17
Beberapa
hari berlalu semenjak pertengkaran kecilnya dengan Juliane. Sejak itu, dia
jarang dapat bersua muka dengan Juliane dan walaupun mereka tersempak di kedai
Julie, mereka hanya bercakap sedikit. Walaupun pada mulanya dia berasa sedikit
terbeban dengan penerimaan Juliane terhadap keputusannya, tetapi bila ia
memakan hari dan suasana yang kekok setiap kali berjumpa, dia menjadi kecewa
dengan sikap lelaki itu. Tambahan pula, dia sibuk mencari rumah untuk dia dan
Julie untuk tinggal (Julie putus untuk teman Allisa sepanjang sahabatnya berada
di Darmadin dan senang untuk dia uruskan kafenya yang kebelakangan ini mendapat
sambutan memandangkan taman rekriasi yang baru dibuka berdekatan). Setelah
mencari merata tempat dengan beberapa bantuan dari Willson (walaupun Julie agak
keberatan untuk menerima bantuan dari lelaki itu) mereka akhirnya jumpa sebuah
rumah teres yang terletak dua blok dari kafe Julie dan juga berdekatan dengan
rumah teres Willson (agak sukar untuk Julie menerima hakikat yang dia terpaksa
hidup berjiran dengan peminatnya).
Petang
itu, Willson (setelah dia tunggu hampir dua jam lamanya di kedai antik
bersebelahan kafe Au Lait) terserempak dengan dua orang gadis itu yang baharu
sahaja selesai dengan urusan di kafe. Allisa yang sedar akan kehadiran Willson
itu menyiku sahabatnya sambil tersengih-sengih.
“Nampaknya
teman lelaki awak datang nak jemput awaklah,” usik Allisa sambil melambai pada
Willson dengan senyuman cerianya. Walau macam mana sekalipun Julie tidak
berkenan dengan kehadiran Willson dalam kalangan mereka, Allisa berasa senang
dengan sikap Willson yang tidak pernah kenal erti penat dalam mengejar
cintanya.
“Kenapa
setiap hari muka dia?!” omel Julie antara dengar dan tidak. Mukanya lansung
menunjukkan dia malas mahu melayan Willson. “Dan lagi satu, dia bukan teman
lelaki saya,” katanya lalu melangkah ke pedati kuda yang sudah sedia menunggu
untuk menghantar mereka pulang ke rumah agam Scot. Allisa menyambut Willson dan
jelas terpancar di wajah Willson saat itu, wajah kekecewaan yang dirinya tidak
disambut baik oleh Julie... seperti selalu.
“Minta
maaf ya?” ucap Allisa bagi pihak Julie yang berperangai bebas dan melukai
perasaan Willson. Lelaki itu hanya menggeleng.
“Tak
apa. Saya dah biasa...” jawabnya sedikit sedih walaupun dia cuba soroknya.
Allisa
jatuh kasihan pada lelaki itu. Dia tahu Julie berperangai begitu kerana sedikit
sebanyak dipengaruhi dengan cerita-cerita liar tentang Willson yang agak liar
pada waktu malam. Tiada siapa tahu jika desas desus itu benar atau tidak dan
dia sendiri segan nak bertanya. Lagipula dengan senyuman ala-ala naif serupa
Anita Wheatherspoon itu... mungkin tak. Siapa sahajalah yang kata Willson kaki
berfoya. Mesti ada masalah mata agaknya.
“Awak
nak pulang ke rumah agam Scot bukan? Boleh saya tumpang sekali. Saya pun nak ke
sana juga,” pinta Willson dan sebelum sempat Allisa menjawab dan hanya mampu
tersenyum, Willson sudah panjat tangga pedati. Rasanya sekejap lagi, dia dapat
dengar suara Julie.
“All!”
“Dia
nak tumpang Jul. Jadi saya bagilah memandangkan kita sehala,” bela Allisa. Apa
salahnya dia bantu Julie cari cinta baru dari terus berpaut pada dahan yang
tenggelam dalam arus sungai yang deras. Dia mengambil tempat di sebelah Julie
dan Willson sudah duduk elok berhadapan Julie, tersenyum seperti seorang
kanak-kanak yang baharu mendapat sebiji gula-gula.
“Nak
merajuk!” kata Julie perlahan tetapi Allisa mampu dengarinya. Rajuk Julie tak
lama, bukan macam Juliane yang dia rasa entah bilalah dia dapat bercakap dengan
lelaki itu walaupun perbualan yang tak berfaedah.
Pedati
mula bergerak menuju ke destinasi, melalui jalan raya yang sesak dengan
aktiviti manusia yang bermula dari pagi hingga ke malam, tidak pernah penat
demi mencari sesuap nasi.
“Kenapa
awak nak ke sana Will?” soal Allisa bagi menghilangkan rasa sunyi yang dia
rasakan seperti sudah lama bertapak dalam pedati ini walaupun baharu tiga minit
mereka berada di dalamnya. Dia tak mampu nak harapkan Julie yang jelas-jelas
memberontak dengannya sekarang ini.
Willson
menoleh memandangnya dari terus menatap wajah Julie yang sudah kemerahan dek
tenungan berani oleh orang yang duduk bertentangannya. “Daniel jemput saya ke
rumahnya untuk main badminton.”
“Oh...”
Mereka
selalu bermain badminton pada waktu petang bila terluang. Itu apa yang Julie
cakap padanya sewaktu dia baharu pulih ingatannya. Tambah Julie lagi yang dia
tidak pernah terlibat dengan aktiviti mereka dan hanya duduk di tepi dan tidur.
Terkejut juga dia dengar yang dia jenis seperti itu semasa menjadi Benjamin.
Introvet dan suka tidur. Selalunya yang berekriasi ialah Julie (dipaksa) dan
Willson. Daniel pula... Julie taknak cerita. Katanya dia tak ambil kisah dan
hatinya masih lagi geram mengingati saat dia dipaksa bermain dengan Willson.
“Awak
seorang saja ke?” soalnya lagi.
Lelaki
itu menggeleng. “Saudara saya pun ada juga.”
Julie
mendecit tiba-tiba dan diikuti dengan rasa yang tidak puas.
“Saudara?”
Allisa berfikir. Siapa?
Willson
ketawa kecil. “Tunang Daniel. Anita.”
Jantung
Allisa berhenti berdegup.
“Awak
tak tahu ke?” soal Willson dengan kerutan di dahinya.
Tak.
Dia bukan tak tahu. Tapi dia tidak pernah ambil kisah. Apa-apa sahaja berkaitan
Daniel, sebenarnya, dia memang tak nak tahu! Tetapi kenapa... hatinya rasa sakit
bila setiap kali dia nampak pasangan itu keluar masuk rumah agam Scot beberapa
hari lepas? Kenapa dia rasa seperti ingin lari bila mereka terserempak di luar?
Kenapa badannya jadi kaku setiap kali mata coklat Daniel memandangnya dengan
pandangan yang berat dan pilu? Allisa mengegenggam erat jemarinya. Cuba menahan
posisi duduknya yang tiba-tiba dia rasa bergoyang merata. Kepalanya berdenyut.
Hati dan kepalanya menjerit sakit sehingga dia rasa semua yang berlaku ini...
semuanya salah Daniel!
“All?”
Tiba-tiba
dunianya berhenti bergegar. Sentuhan lembut Julie di bahunya mengejutkan dia
dari angannya yang telah jauh ke dasar lautan kemarahannya. Dia memandang wajah
sahabatnya yang memakai riak resah.
“Awak
kenapa? Tak sihat?”
Allisa
menggeleng sambil mengukir senyuman bagi melegakan kerisauan gadis itu. “Saya
tak apa-apa. Mengantuk sikit,” tipunya kemudian dia pandang ke luar tingkap
pedati. Dia taknak Julie terus risaukannya. Bila gadis itu terlalu risau,
dengan mudah sahaja Julie mampu memaksanya untuk menceritakan masalah yang dia
hadapai ini dan sudah tentulah masalah ini akan menjadi besar. Dia kenal Julie.
Jadi selagi dia mampu untuk menguruskan masalah ini, selagi itu dia akan
diamkan. Bila ia sudah menjadi di luar kawalan (mungkin pada masa itu dia sudah
menarik-narik rambut Daniel) barulah dia akan berlaku jujur. Ya, pada masa itu
dia akan jujur dengan Julie.
“SAHABATKU Juliane!”
Allisa
terpaku. Dia tak sangka yang Juliane juga akan turut serta dengan aktiviti
petang itu. Dia fikir dia lansung tak berpeluang untuk berjumpa dengan lelaki
tinggi lampai itu bila hampir separuh hari dia tidak nampak batang hidung walau
sepincing helaian rambut lelaki itu di bandar hari ini. Semangatnya naik semula
dan dia cuba untuk berbalas senyum dengan Juliane tetapi lelaki itu lansung tak
memandangnya. Ah, tiba-tiba dia rasa tengkuknya sengal. Dia mengurut-ngurut
tengkukunya dan berbakul-bakul sumpahan di dalam hati. Belum sempat sengalnya
menghilang, dia bertemu pandang dengan Daniel yang berdiri di sebelah Juliane. Sekali
lagi, Daniel menunjukkannya pandangan yang sama yang buatkan dia betul-betul
rasa tak selesa.
“Lamanya
Julie ni...” bisik Allisa dan berpusing ke belakang, ingin lari dari dua orang
manusia yang tidak sudah buat dia rasa tak senang.
“Hai!”
Mata
Allisa terbeliak dek terkejut dengan teguran tiba-tiba itu. ‘Memanglah!
Orang-orang kat Darmadin ni memang suka buat jantung orang nak lari dari badan
ke?’ desis hati Allisa.
“Allisa
kan?” tanya Anita sedikit bertenaga jauh beza dengan mana-mana gadis yang dia
pernah jumpa di Brynn. Kecualikan Julie. Gadis itu memang tak pernah berangan
nak jadi seorang gadis yang terikat dengan tatasusila pun.
Allisa
terkedu.
Anita
hulur tangannya untuk berjabat. “Tak kisahkan saya panggil awak Allisa? Saya
Anita Wheatherspoon. Tunang Daniel.” Diakhir katanya dia mendekati tunangnya
lalu memeluk lengan lelaki itu. Sangat bersahaja dengan senyuman ceria dan muka
yang serba naif, seperti Willson.
Allisa
cuba untuk ukir senyuman. Dia rasa seperti nak lari. Tetapi Juliane ada di
sini. Dia nak berbaik dengan lelaki itu. Nak bercakap tentang rumahnya yang dia
baru beli, tentang scone terbaru yang Clara baru cipta, tentang betapa dia berharapkan
Juliane untuk memahami hatinya.
“Maaf
lambat...” Julie muncul dengan pakaiannya yang sesuai untuk bermain badminton.
Kakinya mengheret di atas lantai simen, terpancar perasaan memberontaknya untuk
mengikut serta. Kali ini Allisa tersenyum lebar. Hatinya lega.
Sekurang-kurangnya dia ada tempat untuk dia bertahan dalam peperangan ini.
Julie
duduk di kerusi. Reketnya di letak atas meja. Dia terperasankan abangnya yang
memandangnya dengan perasaan tidak percaya. “Yo,” tegurnya malas.
“Julie!”
Anita
ketawa.
Suasana
yang dia rasakan tegang tadi bertukar kelakar. Julie sentiasa menjadi tempat
untuk dia bertahan. Allisa cepat-cepat ambil tempat di sebelah Julie dan
menarik tangan Juliane(memaksa) duduk di sebelahnya. Dia tebalkan kulit
mukanya. Perbalahannya dengan lelaki itu harus selesai hari ini. Lagi tiga hari
Juliane akan pulang ke Brynn. Dia genggam erat tangan itu. Tidak mahu dia
lepaskan walaupun Juliane cuba sebaik mungkin untuk meloloskannya.
Mary
hidang teh untuknya, Julie dan Willson. Mata wanita itu mencuri pandang ke arah
tangan pasangan yang tersorok ke bawah meja.
“Okey, petang ni kita main ind – ”
“Beregu!”
potong Allisa. “Dan saya nak berpasangan dengan dia ni!” Penuh bersemangat
Allisa angkat tangan Juliane yang terikat dengan jemarinya itu. Berani, dia
memang berani.
Semua
mata yang ada di situ memandangnya. Terkebil-kebil. Julie sudah menggeleng
kepala. ‘Dah gila dah minah ni...’kata hatinya dan dia sudah tersenyum.
“Allisa!”
marah Juliane.
“Jadi
siapa yang nak lawan?” Allisa tidak mempedulikan pandangan tajam Juliane
ataupun renungan Daniel yang terkejut dengan tindakannya.
“Allisa!!!”
Gadis
itu terkedu. Matanya melirik ke wajah Juliane yang merah dan lansung tiada rasa
marah terhadapnya yang sudah bertindak sedikit melampau tadi. Tangan mereka
jatuh saat itu.
“Kenapa?”
Suara Allisa yang keluar saat itu antara keluar dan tidak. Dia tak faham kenapa
lelaki ini sanggup menjauhinya seperti ini.
Perlahan
Juliane tarik tangannya dari pegangan Allisa. Dia menunduk. “Cukuplah,” katanya
dan dengan sepenuh kudrat dia cuba mengukir senyuman untuk satu-satunya wanita
yang dia cintai sepenuh hati. Ini keputusannya. Dan ini juga keputusan Allisa.
Dia takkan menghalang. Lantas dia berundur. Tiada hati untuk bermain petang
ini. Dia harus mengemas untuk pulang dan melaporkan keberadaan Allisa pada Raja
Dominick.
Air
mata Allisa mengalir. Dia betul-betul tak faham. “Kenapa Juliane?! Kenapa awak
biar saya tergantung macam ni? Cakaplah! Jangan berlagak yang awak faham saya!”
Kepalanya kembali berdengung. Dia berpaut pada kerusi. Dia mahu capai Juliane.
Dia mahu lelaki itu, pandang wajahnya dan dengar dia. Dia cuba melangkah
sedikit.
“Juliane...
jangan tinggal saya macam ni!” jerit Allisa sekuat hatinya biar satu estet ini
dengar, biar semua orang tahu yang dia tidak suka akan keadaan ini. Satu
imbasan wajah seorang kanak-kanak perempuan berlari dalam hujan, menangis
menjadikan dia sedikit goyah.
Julie
pantas bangun ingin membantu namun ditolak. Dia pandang belakang abangnya yang
melangkah dengan seboleh mungkin, bahu tegang, tangan tergenggam erat. Lelaki
itu menangis. Dia hela nafas berat. Tahu yang lambat laun pergaduhan ini akan
menjadi begini yang pula disaksikan barisan penonton yang paling dia tidak
mahu.
“All,
dah lah. Awak salah faham,” pujuknya.
Salah
faham? Apa yang dia salah fahamkan? Allisa bingung.
“Abang
akan tunggu awak di Brynn. Bukan itu yang awak minta?” pujuk Julie lagi. Dia
pegang kedua belah tangan Allisa. “Abang, dia sayang awak sangat sampai dia tak
sanggup nak biarkan awak tercari-cari siapa awak di Brynn nanti walaupun dia
sebenarnya cuba menahan perasaannya yang dia akan merindui awak lagi untuk
berapa masa lagi. Dia sakit All. Di sini...” Julie tunjuk ke arah jantung.
Allisa turut sama memandang ke arah jantungnya yang ditunjuk itu. “...Dia cuba
untuk berlagak kuat untuk awak All. Apa sahaja yang awak nak, dia akan
tunaikan. Awak puteri dia...”
Gadis itu ketap bibirnya. Air mata tidak
berhenti mengalir. ‘Bodoh,’ marahnya dalam hati. Menggigil dia ambil sapu
tangan dari Julie dan menyapu air matanya. Juliane... sebenarnya tidak pernah
berubah. Bila dia sangka lelaki itu, untuk sedikit, dalam masa tiga tahun ini
berubah, rupanya kekal seperti Juliane yang dia kenal. Ratu air mata!
“Hah!
Hebat...” celah Daniel tiba-tiba. Dia bangun dan berjalan ke arah Allisa.
Hatinya sakit bila gadis itu menumpahkan air mata demi lelaki seperti Juliane
itu.
Allisa
menjeling Daniel. Dia tak kuasa nak layan lelaki itu sekarang. Dia masih emo
dengan perangai tunangnya.
Daniel
ketap giginya. “... drama petang percuma ni memang membosankan. Penuh air mata.
Membazir masa aja!”
‘Splash!’
Panas.
Dada
Allisa turun naik. Dia mencampak sapu tangan Julie pada muka Daniel. “Lelaki
macam awak... selamanya... takkan dapat pegang makna cinta sejati... walaupun
suatu hari awak jumpanya, cinta yang awak fikir yang dapat bawa awak lari, akan
lari dari awak... saya sumpah!” Serentak itu Allisa berlalu bersama-sama Julie.
Lidahnya terasa lain. Berbisa dari biasa. Hah! Dia takkan tarik balik
kata-katanya. Takkan!
No comments:
Post a Comment