32
Selepas
bersetuju untuk berjumpa di stesen keretapi Darmadin keesokannya, Allisa dan
Bianca berangkat dari rumah teres mereka. Sebahagian baju-baju Allisa telah pun
di hantar ke Brynn dan apa yang dia bawa bersama cuma tiga pasang baju lelaki
dan sehelai jubah tidur untuk dia pakai sepanjang dia berada di Beth nanti. Dia
lihat segenap penjuru yang ada di rumahnya sebelum dia pergi. Rumah yang dia
duduk tidak lebih dari tiga hari setiap kali dia datang tinggal di sini. Umpama
sebuah tempat persinggahan dari sebuah tempat kediaman. Tidak banyak memori
yang ada untuk dia kenang hanya beberapa memori yang membangkitkan rasa seram
dalam dirinya.
Bunyi
derap kaki Bianca di belakang, menarik perhatiannya untuk berpaling memandang
gadis itu. Bibirnya terukir senyum lebar dengan tawa yang tertahan.
“Saya
rasa kekok, cik. Macam mana cik boleh rasa selesa pakai ni? Rasa macam...
bogel?” rungut Bianca. Tangannya sibuk menarik-narik seluar yang melekat di
punggungnya dan baju kemeja yang mengikut bentuk tubuhnya.
Allisa
mencebik. “Macam-macamlah awak ni. Kalau awak bogel, dah lama saya nampak awak
punya lurah. Bagi saya ini yang paling selesa. Saya boleh lari dan berjalan
seluas langkah yang saya mahu. Lama nanti awak selesa. Dah sedia?”
Bianca
menunduk. Bibirnya ketap. Dia sudah tiada pilihan lain kan? Semata tidak mahu
dikenali dan manarik perhatian, dia dipaksa berpakaian seperti lelaki
bersama-sama Allisa yang jelas tidak teragak-agak untuk menyarung pakaian
lelaki semula. Dia tarik nafasnya sedalam mungkin. Lalu dia hembus perlahan.
SEAWAL
jam lapan pagi mereka sudah berada di dalam perut keratapi. Bayang Daniel masih
lagi tidak kelihatan. Allisa tenang di tempat duduknya manakala Bianca pula bak
helang matanya melihat wajah setiap satu. Namun bila ada yang berpapasan dengan
mereka, memandang wajah mereka dengan pandangan pelik, mata helang itu helang
diganti dengan mata anjing yang taat. Menunduk menukur kasut potong yang
sedikit longgar.
Allisa
ketawa.
Bianca
pandang kiri dan belakangnya. Pandang ke arah penumpang yang memandangnya
dengan pandangan pelik. Bibirnya menjuih.
“Saya
suruh awak pulang ke istana, awak tak mahu. Dah bila orang pandang awak pelik,
tahu rasa nak menyorok,” tegur Allisa sambil matanya masih lagi menatap ke arah
halaman novel yang dibacanya.
Bianca
terkulat. “Saya... saya nak jaga cik.”
Allisa
ketawa lagi. “Awak ni pembantu diraja atau pengawal diraja? Orang suruhan atuk
saya ke?” usik Allisa dalam luleconnya.
Gadis
muda itu tersengih malu. Jemarinya saling bertingkah satu sama lain.
Pada
waktu itu masuk pula seorang penumpang tua dengan sebuah beg bagasi yang besar
dan sebakul rotan yang dibalut dengan kain, bersusah payah melalui ruang koc
untuk menuju ke petak koc yang seterusnya. Bianca pantas bangun dan
menghulurkan bantuan. Allisa tersenyum melihat sikap prihatin Bianca yang tidak
teragak-agak menghulurkan bantuan.
“Maaf!”
ucap Daniel sambil menyelit duduk di hadapan Allisa. Mata lelaki itu masih
memandang figura Bianca sehingga gadis itu hilang. Rasa terkejutnya tidak surut
sejak matanya bertentang mata dengan gadis itu yang sedang menuju ke petak koc
lain dan dia sedang menuju ke petak koc yang diduduki mereka. Dia pandang
Allisa pula. Dia tersenyum tidak percaya. “Dah bosan pakai gaun?”
Allisa
tutup bukunya. Lantas dia simpannya di dalam beg sandang yang dia letak di
bawah kerusi. “Kenapa? Sejak bila awak suka perempuan pakai gaun?” balas Allisa
sinis.
Lelaki hadapannya itu ketawa kecil. Dia
pandang pakaian Allisa yang tampak santai dengan seluar slack bewarna khakis,
kemeja biru awan yang dibiarkan butang atasnya tidak berbutang. Rambutnya yang
panjang diikat ekor kuda. “Saya ataupun awak yang cuba ambil hati siapa?”
soalnya lagi dalam nada jenaka. “Kalau awak fikir ini cara awak untuk tidak
tarik perhatian orang, awak salah,” sambungnya.
Gadis
itu menggeleng. “Ini cara saya bagi awak peluang. Saya nak luangkan saki baki
masa yang saya ada dengan selesa. Lagipun awak senang dengan saya berpakaian
begini bukan?” Selamba Allisa menyoal Daniel sambil berpeluk tubuh.
Daniel
angkat dua tangannya tanda menyerah kalah. “Kalau dari dahulu awak santai macam
ni, kan senang?”
“Apa
yang senangnya?”
“Senang
saya nak pikat awak!”
“Hah!”
cemuh Allisa. “Saya tak sabar nak tengok prestasi awak tiga hari ni.
Berusahalah. Awak akan sedar yang saya ni tak sesantai yang awak fikir,” cabar
Allisa. Matanya melinggas mencari Bianca yang tidak kembali ke tempat duduk
walaupun keretapi sudah mula bergerak dengan bunyi amaran datang dari enjin
keretapi yang jelas kedengaran satu stesen keretapi. Tidak jauh dari situ, dia
nampak Bianca duduk seorang diri, bersebelahan tingkap.
“Sebenarnya
saya ada satu kemusykilan. Bianca tu sebenarnya pembantu di rumah Julie atau
sebaliknya?”
Allisa
pandang Daniel yang turut sama mengintai ke arah yang sama dengannya. “Urm...
sebaliknya?”
Daniel
kalih pandang wajah Allisa dengan pandangan pelik.
Tawa
Allisa pecah saat melihat wajah pelik yang dibuat Daniel. “Dia sebenarnya
pembantu istana yang sukarela beri bantuan bila keluarga Graham datang ke
istana untuk ambil pakaian saya,” jawab Allisa.
“Awak
pasti dia pembantu istana? Dia lebih nampak macam pengawal dari pembantu, dari
cara dia cakap dengan saya beberapa hari lepas,” Daniel berlulecon.
Allisa
menggeleng, menolak andaian merepek Daniel. Mana ada pengawal istana yang
berjantina perempuan! Sangat pelik. Tetapi dia terfikirkan andaian lain. Yang
kemungkinan Bianca bekerja untuk atuknya sebagai pegawai elit rahsia. Pada mula
bila dia tahu yang Bianca sebenarnya bukan berasal dari pembantu rumah Graham
tetapi dari istana, buatkan dia berasa tidak senang. Namun bila Bianca sendiri
datang padanya dan bercakap jujur akan tujuan gadis itu sukarela menjadi
pembantu rumah Graham lalu turun ke Darmadin, adalah semata-mata mahu
berkhidmat untuknya. Agak sukar untuk dia percaya, tetapi dia tersentuh
mendengar cerita Bianca yang mula menjadi pelatih di istana sejak berumur 10
dan menjadi pembantu rasmi istana pada umur 12 tahun. Lagipula Bianca tambah
yang gadis itu dilantik untuk bekerja di rumah kediamannya. Pertama kali dia
terima pembantu rumah semuda itu memandangkan rata-rata pembantunya sebelum ini
semuanya sudah berpengalaman dan lebih berusia. Namun, dia tidak pernah dapat
berjumpa dengan Bianca kerana pada waktu Bianca ditugaskan ke sana, dia sudah
dimasukkan ke hospital kerana kesnya itu.
“Jadi
apa sebab dia pakai macam tu?” soal Daniel memecah lamunan Allisa.
“Saya
paksa dia,” jawab Allisa mudah. “Awak pergi Beth ni, keluarga awak tahu?”
Mulanya
Daniel menggeleng kepalanya tetapi dia angguk pula. “Saya rasa waktu ni, mereka
sudah tahu kehilangan saya. Pasti Makcik Mary dah gelabah sekarang ni bila dia
jumpa surat saya,” cakapnya sambil tersenyum nipis. Di kepalanya sudah
terbayang wajah Mary yang ketakutan membaca bait ayat yang dia rangkapkan di
dalam surat larinya. Di hujung baris surat itu dia selitkan yang dia akan
kembali dalam masa tiga hari jika dia jumpa jawapan yang dia cari dan jawapan
yang dia cari, ada di hadapannya.
Dia
hembus nafas berat. “Tapi saya tak rasa mereka kisah saya ada ataupun tak.
Asalnya, saya ni bukannya ahli keluarga mereka pun.”
Allisa
tenung wajah Daniel. “Kenapa awak cakap macam tu?”
Lelaki
itu diam. Matanya di tala ke luar tingkap. Dagunya ditongkat. Kini dia sedar
yang sebahagian besar dia lari dari rumah agam itu hari ini adalah kerana dia
tidak boleh terima hakikat yang dia cuma orang luar dalam keluarga itu. Hampir 21
tahun dia ditipu. Dia tidak tahu bagaimana dia hendak bertindak terhadap
perkara macam ini. Yang ada dalam fikirannya tika itu ialah dia mahu jumpa
Allisa. Dia nak lari.
“Aouch!”
Daniel membongkok, tangannya pantas berlari ke kakinya yang ditendangi oleh
Allisa tadi. “Untuk apa tu?” marahnya.
Allisa
bercekak pinggang. “Untuk bersikap kebudak-budakkan!”
Daniel
tidak faham.
Mata
Allisa menjuling ke atas. “Daniel...” panggilnya. Kemudian dia lihat lelaki itu
masih mengusap tulang betis yang ditendang tadi. “... saya minta maaf,” ucapnya
dahulu. “Apa yang saya maksudkan ialah awak masih tak sedar yang keluarga awak
sebenarnya sayang awak. Sangat-sangat.”
Daniel
senyum sinis.
“Saya
tak paksa awak percaya tapi itulah keluarga yang awak cakap yang tak ambil kisah
fasal awak. Ibu awak pernah datang jumpa saya dan minta tolong dengan saya
untuk putuskan pertunangan awak dengan Anita. Tapi saya tolak. Beberapa minggu
lepas tu, abang awak pula datang dan minta saya terima cinta awak. Tapi saya
tolak juga. Awak faham tak?” beritahu Allisa.
“Kenapa
awak tolak?” soal Daniel dengan muka yang tidak faham.
Allisa
keluh berat. “Daniel! Saya cakap ni supaya awak tahu yang mereka taknak lukakan
hati awak. Kalau boleh mereka taknak tahu yang awak ni bukan sebahagian dari mereka.
Dan sebab saya tolak ialah... perlu ke saya beritahu sekali lagi?”
Daniel
tersandar malas mendengar kata Allisa. Bahunya mengendur. Anak matanya menunduk
memandang jemarinya yang saling bermain. “Jadi kenapa papa beritahu saya semua
ni? Sedangkan mereka lindungi saya untuk 20 tahun, kenapa lagi beberapa hari
sebelum saya berkahwin, dia beritahu saya semua ni?”
Allisa
ketap bibirnya. Dia tiada jawapan untuk itu. Dia hanya mampu simpati dan
simpati. Seringkali Julie beritahunya bila gadis itu teringatkan James, untuk
dicintai ialah untuk disakiti. Semakin dalam kita mencintai, semakin dalam kita
disakiti. Bukan orang lain yang menyakiti hati ini tetapi diri sendiri.
30
minit di dalam gerabak, selepas perbualan mereka tadi, mereka senyap seketika.
Bianca kekal di kerusi berasingan dari mereka. Membiarkan mereka berbual tanpa
rasa diganggu. Daniel nyenyak tidur selepas lelaki itu senyap-senyap menangis.
Allisa buat tidak tahu dan menyambung membaca novel yang dia bawa.
‘Ktang!’
Allisa
angkat kepalanya. Dia lihat Daniel terhantuk kepalanya pada tingkap keretapi.
“Awak mimpi apa?” usik Allisa.
Daniel
mencebik. Dia gosok matanya lalu dia lihat ke luar. “Kita kat mana?”
Allisa
jungkit bahunya. Dia tutup bukunya. Ada perkara yang dia ingin tanyakan pada
Daniel sejak dia menjadi Benjamin lagi tetapi dia tidak pernah dapat tanya.
Agak lama persoalan ini tersangkut di dalam kepalanya. Dia basah bibirnya yang
kering, kepala sibuk mengarang ayat. “Daniel...”
Lelaki
itu pandang wajahnya.
“Awak...”
Dia senyap. Wajah Daniel ditenung kemudian dia alih ke arah lain. “... awak
ingat tak masa saya curi dengar perbualan awak dengan abang awak?”
Anak
mata lelaki itu melihat ke langit. Mukanya sedikit segar bila ditanya begitu.
“Kenapa?” soalnya sambil memperkemaskan duduknya.
“Apa
punca awak bergaduh dengan papa awak? Sebab awak ada impian berbeza dari yang
dia mahu?”
Terkelip-kelip
mata Daniel pandang Allisa. Selepas itu dia tersengih. “Saya fikir apa..”
katanya perlahan. Belakang kepalanya diusap. Sengal di leher mula terasa bila
dia duduk menegak begitu bila dari tadi dia berasa berdebar-debar mendengar
soalan yang bakal muncul di bibir Allisa. Dia ketawa. “Awak buat saya terkejut
aja.”
“Awak
fikir saya nak tanya apa?”
Daniel
menggeleng. Ketawanya masih bersisa. Dia tarik nafas bila dia dah bersedia
untuk menjawab. “Entah... Jujur saya tak pasti apa punca saya bergaduh dengan
papa. Dia dari dulu sememangnya macam tu. Fasal impian saya tu... itu satu hal.
Tapi saya rasa banyaknya punca kami bergaduh, sebabnya saya ni dalam proses
untuk membesar. Saya banyak buat silap yang saya tak maksudkan dan saya tak
tahu untuk baikinya. Saya menolak untuk membaikinya,” jawabnya. Anak matanya
tidak fokus seperti dapat membayangkan hari-harinya yang sebelum ini.
Tuan
Scot ialah seorang yang tegas. Sangat tegas dan dia tidak tahan dengan
ketegasan yang ditunjuki oleh Tuan Scot. Lebih-lebih lagi bila ianya berkaitan
dengan janji. Namun disebalik semua itu, dia sedar... seperti kata Allisa,
semua itu kerana papanya sayang padanya.
“Masa
saya berumur 10 tahun, saya pulang ke rumah dan bawa berita yang saya dah ada
tunang. Dua hari lepas itu, saya tak ingat saya ada buat janji tu. Seminggu
lepas itu, Anita cari saya dan saya lansung tak terfikir yang saya dah buat
silap masa tu. Papa marah dengan sikap saya yang saya ambil setiap perkara
mudah dan lupa janji saya. Saya cuba untuk ikut jejak seorang Scot. Saya cuba
setia. Tapi semakin lama saya berpura, saya mula lupa kenapa saya berjanji.
Sehingga sekarang, saya tak tahu. Mangsa pergelutan emosi saya, Anita. Gadis
itu manis dan dia baik. Naif tapi dia terlalu muda. Saya terlalu muda untuk
dia.
Lima
tahun saya berpura-pura, saya jumpa satu perkara mampu buat saya rasa teruja.
Saya nak berlayar. Umumnya, saya nak bebas. Saya nak tahu potensi saya. Terikat
dalam kepompong sumpahan Scot, saya benam kaki saya dalam tanah, saya hadkan
penglihatan saya, lidah saya lebih berbisa dari bisa dan hati saya beku. Tapi
papa tak benarkan. Dia kata saya perlu ada untuk syarikat keluarga. Walaupun
abang ada, tapi saya perlu sokong abang. Mungkin dari situ, semuanya jadi lebih
berbelit dan saya jumpa awak,” cerita Daniel.
“Dan
awak nak tahu... ayah kandung saya dulu seorang pengembara. Setiap ceruk dunia
ni dia dah jelajah. Saya rasa minat saya datang dari dia,” tambahnya. Di hujung
katanya dia tersengih seperti anak kecil.
Allisa
terikut sengih. Gembira bila Daniel sudah jumpa senyum itu semula. Sebenarnya,
dia rindukan senyuman itu. “Jadi mana ayah kandung awak?”
“Mati,”
ringkas Daniel menjawab. “Tiada siapa jumpa mayat dia. Samaada dimakan binatang
buas atau lemas di lautan... tiada siapa tahu.”
“Saya
minta maaf.”
Daniel
geleng. “Papa kata orang memang susah nak jumpa dia sebab ayah kandung saya tak
selalu ada di rumah. Dia kahwin dengan ibu kandung saya pun semuanya aturan
keluarga dan mereka berkahwin lama sebelum ada saya. Bila saya wujud dalam
perut ibu kandung saya, ayah kandung saya mati. Saya lahir, ibu kandung saya
pula mati. Mama kasihankan saya dan bawa saya masuk dalam keluarga tersumpah ni
dan... tamat. Itulah cerita orang tua kandung saya.”
Allisa
pandang Daniel dengan rasa kasihan. “Awak okey?”
Lelaki
itu ketawa. “Allisa awak ni... suka buat saya rasa emosi tau,” cakapnya.
“Awak
nak tisu?” Tangan Allisa laju mencari beg sandangnya. Rasanya dia ada simpan
sebungkus kecil beg tisu. Namun belum sempat dia dapat mencapai beg sandangnya,
Daniel sudah menggapai tangannya lalu dia letak pada pipi.
“Saya
tak perlu tisu. Saya tak menangis di sini tapi di dalam. Cukup awak sapunya
begini. Saya pun ada maruah juga. Bagi saya simpan sikit,” ujarnya perlahan
merujuk kepada aksinya sebelum ini. Allisa fikir yang Daniel tidak perasan akan
dia yang perasankan air mata yang mengalir perlahan 30 minit lepas. Selepas itu
dia genggam jemari Allisa.
“Walaupunbegitu,
saya tetap cintakan kereta. Setinggi mana saya angankan untuk bebas, saya tetap
suka kereta. Mungkin ada-lah sikit darah Scot mengalir dalam diri saya ni?”
cakapnya dalam tawa kecil.
Mata
Allisa bulat tidak faham. “Kenapa awak cakap macam tu?”
Kali
ini mata Daniel pula yang bulat. Tidak percaya. “Awak tak tahu keluarga saya
buat bisnes apa?”
Gadis
itu geleng kepala.
Daniel
tepuk dahi. Ya tuhan! “Allisa! Sebulan awak duduk dengan kami awak tak pernah
tanya sesiapa tentang apa sumber kewangan kami?”
Sekali
lagi gadis itu menggeleng kemudian tersengih-sengih seperti kerang busk.
Bertuah!
No comments:
Post a Comment