31
Kanopi katil direnung kosong, umpama merenung bintang di langit malam yang tampak
lebih jelas di Brynn dari Darmadin. Seakan dia nampak dirinya yang berdiri
berhadapan Willson, tiga bulan lalu. Berada dalam dakapan lelaki itu buat kali
pertama dan kali terakhir. Dia tidak pernah sedar hakikat itu sehinggalah saat
itu. Willson walaupun setiap masa dia panggil lelaki itu kaki berfoya-foya,
tetapi lelaki itu tidak pernah sentuhnya.
Wajahnya memerah. Jemarinya menekup muka. Badan bergolek kiri dan kanan.
Tiga bulan.
Tiga bulan, setiap malam, dia macam ini. Walaupun hari-harinya bersama
Peter Grovenor, tetapi dia tidak pernah lupa bisikan Willson. Degup jantungnya
saat itu.
Julie tepuk-tepuk pipinya. “Sedar Julie! Sedar!”
Selepas dia menepuk pipinya, wajahnya bertukar muram. Air matanya mula
bertakung. “Lelaki tak guna. Aku beri peluang tapi kau tolak?!” Dia rakus
menyapu air matanya. “Siapa yang minta dulu hah? Kau ke aku?” Julie hembus
nafas berat.
‘Tok, tok, tok.’
“Pergi Clarice! Saya nak bersendirian!” laung Julie. Dia menyelubungi
badannya di bawah gebar tebal. Malam semakin sejuk dan hidungnya semakin
sensetif.
Pintu terbuka sedikit.
“Ni akak, Julie. Boleh akak masuk?” pinta Jenice. Namun tiada riaksi dari
balik gebar itu. Jenice memberanikan dirinya memasuki bilik tidur adiknya buat
kali pertama di rumah banglo yang adiknya minta dengan bapa mereka beberapa
tahun lepas. Lantas dia duduk di hujung katil. Matanya tidak lepas dari
memandang figura adiknya yang berbungkus seperti mayat.
“Julie Tasnynn...” panggil Jenice kali ini sambil menarik gebar dari
menutupi wajah Julie yang sudah basah dengan air mata.
Jenice tersenyum. “Kalau dah suka kenapa letak syarat macam tu sekali?
Terima dia seadanya, tak boleh? Ibu dan
ayah tak halang pun kalau Julie nak kahwin dengan dia...” pujuk Janice lembut.
Senyap.
Janice tarik nafasnya dalam. “Sampai bila Julie nak buat perangai macam ni?
Semua orang, Julie tolak. Jangan buat diri sendiri sakit. Awak perlukan
seseorang untuk terus berdiri. Akak dan James sangat risaukan keadaan Julie.”
“Saya tak perlukan risau James!” suara Julie naik. Kemudian dia tersedar.
Bibirnya diketap. Wajah Janice yang terkejut dipandang sekilas.
“... waima akak sekalipun. Kalau saya bersendiri sehingga tua pun, saya tak
pernah kisah. Cukup saya sayang diri saya sendiri sudah,” dingin Julie
membantah kata-kata Janice. Hatinya tiba-tiba berasa sakit. Pedih. Kenapa perlu
James kisah tentang dirinya? Julie tidak pernah anggap James sebagai abang
iparnya pun. Biarlah dia hendak letak apa syarat sekalipun, semua itu hidupnya.
Sakitnya sendiri.
“Pandang akak, Julie.”
Julie mengeraskan badannya. Matanya dikatup. Dia berdegil untuk tidak mahu
dengar nasihat siapa-siapa. Dia menarik selimutnya semula dan menyelubungi
dirinya. Jika dia mampu lupa, dia ingin lupa. Jika dia ada kuasa magis, akan
dia hilangkan parut di hatinya ini. Sekalipun, sekarang ini dia mampu untuk
menerima Willson tapi dia belum mampu terima James. Segala penderitaan dan
kebahagiaan yang ada tersimpan di dalam hatinya ini, umpama asid yang terus
melukakan walaupun yang tinggal hanya parut.
“Kenapa Julie buat Willson macam tu?” soal Janice. Dia bangun dari katil
itu lalu berpusing menuju ke arah posisi pembaringan adiknya. Di hujung katil,
di letak dirinya dan tangan kirinya
dihulur memegang hujung kaki adiknya yang mengerekot. “Dia betul-betul nak kahwin
dengan awak, Julie. Dia cintakan awak.”
Julie senyap. Tidurkah? Janice tertanya-tanya samaada gadis itu dengar
setiap patah katanya. Dia tarik nafasnya. Cuba menarik sebanyak mana ion
positif ke dalam dirinya. Dia berdebar sebenarnya. Takut. Ayat yang telah dia
susun dalam kepalanya sejak di luar pintu bilik adiknya telah bercampur aduk.
Dia yakin, Julie akan meletup selepas ini.
“Adakah kerana Julie takut dengan cinta...? Atau sebenarnya Julie tak nak
ada kaitan dengan James? Sebab itu awak tolak Willson jauh-jauh... sejak dulu?”
Persoalan yang timbul di dua ulas bibir Janice menarik perhatian Julie.
Gadis itu menyelak selimutnya, dengan dahi yang berkerut dang kening yang
bercantum, dia pandang wajah Janice. “Apa yang akak cuba cakapkan?”
Janice lawan pandang wajah Julie. Dia mengambil masa untuk dia keluarkan
suaranya, meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya untuk dua tahun lamanya. “Akak
tahu yang antara awak dan James, wujudnya cinta dan akak ni orang ketiga dalam
hubungan tu.”
Julie membetulkan pembaringannya. Dia duduk menyandar. Dia terkejut tetapi
pada masa yang sama dia rasa ringan di hatinya. Keseluruhannya, dia keliru.
“Sejak bila?”
“Dua tahun lepas. Akak sedar sendiri, James pandai tutup mulut dia dan akak
tak pernah tanya dia.”
“Apa yang buatkan akak pasti yang saya dan James berhubungan?”
Janice berfikir. Mengingati semula setiap perkara yang terjadi, dia dapat
buat kesimpulan akan jawapannya itu. Pada hari tersebut. Hari dia diperkenalkan
kepada James sebagai tunangnya.
DIA tahan debarnya. Jantungnya berdegup deras dan bertambah deras bila dia
nampak kilas tubuh lelaki itu yang menantinya di rumah kaca keluarganya. Dia
genggam erat kain skirtnya, menyapu peluh yang mula timbul akibat debarnya yang
tidak sudah. Hari ini dia bakal berjumpa dengan lelaki yang sepatutnya dia
berjumpa empat tahun lepas, ketika dia masih lagi belasan tahun. Namun kerana
dia lebih pentingkan ilmu dan ekspedisi penjelajahan yang dia nantikan selama
19 tahun itu, dia lebih sanggup tangguhkan perjumpaan ini. Malah dia tidak
sangka yang pihak lelaki sanggup untuk meneruskan janji ini.
Dia pandang belakangnya. Ke arah ibunya, ke arah Stefena (pembantunya) dan
ke arah makciknya yang sanggup menemaninya untuk perjumpaan julung kalinya ini.
Dia tarik nafas sedalam mungkin. Perlahan-lahan dia lepas. Pintu rumah kaca
dia ketuk. Namun tidak bersahut. Bila dia jejak masuk ke dalam rumah kaca itu
bertambah-tambah debarnya. Seperti jantungnya saat itu mahu melompat keluar dan
meneruskan larian marathon selaju mungkin.
Bila dia ternampak belakang badan lelaki yang tinggi dan bahunya tajam,
Janice berhenti melangkah. Giginya diketap-ketap beberapa kali. Berkali-kali
juga di dalam hatinya dia nasihat dirinya yang dia harus bersikap sopan dan
menjaga tatasusila. Apa yang harus dia cakapkan pada lelaki yang tidak
sabar-sabar berjumpanya? (Menurut makciknya yang menjadi orang tengah antara
dua keluarga, tunangnya itu tidak sabar-sabar untuk bersua muka dan memberi
kejutan padanya. Tambah makciknya, lelaki itu pernah berjumpanya dan kenal
dengan dirinya. Pelik tidak pelik. Sedangkan dia tidak pernah berjumpa pun
dengan lelaki yang makciknya maksudkan)
Janice deham sedikit. Memberi isyarat yang dia sudahpun sedia untuk
memulakan sesi ini. Dia berkira dalam
hati saat lelaki itu akan berpusing dan menunjukkan wajah itu dan bila dia
lihat wajah ceria lelaki itu, senyuman yang terukir dan garis mata yang tidak
sabar-sabar berjumpa dengannya, hatinya tiba-tiba berdetak dalam irama yang
lain.
“Julie!” kata lelaki serentak apabila dia berpusing menunjukkan wajah.
Kening Janice terangkat. Di hujung kata lelaki itu, dia tertanya-tanya. Dia
tersilap jumpa orang yang sepatutnya-kah? Betulkah ini tunangnya atau ini
tunang adiknya, Julie? Mata Janice terkelip-kelip.
Lelaki di hadapannya pun turut sama terkebil-kebil sepertinya. Terkejut.
Dia tengok Janice atas bawah. Wajah Janice ada sedikit rupa Julie tetapi ini
bukan Julie. “Awak siapa?”
“Hah?” Janice tersentap. Dia buntu. “Ini rumah saya. Ini taman saya. Awak
siapa?”
“Saya James. James R. Schoonmaker. Saya sepatutnya jumpa tunang saya dekat
sini. Boleh saya tahu awak siapa?” jelas lelaki itu sekaligus menambahkan rasa
curiga di hati Janice.
“Saya Janice Graham...” Janice jeda. Dia memproses. “... dan saya rasa,
saya-lah tunang yang awak sepatutnya jumpa tu.” Di akhir katanya, dia hulur
segaris senyum kekok pada James.
Terpacar jelas di wajah James, yang dia terpinga-pinga dengan situasi itu
lalu sambil terangguk-angguk cuba menelan jawapan yang Janice beri, dia ketawa
juga. “Begitu...” Dia ketawa lagi. Kekok.
“Macam mana boleh timbul nama Julie tadi? Awak kenal dia?” soal Janice
tidak dapat menyorok rasa curiganya. Semakin lama dia lihat wajah James,
semakin dia rasa tertarik tetapi dia mula rasa tidak yakin juga. Semuanya
kerana nama Julie yang wujud tadi.
“Hah?” James pandang Janice. Kemudian dia pantas menggeleng. “A.. er...
tak, tak... tak. Saya fikir nama awak Julie sebab saya dengar nama anak Tuan
Graham, namanya Julie. Itu yang terkeluar nama Julie. Kononnya nak terkejutkan
awak. Tak sangka terlebih terkejut. Terkejut tak?” soalnya sambil ketawa riang.
Hilang kekok lelaki itu tadi.
Janice angguk. “Terkejut sangat sebab saya ingat saya dah salah jumpa
orang. Memang ada nama Julie dalam rumah ni. Dia adik saya. Yang bongsu. Beza
tujuh tahun dengan saya. Jauhkan?” katanya sambil berjalan mencari kerusi untuk
duduk.
James berfikir. Sambil berjalan mengiringi Janice dia mencongak. Pertama
kali dia berjumpa Julie empat tahun lepas, gadis itu berumur 12 tahun. Beza
antara Julie dan Janice tujuh tahun. Jadi gadis di hadapannya ini... “Awak tua
setahun dari saya?”
Janice pandang James tidak percaya. Sekali lagi dia curiga. “Macam mana
awak tahu saya tua setahun dari awak?” nada suaranya seperti hendak meletus.
Sedikit sensatif dengan isu umur juga. Ramai dalam kalangan sahabatnya telah
berkahwin. Tinggal dia yang masih lagi terkedek-kedek mencari jodoh.
Walaupunbegitu, dia baharu 23 tahun. Muda lagi!
James sekali lagi terpeinga-pinga sebelum dia ketawa kekok. “Saya teka je. Kenapa
awak nak marah?”
Janice pantas menggeleng. “Saya tak marah. Tapi betul ke awak 22?” soalnya
tidak percaya.
Lelaki mengangguk yakin. Dua jari kanan dan dua jari kirinya diangkat. “22
tahun,” ujarnya sedikit malu. Kemudian dia ketawa lagi. Dan lagi.
Janice tidak dapat menyorok tawanya bila James ketawa seperti itu dan
tunjuknya wajah yang sebegitu. Namun jauh di sudut hatinya dia tidak dapat
tolak rasa curiganya. Bagaimana James mampu teka umurnya dengan tepat tetapi
itu mungkin hanya perasaannya. Dia rasa begitu kerana dia suka James.
MUKA Julie menegang. “Kenapa baru sekarang akak nak beritahu saya? Kenapa
bukan dua tahun lepas? Kenapa bukan masa akak jumpa kitaorang hari tu? Kenapa?”
marah Julie. Mengingati insiden yang mendebarkan dua tahun lepas, dimana dia terserempak
James di hadapan rumahnya sewaktu majlis perjumpaan besar keluarga terdekat
Graham... masa itu dia sedar, James bukan untuknya. Apa yang menambahkah rasa sebal,
sedih dan kecewanya bila dia persoalkan pada James malam itu, lelaki itu
bertindak senyap dan tidak memberitahunya. Bila Janice terserempak dengan
mereka, James tinggalkan dia bersama Clarice (yang pada waktu itu mencarinya
bersama Janice) terkapai-kapai mencari maksud sebenar kedatangan lelaki itu. Dua
tahun lamanya, Janice simpan untuk dia tanggung rasa sakit. James pun serupa.
Padanlah mereka berdua berkahwin.
Janice menundukkan wajahnya. “Akak cintakan dia,” jujur Janice luahkan
rasanya. “Akak ada terfikir untuk lepaskan dia dan kembali hidup di perantauan
tapi... akak tidak pernah dapat nak cakap sehinggalah hari akak kahwin. Akak
minta maaf, sebab akak pentingkan diri akak dan buat Julie sengsara. Akak minta
maaf,” ucapnya sekali lagi.
“Jangan kerana apa yang terjadi antara kita bertiga, menghalang kebahagiaan
Julie bersama Willson. Dahulu mungkin akak fikir semua ini terjadi sebab akak
lambatkan pertemuan akak dengan James empat tahun sebelumnya tapi sekarang akak
fikir ianya yang terbaik untuk akak dan untuk awak. Sedar atau tak, James hanya
satu persinggahan dalam hidup awak. Dia ajar awak apa itu cinta dan apa itu
perpisahan. Supaya bila awak berhadapan cinta yang sebetulnya, awak takkan buat
kesilapan yang sama seperti James buat. Jangan simpan marah tu lama-lama.
Kelak, ia memakan diri. Awak masih muda. Bakal 19. Nikmati cinta sebaiknya bila
ada,” pujuk Janice berdasarkan pengalamannya. Dia hulur senyumnya
Julie hela nafas yang berat. Kata-kata Allisa terngiang-ngang di kotak
fikirannya.
“Saya
nak katakan yang setiap perkara yang berlaku dalam hidup awak bukannya satu
perkara yang patut awak elak. Lari dari masalah bukanlah jalan penyelesaian.
Jika dia ditakdirkan mengetahui rahsia hati awak, biarlah. Dia berhak untuk
tahu samaada awak sendiri yang beritahu atau sebaliknya. Macam sekarang ini,
kenapa awak beritahu saya semua ini sedangkan kita baharu sahaja berkenalan
beberapa hari? Tempoh perkenalan bukanlah pengukur segalanya. Betul?” soal
Allisa ketika gadis itu masih lagi hilang ingatan. Kemudian dia sambung,
“manalah tahu orang yang awak nak elak itu, ialah seseorang yang awak perlukan
bantuan di masa akan datang?”
Terukir
senyum nipis di bibir Julie. Dia bukan takat perlukan bantuan Willson tapi dia
perlukan lelaki itu. Empat hari lepas, Willson datang ke rumahnya dan minta
izin dari ibu dan ayahnya untuk melamarnya. Itu empat hari lepas...
“Entahlah
akak. Saya tak rasapun yang Willson betul-betul nak kahwin dengan saya,” ujar
Julie, membuka ruang untuk Janice lebih rapat dengannya. Pada siapa lagi dia
nak mengadu? Sahabatnya waktu ini pasti sudah tidur di rumah mereka di Willow
Garrack. Penat menaiki kapal udara dari Prace ke Darmadin.
“Julie
letak syarat apa pada Willson?” soal Janice berasa ingin tahu.
Julie
ketap bibirnya. “Saya tak minta banyak pun. Saya minta dia jujur dengan saya.
Walaupun saya kenal dia dua tahun, saya tak pernah tahu siapa dia. Saya dengar
banyak cerita tak enak tentang dia di Darmadin, jadi saya berasa sedikit tidak
selesa... saya tak tahulah. Saya tak yakin. Bila dia tolak syarat saya dan
undur diri, saya jadi susah hati pula. Saya tak faham apa yang dia fikir.”
Mendengarkan
luahan Julie, Janice ketawa kecil.
“Kenapa
kakak ketawa?”
Janice
berhenti ketawa. “Oh Julie, itu tandanya awak kena pujuk dia. Lelaki... mudah
cair dengan perempuan sebab mereka tak tahan dengan pujukan. Lagi-lagi, dari
perempuan yang mereka sayang,” dia memberi tips.
Namun
begitu Julie masih bermuram. “Saya tak yakinlah... saya dah banyak kali
sakitkan hati dia. Hari itu pun...” Julie tidak mampu habiskan ayatnya. Wajah
muram Willson bermain-main di hadapan matanya. Lelaki itu kecewa sangat-sangat
dengannya.
Janice
bangkit lalu pergi lebih dekat dengannya. Lalu kakaknya itu hulurkan jemarinya
yang runcing itu. “Akak tak tahu apa yang terjadi antara awak berdua sebelum
ini tapi akak tak nak Julie mengalah macam ni. Berusaha dan berusaha sehingga
Willson mengalah dengan awak dan awak ada peluang pertama untuk awak cuba malam
ini. Dah sedia?”
Kening
Julie terangkat. Matanya beralih-alih dari tangan ke mata kakaknya. Apa yang
Janice maksudkan?
“Dia
ada kat sini. Dari tadi dia tunggu Julie. Dia mungkin nak balik Darmadin tapi
itu bukan maknanya perjumpaan awak berdua yang terakhir. Ini adalah permulaan.
Okey?”
No comments:
Post a Comment