29
Musim panas di Prace... sangat menakjubkan. Dia dan Julie banyak luangkan
masa dengan melancong sekitar kawasan pedalaman di luar Kota Prace. Malah dia
dapat mengasah kemahiran memandunya di sana dan dia memandu sepuas hatinya.
Tiada siapa yang tidak kenal dengan Allisa Reed di sana. Dia... popular! Jejak
kedai sana, dia berbual mesra. Jejak restoran situ, dia menyanyi riang.
Hari-harinya tidak pernah bosan. Julie? Gadis itu lebih seronok. Setiap galeri
seni dia lawati. Lebih menggembirakan hati gadis itu, dia berjumpa dengan
artisan terkenal yang gadis itu minati, Peter Grovenor. Tersenyum-senyum Julie
bila pulang selepas berjumpa Peter. Seperti gadis kemaruk cinta. Setiap hujung
minggu, Julie akan keluar bersama Peter dan mereka... Allisa tidak tahu apa
yang mereka buat. Dia lebih meluangkan masanya menjadi aktif semula. Sukan berkuda
iaitu polo dan memanah, menjadi rutin hujung minggunya. Kesihatannya bertambah
baik dan rambutnya sudah mencecah hingga ke paras ketiaknya. Hendak juga dia
potong tetapi Vincent larangnya memotong. Kata dia nampak lebih cantik dan
feminin dengan rambut panjang. Tidak lupa juga Adella yang banyak membantunya
bergaul dalam masyarakat di Prace. Kadang-kadang dia akan datang tolong Adella
urus yayasan wanita itu dimana yayasan itu dibina untuk membantu kanak-kanak
terbiar yang tiada ibu atau bapa atau kedua-duanya. Hari-harinya penuh dengan
aktiviti sehingga dia lupa akan Brynn, lupa akan Darmadin dan lupa juga pada
Daniel. Namun bila malam tiba, dia akan menangis dalam senyap. Merindui segala
yang dia tinggalkan dan dalam tempoh dia berada di Prace, tiada satu pun
memorinya kembali. Itu membuatkan dia jadi tertekan.
Musim berganti. Sana sini, dedaunan mula berubah kekuningan. Angin sejuk
kadang-kadang terasa bila ia menyapa dan pada suatu petang, sekeping kad
jemputan tiba di vila, membawa seribu satu rasa di hati Allisa.
“Akak risau nak tinggalkan Allisa seorang diri...” Adella sentuh jemari
Allisa. Gadis itu hanya tersenyum hambar lantas dia menggeleng.
“Tak apa kak. Bianca ada. Jangan risau,” pujuk Allisa bagi mengurangkan
resah di hati Adella. Dia pandang wajah Vincent supaya lelaki itu membantunya.
Adella mengeluh. “Akak bukan apa. Nanti mama pun mesti sedih kalau Allisa
tak datang majlis sedangkan Allisa dekat sahaja. Lagi pula sekarang ni, tinggal
Allisa dengan Bianca sahaja kat rumah tu. Julie dan Clarice terpaksa pulang ke
Brynn sebab masalah keluarga... Akak rasa tak sedap hatilah...” luah Adella.
Tangannya masih lagi tidak melepaskan jemari runcing Allisa.
“Sayang jangan risau. Allisa akan telefon kita setiap hari untuk beritahu keadaan
dia. Ataupun kalau sayang rasa tak sedap lagi, bila-bila masa saya bagi
kebenaran untuk awak datang jumpa Allisa. Okey?” pujuk Vincent pula. Tangannya
pula sudah mengusap ubun-ubun isterinya. Kemudian dia pandang Allisa supaya
Allisa bersetuju dengan cadangan tiba-tibanya.
Gadis itu cepat mengangguk. “Ya. Saya akan telefon rumah setiap hari dan
akak boleh datang jenguk saya bila akak rasa tak sedap. Lagipun, saya duduk
sini tak lama. Minggu depan saya pulang semula ke Brynn...” cakapnya. Ya, dia
akan pulang ke Brynn semula setelah cubaannya untuk meraih semula memori di
tempat baru tidak berjaya lantas apa lagi yang dia boleh buat? Walaupun hatinya
rasa sangat berat untuk pulang, dia terpaksa. Kesihatan datuknya dari hari ke
hari merosot dan menurut Julie yang pulang ke Brynn terlebih dahulu darinya
kerana hal kecemasan yang tidak diketahui, kesihatan datuknya terjejas kerana
rindukan cucunya yang tidak mahu pulang. Allisa mengeluh di dalam hati.
Adella menggangguk puas. “Pulanglah. Mesti mereka risau sebab Allisa tak
pulang-pulang sejak kamu jatuh menara tempoh hari...”
“Terima kasih atas budi akak dan abang,” ucap Allisa.
“Hati-hati. Jangan lupa telefon,” pesan Vincent.
“Baik.” Sejurus itu, Allisa ketuk cermin tingkap pedati yang sedang elok
terhenti di simpang jalan menuju ke rumahnya. Dia yang minta begitu.
Allisa melambai-lambaikan tangannya bila dia sudah berada bersententang
dengan pedati tersebut. Wajah Adella sudah dibasahi air mata dia pandang dengan
seceria mungkin. Dia lambai sehinggalah pedati itu hilang dari pandangan mata
dan bila tiada kelihatan lagi, dia berpaling dan menuju ke lorong yang membawa
ke belakang rumahnya. Bianca pasti berada di dapur sekarang ini memandangkan
gadis itu pulang tiga hari lebih awal darinya untuk membersih apa yang patut.
TIDAK kelihatan lansung figura Bianca di laman belakang dan hanya ada
sebuah bakul berisi beberapa helaian kain yang masih tidak terjemur dan
setengahnya sudah sedang elok tersepit di ampaian. Pintu dapur pula terbuka
luas tanpa pengawasan mata. Dahi Allisa berkerut. Mana pula Bianca pergi
waktu-waktu begini? Bagaimana kalau orang yang tidak dikenali masuk? Dia intai
rumah sebelah. Ada seorang makcik tua yang sedang menyiram kebunnya. Makcik itu
berhenti menyiram dan mengemas beberapa peralatan berkebunnya. Mata mereka
bertembung dan mereka saling bertukar senyum.
Allisa memasuki dapur. Beg pakaiannya di letak di sisi meja makan. Meja itu
bersih dan kosong tanpa ada sebarang makanan. Dia beralih pula pada sinki dan
dapur. Kelihatan di atas dapur, tertenggek satu cerek yang masih lagi berwap.
Bersebelahan dapur itu, terdapat berderet bekas balang saiz sederhana berisi
biskut beraneka jenis. Allisa intai salah satu balang tersebut dan dia ambil
sekeping biskut mentega.
“Cik!”
Allisa berpaling. “Bianca! Kenapa biar pintu dapur terbuka?” soalnya terus
sambil merapati gadis kecil molek itu.
Bianca menggelabah. “Saya... minta maaf. Tadi...”
Allisa ketawa. Lantas dia peluk tubuh kecil itu. “Tak mengapa. Asal tiada
yang cedera.” Allisa usap belakang badan Bianca dan ditepuk-tepuk sedikit. Dia
meleraikan pelukan. “Maaf terpaksa susahkan awak pulang awal dan bersihkan
rumah ni seorang diri...”
Bianca pantas menggeleng. “Itu tak perlu cik. Ini memang kerja saya,”
bantah Bianca. Dia takut sebenarnya. Matanya asyik memandang ke arah ruang
depan tetapi sekejap-sekejap bila Allisa tidak memandangnya. “Kenapa cik masuk
ikut belakang? Terkejut saya sebab cik tiba-tiba ada di dapur...” Bianca
mencari-cari beg baju Allisa.
Allisa intai lagi balang biskut mentega tadi dan dia ambil beberapa keping
biskut tersebut. “Saya risau awak sibuk lagi jadi saya masuk ikut belakang
memandangkan awak selalu di belakang,” jawab Allisa lalu menyumbat sekeping
biskut mentega ke dalam mulut. “Tapi bila saya sampai belakang, awak tak ada.”
“Ooh!” Bianca terpacak di sisi meja makan. Beg baju Allisa sudah berada di
tangan. “Itu... tadi saya dengar ada benda jatuh kat ruang tamu... Anak kucing
jatuh dari corong asap.” Bianca berharap Allisa percaya helahnya.
“Lepas tu apa jadi?”
“Saya kutip dan halau dia keluar. Agaknya masa cik di dapur, saya di ruang
tamu bersihkan habuk arang yang bersepah.”
Allisa mengangguk. “Dia tak cedera?”
Bianca geleng perlahan.
“Baguslah.”
Bianca ketap bibirnya. “Saya pergi letak beg baju cik di bilik. Cik nak jus
epel? Saya buatkan nanti,” tawar Bianca.
Allisa menolak dan hanya mahu minum air masak sahaja. Bila dia dibiarkan
bersendirian di ruang dapur itu, dia hembus nafas berat. Rasa bersalah kerana
menipu Bianca kerana punca sebenar dia tidak mahu melangkah masuk ke rumah
teres ini mengikut pintu depan ialah...
Koridor menuju ke pintu utama ialah tempat dia ingin elak sekali dari
melaluinya. Bayang diri Daniel seakan jelas dimatanya. Imej itu tersekat
diminda, tidak mampu dia buang, saat Daniel berada begitu dekat dengan dirinya.
Tiga bulan... setiap malam, dia tidak mampu lupakannya. Walaupun hanya sekilas.
Walaupun disiang hari dia seperti tidak pernah kisah. Tetapi dia tidak pernah
dapat lupa. Betapa hati kecil miliknya, walau sekelumit, ingin bersama dengan
lelaki itu.
“Abang pasti rancangan Allisa akan menjadi.”
Suara Vincent menerjah memorinya. Pada hari dia rancang untuk tolak Daniel
sejauh mungkin dari hidupnya.
“Apa yang buatkan abang begitu pasti?”
Vincent tersenyum.
“Rancangan awak hampir sama dengan abang tapi awak punya lebih berkesan,”
cakap Vincent. Dia pandang wajah Allisa.
Dahi Allisa berkerut tidak faham. “Saya tak faham,” ujarnya.
“Pernah terfikir tak bagaimana riaksi Daniel terhadap perempuan?” soal
Vincnet tiba-tiba.
Mata Allisa terkebil-kebil. Dia berfikir sejenak. Dia tidak pernah
terfikirkan pun. Julie ada beritahunya tetapi dia tidak ambil kisah. Sebabnya
perangai Daniel terhadap Julie dan Anita juga terhadapnya seperti tiada apa
yang menampakkan perbezaan. Walaupun Juliane pernah kata yang Daniel dingin
dengan Anita, tetapi sepanjang dia di sini... tiada apa yang menampakkan
kepelikkan. Dia tidak pernah lihat secara lansung. Lalu dia menggeleng,
menjawab soalan Vincent.
“Budak tu...” Vincent tarik nafas. “... dia jadi gemuruh dan akan mudah
melukakan hati orang lain tanpa dia sendiri maksudkan. Dia akan mula berpeluh
macam gila dan mata dia hilang fokus pada satu tahap tetapi dia akan bertindak
sedingin mungkin dengan jantina yang berbeza. Mungkin sebab dia rasa inferior
juga bilamana dia fikir yang dia ialah seorang Scot dan dia harus pegang pada
janji,” terang Vincent.
“Jadi kenapa dia tak jadi macam tu dengan Julie? Dengan saya?” soal Allisa.
“Abang rasa sebab dia tahu yang Julie takkan bawa apa-apa keburukan pada dia.
Contohnya, buatkan dia mungkir janji. Lagipula, dengan perangai Julie yang
bebas tu, Daniel hanya senang bergaul dengan gadis seperti itu. Dalam kes awak
pula, abang rasa Daniel mencintai kamu tanpa syarat.”
“Maksud abang?”
“Budak tu akan tetap mencintai awak walaupun awak seorang lelaki. Allisa
kena peka. Daniel bersikap gemuruh bila dia bersama perempuan. Perempuan
seperti Anita. Cuma Daniel tidak sedar tu. Dia tak sedar juga yang awak ni
perempuan. Lahiriahnya, awak nampak seperti bukan satu ancaman untuk Daniel,”
terang Vincent bersama sengihan. Dia pandang gaya pemakaian Allisa yang tomboi
itu. “Sebab tu abang fikir ada baik Allisa terima cinta Daniel. Olok-olok
terima. Perempuan dilamun cinta mesti mahu tunjukkan pada lelaki yang dia cinta
yang dia ni cantikkan?”
Penjelasan Vincent membuatkan Allisa faham maksud permintaan Vincent tadi.
Matanya redup.
“Tapi, bagus juga buat seperti yang Allisa rancangkan. Janji, ia bawa
ancaman pada Daniel. Nasib baiklah awak ni perempuan, buatnya awak betul-betul
lelaki, macam mana pula nak buat budak tu putus asa? Haru... haru...” Vincent
berlulucon.
Allisa ketawa kecil. Namun di dalam hati, kata-kata Vincent membawa kesan
yang dalam di hatinya.
‘Bam!’
Allisa mendongak. Memorinya di rumah kaca tiga bulan lepas pecah berderai
bila dia dengar bunyi yang kuat menghempap lantai di tingkat atas.
“Bianca?!”
Allisa menuju ke arah tangga yang tersorok dari pandangan pintu utama.
“Bianca!” panggilnya lagi. Pintu hatinya diketuk rasa tidak sedap bila Bianca
tidak menyahut panggilannya. Sampai di aras satu, dia ternampak Bianca menuruni
tangga dari aras dua.
“Kenapa Bianca? Kenapa tak sahut bila saya panggil?”
Bianca menggeleng laju. “Maaf. Tadi saya cuba tangkap tikus. Itu sebab ada
barang jatuh.” Dia beralasan lagi.
“Tikus?” Kening Allisa bercantum.
Bianca mengangguk. “Itu sebab ada kucing masuk pagi tadi mungkin sebab
rumah lama ni tak berpenghuni, itu sebab ada yang merayap saya dah cuba halau
dua tiga hari lepas tak sangka pula cik pulang awal kalau tak tak perlu cik
dengar semua ni,” cakap Bianca tanpa henti. Tercungap-cungap dia menarik nafas.
Matanya memandang Allisa yang sudah tersenyum mendengarkan penjelasannya. Sedar
akan kegolojohannya, dia wajahnya tertunduk malu. “Minta maaf,” ucapnya sedikit
segan.
Tawa Allisa pecah. “Ingatkan apalah. Risau saya. Jadi macam mana? Dapat
halau tikus tu?”
Pembantu rumah itu menggeleng.
“Nak saya tolong? Saya ni berani tahu!” Allisa menyinsing lengannya. Kaki
sudah berarak menuju ke aras dua. Namun Bianca pantas memotongnya sambil
tersengih-sengih tidak percaya.
“Tak... tak perlu cik. Saya boleh buat. Saya boleh buat. Cik perlu rehat di
dalam bilik aja.” Dengan itu Bianca menolak Allisa masuk ke dalam bilik di mana
bilik itu berada di aras satu itu sahaja.
“Cik pasti penat dengan perjalanan jauh tadi. Jadi saya nak cik rehat.
Nanti saya bawakan air panas bersama garam dan saya akan urut kaki cik. Bila
malam nanti, saya panggil cik untuk makan malam atau cik nak makan di luar?
Saya buat tempahan,” cadang Bianca.
Allisa berfikir sejenak. “Okey. Tempahan. Saya tak nak susahkan awak lagi.
Nak tangkap tikus bukan kerja mudah. Lagi-lagi dah dua tiga hari awak buat.
Fasal urut kaki saya tu... tak payahlah. Saya perlu tidur sahaja. Terima
kasih,” ucap Allisa. Bianca tersenyum lalu menunduk dan menutup pintu.
Allisa menghabiskan sisa ketawanya sambil tergeleng-geleng mengenang sikap
Bianca. Ada sahaja mulut itu bercakap. Berbeza dengan tiga bulan lalu. Senyap
sahaja.
‘TOK, tok.’
Allisa yang baharu sahaja selesai menyalin pakaiannya berasa pelik.
Kemudian dia teringat semula kata-kata Bianca yang ingin membawa air panas dan
garam untuk mengurut kakinya yang bengkak dari perjalanan tadi. “Susah-susah
aja.”
“Masuk,” permitnya sambil dia sibuk mengurai rambutnya di hadapan cermin.
Pintu bilik terbuka perlahan.
“Bianca, tadi saya kata tak perlukan. Saya suruh awak halau tikus-tikus
awak tu. Buat apa susahkan diri awak?” tegurnya tanpa memandang Bianca yang
masuk ke dalam. Tangannya sibuk menggumpal rambutnya menjadi ekor kuda dengan
wajah yang tertunduk, tangan sebelah mencari getah untuk mengikat rambut.
“Mana pulak getah ni...” rungut Allisa. Tangannya menari-nari di atas meja
solek mencari getah rambut. Selalunya Bianca ataupun Clarice yang urus
rambutnya semenjak dia ada pembantu ni, itu yang kelam kabut sedikit. Dahulu,
sikat sahaja dah siap. Bila rambut dah panjang, dia sendiri tidak tahu
bagaiamana hendak urus. Bak kata Julie, nampak sangat perangai puteri-puteri.
Tiba-tiba Bianca hulur getah
untuknya.
“Oh! Terima kasih,” ucapnya dan dia terus ambil getah tersebut. Sambil
tangannya terkial-kial mengikat rambut, mulutnya pun sibuk becok. “Tak pe
Bianca. Saya nak tidur aja. Awak tak perlu urut kaki saya. Sikit je pun
sakitnya. Nanti tak siap kerja kejar tikus awak tu. Nanti mulalah gelabah, itu
tak siap ini tak siap. Jangan cakap saya tak bagi pertolongan tadi. Walaupun
saya ni serba serbi tak pandai kerja rumah, tapi saya berani tahu?”
Bianca ketawa tertahan-tahan.
“Awak ketawakan saya? Berani awak. Hantar semula balik istana baru tahu,”
ugut Allisa. Dengan itu sesi dia mengikat rambut selesai juga. Lalu dia
berpaling memandang Bianca yang senyap. Dia berasa pelik. Bila matanya
memandang figura yang disangka Bianca itu, matanya terpaku menatap sinar mata itu.
Lelaki itu tersenyum. “Terkejut?”
Allisa ketap bibirnya.
“Tiga bulan kita berpisah, awak banyak berubah Allisa. Tak sangka mulut
awak boleh jadi becok macam ni,” tegur lelaki itu lagi namun Allisa tetap terus
memandang wajah Daniel tanpa menjawab.
“Jadi awak tikus tu?”
Daniel ketawa. “Pandai betul pembantu rumah awak tu samakan saya dengan
tikus.”
“Selayaknya pun...”
“Ouch...” Daniel pegang dadanya dan
buat-buat sakit kerana kata-kata pedas Allisa
Allisa menjeling. “Tiada siapa pun pernah jemput awak masuk dalam rumah
ini. Padanlah dapat gelaran tikus.”
Daniel ketawa kemudian tidak lama dia berhenti. Lama dia menatap sisi wajah
Allisa yang memandang terus ke arah cermin tanpa mahu menatap wajahnya. Dia
datang situ bersebab. Dia hendak beritahu Allisa yang dia sudah bawa apa yang
Allisa mahu. “Jom kita lari bersama. Jauh dari sini. Jauh dari segalanya.
Kahwini saya, Allisa?”
No comments:
Post a Comment