangannya menggenggam dan meramas bintang itu tadi lalu dia bawa
ke mulutnya dan di hala ke luar. Perlahan dia tiup lobang genggamannya dan
bintang tadi yang diramasnya menjadi debu-debu yang bersinar-sinar yang
terapung di udara. Sangat cantik.
Allisa
menepuk tangannya sambil ketawa. Rasa sungguh tidak percaya akan kebolehan
Daniel untuk membuat silap mata.
“Cantiknya,”
kata Allisa tanpa dia sedar. Matanya ralit melihat kerlipan debu yang jatuh ke
tanah.
Hati
Daniel kembang bila dipuji begitu. Tidak sangka silap matanya menjadi.
Tiba-tiba dia rasa yang dunia ini miliknya. Dapat melihat senyuman Allisa
buatkan dia rasa cukup puas. “Itu hadiah hari jadi awak dari saya.”
Allisa
pandang wajah Daniel. Tergamam.
“Lepas
ni bila awak rasa sedih, awak hanya perlu ingat momen ni. Jadi segala kesedihan
awak akan pergi sebagaimana debu-dubu tadi pergi. Saya dah buat awak gembira
bukan?”
Terkebil-kebil
Allisa di tempatnya. Bila dia rasa yang Daniel menantikan jawapan darinya, dia
angguk perlahan. Secara jujurnya, dia memang gembira tetapi bila Daniel kata
begitu dia seperti rasa sesuatu. Sesuatu yang hangat di dadanya yang
perlahan-lahan merebak ke seluruh sarafnya.
“Terima
kasih,” ucapnya.
Daniel
menunduk hormat lalu dia raih jari Allisa lalu dia kucup lembut. “Ianya satu
kepuasan buat saya,” balasnya lalu dia memandang terus ke anak mata Allisa.
Gadis
itu pantas menarik tangannya. Jantungnya berdegup bagai nak gila. Tidak pernah
dia rasa seperti ini. Sesak di dada yang amat. Tetapi pada masa yang sama dia
rasa satu perasaan gembira di sudut hatinya. Perasaan yang cukup berbeza
apabila dia bersama dengan Juliane.
Allisa
tersentak. Dia tersedar sesuatu. “Apa yang awak dah buat Daniel?” kata Allisa
tiba-tiba. Dia rasa bersalah. Daniel hampir... tidak Daniel sudah melebihi
garisan yang dia sudah tetapkan. Dia terlalu leka. Perkara seperti ini tidak
sepatutnya terjadi! Allisa pandang kiri dan kanannya takut jika ada mata yang
memandang.
Perlakuan
Allisa sedikit sebanyak menggores hati Daniel. Dia cuba untuk perasaannya namun
bila dia lihatkan wajah Allisa dia tahu wajahnya jelas terukir kekecawaan.
“Daniel
tolong selepas ni jaga perlakuan awak. Ki... kita berdua dah bertunang dengan
pasangan masing-masing. Saya harap selepas ni awak jaga hati Anita dan...
perkara seperti ini tak terjadi lagi,” pesan Allisa. Kaki dan tangannya
menggeletar saat dia berjalan meninggalkan Daniel. Nasib baik loceng makan
malam sudah berdeting, dapatlah dia lepaskan diri dari buatkan keadaan itu
terus berasa kekok.
SEDAYA
upaya Allisa cuba buang bahagian yang memalukan itu dari memori namun setiap
kali dia cuba, dia lemah dan sedih. Dia tidak faham kenapa dia perlu berasa
sedih? Adakah akan hakikat yang dia memegang status sebagai tunang Juliane?
“Kau
gila Allisa?!” jeritnya kepada diri sendiri.
Dia
memukul-mukul dirinya sendiri. Sesudah itu tenggelamkan dirinya ke dalam tab
mandi. Bagaimana dia boleh fikirkan seperti itu? Pertunangannya dengan Juliane
merupakan satu perkara dia amat nantikan suatu masa dulu dan pada hari mereka
ditunangkan, dia ialah seorang gadis yang paling gembira sekali. Tetapi
sekarang ini, dia boleh kata yang dia sedih bertunang dengan Juliane? Apa yang
tidak kena dengan dirinya?!
“Hah!”
Allisa timbul di permukaan. Tercungap-cungap dia mencari nafas. Perlakuan
Daniel membuatkan dia keliru. Entah-entah... Allisa menggeleng. Tidak mungkin.
Tidak mungkin! Daniel tunang Anita. Mana mungkin Daniel suka dia, kan?
Persoalan
itu terus tersekat di situ. Buntu.
“Ish
tak guna aku berendam lama-lama, bukannya dapat jawapan,” keluh Allisa lantas
dia capai tualanya dan membalut dirinya.
CEPAT-CEPAT
Allisa buka pintu biliknya bila pintu seakan-akan hendak roboh dek ketukan
Julie yang tidak putus-putus.
“Cuba
sabar!” marah Allisa.
Julie
pandang Allisa atas bawah.
“Apa?”
“All!
Tolonglah!”kata Julie sambil berjalan masuk bersama Mary yang membawa sekotak
besar bewarna kelabu dengan hiasan reben biru awan. Mary letak kotak itu di
atas lalu beredar selepas Allisa membenarkannya keluar.
“Apa
ni?” Allisa cuba buka kotak yang baru dibawa masuk itu namun Julie pantas
menahan. Wajahnya cemberut tanda tidak puas.
“All
tolonglah pakai baju yang bersesuaian. Saya dah bagi baju kan? Kenapa pakai
baju lama Daniel ni lagi? Awak tu perempuan tau. Bukannya lelaki. PEREMPUAN!”
tembak Julie laju. Kemudian dia berkata itu dan ini lagi.
Allisa
tutup telinganya. Julie membebel macam Pengajar Coax. Pantas dia melarikan diri
memasuki bilik persalinannya. Menyorok dalam itu.
“All
dengar tak apa yang saya cakap?!” laung Julie.
“Kalau
awak nak terus membebel macam Coax, baik awak balik bilik awak. Saya taknak
dengar!” balas Allisa dengan nada yang sama.
Julie
mendengus. Tak habis-habis dengan perangai anak manja dia itu. “Hah! Yelah,
yelah. Cepat keluar. Abang saya ada hadiah untuk awak,” beritahunya.
Macam
lipas kudung, Allisa berlari keluar dari bilik persalinannya. Wajahnya
berseri-seri. “Ya?! Apa? Apa?”
Kening
Julie terangkat. “All... tak kenal kotak ke? Ni... kotak besar ni... tak
kenal?”
Allisa
pandang kotak yang diunjuki oleh Julie. “Kotak apa?”
Sekali
lagi Julie mendengus. Dasar sengal betul. Agaknya tidur tiga tahun sampai kotak
baju pun sudah tidak kenal lagi. “Kotak gaunlah sayang. Abang buat tempahan
khas dari butik yang awak suka kat Brynn. Baru sampai tadi.”
“Gaun?”
Julie
mengangguk.
“Tapi...”
“Cepatlah
bukak! Saya tak sabar nak tengok ni,” gesa sahabatnya.
Allisa
rasa serba tidak kena. Dia tidak sepatutnya buka hadiah ini. Dia tidak patut
pun. Dia bukannya hendak pergi ke majlis tari hari ulangtahun pasangan
Wheatherspoon. Tetapi dia patut hargai pemberian Juliane. Apa salahnya... jika
dia buka?
Perlahan-lahan
dan berhati-hati, dia membuka penutup kotak itu. Nafasnnya tertahan saat dia
melihat gaun putih dengan lapisan kain organza, renda, ropol dan manik labuci
yang terjahit kemas. Sulaman tangan yang dijahit terbukti kualitinya. Allisa
angkat gaun itu setinggi aras matanya. Matanya tertancap lama pada gaun itu
yang kelihatan bersinar dek biasan cahaya matahari pagi yang kian naik.
“Ini...”
Allisa tidak mampu menghabiskan ayatnya. Air matanya bergenang. Sebak. Gaun ini
beri penuh makna buat dirinya sebagai seorang gadis yang terkurung 15 tahun di
dalam istana.
“All...”
panggil Julie. Gadis itu perasankan air mata yang bertakung di tubir mata
sahabatnya.
“...gaun
ni...”Setiap urat benang baju yang bergesel dengan permukaan jarinya membuatkan
jiwanya berlawan sesama sendiri. Apa patut yang dia katakan bila gaun yang
berada dalam genggamannya ini pernah dia cuba pakai untuk majlis menyambut hari
lahirnya yang ke-16 di mana pada waktu itu, sulaman bunga Petunia masih lagi
dalam proses penyiapan ketika dia mencubanya.
Memikirkan
yang Juliane bawa gaun ini dari Brynn, dia berasa tersentuh. Lelaki itu pasti
tahu yang dia akan berasa sedih akan kehilangan waktunya yang berharga.
Lebih-lebih lagi majlis sambutan hari lahirnya yang ke-16. Setiap hari,
sepanjang masa sebelum menjelang hari itu, dia akan bercakap dan berangan
bersama Julie dan Juliane, merancang dengan penuh teliti akan apa yang dia mahu
dalam majlisnya. Bunga, hadiah, reben, kek dan pastri, koktail, gaun, lelaki
dan tari-menari. Semuanya punah bila dia pada malam itu... sesuatu berlaku pada
malam itu yang dia sendiri tidak mampu ingat. Namun dia hanya mampu kesal atas
segala yang sudah terjadi. Nasi sudah menjadi bubur. Dia harus teruskan
hidupnya dan inilah mesej yang Juliane berikan padanya dengan menghantar gaun
ini. Biarlah dia tidak mampu memakainya di hari hari lahirnya, asal tujuan gaun
ini dibuat tercapai, ia sudah cukup.
“Juliane...”
“Cubalah
pakai All. Saya pasti ini yang abang saya nanti-nantikan,” kata Julie.
Allisa
tersenyum nipis. Bukan sahaja Juliane tetapi dia sendiri juga
ternanti-nantikannya. Gaun bak pengantin yang jadikannya secantik bidadari.
Perlahan dia bergerak ke arah bilik persalinan. Dia mungkin tidak akan pergi ke
majlis itu esok tetapi siapa yang tidak ingin mencuba baju secantik ini? Malah
dia yang sekarang ini lebih selesa berpakaian lelaki, berasa mahu menyarung
gaun ini ke tubuhnya.
No comments:
Post a Comment