21
“Macam
mana?”
Julie
bungkam. Dia lansung tidak pernah menyangka akan kewujudan bilik ini sepanjang
dia berulang alik dari Brynn ke Darmadin. Walaupun ia kecil dan tampak kelam
namun suasana sekeliling bilik itu memberikan rasa yang berbeza. Ditambah pula
dengan teduhan pokok dari luar, membentuk bayang-bayang di dalam bilik ini
melalui balkoninya yang luas, ia menjelaskan kenapa Allisa sering ke sini. Yang
menjadikan bilik ini satu keajaiban ialah dia tidak nampak satu habuk pun
menetap di dalam bilik ini atau dia sudah rabun?
“Awak
seorang aja yang tahu bilik ni?” soalnya sambil matanya mengkagumi reka bentuk
pendiang api yang terbina cantik penuh degan elemen bumi yang kukuh dan vintaj.
Allisa
mengetap bibirnya. “Ha...’ah. Hee.” Senyumannya seperti hendak tidak hendak.
Nasib Julie membelakangkan dia. Jika tidak, susah juga dia. Dia bukannya pandai
menipu. Sebab itu dalam perihal statusnya dia lebih suka serahkan pada Julie
dan Juliane untuk menipu bagi pihaknya. “Tapi saya tak tahulah kalau mungkin
ada orang lain yang tahu... sebab selama saya melawat sini, saya tak
terserempak dengan sesiapa lagi.” Dia gigit lidahnya.
Julie
yang pada ketika itu sudah beralih pada kertas dinding yang menghiasi dinding
bilik itu (mata bersinar-sinar) menerima kenyataan dari mulut Allisa tanpa
banyak soal. Dia menggosok-gosok jari telunjuknya pada kertas dinding itu.
Menakjubkan!
“Awak
tahu All, macam tak percaya yang bilik ini boleh kekal bersih tanpa ada sesiapa
pun tahu kewujudan bilik ni. Atau awak yang bersihkan?” canda Julie.
Allisa
tersengih. Dia memilih untuk tidak menjawab. Sebaliknya dia membuka pintu yang
membawa ke balkoni bilik itu. Ini adalah kali pertama dia menjenguk ke luar
memandangkan setiap kali dia ke sini ialah pada waktu malam dan bila sedar, dia
terus ke biliknya untuk bersiap (tidak selesa dengan gigi tidak bergosok dan
wajah yang melekit, apatah lagi orang melihatnya sebegitu). Dia menghirup udara
tengah hari itu sedalam mungkin lalu dihembusnya sedikit demi sedikit membawa
bersama rasa sedih yang masih ada berbaki di hatinya. Keadaan di luar itu
tampak sedikit bersepah dengan daun-daun kering dan air yang bertakung di
pinggir balkoni juga beberapa tempat yang sudah ditumbuhi lumut. Dia cuba untuk
mengintai ke bawah namun bila pokok sena melatari setiap tepi balkoni, dia
hanya mampu untuk lihat samar-samar permukaan tanah di bawah.
“Cantik!”
Allisa
tersenyum senang melihat gadis berambut coklat dengan ketinggan lima kaki lima
itu bersorak suka setelah menjumpai tempat yang diingininya. Tak sia-sia dia
menunjukkan tempat ini pada Julie apabila pada mulanya gadis itu mahu melakar
potretnya di balkoni biliknya namun dia tolak mentah-mentah bila soal dirinya
menjadi model utama dalam potret itu. Lebih-lebih lagi Julie menegasnya untuk
menyarung gaun debutnya. Sudah tentulah dia tidak mahu. Boleh kata mereka
bertelagah dengan kuat juga di dalam pedati itu sehingga joki yang memandu
pedati itu pun dengar setiap butir pertelagahan mereka. Namun bila mereka tiba
di rumah agam itu mereka capai kata sepakat untuk ikut tempat pilihan Allisa
dan sebagai balasannya dia akan ikut permintaan Julie.
“Ia
akan nampak elegan dan penuh fantasi. Tangan saya dah gatal nak pegang berus!”
ujar Julie sambil tangannya teramas-ramas sesama mereka. Hatinya melonjak
gembira. Dia akan lakar tempat ini umpama taman syurga dengan bidadari yang
sedang menunggu putera kayangan. Cinta romantik yang penuh dengan kisah tragis
dan watak utamanya ialah Allisa. Visi penglihatan Julie sudah ditaburi
bunga-bunga daisy putih dan kuning. Dia akan bawa memori lima tahun lalu ke
dalam kanvasnya dan dia akan olahnya menjadi lebih indah dan manis untuk
Allisa.
SETELAH
lima jam dia duduk di posisi yang sama tanpa menggerakkan apa-apa bahagian
obdomen badan kecuali tangannya yang menyelak helaian muka surat novel yang dia
baca, dia menggerak-gerakkan sendi lehernya ke kiri dan kanan. Sesekali matanya
mengintai Julie yang tekun di hadapan papan kanvasnya yang sedari tadi tidak
berganjak dari bangkunya tenggelam dalam dunianya yang tidak bertepi.
Kadang-kadang Allisa sendiri cemburu dengan dunia Julie yang satu itu kerana
gadis itu bila dia betul-betul jauh di dasar pemikirannya, tiada siapa dapat
membaca seurat kerut di dahinya itu. Manakala buat Allisa yang lebih gemar
melakukan aktiviti beriadah dan meluangkan masa dengan membaca novel waima
kata-kata puitis dari penulis terkenal negara. Pada bahagian itu sahaja dia dan
Julie berkongsi minat. Dunia penulisan yang tidak pernah berpenghujung. Jauh
jalan penerokaan sehingga bila mereka jumpa persamaan hobi mereka, mengetahui
bidang genre mereka berlainan. Allisa lebih kepada novel bersifat romantis dan kisah
liku kehidupan dan buat Julie pula, gadis itu lebih menumpukan minatnya pada
fantasi dan aksi. Namun mereka kurang gemar novel bergenre seram dimana mereka
masing-masing ialah penakut.
“Jul,
lambat lagi ke?”
Senyap.
Dahi
Julie berkerut. Fokus.
Allisa
ketawa kecil. Dia sudah biasa dengan riaksi gadis itu. Dia yang sering menjadi
model untuk potret lakaran Julie serba sedikit dia dapat baca gerak kerja
sahabatnya itu. Lantas dia ambil respons itu sebagai jawapan yang Julie
perlukan sedikit masa lagi untuk menyiapkan potretnya di mana kebiasaannya
gadis itu akan menyiapkan potretnya dalam anggaran kasar sehingga tiga atau
empat hari tanpa mandi dan makan jika ianya bergantung pada imaginasi gadis itu
sendiri. Pernah juga sahabatnya itu meninggalkan lakaran yang tidak siap
sehingga dua tahun lamanya kerana inspirasi untuk petak kanvas itu lari entah
ke mana. Jawapan Julie yang tidak pernah membosankannya.
Tiba-tiba
matanya menangkap satu objek... tidak seseorang yang berada di aras dua di tepi
tingkap yang mengahala ke arah arah matahari terbit. Dia memusingkan badannya
sedikit agar penglihatannya sedikit jelas memandangkan seseorang yang dia lihat
dari tadi seperti satu bayang-bayang. Semakin dia ke hadapan semakin semakin
dia tidak dapat mengetahui milik siapakah badan belakang yang dia nampak sejak
tadi membuatkan hatinya menggumam geram dan penuh rasa tidak puas.
Julie
berdeham. “Hati-hati All. Jatuh nanti...”
Allisa
pantas balik ke posisinya. Bibirnya terukir senyuman nakal. “Maaf,” mohonnya.
Sedar yang dia telah membuatkan proses persiapan potret Julie sedikit terbantut
dan mungkin juga dia terlalu ke hadapan sehingga dia tidak sedar yang dia
hampir jatuh dari kedudukannya yang berada di atas pembahagi balkoni. Namun
selepas ditegur oleh Julie, dia tetap berbuat demikian. Matanya galak mencari
siapakah milik tubuh yang dia lihat itu. Hatinya tertanya-tanya. Situasi ini
tidak ubah seperti mana-mana plot dalam novel yang dia sering baca dan
selalunya pada bahagian-bahagian seperti ini (dia mengandaikan dirinya ialah
heroine) watak hero akan menjelma dan menjadi pemilik tubuh yang diintai.
Tetapi heronya (Juliane) sudah pulang ke Brynn. Jadi kemungkinan ini ialah hero
yang kedua dan hero itu ialah...
Lidah
Allisa kelu. Jantungnya berdetak hebat saat ini bila bebola matanya dapat
mengesan pemilik wajah yang kini sedang berdiri menghadap ke arahnya. Dia jadi
serba tidak kena bila tertangkap dalam keadaan sebegitu dalam pakaian yang
sebegini.
“Sayangnya,
saya teringin nak lihat awak pakai gaun. Pasti cantik.”
Walaupun
bukan secara keseluruhannya tetapi tahniah Encik Scot kerana awak dah pun dapat
melihat apa yang awak mahu lihat! Allisa tidak senang duduk. Kejadian pagi tadi
masih lagi berbekas di hatinya dan sekarang perkara seperti ini pula. Dia
menyesal memikirkan yang situasi ini mirip dalam plot novel. Situasi ini
lansung menduka citakan hati dan mindanya!
“Jul...”
“Kenapa
All?” soal Julie yang dapat mengesan perubahan mood Allisa yang mendadak
berdasarkan pada suara gadis itu walaupun di matanya masih lagi melekat di dada
kanvas.
Allisa
berasa ragu-ragu. Dia tanpa sedar telah memanggil nama sahabatnya dan kini dia
berasa serba salah. Hanya kerana dia mahu lari dari posisinya, lari dari
pandangan Daniel... dia hanya akan menyusahkan Julie setalah Julie pula
bersusah payah untuk menceriakan harinya dengan berbuat begini.
“Saya
nak lukis awak dalam pakainan yang paling awak suka sekali. Saya nak buat awak
gembira, All.”
Dia
mengetap bibirnya. Kata-kata Julie di biliknya sebentar tadi terngiang-ngiang
di telinganya. Sanggupkah dia memusnahkan usaha orang yang cuba menceriakan
harinya lebih-lebih lagi orang itu sahabat baiknya yang dia kenal sejak dia
berumur 3 tahun. Dia menarik nafasnya sedalam mungkin. Apabila matanya bertemu
pandang dengan anak mata hazel milik Julie, dia mengukir senyum manis.
“Saya
tak sabar nak tengok hasil lukisan awak.”
DANIEL
menongkat dagunya. Semenjak dia duduk di kerusi menghadap meja di bilik
bacaannya, mindanya asyik memutar memori malam semalam sehingga mengganggu
kosentrasinya untuk bekerja. Adakalanya dia memutar-mutar pen di tangannya,
mata merenung kosong ke siling batu. Wajah lena Allisa seperti melekat di
siling itu namun sekejap cuma wajah tenang itu bertukar resah. Bibir gadis itu
mengomelkan sesuatu yang dia tidak fahami dan terus menarik perhatiannya
meskipun hatinya berdetak kuat, menahannya dari terus mendekati kegelisahan
Allisa. Tiba-tiba mata yang terpejam itu celik bersama linangan air mata yang
mengalir dalam senyap. Jatuh titis demi titis. Iris gelap itu melekap pada
wajahnya yang pada waktu itu kaget dengan kejutan itu. Bibir mongel itu
bergerak-gerak, masih lagi berkata dalam bahasa yang sukar dia fahami, sukar
juga untuk dia menyebutnya. Aneh, dia mampu mengingati setiap bait kata yang di
ucapkan gadis itu.
“Toki
ga kuraba, S...”
Badan
Daniel menegak. Mindanya tiba-tiba bercelaru. Hujung lidahnya masih berdesir.
Cuba mencapai perkataan yang tergantung tinggi di lelangit mindanya.
“S...”
Dia masih terus mendesir. Dia yakin yang dia tahu perkataan yang seterusnya.
Mindanya dikerah. Setiap fail memori digeledah.
“S...”
Dia pasti perkataan seterusnya bermula dengan konsenan ‘S’. Dia yakin!
“Ahh!”
‘Bam!’
Permukaan mejanya dihentak kuat. Kepalanya tertunduk. Ayat ‘Toki ga kuraba’
yang dia tulis di atas diarinya ditenung lama. Dia merentasi memorinya, masih
cuba untuk mengingati walaupun jelas sekali bila tiba di titik yang dia jangka,
dia menjadi kecewa. Kepalanya diramas menjadikan rambutnya sedikit liar.
Dahinya diurut perlahan. Mata terpejam. Putaran pen diteruskan. Kerjanya lama
terbengkalai di dalam laci mejanya.
“Toki
ga...” Dia menulis semula. “... kuraba...” Bibirnya diketap. Huruf ‘S’
dilakarnya dan diikuti bebrapa titik dot sebelum dia menyambung dengan
perkataan yang bergema semula. “... denwa kuda – sai?”
Batang
pen terus berputar. Dia mula berasa tidak yakin dengan dirinya. Sepatah haram
dia lansung tidak memahami setiap patah kata yang ditulisnya. Tiada satu pun
perkataan yang dikenalinya melainkan perkataan ‘kuda’ di dalam ayat tersebut.
Adakah kata-kata Allisa malam tadi ada berkaitan dengan kuda? Dia cuba
merelevankan perkataan kuda itu dengan ayat seterusnya. “Kuda saya? Allisa ada
kuda?” Daniel mengutuk dirinya. Setiap keluarga besar mestilah ada kuda! Dungu!
Dia kembali memikirkan kemungkinan lain. Berulang-ulang dia melihat baris ayat
itu.
Atau
ini adalah bahasa asing yang dia tidak pernah ketahui. Mungkin bahasa rasmi di
Brynn memandangkan Allisa berasal dari Brynn (seingatnya). Tetapi tidak pula
dia dengar Julie berbahasa dalam bahasa asing ini di hadapan Allisa.
Pening.
Pening. Pening.
Dairinya
ditolak tepi sebagaimana kerja-kerjanya yang sebelum ini diabaikan. Lantas dia
bangun. Tubuhnya direngang. Perutnya sebu sementelah tengah hari tadi dia tidak
turun makan. Apalah kata orang tuannya memikirkan dia masih lagi tekun
menyudahkan kerja yang dia jarang ambil kisah yang sebenarnya duduk termenung
terkenangkan hak orang lain.
“Daniel?”
Panggilan
Allisa pagi tadi menggamit rasa rindu dan buat masa yang sama terkejut. Namanya
disebut lembut dan mesra tidak seperti Allisa sering panggilnya selepas gadis
itu mendapati memorinya semula. Angkuh dan inferior. Panggilan pagi tadi
membuatkan dia hampir memikirkan yang Allisa itu Benjamin sungguhpun Allisa
ialah Benjamin.
Dia
berjalan menuju ke tingkap bilik bacaanya yang teletak betul-betul di belakang
kerusinya. Hanya selangkah dua. Dia mendongak memandang langit yang kian
bertukar menjadi jingga. Unggas
beterbangan, pulang ke sarang. Rasa cemburu yang bermukim di hati setiap kali
dia melihat kebebasan yang ada pada burung yang enak melayari langit biru.
Melihat dunia dengan dua mata yang kecil dengan visi sisi berbanding dia yang
punya kelebihan dengan keupayaan penglihatan yang lebih jelas. Akan tetapi dia
seperti terperangkap di dalam penjara yang dia sendiri tidak tahu di mana
palang dan garinya.
Mata
hijau gelap itu menghiasi penglihatannya kembali. Baharu dia fikir yang dia
mampu lari dari terus memikirkan tentang Allisa, namun rupanya dia masih lagi
berlegar di tempat yang sama. Dia yang tidak mampu mengalih pandangan mata
mereka yang bertembung dan rasa hati yang bergelora. Suasana pagi itu senyap
dan damai. Pertemuan yang dia tidak jangka yang dia sendiri cari undangannya.
Senyap-senyap dia mengekori gadis itu ke situ malamnya selepas Allisa berkata
yang bukan-bukan dan sambung tidur. Beberapa jam kemudian Allisa bangun,
sedikit termangu-mangu dan dengan langkah perlahan menuju ke satu arah yang
pada mulanya dia tidak ketahui dan bila tiba di simpang lorong membawa ke bilik
rahsia, dia berhenti mengikut. Bermacam-macam persoalan bermain di fikirannya
sambil matanya mengintai Allisa dengan sepenuh kudrat menolak dinding yang
menghalang pandangan orang lain akan kewujudan bilik rahsia itu.
Bilik
rahsia atau asalnya sebuah ruang tamu kecil dengan pandangan yang indah
menghadap ke matahari terbit namun kelamaan bilik itu hilang fungsinya bila
pokok sena mula mengelabui pandangan dan orang-orang dalam rumah ini mula lupa
akan kewujudannya. Beberapa puluh tahun kemudian, dia yang pada masa itu masih
kecil dan merindui kehadiran Vincent yang telah terbang ke Prace,
meninggalkannya tanpa teman mula meronda mencari tempat bermainnya. Dengan azam
dan rasa sunyi yang membelengu, dia tersesat di dalam maze batu bata sehingga
kakinya membawa dia ke satu lorong yang panjang yang hujungnya hanya sebuah jalan
mati dan bingkai-bingkai gambar yang digantung berturut-turut di sepanjang
laluan itu menangkap minatnya. Lama dia perhatikan gambar-gambar yang
tergantung sehinggalah dia perasankan kelaianan di setiap satunya. Setiap
gambar menunjukkan lorong yang dia berada memberi gambaran berbeza akan satu
perincian yang kurang jelas dari pandangan sekali imbas. Bayang-bayang. Dia
yang sedar akan perbezaan itu berlari ke permukaan dinding yang terletak di hujungnya
lalu telapak tangannya dilekap. Mencari-cari kawasan yang sedikit tertimbul dan
bila dia ketemunya, dua ulas bibirnya merekah lebar. Sejak itu, bila dia
kelapangan, dia merajinkan dirinya untuk mengemas bilik tersebut dan menambah
beberapa perabot yang dirasakan sesuai tetapi dia membiarkan dahan-dahan pokok
sena memenuhi setiap inci perimeter balkoni lalu menghaibkannya dari pandangan
mata kasar. Bilik rahsia yang suatu masa dahulu menjadi rahsianya kini
diketahui Allisa saha –
Daniel
mengecilkan biji matanya. Telapaknya ditekap pada permukaan cermin. Figura
seorang gadis dengan gaun putih mencuri tumpuannya lebih-lebih lagi ianya
berada di balkoni bilik rahsianya. Anak mata hitamnya semakin kecil bila
fokusnya semakin jauh dan lebih terperinci. Rambut hitam sepanjang bahu dengan
potongan tidak sekata, bahu bertulang dan lengan nipis seperti mancis. Wajahnya
tidak terkelihatan seperti menyorok dari pandangan. Jantungnya berdegup laju.
Kuat. Air liurnya ditelan payah.
“Pandanglah
sini...” pintanya dengan pipinya yang seperti sudah sebati dengan permukaan cermin
tingkap.
Gadis
itu menoleh melihat sejajar dengan aras yang didudukinya. Melihat langit yang
sudah pun jingga. Jantung Daniel yang sebelum ini seperti berlari dengan
kepantasan maksimum tiba-tiba berhenti. Nafasnya tersekat. Pendengarannya mula
bermain lagu yang memeningkan. Rentak yang tidak seimbang dengan penglihatannya
yang di luar fokus dan yang kelihatan jelas hanyalah gadis bernama Allisa,
bidadari yang jatuh dari kayangan.
No comments:
Post a Comment