30
“Awak nak kahwin lagi empat hari, Daniel.” Allisa berpaling memandang wajah
Daniel tepat ke anak mata. Sejujurnya, dia sedikit gembira bila Daniel cakap
begitu tetapi dia lebih terkejut. Pada masa yang sama dia rasa sangat marah.
Sudahlah perkahwinan Daniel yang sepatutnya berlansung dua minggu selepas dia
berlepas ke Prace dibatalkan, tidakkan-lah hendak dibatalkan lagi gerangan pengantin
lelaki lari dengan seorang puteri? “Berapa kali saya nak cakap, jangan lari
dari masalah awak tu? Berdepan – ”
“Saya tak kata saya lari dari masalah,” tenang sekali Daniel bantah
kata-kata Allisa. “Kalau awak fikir saya Daniel yang sama seperti tiga bulan
lepas, awak silap Allisa.”
Allisa pandang wajah lelaki itu dengan rasa tidak percaya.
“Saya dah tahu siapa diri saya, Allisa. Saya bukan anak mereka. Saya bukan
Scot. Kelakarkan... selama ni saya percaya yang darah mengalir dalam badan ni,
darah sumpahan...” Daniel mendekati Allisa dan gadis itu berundur setapak dan
mengelak dari menatap wajahnya. Jemari kiri gadis itu menggenggam erat lengan
tangan kanan. Daniel pernah lihat Allisa berperangai begitu. Ketika mereka
berada di bilik rahsia beberapa bulan lepas.
“Jadi awak tahu siapa saya dari awal?” soal Daniel dengan nada sinis.
Gadis itu tidak menjawab.
Betullah, duga Daniel. Tanpa sedar
dia ketawa tetapi kedengaran sedikit pedih. “Awak tahu... dan awak biarkan saya
tertanya-tanya akan siapa diri saya... Kalau awak dah tahu, kenapa awak masih
tolak saya Allisa? Awak... tak cintakan saya? Tak pernah sedetik pun awak fikir
yang saya ni sebenarnya takdir awak?”
Allisa memberanikan dirinya memandang wajah Daniel. Dia ingin menjawab
tetapi dia tidak mampu. Dia tidak mampu untuk tanggung akibat yang akan datang.
Jika dia tamak, dia khuatir, dia akan kehilangan kedua-duanya. Dia cintakan
Juliane tetapi dia cintakan Daniel juga. Dia tidak pernah fikir yang dia akan
berada dalam situasi ini lagi. “Daniel... tolong jangan buat saya macam ni...”
rayu Allisa. Dia sudah tidak tahu hendak buat apa. “Walaupun awak sudah tahu
yang awak ni bukan Scot tetapi itu tetap tak ubah yang awak ni tunang Anita.
Takkan awak nak putuskan pertunangan awak dengan dia setelah awak tunda
perkahwinan awak dengan dia tempoh hari?”
Daniel menggeleng. “Tentang perkahwinan kami yang tertunda tiga bulan
lepas, Anita yang minta. Saya sendiri pun terkejut. Saya lansung tak tahu apa
yang gadis itu fikirkan. Malah sekarang ini bila dia tahu yang saya bukan lagi
seorang Scot, dia bagi saya pilihan samaada untuk meneruskan perkahwinan ini
atau batalkannya.”
Mendengarkan penjelasan Daniel membuatkan Allisa terkejut. “Dia cakap macam
tu?” Mengenangkan sikap Anita yang agresif tempoh hari, dia jadi tertanya-tanya
dengan sikap Anita.
“Bila dia cakap macam tu, saya suruh dia tunggu tiga hari untuk saya fikir,”
tambah Daniel.
“Kenapa tiga hari?”
“Sebab dalam masa tiga hari saya nak awak bagi saya peluang untuk rebut
hati awak,” jawabnya yakin.
Membulat mata Allisa. “Saya takkan ikut rancangan gila awak. Lagipun saya
nak pulang semula ke Brynn. Berada di bawah, tiada satu pun memori saya
kembali.”
“Kalau macam tu, awak boleh pergi selepas awak putuskan untuk tidak bersama
saya lagi. Tiga hari sahaja. Tidak terlalu lama dan tidak terlalu sekejap. Bila
tiba hari ketiga, awak putus. Samaada awak mahu terus bersama saya atau awak
pilih untuk tinggalkan saya dan pulang ke Brynn,” tawar Daniel.
Allisa berfikir. Matanya tidak lepas dari memandang wajah Daniel. “Kalau
saya kata saya beri awak peluang tiga hari itu, awak nak bawa saya pergi mana?”
“Beth.”
Allisa ketap bibirnya. Beth terletak di belah barat kerajaan Neon. Harus
menyeberangi dua buah negeri, beberapa buah bandar dan memakan masa sehari setengah
untuk perjalanan sampai ke sana jika dengan berkuda. Salah satu negeri yang
indah dengan ladang bunga tulip yang mekar dan dia pernah berhajat untuk melawat
tempat itu. Dia pandang Daniel sekali lagi. 51% dari dirinya tertarik dengan
cadangan lelaki itu dan selebihnya dia tidak pasti.
“Cik pergi sahajalah. Buktikan pada dia yang cik bukan gadis yang mudah dan
saya mahu ikut sama,” cakap Bianca yang muncul di muka pintu bilik Allisa.
“Bianca...” Allisa terkejut. Tidak sangka yang gadis itu mahu dia berbuat
demikian. Bagaimana pula kalau Julie yang berada di tempat Bianca? Adakah
sahabatnya akan berkata perkara yang sama? Rasanya dia tidak perlu persoalkan?
“Bagaimana?” soal Daniel. Wajahnya begitu pasti dengan jawapan Allisa.
Allisa tersengih. Dia tarik nafasnya. Kalau Julie di hadapannya, sahabatnya
pun akan berkata yang sama. Gadis itu yakin yang dia tidak akan berubah dan dia
berdoa agar tuhan tetapkan hatinya. Tiga hari, macam-macam yang boleh berlaku.
“Baiklah. Hanya tiga hari sahaja.”
DIA tidak tahu samaada dia buat keputusan yang betul atau sebaliknya tetapi
kali ini dia dengar sahaja nasihat orang jika dia tidak mahu kehilangan orang
yang dia sayang. Ini ikhtiar dia yang terakhir (sebelum ini dia berfikir
begitu, tetap apa yang berlaku?) dan dia harus percaya dengan dirinya sendiri.
Kali ini, ialah pertaruhannya yang terakhir. Betul-betul yang terakhir. Biarlah
orang kata dia mensia-siakan peluang, hanya dia sahaja yang tahu apa yang dia
mahu.
“Cik muda, tak baik gigit kuku. Tak lama lagi cik muda nak kahwin. Cik muda
bukan lagi cik muda,” usik Fyna.
Anita tersenyum hambar. “Dah jadi habit Fyna bila saya gelisah... susah nak
buang...”
“Cik muda fikir apa? Takut nak kahwin?” duga Fyna. Dia setia berdiri di
samping Anita yang duduk menghadap ke arah luar tingkap. Memandang dedaunan
yang gugur satu persatu.
“Takut kahwin?” soal Anita pada diri sendiri. Dia tidak terfikirkan hal
itu. Yang asyik berlegar di dalam kepalanya sekarang ini penuh imej Daniel dan
dirinya sepanjang 10 tahun pertunangan mereka. Jika orang menegur setiap kali
dia ke majlis, semenjak dia debut, ramainya akan berkata betapa Daniel setia
menunggu dia dewasa. Dia bangga mendengarnya, sebagai tunang Daniel. Tetapi dia
tetap rasa tidak yakin bila dia berasa begitu. Dia takut yang Daniel kahwin
dengannya kerana terpaksa. Kerana janji. Sedangkan di hati Daniel, tiada dia
mahupun bayang wajahnya membayangi mimpi lelaki itu. Kejamkah dia bila dia
mengikat lelaki itu terlalu lama? Jika dahulu dia boleh berasa yakin dengan
pujian itu, tetapi sekarang semuanya meragukan dia.
“Fyna...”
“Ya, cik muda.”
“Bagaimana kalau suatu hari nanti, Daniel dah bosan dengan saya? Adakah dia
akan tinggalkan saya?”
Fyna terkedu. Tidak menyangka gadis berusia 16 tahun akan berfikir sebegitu
jauh. Dia tidak tahu hendak menjawab persoalan sebegitu sementelah dia juga
tidak pernah merasai alam rumah tangga. Malah hubungan cintanya pun tidak
pernah nampak pasti.
“Mesti saya nampak kejam, saya ikat Daniel sejak kami kecil dan saya tak
pernah terfikir untuk lepaskan dia. Macam mana kami kahwin nanti? Macam mana
kalau dia minta saya lepaskan dia? Mampukah saya, Fyna. Saya takut...” Anita
sorok wajahnya di dalam cepung jemarinya. Ketakutan yang dia ada dari hari ke
hari semakin bertambah.
“Cik muda...”
Anita menangis. Air matanya tidak berhenti mengalir.
‘Kring, kring...’
Telefon biliknya berbunyi selepas ianya disambungkan dari telefon rumah
utama. Fyna bergegas menjawab panggilan telefon tersebut.
“Hello, selamat petang. Rumah agam Wheatherspoon. Saya Fyna, apa yang saya
boleh bantu?”
Senyap.
Anita mengesat air matanya bila Fyna memandangnya tanpa memeberitahu
gerangan siapa yang menelefonnya. “Siapa?”
Fyna teragak-agak hendak menjawab. Sejak kebelakangan ini, Anita rapat
dengan tuan muda yang seorang ini. Walaupun mereka bersaudara, Anita tidak
pernah berbual panjang dengan tuan muda tersebut lebih dari setakat bertukar
sapa dan ucapan selamat tinggal. “Tuan muda Schoonmaker.”
Anita tersentak sedikit. Pasti lelaki itu telefon ingin bertanyakan
keputusan yang dia telah buat. “Saya akan jawab. Awak boleh keluar, Fyna. Saya
nak berbual sendirian dengan dia.”
Fyna menunduk sedikit tanda memahami kehendak Anita lalu dia beransur
keluar. Namun sebelum dia menutup pintu bilik itu, dia intai Anita yang sudah
menarik telefon itu ke arah sofa yang diduduki oleh gadis itu tadi. Bila wayar
telefon itu berbelit, gadis itu perbetulkan. Fyna melepaskan keluhan berat.
Harapnya, persahabatan antara saudara ini tiada bawa apa-apa makna sementelah
ini Anita telah menolak banyak hati lelaki-lelaki lain yang ingin
memperisterikan gadis itu sejak kecil. Daniel patut tahu yang dia punyai
seorang tunang yang setia.
“Hello...” ucap Anita bila dia pasti Fyna telah betul-betul pergi dari
biliknya.
“Ya saya,” ceria Willson menjawab. “Lama saya tunggu awak jawab.”
“Tadi Fyna ada. Tak ada siapa pun boleh tahu tentang perbualan kita ni.
Kenapa?” garang sekali Anita menyoal walaupun nada suara rendah. Keningnya
bertaut.
Kedengaran tawa di hujung talian. “Saya telefon sebab risaukan adik saya yang
putus cinta...” usik Willson.
“Maaf ya. Kami tak putus lagi. Malah empat hari lagi kami nak kahwin.
Jangan buat andaian liar. Kalau niat awak telefon saya sebab nak sakitkan hati
saya, saya letak!” ugut Anita. Panas hatinya berbual dengan lelaki yang satu
ini. Dari dahulu dia tidak pernah suka dengan Willson. Nampak sahaja alim suci
tetapi disebalik topeng lelaki itu, penuh dengan warna-warna kelam yang berkilau
bak mata pedang.
Sekali lagi Willson ketawa. “Okey, saya minta maaf. Tak baik tuduh saya macam
tu. Saya ikhlas bertanyakan khabar awak.” Willson jeda. “Jadi awak dah cakap
apa yang saya cakap pada awak?”
“Cakap apa?” soal Anita buat-buat tidak tahu.
“Anita...”
Anita mengeluh. “Dah...” perlahan sahaja dia menjawab.
“Dia jawab apa?”
Kening Aita terangkat. “Yang awak tanya saya buat apa? Pergilah tanya
sahabat baik awak tu!”
Willson ketawa besar.
Hati Anita semakin panas mendengarkan ketawa ceria Willson yang
berdengung-dengung di hujung talian.
Suasana kembali senyap antara mereka. Masing-masing senyap melayan perasaan
mereka.
“Will...”
“Hm...”
“Saya tak yakin.”
“Apa yang awak cakap pada dia sampai awak rasa tak yakin?” soal Willson
terus terang.
Anita ketap bibirnya. “Betul cakap awak, malam tadi, dia datang pada saya
dan cakap yang dia minta saya pertimbangkan semula pertunangan ni memandangkan
dia bukan lagi seorang Scot.”
“Dan apa riaksi awak?”
Anita menunduk. Seakan-akan Willson ada di depan matanya, dia cuba menahan
air mata yang ingin mengalir lagi. “Saya bagi dia pilihan. Samaada untuk terus
bersama saya atau lepaskan dia. Sejujurnya, saya tak pernah kisah dia itu
seorang Scot atau tidak, Will. Dia lelaki pertama yang saya cinta. Tapi dia tak
pernah nampak semua tu. Kesetiaan saya pada dia umpama angin pagi yang bertiup.
Kadang-kadang saya rasa menyesal minta tangguhkan perkahwinan tu, Will. Hah,
semua ni salah awak.”
“Tapi awak ikut juga nasihat saya kan?”
“Itu sebab saya tak nak berkahwin dengan anak patung Will!”
“Jadi awak tak patut menyesal dan saya puji atas pengorbanan awak. Bukan
mudah untuk kita, beri pilihan pada orang yang kita cinta. Lebih-lebih lagi
pilihan untuk dia tinggalkan kita. Awak gadis yang baik Anita,” lembut Willson
memujuk adik saudaranya. Dia sudah dengar tangis esak Anita. Jika gadis itu
berada di hadapannya, akan dia peluk gadis itu dan menggenggam erat bahu gadis
itu. Saat ini dia hanya mampu beri kata semangat sebagaimana hatinya saat ini
pada bila-bila masa akan rebah.
Walaupun Daniel sahabatnya, tetapi dia lebih rela Daniel bersama Anita dari
bersama Allisa. Bukan kerana Allisa tidak baik untuk Daniel, tetapi Allisa
terlalu baik dan tinggi duduknya. Dia takut, Daniel tidak mampu capai dan
pegang gadis itu erat dalam jangka panjang. Dia tidak mahu kejadian seperti
Permaisuri Cecile berulang dan itulah permintaan Raja Dominick juga. Menjadi
pegawai elit rahsia, dia pegang banyak rahsia istana dan kehidupan normalnya
hanya umpama tulisan indah di atas kertas. Tiada apa-apa makna disebaliknya.
Tiada siapa tahu pekerjaan sebenarnya. Tiada siapa tahu aktiviti sebenarnya.
Yang nyata hanya senyumannya ini.
Untuk empat bulan lamanya dia memerhati Allisa dalam senyap. Apa sahaja
aktiviti Allisa akan dia terus lapor pada Raja Dominick dan dalam kes ini, dia
terpaksa bawa dirinya rapat kepada Allisa memandangkan gadis itu ‘berkait
rapat’ dengan dunia peribadinya.
“Awak pula macam mana? Dapat pujuk dia?” soal Anita tiba-tiba.
“Hah?”
Anita tersengih sinis. “Tak payah buat-buat ‘hah?’. Saya cakap fasal orang
tu.”
“Ooo. Orang tu kawan awak juga,” Willson cuba alih perhatian Anita.
“Pembetulan, bekas kawan. Dia dah tak nak kawan dengan saya. Buat apa saya
nak terhegeh-hegeh?”
“Siapa suruh awak berani sangat dulu?”
“Sebab saya ingat dia suka Daniel. Tapi sekarang ni...”
“Apa kata awak minta maaf? Tak adalah awak sunyi lagi.”
Anita memuncungkan mulutnya. “Tak payah nak nasihat lebih-lebih. Awak tu
sebenarnya nak tukar topikkan? Cakap ajalah dia tolak awak. Padan muka!”
“Dia tak tolak...” umum Willson bangga.
Anita terkejut. “Dia terima?!”
Willson terdiam. Alangkah indah jika apa yang Anita katakan itu benar
terjadi. “Dia...” Suara Julie terngiang-ngiang di cuping telinganya. Agak sukar
untuk dia membuat keputusan selepas itu.
“Dia apa?”
“... dia. Saya undur diri.”
“Hah?”
No comments:
Post a Comment