15
“Awak cukur?!” tegur Allisa dengan suara yang sedikit terkejut saat matanya tertancap pada figura lelaki itu yang seperti leka memerhatikan lukisan di siling yang diberi nama ‘Hadiah dari Tuhan’ hasil tangan Peter Grovernor, pelukis terkenal dari Prace. Julie beritahunya yang ia mengambil masa hampir dua bulan untuk menyudahkan lukisan tersebut. Semasa Julie ceritakan padanya waktu itu, wajah Julie tampak bercahaya dan dengan penuh minat juga seperti memuja lelaki tersebut. Hati Allisa tidak menyorok rasa gembira bila pertama kali dia lihat Julie bersikap sebegitu dan dia dapat rasakan sebahagian tujuan Julie sering turun ke Darmadin ialah hanya untuk melihat lukisan tangan Peter Grovernor ini.
“Awak
suka?” soal Juliane semula sambil tersengih. Jemarinya bermain di permukaan
pipinya yang kini bersih dari sebarang jambang. Dia ambil keputusan untuk
‘membersih’ rumput liar yang kian memanjang di wajahnya selepas dia sendiri
dapat lihat Allisa dengan batang hidungnya sendiri.
Allisa
ukir senyuman manis. Lebih-lebih lagi bila hidungnya dapat hidu minyak cukur
yang Juliane guna, dia rasa seperti dia tidak pernah tidur untuk tiga tahun
lamanya. Melihat wajah Juliane sebegini di hadapan matanya, tiada apa yang
dapat buatkan dia rasa cukup tenang. Bagaimanalah dia boleh terfikir yang dia
boleh berasa sedih bertunang dengan Juliane sedangkan lelaki inilah sumber
kekuatannya. Semua ini sebab Daniel. Dia patut jauhi Daniel seboleh mungkin.
“Lepas
ini bolehlah saya cium awak,” gurau Juliane dan membuatkan seluruh wajah Allisa
merah. Juliane ketawa senang. “Saya guraulah sayang. Tapi itulah yang buatkan
awak lebih comel.” Juliane ambil bakul berisi bunga petunia putih yang dia
letak di sebelahnya kakinya lalu dia hulurkan pada gadis itu.
Allisa
tersentak tetapi gadis itu tidak dapat menyorok senyuman sukanya. Terharu,
gadis itu melihat wajah Juliane. “Terima kasih... Saya... rindu sangat dengan
bunga ni. Awak sangat prihatin,” ucap Allisa sambil mengidu bau bunga
kegemarannya.
“Ini
je yang saya dapat buat sekarang walaupun ianya bukan yang sama seperti di
belakang rumah awak... saya harap awak suka,” luah Juliane.
“Saya
memang sukakannya Juliane. Tiada apa yang lebih bermakna dari bunga ni,” jawab
Allisa pantas kemudian wajahnya berubah muram. Di mindanya terbayang kotak gaun
berisi gaun pemberian Juliane pagi tadi. “Saya juga nak ucap terima kasih sebab
beri saya gaun tu. Saya suka sangat. Terkejut saya.” Allisa buat-buat ketawa.
Dia rasa bersalah. Pasti Juliane datang mahu memastikan yang parsel itu sampai
padanya.
“Awak
dah terima? Syukurlah awak suka. Bolehlah nanti awak pakai untuk majlis malam
ni –”
“Fasal
malam ni,” potong Allisa. “Maaf,” ucapnya dahulu sebelum dia menyambung semula
kata-katanya. “Saya tak rasa yang saya boleh hadiri majlis malam ni Juliane.
Saya minta awak faham situasi saya. Gaun itu memang cantik dan saya suka sangat.
Tapi dengan keadaan saya yang tidak berapa sihat, saya tak rasa... saya mampu
untuk menemani awak sepanjang tempoh malam ini hingga ke penghujungnya. Awak
fahamkan Juliane?” Allisa pegang tangan lelaki itu berharap yang lelaki itu
boleh menerima alasannya.
Juliane
cuba telan alasan yang Allisa beri walaupun hatinya sedikit kecewa dengan
berita itu. Dia patut dapat agak akan perkara ini tetapi dia terlalu lambat
untuk fikirkan yang Allisa sebenarnya tidak selesa dengan semuanya. Dia terlalu
fikirkan perasaannya yang Allisa juga sepertinya dapat menghadiri majlis
bersama sebagai pasangan di khalayak ramai. Itu semua hanya angan-angan. Tetapi
apa salah dia jika dia harapkan secebis angan-angan itu menjadi kenyataan?
Hakikatnya, dia menanggung rasa kecewa dan kehilangan untuk tiga tahun lamanya.
Salahkah untuk dia berharap? Juliane ukir senyum nipis. “Macam mana saya boleh
tidak fikirkan hal tu?” Dia cuba sorok rasanya seboleh mungkin walaupun dia
dapat rasakan yang dia hembus nafas tertahan-tahan; menggeletar. “Saya minta
maaf kalau saya buat awak tak selesa dan saya akan beritahu tuan dan puan yang
awak tidak dapat hadir. Anita betul-betul berharap awak dapat hadir majlisnya,
awak tahu?”
Mata
Allisa bulat memangdang Juliane. Tidak percaya dengan apa yang lelaki itu
ucapkan sedangkan dia tidak pernah berbual pun dengan gadis itu hanya sekadar
berbalas pandang dan senyuman ketika gadis itu datang melawatnya tempoh hari. “Kenapa?”
soalan itu meluncur laju di bibirnya.
“Saya
selalu cerita fasal awak pada dia. Jadi dia suka awak dan dia harap awak dapat
datang dan bersama-sama menyambut hari debutnya... dan keluarga dia nak umumkan
pertunangan dia dengan Daniel,” beritahu Juliane. “Awak tahu dia suka sangat
pada kita sebab kita saling mencintai.”
“Ya?”
Juliane
mengangguk. “Saya rasa mungkin Julie dah cerita dekat awak yang antara Anita
dan Daniel, pertunangan mereka berpunca dari janji yang Daniel buat 10 tahun
dulu dan saya lebih kasihankan Anita sebab budak tu betul-betul sukakan Daniel
walaupun Daniel fikirkan yang sebaliknya.”
Entah
kenapa hati Allisa rasa seperti ditusuk dari belakang. “Ke...kenapa awak cakap
macam tu?”
“Semalam,
saya jumpa mereka dan saya nampak cara Daniel layan Anita... dingin sangat.
Nampak macam buat-buat pun ada. Jadi saya tanya Will dan dia ceritakan semuanya
pada saya apa yang Daniel pernah buat pada Anita sebelum ini. Lebih-lebih lagi
selepas dia selamatkan awak, dia jadi lebih dingin terhadap Anita. Awak... tak
tahu apa-apa tentang hal ni?”
Jarum
yang menusuknya semakin dalam. Badannya kaku. Segala kejadian yang berlaku
malam semalam menerjah memorinya seperti pintasan kilat buatkan bibirnya
kering. Allisa geleng perlahan. Dia ambil teko berisi teh itu lalu menuangnya
ke dalam cawan lalu dia suakan ke mulutnya. Namun bila air yang melalui
esofogusnya buatkan ianya jadi terlalu kering dari sebelum ini. Dia hela nafas
berat. “Saya tak tahulah Juliane, saya tak tahu. Saya bukannya rapat dengan
dia. Jika ya pun, saya tak ingat. Sepanjang saya bangun semula, apa yang saya
tahu Daniel tu... pelik. Awak tak rasa dia pelik?”
Juliane
jungkit bahu. “Saya jumpa dia sekali. Itupun depan bilik awak. Jadi pandang
pertama saya tentang dia tak berapa jelas. Awak rasa pelik mungkin sebab
sumpahan Scot. Jadi awak tak perlu fikirkan sangat tentangnya. Awak hanya perlu
fikir tentang saya dan saya sahaja sepanjang malam ini. Biarpun saya tak dapat
teman awak malam ini, tapi saya dapat teman awak dalam fikiran awak.
Romantikkan saya?”
Ketawa
Allisa meletus. “Perasannya!” getus Allisa sambil menampar lembut bahu lelaki
itu. Betul cakap Juliane. Dia patut tolak tepi tentang perangai pelik Daniel
itu dan fikirkan fasal Juliane dan sikapnya yang romantik tidak bertempat ini.
SESUDAH
makan malam, Allisa beransur ke biliknya dan mengucap selamat malam pada Mary.
Wanita itu akan pulang ke rumahnya dan bercuti selama dua hari. Keluarga Scot
dan Julie sudah lama berangkat ke rumah agam Wheatherspoon yang terletak di
Jalan Buddinhman, 500 meter dari sini.
“Saya
agak berat hati nak tinggalkan anak dara seorang diri di rumah. Allisa apa kata
awak ikut sahaja kami?” pujuk Puan Scot.
Allisa
menggeleng. “Saya betul-betul tak mampu untuk ikut puan. Saya rasa tak sihat.
Lagi pula saya tak ada baju yang bersesuaian – ”
“Ahem!”
Julie berdeham. Agak kuat. Semua memandangnya. Mata dua gadis itu bertentang.
Kemudian Allisa halakan anak matanya ke arah lain. Tidak menghiraukan mata
bulat Julie yang seperti hendak terkeluar dari tempatnya.
Allisa
kemabli memandang wajah Puan Scot. Dia ukir senyuman seorang pesakit supaya
dapat meyakinkan wanita itu yang dia memang tidak larat untuk ke majlis
tersebut.
“Kita
kena cepat ni Shie. Nanti sesak kat depan pagar Whaetherspoon,” tegur Tuan
Scot.
Puan
Scot mengeluh kecil. Ada juga terselit bunyi mendecit. Allisa ketawa dalam
hatinya. “Hati-hati ya? Mary ada temankan awak tapi tak lama. Tak apa?” soal
Puan Scot sambil mengusap lengan baju kot kashmiri Allisa. Gadis itu
menggeleng. “Cukup sampai saya siap makan malam sudah memadai. Lagipun Encik
Callagan ada. Puan jangan risau.”
Allisa
rebah di atas katil. Berguling ke kanan dan kiri. Cuba buat dirinya gemuk.
Petua dari Julie. Rasa sunyi bila hampir ¼ isi rumah tiada malam ini (separuh
daripada pembantu rumah pulang ke rumah mereka). Mengingati betapa Puan Scot
risaukan dirinya membuatkan dia terkenangkan ibunya. Betapa dia rindukan
belaian wanita itu. Betapa selama ini dia pendam segala rasa kesunyiannya
kerana dia tahu ada lagi individu lain yang lebih sunyi darinya. Kerana dia
tahu walaupun dia hilang ibu dan ayahnya, dia masih ada atuknya, Julie dan
Juliane. Dia tidak berdiri sendiri di dunia ini. Tetapi kenapa, sekarang ini
rasanya seperti semua itu tipu? Segala kenangan yang ada dalam mindanya ini
seperti satu helah. Adakah dia tertinggal sesuatu?
“Apa
yang berlaku sebenarnya malam tu?” soalnya pada diri sendiri. Seperti melihat
gambar separuh siap, dia teraba-raba dalam kotak memorinya, mencari kepingan
teka-teki yang tersorok jauh di rak perpustakaan kepalanya. Semakin dalam dia
pergi, semakin gelap sehingga dia tidak nampak satu rak pun berada di situ. Yang
ada hanya dia dan lampu di tangannya.
“Perempuan jalang tak guna! Pergi
berambuslah kau anak luar nikah!”
Suara siapa?
“Memang layak pun kau kena tinggal dengan bapak sendiri! Siapa je yang nak
anak tak ada taraf ni hah?”
Suara itu semakin kuat dan ia menakutkannya.
“Sebab kaulah... mak kau mati. Sebab kaulah bapak kau tinggalkan mak kau!
Jadikan mak kau macam mayat hidup semata-mata kerana kau!”
“Ibuuuu!”
Allisa pantas berpaling. Tangannya menggeletar. Bunyi jeritan kanak-kanak
perempuan mengejutkannya.
“Mungkin ini kali terakhir ibu melihat merahnya langit senja... bersama
kamu, anak ibu yang ibu sayang...”
Allisa bangun dari pembaringannya. Peluh dingin mengalir menuruni dahinya.
Telinganya berdesing. Tidak sedar sejak bila dia terlelap. Dia lap peluhnya
dengan belakang lengannya sambil tangannya yang satu lagi menggosok-gosok
cuping telinganya. Disebabkan dia tidur dalam posisi yang berat sebelah,
telinganya jadi pedih. Lantas dia turun
dari katil dan menuju ke bilik persalinan. Menukar pakaiannya ke jubah tidur.
Selesai dia membersihkan wajahnya, dia rebah semula. Namun matanya tidak dapat
tutup. Kepalanya penuh dengan suara-suara dari dalam mimpinya tadi.
Tertanya-tanya siapa yang bercakap-cakap dalam mimipinya tadi. Sekali lagi Allisa
bangun. Dia ambil keputusan untuk tidur di bilik rahsia yang dia jumpa tempoh
hari. Dia capai shawlnya yang tergantung di kepala kerusi berhadapan dengan
meja solek dan dia bawa bersama sebatang lilin untuk menerangi jalannya.
Walaupun baharu 10.30 malam tetapi rumah ini sudah gelap. Perlahan dia mendaki
anak tangga menuju ke aras atas. Bila dia tiba di penghujung lorong mati itu,
dia tolak dinding tersebut dengan sepenuh kudratnya.
SENYUMANNYA terukir tanpa dia sedar. Tersenyum sendiri di hadapan cermin di
bilik persiapan. Jari manisnya digawang tinggi. Cukup untuk matanya bersinar
melihat kerlipan cahaya dari cincin berlian 56 karat. Berhati-hati dia mencabut
cincin dan sarung tangan operanya lalu cincin yang dia tanggalkan tadi di
sarungkan semula. Merasai permukaan cincin yang sejuk itu mengenai kulitnya,
berikan satu rasa teruja yang mekar di hatinya. Seperti satu tindak balas
rantai yang bergerak perlahan tetapi pantas. Seperti kertas yang terbakar
dengan api yang kecil. 10 tahun dia tunggu saat ini. Menjadi tunang Daniel yang
sah dan diakui masyarakat, dan tidak lama lagi dia akan jadi milik lelaki itu.
Sepenuhnya. Tetapi...
“Cantik sangat ke cincin tu?”
Anita berpusing bila dia dengar suara Daniel. Terkejut dia. Pantas dia
ambil tisu dan sapu matanya yang bertakung dengan air mata. “Awak buat apa kat
sini? Bilik persalinan lelaki sebelah hadapan.”
“Saya nak cakap dengan awak, kita berdua je,” ujar Daniel lalu ambil tempat
di salah satu sofa yang berdekatan. Selesa sekali.
Anita ketap bibirnya. Dia rasa tidak sedap. Berdua dalam bilik tanpa ada
yang menemani... ini pertama kali. Hatinya berdebar bagai nak gila. Dia biarkan
lengan belah kanannya tidak bersarung. Perasaan yang dia rasai saat ini lebih
mendebarkan dari kesalahan etika pemakaiaannya. Lantas dia ambil tempat di
kerusi berhadapan Daniel. “Awak nak cakap apa?”
Daniel hela nafasnya. “Saya taknak cakap panjang dan nak berterus terang
dengan awak. Pertunangan ni tak bawa apa-apa makna buat saya dan saya tak nak
awak jaja cerita yang bukan-bukan pada mama dan papa awak selepas ni. Awak dah
debut... jadi saya harap awak faham apa maksud sayakan? Saya harapkan yang
terbaik daripada awak dan... perkara macam tadi takkan berulang lagi,” tegas
Daniel memberitahu dengan wajah yang serius. Dia pandang wajah Anita yang
menggeletar itu seketika sebelum dia bangun untuk beredar. Dia sudah luahkan
apa yang dia mahu katakan.
“Nanti!” jerit gadis itu.
Daniel berhenti berjalan.
“Walaupun awak cakap pertunangan ni tak bermakna buat awak... walau
sekalipun awak akan cakap yang awak tak harapkan apa-apa dari pertunangan ni...
bagi saya pertunangan bermakna segalanya. Saya tunggu 10 tahun Daniel untuk
perkara ni berlaku. Saya nak sangat kita berkahwin. Saya nak sangat awak cintai
saya sebagaimana saya cintakan awak. Salah ke saya impikan perkara macam tu?
Saya seorang perempuan Daniel! Jangan buat saya macam sampah!”
Sampah? Daniel tertawa kecil. “Saya rasa awak dah salah faham – ” Dia
terkaku bila dia lihat air mata Anita berderai bagai tiada penghujungnya. Gadis
itu sudah tersengguk-sengguk. Dia berdeham. “Maksud saya katakan tadi ialah
tolong jangan... cium saya depan orang ramai. Tak sopan...” ‘...walaupun cium
di pipi.’
“Kenapa? Awak takut orang yang awak suka nampak? Jadi dia ada kat sini?
Siapa? Siapa? Julie?”
“Tolong jangan libatkan Julie dalam hal ni. Dia tak ada kena mengena!”
Anita rasa seperti hatinya tertikam berbilah ribu pisau belati. Betullah
sangkaan dia selama ini. Gerak hati seorang perempuan sentiasa betul. “Jadi
kenapa awak nak marah sangat kalau bukan Julie? Awak ada sorok perempuan dekat
alamari awak ke? Macam abang saudara saya?”
Daniel terkesima. Secara praktikalnya, dia tak sorok perempuan dalam almari
tetapi dia ada di rumahnya. Lebih mengecewakan, ia hanya cinta pihak sebelah
sahaja. Dia tidak mungkin akan dapat cinta gadis bernama Allisa.
Melihatkan pereubahan pada wajah Daniel, Anita rasa tertipu. Apa gunanya
sumpahan Scot jika perkara seperti ini terjadi? “Jadi betullah? Dia ada kat
rumah awak... Sakitnya...”
“Kalau awak tak nak terus rasa terseksa, lepaskan saya. Awak ada banyak
pilihan Anita. Tapi saya tak boleh jadi salah satunya,” pinta Daniel mengingati
beberapa majlis kecil yang mereka hadiri bersama sebelum ini, pasti ada sahaja
yang cuba memikat. Anita dengan perangai naifnya. Senang sahaja untuk pikat
hati lelaki tetapi bukan hatinya. Kenaifan yang Anita tunjukkan padanya hanya
sebuah perangkap sawang lelabah yang membunuhnya dari dalam. “Awak patut
bersihkan diri awak dan balik ke dewan makan cepat. Awak keluar lagi lama dari
saya,” pesannya lagi setelah lama mereka menyepi dan disulami sedu Anita.
“Saya takkan mengalah,” kata Anita, menahan Daniel dari pergi. Dia mahu
luahkan perasaannya biar Daniel tahu yang dia bukan gadis yang mudah untuk
Daniel tolak dan tarik ke mana sahaja Daniel mahu. “Saya takkan berhenti untuk
buat awak cintakan saya, Daniel. Saya boleh bertahan untuk 10 tahun dan saya
pasti saya boleh bertahan untuk jangka masa lama lagi. Saya janji... akan
pastikan awak melutut depan saya.”
Mungkin ini memang ada dalam darah keluarga Scot, untuk sentiasa
disumpah... fikir Daniel. Dia mengeluh sedikit. Dia tidak tahu untuk membalas
apa. Anita terlalu degil untuk lelaki yang degil sepertinya juga. Dia keluar
dan tinggalkan Anita dengan egonya. Bila dia berpaling, jantungnya seperti
hendak luruh bila dia lihat abangnya sudah berdiri bertentangan dengannya
sambil berpeluk tangan.
“Abang!” marahnya dengan nada yang rendah. Agaknya inilah perasaan Allisa
bila selalu disergahi olenya dulu.
Vincent memandang wajah Daniel dengan rasa tidak puas. Dia mendekati
adiknya dengan langkah yang kecil. Mata fokus pada anak mata lelaki itu.
Menghantar isyarat akan ketidakpuasannya.
“Abang ni kenapa?” Daniel takut. Vincent jarang bersikap begini dan dia
tidak pernah berhadapan dengan sikap itu. Hanya mendengar dari kata-kata
sahabat abangnya sahaja bila mereka berkumpul di rumah ataupun kelab.
Vincent berhenti. Lagi beberapa sentimeter sahaja dahi mereka boleh
bertemu. Dia hela nafasnya. Berat. “Abang kecewa dengan awak,” cakapnya dan dia
pergi ke dewan makan semula. Mungkin lebih tepat, mencari isterinya. Sekarang
waktu pencuci mulut dan Vincent lebih gemar bermain dengan isterinya daripada
makan kek buah. Lebih-lebih lagi yang ada aprikot.
Daniel melepaskan nafasnya yang tertahan tadi. Jantungnya bukan sahaja
hendak luruh malah lari balik ke rumah bila melihat bertapa tajamnya mata biru
abangnya. Nasib baiklah. Dia urut dadanya perlahan sambil berjalan semula ke dewan
makan. Walaupunbegitu dia tetap rasa tidak selesa bila Vincent berkata begitu.
Adakah abangnya dengar perbualan antara Anita dan dia? Jika ya, adakah dia ada
melakukan kesilapan sekali lagi?
ALLISA terbangun. Dia terdengar sayup-sayup bunyi ladam kuda berlaga dengan
turap jalan. Dia lihat sekelilingnya, cuba mencari jam. Tidak jauh dari
katilnya, di atas tempat pendiang api, terdapat sebuah jam lama yang masih
berfungsi. Gadis itu mengecilkan anak matanya. Cuba menjelaskan penglihatan.
12.30?
“Oh Adella sayangku!” sayup suara Vincent terjerit memanggil isterinya
kedengaran di telinga Allisa.
Gadis itu dalam mamainya mencapai shawlnya yang bertebaran di hujung
katilnya dan bergerak menemui keluarga Scot yang baharu sahaja pulang dari
rumah keluarga Wheatherspoon. Berat hatinya mahu meninggalkan bilik yang kecil
namun selesa itu. Tetapi dia takut jika kehilangannya di bilik tidur akan
mengundang huru hara isi rumah ini lagi seperti tempoh hari. Dia tidak mahu
perkara seperti itu berulang dan dia takut tindakannya akan bawa masalah pula;
risaukan Daniel akan berlari dan memeluknya.
Dia berhenti bila dia berselisih dengan Adella yang bersusah payah membawa
suaminya yang mabuk ke bilik. Diikuti pula beberapa orang pembantu rumah yang
ingin membantu namun ditegah oleh Adella. Katanya, takut Vincent akan buat
bising jika bukan dia yang suaminya peluk. Allisa tersengih sahaja. Vincent
tentu seorang yang sangat manja dengan isteri, telahnya.
“Allisa!” laung Julie dalam nada yang kepayahan.
Mata Allisa terbeliak. Segar terus dari mamainya. Sungguh tidak percaya.
Secara automatik kakinya terus berlari mendapatkan Juliane yang terhuyung
hayang dalam dakapan Julie. Tangan lelaki itu tergawang-gawang, menunjuk-nunjuk
sesuatu yang tidak pasti dengan kata-kata yang tidak berapa kedengaran. Pertama
kali Allisa lihat Juliane berperangai begitu. “Kenapa ni?” soalnya sedikit
terkejut dengan kemunculan Juliane yang tiba-tiba. Daniel yang turut membantu
dipandangnya sekilas. Dia lebih risaukan Juliane saat ini.
“Saya geram betul dengan dia ni. Dah tahu tak boleh tahan alkohol, nak
minum jugak!” marah Julie sambil menolak-nolak bahu abangnya. Allisa yang
melihat aksi Julie itu terus menegahnya. “Dia minum berapa banyak?”
“Ah! Sayang saya ada kat sinilah! Lisa awak tahu tak betapa saya rindukan
awak! Awak suka sangat buat saya macam ni... Awak tak sayang saya?” Juliane
membuat perangai dan menyukarkan untuk Julie mahupun Daniel untuk mengawal
lelaki itu. Tiba-tiba bila kedua belah tangan Juliane terlepas dari pegangan,
lelaki itu terus menyerbu tunangnya dengan berdiri tegak dan cuba kelihatan
sebaik mungkin. Di belakangnya, Julie sudah termengah-mengah.
Juliane berdeham-deham. “Wahai Allisa Leann Reed, saya... Juliane Kraigh
Graham sangat mencintai awak sepenuh jiwa dan raga saya. Awak tak cintakan saya?
Awak tak mahu kahwini saya?”
“Abang!” Julie sudah naik angin. “...teruk betullah dia ni!”
Allisa sudah terkebil-kebil. Tiba-tiba dilamar tengah malam buta ketika
lelaki ini mabuk... tak romantik betul. Dalam kelam kabut itu, matanya tetap
terpandangkan Daniel yang memerhatikannya dengan mata yang terkejut.
“Saya tahu saya bukan lelaki sempurna untuk awak tapi saya betul-betul...!”
Air mata lelaki itu laju menuruni pipinya. Kemudian dia ketawa dan dia menangis
semula. Kali ini dia tersedu-sedu. “...Saya betul-betul rindukan awak. Siang
dan malam saya tunggu awak bagun Allisa. Rasa macam mimpi bila awak ada depan
saya, nampak cantik sekali dengan pakaian pengantin awak tu... Bagai bidadari.”
Dan dia rebah namun Allisa pantas mencapai lelaki itu walaupun kesudahannya dia
turut sama tertiarap di atas lantai. Di dalam pelukan Juliane.
“All awak tak apa-apa?” soal Julie cemas. Dia cuba untuk mengangkat Juliane
namun dia sendiri pun tidak terdaya. Macam mana Allisa masih boleh menampung
berat Juliane ini dengan badan yang kurus itu, dia sendiri pun tidak tahu.
“Maaf All, abang dia minum dua gelas je tapi... All?!”
Allisa pantas menyapu air matanya. Mendengar pengakuan dari Juliane buatkan
dia tersentuh. Jauh di sudut hatinya, dia terfikir, lelaki itu pasti sudah
banyak terseksa kerananya. Malah sekarang, walaupun dia sudah sedar, dia
seperti menyeksa lelaki ini lagi. Sehingga melihat dirinya umpama bidadari
dalam mimpi.
Daniel mengangkat Juliane bangun. Kali ini Juliane sudah tidak banyak
songeh dan sepenuhnya tertidur. “Awak tak apa-apa?” soalnya selesai dia meletak
tangan Juliane di bahunya.
Allisa bangun dengan bantuan sahabatnya. Dia menyapu-nyapu saki baki air
matanya sambil mengangguk.
“Hantar
abang ke bilik saya. Malam ni dia tak boleh tidur jauh dari saya. Masalah
nanti. Mari All.” Julie bergegas ke biliknya dan diikuti Daniel yang tampak
seperti menyeret Juliane. Sempat lelaki itu menoleh ke belakang, melihat Allisa
yang kini cuba untuk membantu. Wajah gadis itu terlukis riak kerisauan yang
jelas dengan air mata yang tak berhenti mengalir awalaupun dia cuba untuk
tidak.
“Dia
tadi temankan abang saya minum lepas makan tadi. Saya tak tahu mereka bualkan
apa tapi abang saya yang paksa dia. Abang saya pun bukannya pandai minum. Jadi
saya minta maaf bagi pihak abang saya,” ucap Danial ikhlas.
Allisa
tidak tunjuk apa-apa riaksi dan kekal memandang Juliane sepanjang mereka
mendaki anak tangga menuju ke bilik Julie. Hati Daniel sedikit terluka dengan
perlakuan Allisa itu. “Awak... betul-betul cintakan dia?”
No comments:
Post a Comment