28
Petang itu bila dia pulang ke rumah, suasana senyap sunyi dan hanya
kedengaran bisik-bisik Clarice dan Bianca berbual di dapur. Dia cabut sarung
tangannya dan letaknya di atas meja bersebelahan penyangkut kot dan tong berisi
payung. Sempat lagi dia intai penampilannya di cermin yang diletak selari
dengan meja. Kemudian dia beralih ke pintu sebelah yang menghubungkan ruang
tamu utama. Wajahnya terjengul di sebalik pintu itu. Mata melilau mencari
bayang Julie. Bibirnya mencebik bila tiada seurat benang tanda kewujudan
sahabatnya itu. Dia tutup pintu. Suara Clarice dan Bianca masih kedengaran di
dapur. Selang itu mereka ketawa mengekek. Nafas dihembus penat. Tidak mahu
mengacau mereka membuat kerja nanti tidak fasal-fasal jadi kekok sepertimana
berlaku dua hari lepas. Jadi dia ambil keputusan untuk naik ke biliknya dan
menukar pakaian.
Perlahan dia daki anak tangga. Wajah Daniel bermain di mindanya. Penuh rasa
terkejut dan ketidakpercayaan. Mata lelaki itu memancarkan cahaya resonan yang
sama seperti semalam ketika mereka berpisah untuk pulang ke haluan
masing-masing. Allisa tidak betah memandang lama-lama wajah Daniel. Tangannya
yang tika itu berlapik dengan sarung tangan rendanya masih lagi terapung tidak
bersambut. Tuan Wheatherspoon sudah memanggil-manggil nama bakal menantunya.
Allisa menyandarkan tubuhnya pada permukaan pintu selepas dia tutup pintu
biliknya. Satu keluhan berat terpacul di bibirnya.
“Maaf. Tapi saya tak pegang tangan perempuan yang tiada kaitan dengan saya
yakni bagi saya, hati dan perasaan tunang saya lebih penting sekarang ini.”
Allisa menggeleng-geleng beberapa kali. Cuba membuang suara Daniel jauh
dari ingatannya. Dia mengukir senyum penuh sarkastik. Kedua belah tangannya
mendarat di pipinya. “Kau dah berjaya, All! Kau dah berjaya!” ujarnya tetapi
nadanya seperti lebih kepada memujuk hatinya ini. Cinta yang wujud antara dia
dan Daniel hanya kerana mereka berada dalam situasi yang memenatkan.
Dia harus tulis kad ucapan terima kasih pada Tuan Wheatherspoon kerana
telah bekerjasama dengannya. Mungkin sedikit cenderamata juga. Pada malam
sebelum dia berpindah, dia telah menelefon Juliane untuk memaklumkan kepada
duta tersebut akan kehadirannya juga memberitahu akan identitinya yang sebenar.
Tunangnya itu tidak banyak soal bila dia kemukakan alasan yang dia ingin
berkenalan dan mengucap maaf atas ketidakhadirannya di majlis ulatangtahun
perkahwinan lelaki itu. Bila dia berbual dengan Tuan Wheatherspoon pagi tadi,
dari nada lelaki itu, hubungan baiknya dengan Daniel sudahpun diketahui. Juga
skandal yang berlaku baru-baru ini. Namun dia dapat tarik perhatian duta itu
dengan menyuarakan yang dia tidak berniat untuk menghuru-harakan hubungan
antara anak gadis lelaki itu dengan Daniel. Dengan mudah dia dapat buat
persembahan kecil di hadapan Anita dan Daniel. Sebelum dia pulang, sempat dia
minta agar identitinya tidak diuar-uarkan selagi dia tidak umumkan majlis
penabalannya.
Dia hempas dirinya di kerusi kecil berhadapan meja soleknya. Sepit rambut
yang mengikat gumpalan kecil rambutnya dibuka lalu diletak ke dalam kotak
khusus untuk barang perhiasan rambutnya. Kebanyakkan barang-barangnya di bawa
turun dari Brynn oleh Clarice juga empat buah beg penuh berisi gaun petang dan
malam. Dia sisir rambut hitamnya. Rambut depannya yang semakin panjang ditolak
ke tepi menyerlahkan dahi dan keningnya. Kesan calar di atas kening kirinya
menarik jarinya untuk menyentuh atas keningnya. Calar sepanjang lima milimiter
yang menyerong dari atas dahi turun ke pangkal kening kirinya. Kesan calar yang
melekat di dahinya hasil tangan Juliane.
Jarinya berhenti mengusap keningnya. Sesuatu mengganggu benaknya. Ada
sesuatu yang tertinggal dalam memorinya selain dari memorinya yang hilang tiga
tahun lalu. Bagaimana sebenarnya dia peroleh calar di dahi ini?
Serentak itu, di dalam cermin, dia nampak seorang gadis sebayanya,
seirasnya, melakukan aksi yang sama sepertinya yang berbeza di atas kening kiri
gadis itu tiada kesan calar sepertinya. Nafasnya terjerut. Fokus anak matanya
tidak mampu dialihkan ke arah lain selain daripada melihat refleksinya di
cermin. Bulu romanya meremang. Bila dia terperasankan air mata yang mengalir
dari tubir mata gadis di dalam cermin itu, dia pantas bertindak menjauhi cermin
tersebut. Seluruh tubuhnya menggigil. Melihatkan gadis di dalam cermin itu
masih lagi terduduk di posisi tadi, matanya melilau mencari alat untuk dia
baling ke permukaan cermin. Berus rambutnya tadi digapai lalu diangkat tinggi.
Namun perlakuannya terhenti. Sesuatu menahannya dari membaling berus tersebut.
Allisa lihat seraut wajah miripnya itu, menitiskan air mata tidak henti, tidak
mengeluarkan satu bunyi pun. Bibir gadis itu bergerak, cuba mengatakan sesuatu.
“Allisa!!!”
Bersama jeritan nyaring itu, bunyi ketukan di pintu yang bertalu-talu
mengejutkan Allisa. Dia berpaling memandang pintu biliknya yang berkunci dari
dalam. Tanpa menunggu lama, dia kembali berkalih memandang cermin soleknya.
Namun bila dia berbuat demikian, dia terkejut. Dia yang tadi berdiri memegang
berus sudah terduduk molek di atas kerusi berhadapan cermin soleknya. Imej yang
terpantul di permukaan cermin, mula mengikuti pergerakannya, memancarkan cahaya
imej yang serupa dan tidak tertinggal satu calar pun di wajahnya. Allisa
tersandar lega.
“Allisa!!! Buka pintu ni!!!”
Suara Julie terus menghantui depan biliknya. Dengan ketukan yang tiada
henti malah semakin kuat, Allisa melangkah juga membukakan pintu untuk Julie.
“Buka pun. Awak buat apa aja kat dalam sampai jerit panggil nama awak
berpuluh-puluh kali awak tak sahut?” soal Julie seperti das puluru berpandu.
Gadis itu sudah berdiri bercekak pinggang dengan tangan sebelah lagi
mengibas-ngibas muka yang kononnya berbahang dek marahkan Allisa.
Allisa hanya tersengih kambing sambil menggaru-garu lehernya yang tidak
gatal. “Maaf. Tertidur. Tadi saya cari awak, tapi tak jumpa. Awak dari mana?”
Julie mendengus. “Ada je kat dapur.”
Kening Allisa terangkat. Tidak pula tadi dia dengar suara Julie
berbual-bual mesra dengan pembantu-pembantu rumah tadi.
“Dah, jangan tercegat kat sini. Jom kita pergi makan.” Tarik Julie namun
Allisa memakukan kakinya di depan pintu, tangannya menahan Julie dari pergi.
Ada soalan yang dia ingin tanyakan. Sesuatu yang baharu dia perasankan.
“Jul... saya nak tanya sesuatu.”
“Tanya apa? Fasal Daniel ke?”
Allisa menggeleng.
“Jadi?”
“Calar kat kening ni... awak ingat tak punca saya dapat calar ni?” soal
Allisa dan automatik tangan kirinya bergerak menyentuh calar di atas keningnya
itu.
Dahi Julie berkerut. “Mestilah. Itukan calar yang abang saya buat. Saya
nampak sendiri dengan mata kepala saya yang – ”
Tiba-tiba Julie senyap. Allisa berasa pelik. Dia lihat Julie berdiri statik
di tempatnya, mata gadis itu tidak berkedip untuk 10 saat lamanya dan secara
mendadak Julie senyum. “Macam tulah awak dapat calar tu.”
Allisa tersentak. Macam mana dia dapat calar kat atas kening ni? Dia ada
tertinggal sesuatu ke?
“Kenapa awak buat muka macam tu? Dah jom kita pergi makan. Lama diaorang
tunggu kita.” Julie menarik Allisa tanpa menerangkan dengan jelas apa yang
berlaku sebenarnya di sebalik kisah calar yang berbekas di atas kening kirinya.
“SELAMAT HARI LAHIR! Selamat hari lahir! Selamat hari lahir...” nyanyi
Julie, Clarice dan Bianca dengan wajah ceria. Sesudah lagu itu tamat, mereka
menunggu Allisa meniup lilin yang dicucuk di atas kek sponge sebanyak 19
batang. Allisa tutup matanya dan mula berdoa lalu bila dia sudah membuat
hajatnya, dia tiup api-api yang mula mencairkan lilin-lilin yang bewarna-warni
itu.
“Yay!” mereka bersorak.
Allisa ketawa. “Apa ni? Hari lahir saya minggu depan. Kenapa sambut awal
sangat?” soalnya dengan kepala yang tergeleng-geleng sambil tangan kanannya
satu-satu mencabut batang-batang lilin yang berdiri di atas kek sponge oren
kegemarannya. “Ini semua mesti kerja Julie?” tekanya.
Julie menggeleng. “Tak... Ini semua kerja mereka. Saya tumpang sekaki je,”
jawabnya sambil lewa. Dengan muka tidak malu dia potong kek itu terlebih
dahulu, melebih dari tuan punya majlis.
“Yelah...” cakap Allisa matanya memandang Clarice dan Bianca. Bibirnya
menguntum senyum tanda mengucap terima kasih kerana sudi menyambut hari
lahirnya yang pertama setelah tiga tahun dibiarkan sepi. Dua orang pembantu
rumah menunduk dan mereka makan dengan senyap bila selesai memotong
bahagiannya. Bila difikir semula, minggu depan genaplah empat tahun dari hari
dia tertidur panjang.
“Clarice, Bianca,” panggil Allisa.
Kedua orang gadis itu mengangkat muka mereka. “Ya tuan puteri?”
Allisa ketawa. “Kenapa formal sangat? Kat dalam rumah ni awak panggil saya
cik macam awak panggil cik pada Julie. Okey?”
Mereka berdua saling berpandangan. Takut-takut untuk bersetuju dengan
permintaan Allisa. Masih kekok dengan kehadiran Allisa dalam hidup mereka.
“Dalam rumah ini je. Awak jangan risau. Tiada siapa nak marah awak. Kalau awak
kekok dengan saya, saya lagi kekok dengan awak berdua,” beritahu Allisa lagi.
Dia berharap sangat Clarice dan Bianca tidak kekok berada dengannya lebih-lebih
lagi dia mahu bawa mereka beruda pergi ke Prace. Tidak mahu dia tinggalkan
mereka di sini. Julie pun bersetuju dengan cadangannya.
“Baiklah cik.” Akhirnya Clarice bersetuju. Malu-malu dia mengukir senyum.
Manakala si kecil Bianca yang baharu berusia 15 tahun senyap menukur lantai.
“Bianca?”
Gadis kecil itu mendongak.
“Awak okey tak?”
Gadis itu mengangguk.
Allisa tersenyum puas.
“Saya pasti Julie dah beritahu awak yang besok kita akan berangkat ke
Prace. Awak berdua tak kisahkan untuk ikut kami ke sana?” soal Allisa selepas
dia menyuap sesudu kek ke dalam mulutnya.
Mereka berdua menggeleng tanda mereka hanya mengikut.
“Tapikan All.” Suara Julie mencelah setelah dia hanya senyap dari tadi
sibuk menambah-nambah kek. Kali ini dia memotong lagi. Potongan yang keempat.
Allisa punya kek masih tidak luak.
“... awak cakap tak dengan atuk awak yang awak nak ke Prace? Saya takut
nanti dia kecil hati awak buat macam ni senyap-senyap. Minggu depan hari lahir
awak. Kalau dia turun macam mana?” Julie beri soalan cepumas. Sengaja mahu
menakutkan Allisa sedangkan dia tahu jawapan yang Allisa akan beri.
“Atuk saya takkan turun. Dia takkan tinggalkan nenek saya sorang-sorang.
Fasal saya ke Prace, saya tak bagitahu pun. Saya taknak buat dia risau. Awak
ada untuk jaga saya kalau saya susah. Abang Vince dan Kak Adella pun ada,”
jawab Allisa perlahan. Wajahnya tenang saat menutur setiap patah kata itu. Jauh
di sudut hatinya, dia cemburu dengan kesetiaan yang datuknya berikan pada neneknya.
Sehingga hujung nyawa, cinta mereka masih ada.
‘Tok,tok, tok!’
Seisi meja itu saling berpandangan.
“Ada jemput orang lain ke?”
“Tak,” jawab Julie sepatah bersama gelengan yang meyakinkan.
Bianca bangun untuk menyambut tetamu yang datang dari arah pintu dapur.
Gadis itu buka sedikit lalu dia intai gerangan orang yang bertandang tiba-tiba.
Melihatkan gerangan tuan yang berdiri di muka pintu sambil tersenyum manis,
pipi Bianca bertukar merah.
“Siapa Bianca?” tanya Julie.
Bianca berpusing menghadap Julie. Pipinya masih merah. Bibirnya sedikit
menggeletar. “L... Lelaki...” Halus sahaja suara yang keluar dari bibirnya.
“Will?” duga Allisa.
Julie mendengus tidak mahu percaya.
“Bagi dia masuk Bianca.” Allisa memberi izin.
“All!”
“Apa?”
“Selamat petang gadis!”
Allisa, Julie dan Clarice berpaling memandang wajah Willson yang terukir
senyuman serba naifnya dan di tangan lelaki itu terdapat sebuah tembikai yang
boleh tahan saiznya. “Saya bawa tembikai terus dari ladang pakcik saya di
sebelah timur sana,” kata Willson sambil mengangkat buah tersebut dan
diletaknya di atas meja bersebelahan sinki.
Clarice pantas bangun dan mula mencari pisau bila Allisa menyuruhnya memotong
buah itu sekarang juga. Bianca pula, dengan pipinya yang masih merah, dia
mengikut jejak Clarice.
“Wah, buat majlis tak ajak saya!” Selamba sekali Willson duduk tanpa
dijemput. Kek dipotong dan diletak di atas piring yang Bianca guna tadi. Tanpa
toleh kiri dan kanan dia pun makan.
Terdengar keluhan kecil di bibir Julie.
Allisa jeling sahabatnya.
Julie menjungilkan matanya pula.
Allisa balas dengan aksi yang sama.
Kali ini, Julie mengerut-kerutkan dahinya dengan bahu terjongket sama.
“Awak berdua hebatlah...” celah Willson. Lelaki itu memandang Julie dan
Allisa silih ganti tetapi pandangannya jatuh lama di Julie sebelum berkalih ke
Allisa dan balik semula ke Julie. “Boleh cakap bahasa isyarat macam tu. Saya
dengan Daniel lansung tak ada persefahaman yang macam tu, tahu!” dia
berlulucon. Namun yang ketawanya dia seorang sahaja. Allisa hanya mampu tersengih
dan Julie pula masih lagi lagi dengan muka masamnya.
Melihatkan suasana yang senyap itu, Willson berhenti ketawa. Malah dia
berdeham menahan rasa gugupnya. Dia sebenarnya secara tidak sengaja terdengar
isi perbualan mereka tentang bakal kunjungan mereka ke Prace. Secara tiba-tiba
dan mendadak. Dia yang mendengar pun berasa terkejut apatah lagi orang
disebelahnya tadi.
Clarice meletak semangkuk potongan buah tembikai di atas meja makan
mewakili sebahagian biji tembikai dan lagi sebahagian di simpan ke dalam bekas
simpan.
Julie berdiri. Nafasnya ditarik dalam lalu dihembus. Dia pandang wajah
Allisa dalam keraguan namun kemudian dia tetapkan fikirannya. Wajah Willson
dipandang tajam. “Kita cakap dekat luar, sekarang!” tanpa tunggu kata putus
dari Willson, gadis itu bergerak menuju ke taman belakang rumah yang sekangkang
kera dan kosong tanpa sebarang tanaman bunga waima sayur.
Mata Willson bergerak mengikut langkah Julie kemudian dia pandang Allisa.
Gadis itu mengukir senyuman nipis. Willson ketap giginya. “Sekejap lagi atau
bila-bila masa dari sekarang, dia akan datang cari awak. Bersedialah,” pesan
Willson lalu bangun dan berlalu ke taman belakang mengikut jejak Julie. Nadanya
kedengaran tegas dan separa berbisik.
Semasa Willson pesan padanya tadi dia tidak syak apa-apa tetapi bila dering
loceng rumah berbunyi, kepala Allisa berpusing ke ruang depan, melihat pintu
utama. Dadanya berdebar sakan. Bila difikir semula, ‘dia’ yang Willson katakan
tadi mungkin ialah orang itu.
“SIAPA Clarice?” soal Allisa yang berdiri di belakang pembantu itu.
“Tuan muda Scot,” jawab Clarice sebaik sahaja dia intai dari lubang cermin
pintu. Dia ingat-ingat lupa wajah lelaki yang dia jumpa sekejap sewaktu dia
datang membantu Cik Muda Julie kutip barang di rumah agam keluarga itu walaupun
dia nampak sekilas. Dia pandang wajah Allisa.
Wajah tuan puteri itu kelihatan tenang dan seperti sudah dapat menduga
kehadiran tetamu ini.
“Kalau macam tu, biar saya yang bukakan pintu. Awak pergi tolong Bianca.
Saya tengok dia macam nak demam. Muka dia merah sangat tadi. Suruh dia
berehat,” pesan Allisa. Clarice mengangguk akur. Sepeninggalan Clarice, Allisa
betulkan baju dan rambutnya yang dibiar lepas bebas. Rambut depan yang hampir
menutup mukanya, diselit ke belakang telingan kanannya. Dengan sekali tarikan
nafas yang dalam, Allisa buka pintu itu. Cukup untuk dia berdiri di antara
ambang pintu dan daun pintu. Senyuman mesara dihulur bila dia nampak wajah
keruh ‘dia’.
“Sekejap lagi atau bila-bila masa dari sekarang, dia akan datang cari awak.
Bersedialah.”
“Selamat petang Daniel.”
“Selamat petang...” mendatar Daniel membalas. Matanya memandang Allisa
tidak lepas.
“Apa yang buatkan awak datang ke sini? Bukan tadi kita dah jumpa?” Hendak
sahaja Allisa menambah, ‘bukan awak nak jaga hati dan perasaan tunang awak ke?
Buat apa datang ke rumah anak dara petang-petang begini?’ Tetapi dia luahkan di
hati sahaja. Nampak sangat nadanya seperti cemburu dan memprotes dengan sikap
Daniel pagi tadi.
Mata Daniel jeling kiri dan kanannya. Kemudian dia pandang Allisa semula.
“Awak tak nak jemput saya masuk dalam? Banyak mata yang memandang kita atau
awak nak jadi bualan orang ramai?” sadis sekali Daniel menukar topik.
Mata Allisa mengecil. Pertempuran terakhir ini akan dia tamat dengan penuh
kejam sekali. Jika dia mampu. Sehingga itu, tuhan tolonglah dia. “Saya tak ada
sebab pun nak jemput awak masuk ke dalam. Kita tak ada apa yang hendak
dibualkan pun!”
Daniel tersenyum sinis. “Awak menghalau saya?”
“Terpulang.”
“Jadi saya akan anggap awak sebagai seorang puteri yang biadap dan tidak
ada tatasusila!”
“Teruskan. Saya berhak untuk jemput sesiapa sahaja ke dalam rumah ini asal
saya rela!” bidas Allisa semula.
“Kenapa awak buat saya macam ni?”
“Awak yang paksa saya, Daniel.”
Daniel mengeluh. Allisa sudah berpeluk tubuh.
“Kenapa kita kena jadi macam ni?” soal Daniel bila dia menjarakkan sedikit
dirinya dari Allisa. Badannya menggeletar. Marah, sedih dan kecewa. Semua itu
bersatu dan dia jadi keliru.
Gadis itu menggeleng. “Tiada kita antara saya dan awak, Daniel. Tiada apa
yang bermula dan tiada apa yang berakhir.” Kali ini nada suaranya lembut.
Berharap sangat yang Daniel akan dengar katanya.
“Jadi kenapa dengan perkenalan olok-olok tadi? Kenapa dengan keputusan
mendadak untuk pergi ke Prace? Apa maksud semua tu?” soal Daniel lagi dengan
nada tidak puas. Dia sudah tidak kisah dengan suasana sekeliling. Beberapa
orang berhenti berjalan dan melihat mereka bertengkar di hadapan pintu rumah.
Allisa sudah mula rasa tidak senang. Degilnya Daniel... betul kata Vincent
yang Daniel ini sukar untuk mendengar kata! Dan dari mana lelaki ini dengar
tentang dia hendak ke Prace?
Daniel yang terperasankan keresahan di wajah Allisa tadi ketawa sinis.
“Kenapa tak boleh jawab? Terperangkap?”
Allisa tersentak. Mula berasa geram. Tidak guna tadi dia bercakap lembut. Dia
yang tadi duduk antara ambang pintu dan daun pintu mula bergerak keluar. Pintu
rumahnya ditutup. Dia tidak mahu isi rumah ini mendengar pertengkran mereka
berdua.
“Jawablah! Kenapa senyap?” provok lelaki itu lagi.
“Sebab antara kita tak setaraf!” Nah, ambiklah ayat paling berbisa sekali.
Selama ini dia tidak pernah berbangga pun dengan taraf yang dia ada tetapi
untuk kali ini dia rasa lega. Rasa beruntung dilahirkan begini.
Mata Daniel terbeliak. “Aw... selama ini awak senyapkan yang awak ini
seorang puteri dan biarkan saya melayan perasaan sendiri sebab awak fikir kita
tak setaraf? Sombong!”
“Ya, saya memang sombong dan awak tak sedar diri!” balas Allisa. “Dengar
sini Daniel, awak kena ingat siapa diri awak. Tanggungjawab awak. Jangan ikut
perasaan sahaja. Awak perasan tak apa yang dah berlaku pada diri awak? Bahasa
awak guna pada saya? Kenapa saya perlu cinta seorang lelaki yang tak boleh ubah
takdir dia sendiri? Selama mana awak cuba lupakan hubungan yang wujud antara
awak dan Anita, ia takkan ubah apa-apa kalau awak duduk diam dan lari dari
segala masalah! Mencintai saya bukan jalan penyelesaiannya!”
‘Bam!’
Jantung Allisa berlari laju. Terkejut dengan tindakan Daniel. Tangan Daniel
yang mengepung dirinya menyukarkan untuk dirinya meloloskan diri dari situasi
tersebut. Lebih banyak mata-mata yang memandang. Lebih gelisah dirinya rasa.
Mindanya ligat mencari peluang untuk lepaskan dirinya dari situasi itu dan
matanya terus-menerus bertentang mata dengan Daniel. Walaupun Daniel berani
untuk berbuat begini, tetapi lelaki itu tidak akan lebih berani untuk
melakukannya lebih jauh dari ini. Wajah lelaki itu sudah berpeluh-peluh.
“Awak nak buat apa pada saya Daniel?” Berhati-hati Allisa menutur
kata-katanya.
Daniel mengulus senyum. “Awak fikir?”
Allisa menggeleng. Pada ketika itu dia terperasankan sesuatu. Dia tersenyum
sinis tanpa dia sedar. “Awak takkan dapat lakukannya. Saya tahu awak akan
takkan dapat...”
Dahi Daniel berkerut. Keyakinan yang dia ada untuk menakutkan Allisa
merundum. Pasti Julie ataupun abangnya ada menceritakan tentang simptom
gemuruhnya. Tetapi mereka tidak pernah tahu apa punca sebenar dia menjadi
begini selain dari pengetahuan Doktor Harper. Jadi mustahil bagi Allisa tahu
kenapa dia dalam keadaan begini. Namun melihatkan garis senyum di bibir Allisa,
Daniel terundur ke belakang sedikit.
Melihatkan peluang yang ada itu, Allisa pantas memulas tombol pintu
rumahnya dan melolos masuk ke dalam rumahnya.
Daniel tersentak. Salahnya juga tadi tergugat dengan kata-kata Allisa tadi
dan dia sempat berpesan kepada dirinya supaya mengepung Allisa bukan
bertentangan dengan pintu! Lalu dia pantas, dalam jarak seinci, seakan mustahil
untuk dia menggapai jemari halus Allisa namun dia kuatkan tekad, dia buang jauh
rasa yang menghentam hati, debar dan gelisah, peluh yang lagi laju menuruni
dahi dan pipi, dan dia dapat!
Mereka bergelut. Pintu rumah ditutup. Dia tolak Allisa ke arah dinding
rumah, jauh dari pintu utama mahupun pintu menyambung ke ruang tamu.
“Lepas! Lepaskan tangan saya, Daniel! Sakitlah!” jerit Allisa.
Daniel tidak endahkan pekikan Allisa. Dia genggam kedua belah tangan
Allisa. Tubuhnya dirapatkan pada tubuh Allisa. Lalu sekilas dia kucup tepi bibir
gadis itu. Tindakannya menutup mulut bising gadis itu juga mata yang
memandangnya bulat dengan rasa tidak percaya. Tadi dia rasa seperti satu
tubuhnya hendak rebah, malah sekarang ini lebih deras darahnya mengalir ke
kepalanya dari jantung turun ke seluruh tubuhnya dan dia rasa panas namun dia
saat itu seperti mampu menangani gemuruhnya. Dia melawan anak mata terkejut
Allisa. Semakin dia mendekati wajah gadis itu semakin kuat jantungnya berdebar dan
semakin banyak peluh yang membasahi badannya. Lantas dia alihkan wajahnya dan
mendaratkan dahinya di atas bahu gadis itu. Kedua belah tangan gadis itu dia
lepaskan. Setiap patah kata Allisa ucapkan tadi berulang-ulang di mindanya. Air
matanya menitis. Bukan mudah dia melawan dirinya. Bukan mudah untuk dia cuba
lari. Tetapi hari ini, Allisa buktikan yang dia tidak mampu menang dan dia
tidak mampu lari.
“Macam mana awak tahu, yang saya akan jadi begini bila awak jadi begitu?”
Mata Allisa berkelip. Tersedar dari sesuatu yang menggelapkan dunianya
tadi. Apa yang Daniel lakukan tadi terlalu mengejutkannya sehingga dia rasa
seperti dia jadi lumpuh. Dalam keadaan dia cuba bergelut keluar dari tahanan
Daniel, perlakuan itu membawa ke satu dimensi lain. Lumpuh dan kosong. Tiada
percikan api atau bunyi loceng seperti yang dia alami bila Juliane buat begitu
padanya dahulu. Apatah lagi dia lansung tidak menyangka yang Daniel dapat
melawan simptom tubuh lelaki itu sendiri.
“Saya nak awak... Sentuh awak... Cintai awak sepenuhnya... Kenapa saya
macam ini?” luah Daniel lagi.
Mata Allisa redup. Kesedihan Daniel adalah kesedihannya juga. Keinginan
Daniel, keinginannya juga. Dia sedar lambat tetapi tiada apa yang dia mampu
buat. Sebab itu dia terpaksa tolak Daniel jauh. Demi kebaikan semuanya. Ini
pengorbanannya.
“Pulanglah Daniel. Pergi pada Anita dan buat dia bahagia bukan kerana
terpaksa atau sumpahan. Cuba cintai dia sebagaimana awak cintai saya. Antara
kita tiada jodoh...” bisik Allisa perlahan. Hendak sahaja dia peluk badan
Daniel dan pujuk lelaki itu dan beritahu perasaan sebenarnya. Beritahu akan hal
sebenar yang berlaku sebelum ini. Tetapi apakan daya? Dia tidak mampu untuk
melepas Juliane pergi manakala dia sebenarnya masih lagi ragu-ragu dengan masa
hadapannya bersama Daniel. Dia harus rasional.
Dia biarkan Daniel pergi tanpa menghantar lelaki itu pulang ke muka pintu
dan tanpa dia sedar, dia menghembus nafas berat. Air mata yang ingin merembes
keluar dia tahan. Kedua belah tangannya dikepal kuat. Dia paling wajahnya ke
arah dapur. Clarice dan Bianca cepat-cepat menundukkan wajah mereka apabila
mata mereka bertentang dengan mata Allisa yang kosong itu. Masing-masing
memintal hujung jari mereka dengan kain apron putih.
“Kami minta maaf kerana mencuri dengar perbualan cik. Kami sangka cik dalam
keadaan bahaya bila kami dengar cik bertengkar di luar pintu dan...”
“Julie?” potong Allisa. Wajah Clarice sedikit terkejut.
“Dia di belakang lagi dengan Tuan Muda Schoonmaker...”
Allisa mengangguk. Dia bergerak perlahan menuju ke anak tangga dan dia
berhenti. Dia pandang semula wajah dua orang pembantu itu. “Boleh awak
rahsiakan hal tadi dari pengetahuan dia? Saya taknak dia risau. Boleh?”
Mereka berdua menunduk. “Baik cik.”
Allisa tersenyum tawar. Perlahan dia sambung semula dakiannya sambil
memadam segala perasaan yang bertingkah saat ini. Pertelingkahan tadi dia
simpan jauh dalam kotak memorinya agar tidak tercapai olehnya. Saat ini, dia
lebih tidak sabar untuk pergi ke Prace.
No comments:
Post a Comment