27
Daniel
tarik nafasnya dalam. Kali ini dia betul-betul dipaksa dalam kerelaan untuk
pergi memenuhi jemputan bakal bapa mentuanya untuk ke rumah agam keluarga ini.
Setelah tindakannya tempoh hari mengundang rasa kecewa di setiap wajah di
rumahnya termasuk Allisa, dia pujuk dirinya untuk berhadapan dengan keluarga
ini untuk mohon kemaafan atas kebiadapannya itu. Dia yang pada itu hanya tahu
untuk lari dari perjumpaan bodoh dan membuang masa, pada masa yang sama hatinya
tidak ingin melepaskan masa yang ada dan bawa Allisa lari dari situ dan luahkan
rasa hatinya yang terbuku. Tidak pula dia fikirkan akibat dari tindakannya itu.
Bak kata abangnya, dia ini gopoh dan tidak menyempat. Terlebih cerdik. Cerdik
sedikit dari kera di hutan. Memang berdesing telinga dengar tomahan dari abang
yang selalunya bermulut manis itu. Itu belum kira jelingan maut bapanya
ditambah pula dengan suasana hening mengalahkan kubur.
Tertekan.
Sudahlah Allisa berperangai pelik semalam. Tiba-tiba mengajaknya keluar berdua
ke bandar selepas gadis itu selesai dengan urusan perpindahan mereka. Lebih
mengejutkan gadis itu berpakaian molek seperti gadis-gadis lain. Skirt kembang
dan bengkung. Renda dan ropol. Dia macam sudah tidak kenal dengan siapa dia
jatuh cinta sekrang ini. Malah dia rasa menyampah yang amat sangat. Rasa macam
disumpah! Rasa seperti seorang Scot!
“Tuan
muda?” Patrick mengetuk tingkap pedati dengan berhati-hati. Daniel pandang
wajah Patrick. Sedikit keliru.
“Kita
dah sampai,” umum joki itu.
Tiba-tiba
dirasakan nafasnya pendek. Matanya mengintai ke luar tingkap. Tersegam megah
sebuah rumah agam tiga tingkat dengan dirian empat batang tiang roman di
hadapan rumah itu. Tahu cari jalan masalah tahu cari jalan pulang. Daniel
berdoa di dalam hati sebelum dia turun dari pedati.
“Ucapkan
saya selamat Pat,” cakapnya bila dia jejak tanah. Patrick pandangnya dengan
wajah simpati.
“Saya
pasti mereka takkan bunuh tuan muda atau campak tuan muda ke dalam laut. Awak
bakal menantu mereka,” kata Patrick berupa ucapan semangat tetapi entah kenapa
semakin memulas perut dirasakan.
Daniel
tersengih kambing. “Terima kasih Pat. Awak sangat membantu,” perlinya. Joki
rumahnya itu hanya tersenyum. Di hujung garisan mulutnya terbit rasa bersalah.
Sekali
lagi dia tarik nafasnya dan dia melangkah mendaki tangga menuju ke ruang yang
menempatkan takdirnya selepas ini. Namun baharu sahaja dia melangkah masuk ke
dalam rumah itu, wajah masam Anita sudah menyambut kedatangannya dengan tangan
bersilang dan mata yang tidak terus memandang ke matanya seperti selalu.
“Sihat? Saya bawa buah tangan kegemaran awak.”
Gadis
itu menghela nafas berat. “Kalau dari dulu macam ini Daniel, kan bagus?” luah
Anita kesal. Dia ambil bakul berisi buah-buahan dan segenggam bunga segar yang
terletak elok di dalam bakul tersebut. Dia kemudiannya serah bakul tersebut ke
Fyna.
Daniel
ketap bibirnya. Tersentap di situ tetapi padanlah dengan mukanya kerana itu
memang salah dia. Haruslah dia makan bulat-bulat kata-kata Anita itu. Lagi pula
atas nasihat Allisa semalam... dia cuba tempuhi sesi ini dengan penuh ikhlas.
Juga sedikit keberanian yang semakin berkurangan. Dia dapat rasakan tangkai
hatinya semakin mengecut.
“Saya
minta maaf atas hal tempoh hari. Saya tak sedia lagi.”
“Awak
tak perlu minta maaf Daniel. Saya yang paksa ayah saya untuk percepatkan hal
ini dan saya tak ambil hati pun bila awak tak datang tempoh hari. Saya... dapat
agak yang awak akan lari. Saya harap awak tak lari masa hari perkahwinan kita.”
Bahu
Daniel semakin memberat. Bagaimana? Bagaimana dia hendak penuhi kehendak Anita
dengan hatinya yang tidak rela begini?
“Jadi
awak tak perlu risau. Yang patut awak risau sekarang ialah apa yang tengah
tunggu awak kat dalam. Awak akan terkejut sepertimana saya tidak mampu percaya pada
mata kepala saya ni,” pesan tunangnya. Mereka berhenti di hadapan pintu ruang
tamu. Daniel pandang wajah Anita dengan dahi berkerut. Adakah dia akan
ditengking oleh Tuan Wheatherspoon nanti atau Tuan Wheatherspoon akan campaknya
ke dalam laut seperti apa yang Patrick katakan tadi? Harap mulut lelaki itu
tidak masin.
Anita
ketawa di dalam hatinya. Melihat wajah cuak Daniel, hatinya berdesis. Entah
apalah yang lelaki itu fikirkan sehingga berwajah begitu cuak. Akan tetapi, apa
yang dia pasti, Danial tidak akan dapat mengagak perkara yang satu ini. Dia
tidak pasti apa motif orang itu tetapi dia dapat rasakan yang impiannya untuk
mengahwini Daniel ada sedikit sinar harapan.
MATA
Daniel terpaku melihat susuk tubuh itu yang duduk menegak berhadapan dengan
Tuan Wheatherspoon itu. Tiba-tiba fikirannya jadi kosong. Dia keliru dengan
pemandangan di hadapan matanya ini. Dia alih matanya melihat Anita di
sebelahnya. Gadis itu hanya tersenyum sinis. Lebih kepada mentertawakan dirinya
sendiri.
“Apa
yang dia buat kat sini?” bisik Daniel. Kakinya lambat mengatur langkah ke arah
bakal bapa mertuanya.
“Awak
akan tahu nanti.”
“Akhirnya
dapat juga saya jumpa awak, Daniel. Mari saya perkenalkan kepada tetamu kita.”
Ceria sekali Tuan Wheatherspoon menariknya mendekati meja di tengah ruang itu.
Seperti hal yang berlaku dua hari lepas tidak memberi apa-apa makna pada lelaki
itu. Malah liur Daniel semakin payah untuk dia telan bila sepasang mata misteri
itu memandangnya dengan pandangan yang tidak pernah dia lihat sebelum ini.
Tampak superior tetapi lembut.
“Tuan
puteri, saya kenalkan ini bakal menantu saya, Daniel James Scot,” perkenal Tuan
Wheatherspoon dan Daniel teragak-agak memberi hormat pada gads itu bila kata
nama yang Tuan Wheatherspoon gunakan itu menambahkan kelirunya.
Allisa
membalas tunduk hormat Daniel. Lemah lembut dan penuh tertib lalu dia
menghulurkan jemari kanannya. “Ya. Tuan Muda Scot yang popular itu. Pertama
kali kita berjumpa. Patik, Allisa Leann Reed. Puteri Mahkota Kerajaan Neon dari
Kepulauan Brynn di Atas Negeri Darmadin dan negeri-negeri di bawah naungan,”
ujarnya.
Daniel
pandang wajah Allisa tidak berkelip. Tangan Allisa yang berhulur dari tadi
tidak bersambut. Perkenalan gadis itu menjelaskan satu perkara yang selama ini
mengganggu mindanya namun wujud berpuluh lagi persoalan di mindanya. Dia
tiba-tiba terfikirkan Julie dan Juliane. Dua beradik itu pasti berkomplot juga
dalam hal ini malah lebih mengharukan ialah tindakannya tempoh hari terhadap
Allisa. Mana dia nak sorok wajahnya saat ini?
“Daniel?”
Teguran
Tuan Wheatherspoon menyedarkannya dari pemikiran yang jauh di dasar. Melihat
tangan Allisa yang berlapik itu masih lagi berhulur tanpa bersambut. Badannya
di situ tetapi fikirannya kembali menerawang kepada kisah semalam.
WALAUPUN ini kali kedua dia melihat Allisa berpakaian feminin tetap dia
tidak mampu menutup mulutnya dari terbuka dengan mata tidak berkelip. Jantung
berdebar sakan. Tangannya berpeluh. Ketiaknya mula basah. Dia gementar. Tidak
tahu kenapa dia tiba-tiba ada sindrom lama ini datang semula. “Allisa?”
Gadis itu menghulur senyum. Kemudian dia bangun ambil parasolnya dan pusing
kiri dan kanannya sambil kedua belah tangannya disilangkan ke belakang
badannya. Mukanya terselah memohon pujian.
Daniel pandang Allisa atas bawah. Gaun serba merah jambu lembut dan
bersulam emas. Rambut hitamnya yang paras bahu itu diikat ke belakang. Baru ini
dia sedar yang Allisa sudah tampak sedikit berisi dan lebih cantik. “Menawan,”
pujinya laju meluncur dua ulas bibirnya. Dia sengih sedikit.
“Terima kasih. Tapi saya teringin nak dengar awak panggil saya bidadari
macam hari itu,” usik Allisa. Walaupun begitu jantung tetap berdebar hebat bila
dipuji begitu. Dengan tangan yang sedikit menggeletar dia membuka parasolnya
dan entah macam mana dia tertolak sedikit kuat sehingga mengejutkan dirinya
sendiri. Terenjut bahunya.
Daniel ketawa.
“Tak kelakarlah,” marah gadis itu. Suaranya pun antara hendak keluar dan
tidak. Sebuah jelingan tajam dihadiahkan
bagi menutup rasa cemas. Kakinya melangkah menjauhi Daniel. Perlahan-lahan dia
tarik dan hembus nafasnya. Suasana petang itu tidak terlalu terik namun tidak
terlalu redup. Namun bahang musim panas sudah mula terasa walaupun angin
bertiup sepoi-sepoi bahasa, pipi merahnya masih merah dan hatinya mendongkol
geram, menyumpah seranah sahabatnya yang memaksanya membawa sekaki parasol ini.
Dia jarang gunakan aksesori ini berikutan dia sering berada di dalam istana dan
jarang bersiar. Tidak fasal-fasal dia jadi bahan ketawa Daniel dek rasa kekok
dan cemasnya.
“Awak marah lagi?” soal Daniel yang sudah jalan beriringan dengannya.
“Kalau ya saya minta maaf,” ujarnya sambil tersenyum simpul. Perlakuan Allisa
petang itu tampak lain dari biasa. Mungkin gaun yang gadis itu pakai atau
bebayang dari parasol yang gadis itu pegang tetapi dia nampak sesuatu yang lain
di mata Allisa yang buatkan hatinya makin tidak keruan. Umpama batang mancis
menunggu masa untuk terpatah dua.
Allisa berhenti berjalan. Dia cuba mengawal getarnya. Dia tidak mahu Daniel
nampak apa yang tersirat di balik matanya. “Macam tak ikhlas je. Cuba buat
sepenuh hati bila nak ucap maaf, macam... masa awak beria nak ajar saya
memandu? Cuba ikhlas dalam setiap perkara walaupun awak tak suka. Jangan nampak
sangat! Ini tak, asal tak suka, susah... lari,” pesan Allisa, sempat dia
selitkan perlian terhadap perangai Daniel yang melarikan diri dari berjumpa
dengan keluarga Wheatherspoon tempoh hari.
Dahi Daniel berkerut. “Siapa kata?”
“Saya.”
“Macam mana awak tahu?”
“Saya tahulah.”
“Jadi awak tahu juga betapa saya cintakan awak?” Spontan ayat itu keluar
dari mulutnya. Seperti dia mengutip sebiji-sebiji perangai buruk sahabat
baiknya, Willson. Dia gigit lidahnya dalam diam. Nampak sangat dia begitu
mengharap dan bak kata abangnya, gelojoh. Akan tetapi, dia tetap mahu tahu. Dia
inginkan kepastian. Satu jaminan. Mancisnya semakin membengkok. Dia kesuntukan
masa.
Allisa terdiam. Matanya terkebil-kebil memandang Daniel yang menanti dia
menjawab soalan cepumas itu. Hampir berhenti berfungsi jantungnya
mendengarkannya. “Tolong jangan ubah topik, Daniel.” Dia kembali berjalan.
Matanya dirajinkan meliar melihat kanak-kanak riang berlari mengejar rama-rama,
sebuah keluarga yang santai berkhelah, seorang kanak-kanak perempuan yang
menjual bunga-bunga peony dan pelbagai gelagat manusia yang tidak mampu dia
beri perhatian bila Daniel tarik pergelangannya. Parasolnya jatuh. Mata mereka
bertentangan. Allisa gugup. Dia mula bimbang walaupun sudah berapa kali Julie
yakinkan dia mampu lakukannya.
“Awak masih tak boleh terima cinta saya?” Kejap Daniel memegang pergelangan
Allisa. Dia fikir bila Allisa mengajaknya keluar petang itu setalah gadis itu
bersama-sama Julie pindah keluar dari rumah agam itu sehari lepas, Allisa sudah
dapat menerima cintanya. Walaupun dia sukar untuk mempercayainya, namun dia
ajar hatinya untuk berfikir begitu. Dia harapkan begitu. Dia sendiri yang
mencari maut. Tidak guna dia menyesal. Julie sudah lama pesan pada dia. Tuan
Scot sudah lama menyuruhnya mencintai Anita. Vincent sudah lama kecewa dengan
dia dan dia... hanya mampu melihat mancisnya patah menjadi dua. Suis yang sudah
lama tidak hidup semenjak kehadiran Allisa a.k.a Benjamin, terpasang semula.
Allisa meramas-ramas pergelangannya bila Daniel lepas tangannya tadi. Bekas
merah jemari Daniel jelas kelihatan. Baharu dia sedar, jemarinya menggeletar
dasyat, dia mula berasa takut. Tidak tahu samaada sebenarnya rancangannya ini
akan menjadi atau tidak, sedangkan ianya baru bermula. Masih jauh lagi dia
rasakan untuk dia berputus asa sekarang ini. Dia tarik nafasnya dalam. Dia
harus lakukan. Demi dirinya dan demi Daniel.
“Kenapa...?” Dia dongak bertentang mata dengan mata coklat yang tadi
bersinar terang dengan cahaya penuh harapan kini tampak redup dan kelam –
berputus asa. Ataupun dia cepat menilai? Satu perkara yang dia tahu tentang
Daniel dari awal perkenalan mereka, lelaki ini terlalu cepat berubah emosinya.
Bagai angin di lautan. Sekejap mengganas dan sekejap itu dia tenang. Bila ingin
berombak badai, habis semua menjadi gelap dan kelam. Bila ingin pendamping
setia yang menyenangkan, matahari pun boleh terkelihatan senyum di mulut dan
matanya. Pelik. Tetapi inilah lelaki hatinya cintai dan dia tidak mampu untuk
membalas seurat benang cinta pun untuk lelaki itu. Apa sahaja yang Daniel
nampak dalam dirinya yang dia tidak nampak?
“... kenapa awak cintakan saya?”
Lelaki itu hela nafas berat. Dia larikan matanya dari terus berlawan
pandang dengan gadis itu. Jiwanya tiba-tiba seperti dihempas kaca, diketuk
tukul, dibaling ke dinding... soalan Allisa kedengaran seperti penuh
penyesalan. Nada yang berkata penuh rasa sinis. Agaknya inilah perasaan Anita
bila setiap kali dia sakitkan hati gadis itu. Untuk 10 tahun dia tampar wajah
gadis itu dengan kata-kata tanpa dia sedar dan apa yang gadis itu lakukan
hanyalah terus setia padanya.
“Walaupun awak cakap pertunangan ni tak bermakna buat awak... walau
sekalipun awak akan cakap yang awak tak harapkan apa-apa dari pertunangan ni...
bagi saya pertunangan bermakna segalanya. Saya tunggu 10 tahun Daniel untuk
perkara ni berlaku. Saya nak sangat kita berkahwin. Saya nak sangat awak cintai
saya sebagaimana saya cintakan awak. Salah ke saya impikan perkara macam tu?”
Kenapa sukar untuk dia memahami semua itu sebelum ini? Berapa kali dia
perlu ingatkan dirinya sebelum ini yang dia sudah ada Anita. Dia ada janji yang
dia perlu tunai. Apa yang dia sudah lakukan? Mana perginya azamnya untuk menamatkan
sumpahan dalam dirinya ini dengan menunaikan janji yang dia lakukan pada Anita.
Setelah selama ini dia mengharungi dugaan dan soliditari dari masyarakat
sekeliling lebih-lebih lagi dari himpunan sosial besar-besaran warga belia
sepertinya di majlis-majlis formal. Sepanjang hayatnya, dia hanya kenal
Willson, Anita, Julie dan lima lagi sahabat lelaki yang rata-rata dari bapa
mereka bersahabat baik dengan bapanya. Debutnya? Bosan. Dia tidak dapat
berinteraksi dengan mana-mana gadis. Dia menjadi Scot. Keras, dingin dan
berlidah tajam. Tetapi dalamannya, dia jadi gementar, talepak tangannya
berpeluh dan matanya hilang fokus. Tapi semua itu hilang suatu hari.
“Daniel...”
Dia berpaling ke belakang. Dia berjalan tanpa dia sedar dan Allisa
menemaninya sepanjang jalan sehinggalah dia hampir melanggar pokok. Gadis itu
memandangnya dengan wajah risau.
“Awak tak apa-apa? Saya minta maaf kalau saya cakap perkara yang dah
lukakan hati awak. Apa kata kita balik?” cadangnya. Daniel lihat wajah itu
seperti bersalah dan tidak tentu arah bila bercakap dengannya tadi.
Di tepi pokok itu, Daniel terduduk lemah. Dia pandang Allisa. Tangan
kirinya menepuk-nepuk tempat disebelahnya, mengajak gadis itu duduk bersamanya.
“Awak taknak balik?”
Daniel menggeleng.
Allisa ketap bibirnya. Kiri dan kanannya dia lihat. Parasolnya diletak
dahulu. Teragak-agak dan sedikit berjarak, dia ambil tempatnya di sebelah kiri
Daniel. Sambil itu matanya curi-curi
pandang orang sebelahnya. Seingatnya ini adalah kali pertama dia berduaan
dengan Daniel di tempat awam. Selama ini dia banyak habiskan masanya di rumah
agam sepertinya dia terbiasa dengan habitnya yang dahulu. Jika dia keluar pun,
dia bersama Julie, pergi ke Au Liet dan paling habis pun ke Madam’s, pusat beli
belah pakaian wanita terkenal di kota ini. Itupun tak lama. Rata-rata
pengunjung Madam’s ialah wanita dan dia ialah seorang gadis berpakaian lelaki.
Di mata kasar mereka, dia umpama teman lelaki Julie yang paling mudah di bawa
ke mana-mana. Baharu kali ini dia melangkah keluar dengan pakaian serba
keperempuanan.
Di bawah pokok itu, jauh dari pandangan mata orang ramai, mereka berdua
lebih banyak mendiamkan diri, fikiran menerawang jauh ke sana dan sini. Masa
berlalu, Allisa mahupun Daniel, mereka masing-masing seperti enggan bangun.
“Dulu... banyak kali saya cuba untuk bersosial dengan gadis baya saya...”
Daniel berbica, memecah suasana damai antara mereka. “Tapi sukar untuk saya
berasa senang dengan mereka. Saya akan mula berpeluh dan saya akan mula berkata
sesuatu yang saya tak maksudkan. Bahasa saya sangat kasar sehingga mereka
menangis dan takut dengan saya.” Dia ketawa halus. Mengenangkan memori sewaktu
dia miniti usia belasan tahun, dia sendiri juga takut dengan dirinya sendiri.
Dia pandang wajah Allisa. Gadis itu sudah terlentok lena. Dengan cuaca dan
suasana yang boleh mengundang sangap setiap masa, dia tidak terkejut melihat
Allisa sudah kalah dengan godaan alam.
Daniel terseyum nipis. “Sebab saya cintakan awak ialah kerana awak bawa
cinta dalam hidup saya. Awak buat saya lupa yang saya ialah seorang Scot.
Sekarang ini pun, walaupun saya teringin sentuh wajah awak, belai awak dalam
dakapan saya seperti tempoh hari...” Dia cuba angkat tangannya. Namun beratnya
seperti memunggah dua guni gandum. Menggeletar dan berpeluh yang dia rasakan.
Perubahan ketara mula berlaku pada dirinya. Bibirnya mulai pucat. Seketika dia
cuma mampu mengusap pipi Allisa selepas itu tangannya ditarik pantas. Tangannya
masih menggeletar. Bibirnya terukir senyum paksa. Ketawa halus terbit di
hujungnya. “Ini yang akan terjadi bila hati saya sepenuhnya mengakui kewujudan
awak sebagai seorang gadis sejati.”
No comments:
Post a Comment