23
Laju.
Laju!
Lari
laju lagi!
Allisa
gelisah di pembaringannya. Manik peluh mula memenuhi dahinya.
Jantungnya
berhenti berdegup saat tubuh seorang gadis berdiri di hadapannya, tersenyum
sumbing tanpa wajah itu dapat dilihat dengan jelas. Desah nafasnya kedengaran
berat. Rasa debar bercampur baur dengan rasa gentar menjadikan dia
sekejap-kejap tertoleh-toleh ke belakangnya. Ke arah tangga yang menuju ke
tingkat atas di mana suara seorang lelaki menjerit-jerit memanggil namanya
kuat.
Bila
dia berpaling semula ke hadapan, tanpa dia ketahui apa yang berlaku dan
diperkatakan kepadanya oleh gadis yang dia terserempak itu, dalam gerak
perlahan, dia terlontar ke belakang. Terbang merentasi anak-anak tangga menuju
ke aras bawah. Kenapa? Siapa?
Tiba-tiba
muncul satu figura hitam yang muncul dari tangga aras atas, berpaut pada palang
besi tangga sebelah tangan dan sebelah lagi ingin mencapai tangannya yang
terhulur ke udara. Dia mencuba untuk mencapai huluran itu namun ada sesuatu
yang menahannya. Sesuatu. Anggotanya yang lain menjadi kejang. Liur di hujung
lidahnya. Air mata yang sudah lama membasahi wajah.
Nafas
terakhirnya. Pandangan terakhirnya. Penyesalan terakhirnya. Saat itu...
segalanya menjadi merah. Pekat dan gelap.
Seperti
melihat imej yang tidak jelas, seperti mendengar nyanyian yang sumbang, setiap
satu perkara yang timbul dalam mimpinya umpama melihat dari dalam gerabak kereta
apai yang bergerak laju. Datang dan pergi. Tiada satu pun yang melekat di
mindanya hanya cebisan memori mimpi yang berlaku pada awalnya.
Allisa
mendengus nafas berat. Wajah Julie yang tidur nyenyak di sebelahnya dipandang
sekilas. Kemudian pada jam loceng di sebelah yang satu lagi.
Dia
mengira-ngira di dalam kepalanya. Tidak sampai empat jam dia tertidur lena di
atas katil, dia sudah terjaga. Fenomena yang berlaku ke atas dirinya ini akan
berlaku selang tiga kali sehari dan kadang-kadang paling teruk sekalipun lima
hari seminggu dia akan mengalami gangguan mimpi yang aneh dan akibat dari itu
dia akan susah untuk tidur semula. Pernah juga dia tanyakan masalahnya ini pada
Doktor Harper tanpa pengatahuan siapa-siapa beberapa hari lepas di rumah doktor
itu sendiri. Kata doktor itu dia berkemungkinan besar mengalami gangguan
insomnia dan doktor itu telah menskripsi beberapa jenis ubat untuknya.
Lantas
dia mengeluarkan dua buah botol sederhana besar dan sebotol kecil berisi pil.
Setiap botol dikeluarkannya sebiji pil lalu dia simpan semula botol-botol itu.
Perlahan dia bangun sambil mengintai Julie takut-takut gadis itu terjaga. Lega.
Julie tidur tidak sedarkan diri. Dengan langkah besar dia ke meja soleknya. Di
penjuru meja terletak sebuah juga berisi air dan segelas cawan kontot. Tanpa
teragak-agak, dia menyuap tiga pil pelbagai saiz itu ke dalam mulutnya di ikuti
seteguk air masak yang diteguk tanpa henti sehinggalah air di dalam cawannya
habis. Lama dia merenung cermin, melihat kerongkongnya yang sedikit demi
sedikit membawa pil-pil yang ditelannya tadi jatuh ke perut. Dalam beberapa
saat dia akan mengalami rasa berat dan penat. Seperti patung boneka yang diikat
talinya, dia dengan mudah dibaringkan di atas tilam dan mata terpejam rapat dan
segala apa yang dia mimpikan tadi akan pergi terbang mengejar hujung tirai
malam yang semakin hampir.
Tetapi
itu semuanya angannya sahaja. Dia masih lagi berdiri di hadapan cermin,
memandang bias wajahnya. Memandang bias pintu tingkapnya yang terbuka luas dan
angin lembut meniup langsir yang menutupi perimeter atas pintu itu. Sekilas dia
nampak satu bayang seorang lelaki yang melintasi pintu itu. Matanya membulat.
Terkejut. Dia pantas berpaling melihat pintu ke berandanya.
“Siapa?”
Dia
meletak cawan itu di tempatnya semula. Kepala masih lagi memandang ke arah
pintu beranda. Kakinya ringan menuju ke pintu itu. Seingatnya tadi sebelum
tidur, pintu ini tertutup. Dia sendiri yang menutupnya. Tidak mungkin Julie
membukanya kerana sebelum matanya terpejam empat jam lepas, dia nampak jelas
mata Julie terpejam dahulu sebelumnya.
“Siapa?”
tegurnya lagi.
Kakinya
terhenti melangkah. Tepat di muka pintu. Liur diteguk kuat. Pelik, kenapa dia
tidak berasa takut? Tetapi dia berasa seperti satu tarikan magnetik. Angin
bertiup memanggil-manggil namanya. Lembut dan sayu. Seperti irama kecapi yang
syahdu. Dia menutup matanya. Suasana ini seperti dia pernah rasainya. Satu
perasaan yang deja-vu.
“Termenung
panjang?”
Allisa
buka matanya. Entah bila dia sudah berada di luar biliknya; beranda. Dia
melihat kiri dan kanannya kemudian pandangannya jatuh pada susuk tubuh seorang
lelaki yang berdiri tidak ajuh darinya dengan pakaian serba hitam. Kakinya
panjang begitu juga tangannya. Berkulit putih cengkung dan berambut hitam
tetapi bermata biru awan. Cerah tetapi nampak seperti warna dia atas sehelai
kertas. Cermin mata bulatnya terletak kemas di atas tulang hidungnya. Adakah
lelaki ini yang dia nampak melintas tadi?
“Siapa?”
Lelaki
itu tersenyum nipis. “Ini kali kedua,” katanya.
Kening
Allisa terangkat.
Lelaki
itu ketawa pula. Tampak menyenangkan dan mudah didekati.
Allisa
ketap bibirnya. “Macam mana awak boleh berada di sini? Saya panggil pengawal!”
“Awak
takkan.”
Allisa
mengecilkan matanya. “Jadi perjelaskan kedudukan awak.”
Dia
mengeluh. “Saya rindu teman saya dahulu...” Lalu dia berdiri menghadap Allisa.
Tangan yang terlatak di dalam kedua belah kocek seluar dikeluarkan. Kemudian
dia membongkok sedikit lalu dia hulur tangannya. “Kimihiro. Orang kenal saya
dengan gelaran April Fool.”
“Hah?”
Sekali
lagi dia ketawa. “Maaf. Saya jadi suka pula dengan nama saya sendiri,”
tambahnya. Di hujung patah katanya, senyuman Kimihiro pudar dan keningnya
bertaut. Namun ekspresi itu begitu cepat hilang diganti satu pandangan mesra.
“Saya datang untuk tunaikan hajat awak.”
Allisa
terkesima. Hatinya berbaur rasa ragu-ragu. “Saya tak rasa saya ada hajat untuk
ditunaikan...”
“Saya
takkan datang kalau awak tak panggil saya.”
“Saya
baharu sahaja kenal awak. Lagisatu, awak kata ini kali kedua awak jumpa saya.
Sebelum ini saya ada... jumpa awak di mana-mana ke?” Dia cuba mencari cebisan
memorinya yang menyimpan wajah Kimihiro namun tiada satupun koleksinya
mempunyai iras wajah lelaki tersebut.
“Saya
tak kata ini kali kedua saya jumpa awak. Saya hanya katakan ‘ini kali kedua’. Jadi,
bukankah itu membuktikan yang awak sebenarnya tahu siapa saya?” Tajam mata
Kimihiro memandang wajah Allisa.
Dahi
Allisa sudah berlapis-lapis.
Kimihiro
tersenyum sinis. “Saya boleh tawarkan penyelesaian kepada masalah yang ada di
bawah mata awak tu.”
Pantas
tangan Allisa menyetuh lebam hitam di bawah matanya. Lebam itu semakin ketara
dari hari ke hari. Malah orang disekelilingnya sudah bertanyakan hal kesihatan
yang kadang-kadang merisaukan. Dia melirik anak matanya ke wajah Kimihiro yang
putih bersih lagi pucat itu. “Saya boleh percaya awak ke?”
Lelaki
itu menghulurkan kedua belah tangannya. Kedua-dua belah tangan itu digenggam
erat. Lalu genggaman tangan di sebelah kiri dilepaskan. “Kalau awak kurang
yakin dengan kebolehan saya pegang tangan ini dan kalau awak yakin dengan
kebolehan saya awak pegang tangan ini pula.” Dia membuka tangan kanannya pula.
“Dan saya nak awak ingat satu perkara ini Cik Allisa, pilihlah mana-mana tangan
saya ini sekalipun, kedua-duanya membawa kesan yang sama besar pada awak. Awak
perlu bayar setiap pilihan yang awak pilih,” cakapnya senada. Kata-kata yang
keluar dari mulutnya membuatkan hati Allisa menjadi takut dan gementar.
“Ka...
kalau macam tu, lebih baik saya tidak pilih mana-mana pun,” putusnya.
Kimihiro
ketawa kecil. “Orang yang takut untuk berubah ialah orang yang takut akan masa
depan. Setiap langkah yang awak ambil Cik Allisa, tanpa awak sedar, awak sedang
membayar setiap tapak kaki yang awak tinggalkan. Tetapi jika awak berhenti di
tengah jalan, tiada siapa akan sedar akan kewujudan awak sehingga awak mati
kerana tiada satu pun kesan yang awak tinggalkan walaupun sekecil zarah. Awak
tahu kisah malam krismas kan?”
Allisa
ketap bibirnya. Kisah Malam Krismas ialah buku novel asas yang patut dibaca.
Dia yang fanatik akan dunia literasi ini, sudah tahu tentang kisah itu. Kisah
yang menceritakan seorang lelaki yang bernama Scrooge yang kedekut dan enggan
berubah pada malam Krismas setelah dilawati oleh malaikat maut. Lalu malaikat
maut ini membawanya ke masa lampaunya, masa kininya dan masa akan datangnya.
Saat dia melihat pada hari kematiannya, tiada seorang pun yang sudi mengucapkan
takziah untuknya, dia mati tanpa setitik air mata ditumpahkan ikhlas untuknya.
Selepas daripada itu, Scrooge berubah menjadi manusia yang baik dan berbakti
untuk keluarga dan masyarakat. Allisa tutup matanya. Mindanya berfikir
membezakan mana yang baik dan mana yang buruk untuknya.
Kiri
bermakna dia memilih untuk menjadi lebih teruk. Kanan pula memberinya peluang
untuk lari dari masalah ini. Apa gunanya dia tertekan hanya kerana mimpi-mimpi
yang dia tidak ketahui maksudnya? Sedangkan ada beberapa cebisan kecil
memorinya masih lagi belum timbul di permukaan memorinya. Sudah jelas lagi
bersuluh, kananlah jawapannya dan dia pada itu meletakkan sepenuh
kepercayaannya pada Kimihiro untuk membantunya.
“Sebelum
itu, apakah bayaran yang harus saya beri pada awak?” Tangan Allisa terhenti
dari mendarat di atas tangan kanan Kimihiro.
“Sesuatu
yang setimpal dengannya,” jawabnya tenang.
“Dan
yang setimpal dengannya ialah?”
Kimihiro
tersenyum. “Mimpi-mimpi awak.”
“TUHAN! Saya ingat awak takkan bangun All!”
Suara
Julie yang marah-marah namun diselangi sedu membuatkan Allisa terfikir-fikir
akan apa yang sudah jadi pada dirinya tika ini. Terkebil-kebil matanya melihat
Doktor Harper dan Mary yang berdiri di belakang Julie yang sudah memeluknya
erat itu. Permukaan bantalnya sudah basah dek air mata gadis itu. Kemudian dia
dengar seperti pintu terhempas. Dia cuba mengintai siapa sahaja yang baharu
masuk atau siapa sahaja yang baharu keluar.
“Kenapa
All tak bagitahu makcik?”
Tumpuan
Allisa kembali kepada mereka dihadapannya. Keningnya bertaut. “Hal apa makcik?”
Dia pandang pula wajah Doktor Harper. Melihatkan raut wajah lelaki separuh abad
itu, dia kini faham dengan apa yang Mary maksudkan. Wajahnya bertukar mendung
sedikit.
“Saya
minta maaf makcik. Saya tak maksud nak susahkan semua,” ucapnya. “Sebenarnya
apa yang sudah terjadi pada saya doktor?”
Mary
mengeluh kecil. Wanita itu berlalu bersama kerut di wajah.
“Nafas
awak terhenti seketika tadi.”
Allisa
terpaku di pembaringannya.
“Nasib
baik Cik Graham perasankan perkara ini kalau tidak saya tak tahu apa akan jadi
pada awak. Juga, terima kasih pada tuan muda sebab buat langkah kecemasan yang
pantas kepada awak. Boleh saya tahu semalam awak telan berapa banyak pil?”
Julie
membetulkan posisinya lalu duduk di sisi sahabatnya, memerhati Doktor Harper
memeriksa anak mata, suhu badan juga nadi Allisa. Sementara Doktor Harper
melakukan tugasnya, fikiran Allisa melayang ke peristiwa malam tadi. Dia tidak
mampu mengingati perkara yang berlaku ke atas dirinya selepas dia menelan tiga
biji pil. Malah sebab dia menelan pil itu pun, dia tidak ketahui. Memorinya
kabur dan penuh dengan lopong-lopong hitam yang gelap dan kelam.
“Tiga.”
Mata
Doktor Harper saling bertingkah dengan mata Julie. Mereka seperti terkejut
dengan jawapannya. Kemudian doktor itu mencatat sesuatu sambil menggeleng-gelengkan
kepalanya.
“Berapa
banyak botol pil yang saya bagi awak hari itu?”
Dahi
Allisa berkerut.
“Tiga.
Saya telan setiap satu, sebiji pil,” terangnya. Dia pandang wajah Julie yang
memandangnya dengan rasa tidak percaya.
“Hari
itu, selepas demam awak kebah, awak ada sakit-sakit badan?”
Allisa
ketap bibirnya. Sekejap sebelum dia menggeleng.
Doktor
Harper kembali menulis. “Sepatutnya saya beritahu awak awal-awal tentang
perkara ini, Cik Reed. Saya fikir sakit awak ini boleh diatasi berdasarkan
beberapa faktor yang berikutan pengambilan ubat dan antibiotik yang berterusan
sebelum ini. Tetapi bila sudah mula berhalusinansi dan pernafasan awak
terganggu, saya terpaksa letak awak dalam keadaan pemerhatian sepenuhnya. Cik
Graham, boleh saya pinjam awak sekejap?”
“Tentu,”
jawab sahabatnya.
Doktor
Harper mengemas barang-barangnya masuk ke dalam beg hitam serba besar lalu
melangkah keluar dari biliknya. Sebelum Julie membontoti langkah doktor
tersebut, dia berpeluk tubuh.
“Saya
sangat terkejut All,” cakapnya.
Allisa
menundukkan wajahnya. Memang salahnya kerana tidak berterus terang tetapi
apakan daya, dia lebih rela sakit sendiri dari membawa kerut di dahi orang yang
di sayanginya. Cukuplah apa yang telah dia lakukan tiga tahun lepas, dia tidak
mahu menambah garam di luka.
“Awak
ingat saya apa All? Tugu kayu?” marah Julie. Gadis itu menarik nafasnya
panjang. Rasa terkejutnya masih belum hilang. Dia yang pada mulanya hanya
membiarkan Allisa menyambung tidur pagi itu setelah dia mengetahui dia yang
pertama bangun pagi itu. Namun bila Allisa bangun lewat melebihi tengah hari
dia mula berasa pelik, lantas dia ke bilik gadis itu. Beberapa kali dia cuba
mengejut Allisa namun tiada tindak balas dan akhirnya dia sedar yang sahabatnya
itu sudah tidak bernafas. Jeritan nyaringnya menarik perhatian Daniel untuk
menjenguk mereka di bilik dan lelaki itulah yang membuat bantuan pernafasan.
Pada masa Doktor Harper sampai, Allisa sudah pun kembali bernafas walaupun
perlahan.
Julie
melepaskan nafasnya kuat. Tidak guna dia marah pada Allisa lama-lama. Dia
memang sedih bila Allisa bertindak untuk merahsiakan hal ini darinya tetapi apa
yang lebih penting ialah Allisa sudah sedar dan bernafas. Lantas dia menarik
laci meja lampu di sebelah katil dan mengeluarkan sebekas besar pil tidur yang
diskripsi oleh Doktor Harper untuk Allisa beberapa hari lepas.
“Tolong
All, jangan buat macam ni lagi. Saya taknak kehilangan awak buat kali kedua.
Lebih-lebih lagi abang saya. Kesan di atas tindakan awak ini akan memakan
dirnya dengan teruk.”
Mata
Allisa terpaku melihat isi botol yang baru dikeluarkan oleh Julie tadi. Hampir
¼ isi botol sudah tiada sejak dua hari lepas. Timbul persoalan di kepalanya.
Bukankah botol pilnya ada tiga? Sejak bila menjadi satu? Adakah benar dia
berhalusinasi?
No comments:
Post a Comment