22
Allisa
meletak gaun putih yang dia pakai tadi di atas tilam empuk itu. Dia telah
menukar pakaiannya kepada pakaiannya yang sering dia sarung dan Julie telah
membawa masuk kanvasnya ke dalam bilik namun tuannya telah lesap ke bawah. Ke
mana tujuannya dia pun tidak pasti. Mungkin pergi membersihkan dirinya yang
kotor dan berbau cat minyak namun wajah Julie terlukis senyuman kepuasan.
Allisa berdiri di hadapan kanvas yang menceritakan sebuah potret luahan
pandangan Julie. Watak utama yang dilakar tampak cantik, manis dan penuh sifat
kewanitaan membuatkan dia ketawa kecil. Julie... ini bukan dia.
“Nampak
macam bidadari,” puji satu suara di belakangnya.
Allisa
melompat terkejut dengan kehadiran lelaki itu di sini. Dia berpusing, cuba
untuk menatap wajah Daniel setelah pagi tadi mereka berada dalam situasi yang
dia sendiri kurang faham dan menyakitkan jiwanya. Setelah lama dia berbalas
pandangan dengan Daniel, lelaki itu berpusing dan meninggalkannya dengan ayat
yang menggores hati.
“Awak
merajuk dan merayu sepenuh hati awak pada dia tetapi adakah dia memberi
sepenuhnya seperti awak? Awak memakan saya sehingga tiada apa hanya daging
tanpa roh untuk saya teruskan hidup. Awak perempuan yang hebat.”
Pada
ketika itu, setiap bilah kata Daniel dengan nada sarkastik, mencincang lumat
hatinya menjadikan dia tanpa sedar menitiskan air mata dan lelaki itu juga
pergi pagi tadi membawa lebih banyak air matanya mengalir. Mengalir dan terus
mengalir. Sehingga pada satu detik, dia menyoal pada dirinya kenapa perlu dia
sedih akan apa yang Daniel ucapkan padanya? Namun persoalan itu tidak mampu
menimbus bahawasanya dia tetap sedih bila soal Juliane menerawang mindanya.
“Seperti
mimpi di alam rialiti, saya nampak bidadari hinggap di hadapan mata saya.”
Suara
Daniel menerjah lamunan Allisa. Kelat dia telan liurnya. Benarlah lelaki itu
ada ternampaknya tadi.
“Nampak
cantik sangat.” Daniel pandang Allisa yang berwajah bujur itu menghadapnya
tetapi anak mata itu lari melihat ke arah lain dengan tangan kirinya memeluk
tubuh. Adakah gadis itu tidak menyenangi pujiannya? Melihatkan reaksi negatif
dari Allisa, dia mula terfikir kenapa dia boleh tergerak hati untuk menjenguk
atas ini setelah apa yang berlaku pagi tadi? Daniel ketawa kecil namun seperti
menyembunyikan rasa hatinya yang bingung.
“Apa...
yang kelakarnya?” Allisa mencari punca logik akan kelucuan yang Daniel jumpa.
Dia lihat kiri dan kanannya. Pada potretnya. Tiada apa.
Daniel
melambai-lambai. Menarik perhatian Allisa dari terus mencari sambil kepalanya
tergeleng-geleng. “Tiada ada apa yang lucu pun. Saya ketawakan diri saya
sendiri. Saya minta maaf kalau pujian saya tadi buat awak rasa terbeban. Saya
takkan menipu kalau saya katakan awak seorang yang cantik meskipun hanya
berpakaian seperti sekarang ini. Saya maksudkannya,” ujarnya.
Allisa
terkesima. Wajahnya membahang. Badannya terasa kebas. Permainan apa yang Daniel
lansungkan? Pagi tadi lain petang ini lain. Entah malam nanti sewelnya kembali.
Dia keliru. Bercelaru. Berasa seperti sia-sia sahaja dia menangis pagi tadi.
Entah kenapa dia jadi rindu pada Daniel yang dia kenal sebelum ini. Daniel di
hadapan Benjamin ialah Daniel yang berbeza di hadapan Allisa. Mungkinkah kerana
sikapnya melayan Daniel selama dia melupai memori mereka bersama, Daniel
berubah? Salah diakah?
“Ya.
Semuanya kerana kau yang berubah,”
hatinya berbicara.
Dia
sedar yang mungkin selama ini tanpa dia sendiri ketahui, dia telah mengelirukan
Daniel. Seolah-olah sebenarnya dia yang mempermainkan Daniel bukan sebaliknya.
Semua ini berpunca darinya. Selama dia memainkan peranan sebagai seorang
Benjamin, layanannya terhadap Daniel meskipun introvert dan pendiam, dia
menerima kehadiran Daniel dengan hati terbuka. Malah seisapa yang dia jumpa,
dia bersikap terbuka. Tetapi bila dia sedar yang dia ini ialah Allisa, dia jadi
prajudis dan takut menerima kehadiran orang lain selain orang dalam lingkungan
dirinya meskipun di luaran dia ialah seorang gadis yang aktif dan lincah.
Kenapa personalitinya begitu berbelit? Tidak hairanlah Daniel boleh keliru
memandangkan dia sendiri rasa malu dengan sikapnya.
Dia
memandang Daniel yang berdiri begitu dekat dengan kanvas itu. Memerhati lukisan
itu dengan pandangan yang begitu lembut. Pandangan yang dia pernah lihat sekali
untuk pertama dan kali terakhir di dapur tempoh hari. Lamanya dia tidak melihat
senyuman itu. Ini bermakna juga sudah lama dia tidak berbual mesra dengan
lelaki itu. Semuanya sebab dia yang terlalu takut. Jika boleh dia hendak lihat
senyuman itu semula sebelum dia berpindah keluar dari rumah agam ini dan semua
itu boleh terlaksana jika dia beranikan dirinya dan...
“Saya
minta maaf.” Ucapan itu terlontar jua dari dua ulas bibirnya. Sepasang
tangannya yang kejap menggenggami lengannya membuatkan dia yang dia benar-benar
memohon maaf pada lelaki yang dia sering bersikap dingin malah menghamburkan
kata-kata sumpahan yang pedas.
Daniel
terpijat di tempatnya. Dia yang baharu sahaja ingin menyentuh permukaan lukisan
wajah Allisa terhenti berbuat demikian. Kata maaf dari Allisa yang lembut
menyelusuri telinganya mengeraskan hatinya tiba-tiba. Dia yang terperasankan
genggaman kuat tangan Allisa pada kedua-dua belah lengan, menghembus nafas
berat lalu ketawa berdekah-dekah. Kuat dan dibuat-buat.
“Ini
fasal pagi tadi ke?”
Allisa
ketap bibirnya. Dia terima sahaja ulah Daniel jika itu membolehkan dia untuk
menerima kemaafan Daniel.
Melihatkan
gadis itu senyap tidak berkutik, hati Daniel jadi lagi panas. Dia betul-betul
tidak faham. Kenapa perlu Allisa memohon maaf darinya bila gadis itu tidak buat
satu kesalahan pun? Jika betul kata maaf itu untuk kemarahannya pagi tadi
bukankah semua itu berpunca dari salahnya sendiri juga? Dia marahkan gadis itu
kerana menyumpahnya yang bermulut cabul dan menghina perasaan gadis itu
terdahulu? Malah hatinya semakin panas bila dia lihat tangan-tangan itu semakin
menggeletar pula.
“Awak
tak perlu paksa diri awaklah Allisa. Kalau awak minta maaf semata-mata awak nak
tarik simpati saya pada awak kerana saya marahkan awak, awak tak perlu pun.
Saya dah lama –”
“Itu
bukan maksud saya, Daniel!” ‘Kau ni bendul ke?’ sambung Allisa dalam hati.
Allisa menyabarkan hatinya. Kata-kata Pengajar Coax mengingatkan dia
bahawasanya bukan semua orang lihat apa yang kita lihat dan bukan semua orang
rasa apa yang kita rasa. Maka jika dia lakukan sesuatu biar sehingga jelas.
Terbukti ajaran Pengajar Coax untuk menjadi seorang pemimpin membantunya. Hah! Salahnya juga mungkin kerana maksud yang
dia sampaikan pada Daniel tidak sampai.
“Saya
bukan nak simpati awak tapi saya nak kemaafan awak.” Dia pandang mata Daniel.
Berhadapan. Kedua-dua belah tangannya dilepaskan dari genggaman tangannya
sendiri. “Tak lama lagi... saya akan keluar dari rumah ni dan saya kalau boleh
tak nak hubungan kita terputus kerana kelancangan saya hari itu. Kalau boleh
saya nak tinggalkan rumah ni tanpa sebarang rasa pahit sesama kita. Walaupun
kadang-kadang saya tak faham tindakan awak, ada masanya saya senang dengan awak
Daniel. Bila saya fikir semula, berapa lama kita dah tak berbual macam dulu?
Masa saya mula-mula jumpa awak... awak lain Daniel. Perubahan awak buatkan saya
sedar ia mungkin berpunca dari saya. Jadi saya nak betulkan semua ni. Saya
minta maaf. Saya harap kita boleh jadi kawan semula.”
“Aw...”
Daniel tergamam. “Awak dah ingat?”
“Hm.”
“Semuanya?”
“Segalanya
tentang awak.”
Mendengarkan
luahan Allisa tiba-tiba dia rasa hatinya bercelaru. Dia gembira yang gadis di
hadapannya ini ingati dirinya tetapi sebahagian dari hatinya sedih. Ini bukan
yang dia mahu. Rasa pilu dan mencucuk yang amat sangat bila ayat kawan meluncur
laju dari bibir mongel itu. Itu bukan yang dia harapkan. Dia mahu lebih.
Sakitnya bila apa yang diidamkan tidak pernah mampu jatuh ke tangannya. Seperti
mengharap bulan jatuh ke riba.
“Ini
nasihat saya yang terakhir Daniel. Tolong jauhi Allisa. Sebelum terlambat.
Sebelum awak menyesal. Berhenti. Saya sayang awak Daniel. Awak kawan baik saya
dan saya taknak awak jatuh lebih dalam lagi. Tolong.”
Sakit.
Ia sememangnya sakit dan ia lebih sakit bila dia akhirnya sedar yang dia sudah
pun berada jauh di dalam gaung penuh seksa yang senyap. Bagaimana harus dia
daki gaung yang dalam ini dalam keadaannya yang penuh luka dan cakar yang
berbisa? Nasihat yang Julie beri dulu tidak pernah dia ambil kisah dan inilah
padah yang dia harus terima.
“Lelaki
macam awak... selamanya... takkan dapat pegang makna cinta sejati... walaupun
suatu hari awak jumpanya, cinta yang awak fikir yang dapat bawa awak lari, akan
lari dari awak... saya sumpah!”
Tarik
semula. Tarik semula kata-kata itu. Dia mahu Allisa tarik semula kata-kata itu.
“...
Saya minta maaf. Saya harap kita boleh jadi kawan semula.”
Daniel
menundukkan wajahnya. Dia tidak boleh berada lama di sini. Semakin lama semakin
sesak di rasakan. Dia bukan seperti orang hipokrit yang senang-senang tampal
wajah penuh ceria dan jawab penuh ceria sedangkan hati menangis hiba. Dia cuba
macam mana sekali pun, Allisa tetap tidak akan cintakan dia.
SUASANA
rumah agam Graham cerah dan meriah saat dia menjejakkan kakinya ke dalam rumah
itu selepas dia menemani Raja Dominick makan malam dan melaporkan kebederaan
Allisa. Lelaki yang sudah pun berhenti dari posisinya itu hanya mampu berkeluh
kesah dalam menerima keputusan cucunya itu. Dia yang pada mulanya fikir yang
Raja Dominick akan membangkang dengan berita ini buatkan dia sedikit terkejut
dan menambahkan rasa curiganya akan apa yang telah berlaku pada malam sebelum
hari lahir Allisa.
“Tuan
muda,” tegur seorang pambantu rumah tatkala dia sibuk menguntil anak saudaranya
Christopher.
“Ada
panggilan dari cik muda.”
Adiknya
menunaikan janji mereka walaupun sebenarnya dia yang sepatutnya yang menelefon
gadis itu. Mereka berjanji untuk saling bertanya khabar sebaik sahaja dia
sampai ke rumah dan adiknya yang tidak menyempat-nyempat pula menelefonnya yang
baharu sahaja duduk di ruang tamu dan sempat ber’hello’ dengan kakak dan abang
iparnya. Kelibat ibu dan ayahnya lansung tidak terkelihatan. Kata Janice,
ayahnya terus ke bilik bacaan selepas makan malam. Ibunya pula...
“Ni,
abang kamu dah sampai.” Suara Puan Graham kedengaran sebaik sahaja dia buka
pintu bilik ruang tamu yang berada di sebelah ruang makan. Sedikit ke barat
dari ruang tamu yang dia berehat tadi. Ruang tamu ini sedikit kecil dan lebih
kepada ruang peribadi.
Juliane
mencapai gagang telefon dari tangan Puan Graham. Dia lihat wajah ibunya lalu
pipi wanita itu dicium sebelum dia menjawab ‘hello’ adiknya yang tidak
berkesudahan itu.
“Nakal!”
Puan Graham pukul bahu anak terunanya itu. Terkejut dia dengan aksi manja
Juliane tetapi hatinya gembira melihat wajah gembira yang terpancar jelas sejak
dia pandang tadi. Hatinya berasa sedikit lega dengan berita penemuan Allisa di
Bandar Darmadin. Lantas dia tinggalkan perbualan dua beradik itu.
“Ya.
Abang di sini...” gurau Juliane. Bibirnya masih tersengih-sengih melihat ibunya
keluar.
“Lambat!”
“Siapa
suruh tunggu?”
“Sengal.”
Juliane
ketawa. Tetapi sekejap. Sejurus itu, perlahan dan meleret, dia menghela nafas
berat. “Allisa macam mana? Nangis lagi?”
Kali
ini Julie pula yang menghela nafas. “Okey sikit dari tadi. Payah juga nak pujuk
dia. Nasib baik tadi teringat fasal biskut mentega yang dia suka tu. Kalau tak
adik sendiri pun dah tak ada modal nak pujuk dah.”
Biskut mentega. Memori. Juliane tersenyum lega.
“Baguslah.”
“Ibu
kata abang dari istana. Ada makan malam dengan tuanku. Dia tak cakap apa-apa
ke?”
Juliane
mencebik. Macam adiknya dapat lihat riaksinya itu. “Tak. Dia
angguk-geleng-angguk-geleng. Lepas tu mengeluh. Abang pun dah tak boleh baca
fikiran dia,” jawab Juliane dalam nada perlahan.
“Abang
tak cuba tanya?”
“Kau
gila?”
“Abang
kan berani!” tempelak adiknya semula. “Tak ingat abang lamar cucu dia
senyap-senyap? Orang tua tu mengamuk sakan pun abang buat bodoh je.”
“Dah
masa tu yang jadi raja, anak dia. Bukan dia,” Juliane beralasan.
“Samalah
sekarang ni. Kerusi raja tu sampai sekarang kosong. Tunggu cucu dia naik je.
Abang ni ayamlah. Kecut!” Tak sudah-sudah adiknya menghukum. Habis semua ayat dikeluarkannya.
Meskipun ada benar dalam kata-kata Julie tetapi Raja Dominick sekarang bukan
seperti dahulu. Kehilangan anak dan menantunya memberi impak yang besar dalam
hidup lelaki itu. Raja Dominick bersara awal semata-mata mahu melihat anaknya
sedar tanggungjawabnya sebagai seorang pemerintah, anak dan ibu yang tahu untuk
membahagikan masa yang secukupnya untuk rakyat dan keluarga. Pada pendapat
Juliane Permaisuri Raina bukannya ada kekurangan dan Raja Louis cukup membantu
dalam urusan seharian tetapi ia cuma alasan Raja Dominick untuk meluangkan
lebih masa bersama mendiang isterinya. Katanya, ‘apalah aku raja bila keluh
kesahku, sakit badanku dan cintaku tiada lagi didengari olehnya. Negaraku
ibarat yatim piatu tanpa permaisuriku. Dan aku umpama anak kecil kehilangan
ibuku yang aku rindui seumur hidupku.’
Kata-kata
seolah pujangga yang penuh makna rindu dan cinta yang dia pegang hingga
sekarang. Raja Dominick yang dia lihat penuh kebijaksanaan dan kasih sayang,
hari ini dia lihat pemimpin yang suatu masa dahulu disanjung rakyat, semakin
hilang semangatnya dari hari ke sehari. Makan malam tadi pun, senyap sunyi
sahaja walaupun Allisa sudah dijumpai.
“Ah!”
Juliane teringatkan sesuatu.
“Ingatkan
tidur,” tegur Julie bila tiada satu suara pun menyahut panggilannya tadi.
“Julie!”
“Ya
saya!”
Juliane
cuba menyusun ayatnya supaya tidak kedengaran pelik di telinga adiknya itu.
“Petang tadi ada jumpa Will?”
“Soalan
merapu apa ni?” Julie menggaru-garu kepalanya. Pantang betul dia bila dia
berbual dengan orang lebih-lebih lagi keluarganya, nama Willson terjengul
sekali dalam perbualan mereka. Tidak suka betul dia.
“Jawab
ajalah. Adik juga yang cakap Will sekarang asyik jenguk kat kedai setiap hari.
Jadi abang nak tahu, dia datang lagi ke?”
“Kenapa?
Nak debik dia ke?” Suara Julie kedengaran kuat dan ceria. Gadis itu sudah
terlompat-lompat di hujung talian sana.
“Apa
pulak. Kesian budak tu. Bakal adik ipar tu,” usik Juliane.
Julie
berhenti melompat. Wajahnya cemberut. “Tak ada kuasa aku. Malaslah nak layan
kalau macam ni.”
“Isy
budak ni. Aku debik jugak dia nanti. Jawablah soalan abang. Orang serius
sekarang ni,” marah Juliane. Kalau Julie ada depan mata, hendak agaknya dia
cekik-cekik budak tu.
“Haaa.
Adalah. Dah katanya datang setiap hari. Setiap harilah dia bersungguh ke kedai
tu. Bukannya nak beli. Melongo depan kedai orang dengan muka tak tahu malu.
Menyampah!”
Hampir
terlepas gagang telefon di tangannya. Kenyataan yang dikeluarkan Julie buatkan
fikirannya kembali berputar ke istana beberapa jam yang lepas. Kelibat siapa
yang dia nampak di istana? Pelanduk dua serupakah?
“Oh
yeke...” Juliane berdeham. Tekaknya tiba-tiba terasa kering. Mustahil untuk
orang yang berada di Darmadin tiba ke Brynn dalam masa beberapa jam. Malah
lebih awal dari penerbangannya. Mungkin silap matanya kerana terlalu letih.
‘Kreek’
Juliane
berpaling. Wajah James tersembul di sebelik pintu. Juliane jauhkan sedikit
gagang telefon itu dari mulutnya lalu menegur lelaki itu. “Ya bang? Kenapa?”
“Maaf.”
James berdiri di hadapan pintu yang terbuka sedikit itu. Lansung tidak mahu
mendekati meja telefon itu. Sedikit teragak-agak pada pandangan mata Juliane.
Ada apa-apa yang tidak kena ke?
“Masih
cakap dengan Julie ke?” soalnya selepas jeda untuk beberapa seketika.
“Ah...
ya,” jawab Juliane sedikit gugup. Adapun dia selalu bertembung dengan abang
iparnya ini, namun dia jarang berbual lama dengannya. Kebanyakan masanya dia
lebih senang berbual dengan Janice. Dia bukan tidak senang dengan perwatakan
lelaki itu tetapi entahlah. James lebih suka mendiamkan diri dari terlibat
sepenuhnya dengan aktiviti keluarga.
James
mengetap bibirnya. “Tolong... kirim salam pada Julie eh. Dari abang dan kakak. Cakap
yang dia dah lama tak telefon rumah jadi kami rindu nak dengar suara dia,”
pesannya. Perlahan sahaja suaranya menutur kata. Seperti takut pun ada juga.
Juliane
senyum. “Okey.”
“Terima
kasih eh?”
“Hm.”
James
pergi. Terkebil-kebil mata Juliane menatap muka pintu. Satu lagi manusia yang
dia tidak dapat baca fikirannya selain dari Raja Dominick. Kemudian dia kembali
pada gagang telefon. Tahu-tahu, Julie sudah lama mematikan talian tinggalkan
dia termanggu-manggu di situ.
“Yang
ini dah kenapa?” rungut Juliane lalu dia letak gagang telefon itu. Lebih baik
dia ke bilik dan mandi. Badan dan mindanya letih merempuh hari yang penuh
dugaan baginya.
BULATNYA
bulan yang bercahaya seperti bulatnya azamnya. Di tolak sekuat mana sekalipun,
dia tidak akan berubah dari pendiriannya. Malah dia mengharap yang impiannya
juga secerah bulan yang menyinari malam yang gelita. Lama dia merenung bulan
yang membawa erti teman bagi dirinya yang sentiasa mengejar dan berlari sekuat
hati sehingga bila kadang-kadang bila dia berasa seperti hendak mengalah, dia
hanya perlu ingati malam-malamnya yang terkenang-kenangkan orang di sebelah
sana.
“Cik
muda...”
Anita
pantas menyapu air mata yang mengalir senyap di sebelah pipinya. Riak wajahnya
dibetul-betulkan juga. Kemudian dia berpaling memandang Fyna yang setia menanti
di belakangnya dengan sehelai tuala muka untuknya. Sejuring senyuman dihulur.
“Ibu
bapa saya dah masuk tidur?”
“Ya
cik muda.”
Anita
mengangguk. “Mereka ada tanyakan saya tadi?”
Fyna
ketap bibirnya. “Saya cakap yang cik perlukan masa untuk bersendiri. Saya minta
maaf kalau saya buat keputusan tanpa tanya cik dulu.”
Anita
menggeleng. Sedikit lega dengan alasan yang pembantunya beritahu. Nafas lega
terhela tanpa dia sedar lalu dia ambil tuala muka dari Fyna dan pergi ke besin
air yang di sediakan untuk mencuci wajahnya. Selesai berbuat demikian, dia
duduk di hadapan cermin. Rambut lurus kuning keemasannya yang dilepas bebas
disikati oleh Fyna.
Sepanjang
rambutnya disikat, Anita menilik wajahnya. Wajah Allisa dan Daniel bermain-main
di hadapan mata. Setiap satu darinya begitu jelas sehingga dia berasa jelak dan
benci terhadap dirinya sendiri. Bila dikenang semula segala perbuatannya pada
Julie, dia rasa hatinya menjadi berat dan tidak tentu arah. Selama ini dia
menyangka Daniel menyukai Julie, sahabat baiknya suatu masa dahulu tetapi bila
dia lihat Daniel lebih senang berbual senda dengan Julie dia jadi takut dan
cemburu pada masa yang sama. Peristiwa petang semalam membuktikan andaiannya
selama ini salah.
“Cik
masih fikir tentang hal semalam?” suara Fyna menerjah lamunannya.
Anita
memandang bias wajah Fyna di cermin kemudian pada wajahnya. Jelas terukir riak
sedih di sepanjang alur kerut di wajahnya. Dia tidak dapat menyorok rasa yang
terperam di hatinya di hadapan Fyna.
“Salahkah
keputusan yang saya buat ini Fyna?”
Pembantunya
berhenti menyikat rambut kuning keemasannya itu. Lalu dia ulus lembut. Segaris
senyuman yang menyenangkan hati terukir di bibir. “Saya tahu yang cik muda dah
buat keputusan yang terbaik untuk diri cik muda.”
Anita
ketap bibirnya. Langkah beraninya. Bunga tariannya akan didengarkan pada
pertemuan akan datang. Setelah dia hilang seorang sahabat, dia tidak akan
hilang seorang kekasih pula kali ini. Tidak! Dia tidak mahu menjadi igauan
mimpi ngeri yang nyata.
No comments:
Post a Comment