20
Pedati
kuda yang membawa dua orang gadis dimana seorang berpakaian gaun teh bewarna
krim peach dan seorang lagi berpakaian kemeja dan kashmiri kardigan yang
longgar bersama-sama sepotong seluar slack yang bewarna coklat gelap, berhenti
di hadapan kafe Au Lait dengan sekali tarikan yang dilakukan oleh joki kuda.
“Awak
tunggu sini kejap. Saya nak tempah bahan sikit,” pesan Julie walaupun dia tahu
yang Allisa sekarang ini tidak dengar satu patah ayat dari bibirnya. Sepanjang
perjalanan gadis itu mengelamun ke luar tingkap dengan air mata yang tak
berhenti-henti mengalir. Jauh di sudut hati, Julie fahami keperitan yang Allisa
rasakan. Terpisah dari orang yang kita sayang memakan hampir seluruh tenaga
yang kita ada. Walaupun James sentiasa ada di hadapan matanya, tetapi
hakikatnya, ia terasa sakit kerana wujudnya James di situ pun bukan kerananya.
Sebahagian hatinya gembira bila Janice bahagia tetapi sebahagiannya lagi, dia
tidak pernah rela. Kadangkala, dia cuba juga demi kebaikan dirinya tetapi bila
kita lakukan sesuatu perkara dengan keadaan terpaksa, semuanya jadi tunggang
terbalik. Jadi sebab itu, dia ambil keputusan sebulan selepas perkahwinan
Janice dan James, dia tuntut janji bapanya untuk duduk di rumah banglow dua
tengkat berdekatan dengan istana milik keluarg Allisa. Walaupun Tuan Graham
agak berat hati tetapi lelaki itu tunaikan juga kerana itu hadiah hari lahir
yang ke-16 permintaan Julie.
Tetapi
sekarang dalam masa seminggu yang akan datang, dia dan Allisa akan berpindah
pula ke rumah teres empat tingkat di Jalan Willow Garrack. Sehari sebelum itu,
pembantunya, Clarice bersama-sama seorang lagi pembantu rumah akan turun ke
Darmadin untuk membersih rumah teres itu. Oleh itu, dia pinta dengan abangnya
supaya menghantar pembantu rumah yang baru. Bukannya yang memang sedia ada di
rumah banglonya atau di rumah agam mereka. Tetapi yang baru sahaja memulakan
tugas selepas beberapa siri interview. Dia tak mahu jika kedatangan pembantu
rumah yang lama membawa buah mulut yang bukan-bukan ke Brynn memandangkan keadaan
Allisa juga tidak berapa menggalakkan beberapa hari ini ditambah lagi dengan
perpisahan sementaranya dengan Juliane.
Dia
berpaling ke arah Allisa sebelum dia melangkah keluar dari kotak pedati yang
boleh memuatkan empat orang lelaki dewasa ini. Kemudian dia memandang joki
pedati ini. “Tunggu sekejap. Cik Reed ada di dalam. Boleh saya percayakan
awak?”
“Ya
cik.”
Julie
berlalu ke kafenya dan joki itu mengintai sedikit ke dalam pedati dahulu baharu
dia menutup pintu.
Allisa
menghembus nafasnya sambil mengelap kesan-kesan air mata di pipi dengan sapu
tangan yang Juliane beri padanya tadi. Hampir lencun sapu tangan itu dek air
matanya. Sapu tangan itu dia pandang dengan rasa sugul.
“Gadis
menangis untuk saya? Saya rasa bangga tapi rasa terkilan juga. Awak nak terus
buat saya rasa bersalah ke Lisa?” Juliane menyapu air matanya dengan
barhati-hati dan penuh lemah lembut. Sesudah itu dia menghulur sapu tangan
bewarna biru dengan corak dua jalur halus di bahagian setiap bucunya yang
bewarna krim dan dihiasi lambang huruf JK di hujung bucu.
Allisa
mengetap bibirnya. Juliane dengan ayat pujuknya yang tak sudah membuatkan dia
rasa terbeban. Tetapi...
“Lagipun,
bukan ke ni permintaan awak? Saya bukannya cuba untuk memahami awak tetapi saya
taknak hati saya jadi tamak. Perpisahan kita selama tiga tahun buat saya jadi
lemah All. Saya taknak awak terkejut akan apa yang yang saya tak mampu tahan.
Jadi, saya rasa ini peluang untuk diri saya, untuk saya menilai semula diri
saya. Saya akan tunggu awak di Brynn sehingga awak jumpa apa yang awak cari.
Saya akan rindukan awak.”
Sebungkus
plastik berisi biskut mentega dengan variasi bentuk disuakan kehadapan
wajahnya. Allisa tersentak ke belekang dan matanya terkebil-kebil melihat
makanan kegemarannya yang tiba-tiba menjengah ruang penglihatannya.
Plastik
beg itu diunjuk lagi, memaksa dia mengambil beg makanan yang comel dihiasi
reben merah yang dipintal-pintal. Teragak-agak Allisa mengambilnya lalu matanya
berkalih melihat Julie yang sudah selamat duduk di dalam pedati sambil
tersenyum manis ke arahnya. Julie, kemudiannya mengangkat sebekas beg air. “Jus
epel,” bisiknya.
“Selalu
bila awak sedih, awak makan ni bukan? Walaupun tak sama macam yang pengasuh
awak buat tapi ianya sedap. Makanlah,” tambahnya lagi.
Allisa
memandang kembali bungkusan biskut itu. Biskut mentega ini dulu semasa dia
kecil-kecil bukanlah kegemarannya. Kering dan keras. Tetapi dia berpura-pura
menyukainya kerana dia tidak mahu buat Samantha, pengasuhnya sedih. Wanita itu
setiap hari menyediakannya kerana yang dahulunya kuat merengek dan cengeng bila
setiap kali ibu dan bapanya tiada setiap kali dia hendak tidur. Jadi Samantha
buatkan dia biskut berbagai jenis yang mewah dan penuh perisa dan
bersama-sama susu suam, wanita itu bawakan untuk dia. Melihatkan biskut itu,
buatkan dia terlalu sedih. Sedih kerana yang membawa dulang itu bukan orang
yang dia harapkan. Jadi dia memberontak. Dia buang biskut-biskut itu ke dalam
tong sampah dan kadang-kadang dia campaknya ke muka Samantha. Namun bila suatu
hari Julie datang ke rumahnya ditemani seorang kanak-kanak lelaki yang beza
umurnya lima tahun dari mereka, dia berubah.
“Ingat
tak bila malam tu abang bawa biskut ni untuk awak dan awak makan, Makcik Sam
menangis?” celah Julie. Dia menoleh melihat Allisa yang masih lagi merenung beg
plastik itu.
Sahabatnya
tersengih kecil.
“Pertama
kali saya lihat orang menangis sambil ketawa,” ujar Allisa.
“Makcik
baik orangnya...” Julie terimbau wajah Samantha yang tersenyum penuh keibuan
tak pernah jemu melayan kerenah mereka yang cerewet dan nakal, terutama sekali
Allisa. Kini wanita itu hanya wujud dalam kenangan mereka. Pergi dan tidak
kembali. “Dia sayang sangat dekat awak, All.”
Allisa
mencebik. “Dia lebih sayangkan abang awak.”
“Itu
sebab abang saya je yang boleh pujuk awak. Awak tu degil tak makan saman. Bila
saya kenang balik, saya kasihankan Makcik Sam yang tak putus-putus menyayangi
awak sehingga ke akhir hayatnya,” bidas Julie.
Allisa
dapat rasa air matanya bertakung. “Sampai kadang-kadang saya fikir, siapa ibu
saya yang sebenarnya?” Dia tarik nafasnya berat. Kemudian dia hembusnya
perlahan. “Walaupunbegitu Jul, saya masih lagi sayang ibu saya. Dia yang
lahirkan saya dan susukan saya siang dan malam. Dodoikan saya setiap malam. Dia
tak pernah lupa hari lahir saya walau sesibuk manapun dia. Tanpa dia... dan
tanpa bapa saya, saya tak mungkin akan jumpa Makcik Sam, jumpa awak dan tak
mungkin saya akan jumpa lelaki yang saya sayang sepenuh hati.” Perlahan dia
buka bungkusan itu lalu mengambil sekeping biskut mentega.
Julie
gembira bila melihat Allisa yang kini mengunyah biskut mentega itu. Sedikit
sebanyak, dapat menghilangkan perasaan sedih Allisa terhadap perpisahan
sementara ini. Sekejap atau lama, abangnya pasrah dan akan setia menunggu
kepulangan Allisa. Bila dia kenang semula, abangnya lebih utamakan Allisa dari
dia, adik kandungnya sendiri. Dia masih ingat lagi, bila setiap kali dia dan
Allisa menangis pada waktu yang sama dia menangis kerana hal yang remeh temeh,
Juliane pasti akan berlari mendapatkan Allisa dahulu baharu dirinya yang pada
itu sudah berhenti menangis dan bangun sendiri. Malah dia turut sama memujuk
Allisa supaya ceria semula. Menipulah dia tidak cemburu dengan perhatian yang
Juliane beri pada Allisa tetapi bila suatu hari itu ketika dia berumur 13
tahun, dia menjadi saksi pada janji suci yang Juliane lafazkan pada sahabatnya
di tengah padang bunga daisy di kawasan rumah percutian keluarga Reed di Sreopynn,
sebuah pulau terapung tidak jauh dari Brynn sendiri.
“Ayah
tak fikir yang kamu akan bertindak sebegitu... semberono! Kamu sedar tak dengan
siapa kamu ikat diri kamu?!”
Bahu
Julie mengecut mendengar jerkahan Tuan Graham yang memarahi abangnya bila
mereka pulang dari rumah percutian itu. Dia yang mencuri dengar perbualan
ayahnya dan abangnya mula rasa serba salah. Dari celah pintu itu dia hanya
nampak Tuan Graham yang sudah berdiri sambil bercekak pinggang dan mengurut
dahi pada waktu yang sama. Dia mencari-cari kelibat Juliane.
“Kenapa
kamu senyap? Sedar yang kamu buat silap?” garang Tuan Graham melontar soalan.
Matanya bagai nak tersembul melihat satu-satunya anak teruna dia yang berdiri
senang diri dengan wajah tertunduk. “Ni nanti apa yang ayah nak cakap dengan
tuanku kalau dia tanya? Ayah dengar yang dia nak pasangkan anaknya dengan anak
tuan hakim mahkhamah tinggi. Tak fasal-fasal keluarga kita jadi buah mulut kat
dewan politik nanti,” keluhnya. “Orang akan kata ayah tak pandai jaga anak dan
biarkan budak-budak buat percaturan sendiri. Lagi-lagi kamu sendiri yang tawar
janji tu dekat tuan puteri. Betul ke?”
Juliane
senyap. Wajahnya masih tertunduk.
Tuan
Graham mengeluh sedikit. Dia bersandar pada meja kerjanya. Tangan disilangkan.
Dia tidak sangka bila dia sering lepaskan Julie pergi melawat anak Raja Edmund,
Juliane akan mengikut hanya bertindak sebagai penjaga dan teman sepermainan
sahaja. Patutlah sejak kebelakangan ini dia asyik dengar benda-benda yang tidak
enak sahaja bila dia berselisih dengan ahli senat yang lain. Dia yang pada
mulanya cuba untuk buat tidak endah, tidak dapat buat tidak tahu sahaja bila
anaknya sendiri datang mengaku.
“Ayah
nak kamu pergi putuskan janji kamu dengan tuan puteri selagi tuanku tak tahu
hal ni. Tuan puteri kecil lagi dan kamu pun baru 18. Jadi orang pandang sebagai
kesalahan kecil dan skandal biasa-biasa sahaja. Terangkan pada dia yang kamu
terikut-ikut kata hati dan tak dapat bezakan perasaan. Cakap yang kamu tak
serius dan pandang dia sebagai adik sahaja. Dia mesti faham,” arahnya dan
sekaligus menokhtah perbualan ini.
Namun
Juliane terus berdiri di situ lansung tidak berganjak. Julie sudah mengetap
bibir. Hatinya sendiri sudah memanggil-manggil supaya Juliane cepat keluar
sebelum ayahnya naik berang lagi. Lebih-lebih lagi sekarang ini dia bermain
cinta dengan seseorang yang tiada siapa tahu kecuali Allisa.
“Kamu
dengar tak Juliane?”
“Saya
dengar.”
“Jadi
kamu tunggu apalagi?”
Tiba-tiba
Juliane berdiri tegak. Bahu dan tulang belakang memperkemaskan diriannya.
Wajahnya memandang terus ke wajah ayahnya. Tanpa ragu dan tanpa sebarang rasa
takut. “Bagaimana kalau saya kata yang sejak kecil lagi tak pernah pandang
Allisa seperti saya pandang Julie?”
Rahang
Tuan Graham mengeras. Namun tiada satu patah kata pun yang keluar dari
bibirnya.
“Apa
yang harus saya buat tuan kalau saya sejak dulu saya pandang dia sebagai
seorang gadis? Tak pernah pun saya anggap dia sebagai adik saya. Kata-kata saya
hari itu memang lahir dari hati saya. Saya tahu saya bertindak melulu dan saya
nak minta maaf pada tuan sebab saya dah calar maruah tuan tapi saya tak
tergamak nak tarik balik kata-kata saya tuan. Saya cintakan dia.”
Mulut
Julie melopong. Tidak dia sangka yang abang dia sebegitu berani sekali
berhadapan dengan ayahnya itu, memberitahu suara hatinya dengan lantang dan
penuh rasa yakin.
Suasana
bertukar menjadi sunyi selepas rasa tegang yang menyelebungi. Julie
mengetap-ngetap bibirnya. Berharap sangat yang ayahnya itu tidak melakukan
sesuatu yang drastik seperti tiba-tiba menampar wajah kacak abangnya itu.
Tawa
Tuan Graham tiba-tiba meletus. Dia menepuk-nepuk tangannya. “Bagus anakku.
Bagus!”
Juliane
termanggu. Buat seketika dia rasa tertipu.
Ayahnya
merapti dirinya lalu memeluk bahunya. “Sebenarnya ayah nak uji kamu. Nak lihat
sejauh mana kamu serius dengan kata-kata kamu tu. Beberapa hari lepas tuanku
sendiri datang dan merisik kamu. Ayah baru nak beritahu kamu dan kamu dah
beritahu ayah berita ini dulu. Jadi macam mana rasanya jadi lelaki sebenar?”
Dia
betul-betul terkena dengan ulah ayahnya. Dia mahupun Julie masing-masing rasa
seperti hendak rebah saat itu bila mendengar pengakuan ayah mereka. Juliane
satu hari suntuk itu tidak mampu untuk memandang terus wajah ayah mereka yang
walaupun garang tetapi kuat mengusik itu.
Julie
ketawa sendiri mengingati wajah merah abangnya. Allisa di sebelahnya
tertanya-tanya dengan perangai Julie yang tiba-tiba itu.
“Apa
yang kelakarnya Jul?”
Julie
menggeleng. Dia akan simpan rahsia abangnya ini sampai ke kubur kerana ini juga
merupakan modal untuknya mengenakan Juliane bila pasangan itu sudah kahwin
nanti. Dia dan ayahnya sudah berpakat untuk mengusik Juliane. Tidak sabar
rasanya. Huhuhu!
No comments:
Post a Comment