Sunday, August 16, 2015

Mimpi 33

33




Perjalanan selama dua jam setengah itu akhirnya tamat dan mereka tiba di platform stesen keretapi Beth dengan selamat. Tiada siapa yang mengenali mereka di situ dan suasana antara mereka terasa lain. Lebih-lebih lagi suasana antara Daniel dan Allisa. Mereka sentiasa tersenyum. Berbicara dengan hati yang senang. Seperti tiada pertengkaran sebelum ini, tiada rasa cinta yang menyakitkan namun dalam suasana yang selesa itu, Allisa masih lagi menghadkan batasnya. Jika sebelum ini dia sudah tentu akan terbabas dari garisan yang sepatutnya, dari pengalaman, dia sudah tahu untuk berdiri betul-betul di sempadan. Lagi 1% berbeza jarak dari sempadan. Kerana Daniel minta peluang, dia beri lelaki itu peluang.

“Hello.” Allisa pantas jauhkan gagang dari cuping telinganya bila dia tahu akan bala bakal menimpa gegendang telinganya. Dia tersengih kecil bila suara Julie dapat didengari walaupun gagang telefon jauh darinya. Bila dia rasa ada peluangnya untuk mencelah, dia rapatkan kembali gagang itu ke cuping telinganya. Akan tetapi, sahabatnya itu masih berceloteh itu dan ini. Bertanyakan kenapa dia tidak menjawab telefon di rumah sejak pagi tadi.

Belum sempat Allisa menjawab, Julie menyambung lagi celoteh panjangnya. Seperti pengulas sukan bola sepak yang menantikan pemain menjaringkan bola. Kelajuan celoteh Julie semakin meningkat.

“Jul...” panggilan Allisa dipotong. Julie masih bising-bising.

“Jul...” Allisa hilang sabar tetapi sahabatnya seperti tidak sedar diri.

“Julie Tasnynn!” Bergema suara Allisa di lobi hotel menarik perhatian setiap orang yang berada di situ. Dia hembus nafas berat sambil memikul rasa malu bila dia menarik perhatian yang berlebihan. Daniel yang berdiri di kaunter risepsi sudah tertoleh-toleh ke arahnya.

“Kalau ya pun janganlah menjerit Allisa oi! Sakit telinga ni hah!” bidas Julie.

Allisa ketap giginya geram. “Awak yang paksa saya. Membebel macam mak nenek. Pengajar Coax pun boleh kalah dengar awak punya celoteh!” balas Allisa dengan suara yang tertahan-tahan. Dia menyembunyikan wajahnya bila ada orang cuba mengintainya. Melihat apa yang sedang dia bualkan sampai terjerit tadi.

Wajah Allisa bertambah merah.

“Macam mana saya tak membebel kalau awak tak buat masalah? Pagi-pagi lagi Scot dah telefon rumah tanya fasal Daniel. Dia bawak awak lari ke mana? Yang awak pergi ikut dia buat apa? Awak nak suruh saya panggil awak bodoh lagi ke?” soal Julie tanpa berlapik. Dalam situasi seperti ini memang tiada makna lapik-lapik tambah lagi teman bualnya ialah Allisa. Memang dia beri sedas dua peluru berpandu-lah.

“Julie! Satu-satu! Satu-satu....” Di hujung ayatnya dia mengeluh. Baru sepatah dua kata dia berkata tetapi dia sudah rasa penat.

“Kalau macam tu, cerita. Apa sebenarnya yang berlaku?” suara Julie sedikit mengundur. Timbul pula rasa kasihan setelah tadi dia mengasak sahabatnya seperti tidak ingat dunia.

Allisa telan liurnya. “Semalam, Daniel muncul dalam rumah saya...” dan gadis itu bercerita. Tidak tinggal satu fakta waima tentang cerita tikus yang Bianca buat. Habis semuanya dia beritahu pada Julie. Bukan mudah sekarang ini untuk dia berbual dengan sahabatnya. Semenjak gadis itu pulang ke Brynn dengan tiba-tiba, agak sukar untuk Allisa berhubung dengan Julie. Semenjak semalam dia cuba untuk menghubungi tetapi pembantu rumah Julie asyik berikan jawapan yang gadis itu tidak mahu diganggu walaupun panggilan itu datang dari Allisa. Sahabat dunia akhirat Julie.

Bila Allisa habis bercerita, Julie tidak mampu mengelak daripada tidak mengeluh. “Senang cerita... peluang yang awak bagi pada Daniel ialah sebenanrnya peluang untuk buat Daniel betul-betul putus asa dengan awak?”

Allisa menoleh ke belakang. Melihat Daniel yang sudah siap mendaftar bilik untuk diri lelaki itu dan dirinya dengan Bianca. “Itulah... saya fikir saya dah buat dia putus asa Jul. Rupanya usaha saya tiga bulan lalu hanya sementara. Bila dia tahu yang dia bukan lagi Scot, dia terus cari saya. Apalagi cara yang saya ada supaya dia pulang semula ke keluarga dia? Saya tak nak dia buat keputusan melulu macam ni. Sepatutnya dia tahu posisi saya sekarang ni takkan bawa apa-apa makna kalau sekalipun saya jalin hubungan dengan dia. Ia takkan berjaya.”

“Macam mana awak tahu takkan berjaya?”

Allisa terkedu. “Jul... apa ni?”

“All...” Julie jeda. Allisa resah. Dia rasa tidak sedap tiba-tiba.

“Jujur dengan saya. Sepanjang awak habiskan masa tiga bulan di Prace, awak lansung tak teringat pada dia. Hati awak lansung tak tersentuh dengan sikap dia,” cakap Julie.

Allisa tidak mampu menjawab. Dia sudah agak tetapi dia masih lagi terkejut. Julie terlalu cepat menangkap. Lambat atau cepat, Julie pasti tahu. Bukan dari mulutnya dan tentu bukan dari mulut siapa-siapa. Gadis itu tahu sendiri.

“Saya sebenarnya dah lama perasankan hal ni All. Tapi saya tak pernah suarakannya sebab awak tak pernah cerita pada saya. Semenjak awak jatuh dari Brynn... All, ada satu perkara ketara yang berubah dalam diri awak. Sengat ketara sampai saya rasa sekarang ini, saya kecewa dengan awak. Bukan sebabnya hati awak keliru antara abang saya dan Daniel tetapi awak tak pernah lagi anggap saya ni tempat mengadu awak. Tiga bulan lepas mungkin saya pendamkan bila awak akhirnya cerita fasal Daniel cintakan awak tetapi bila awak... begitu berusaha menolak Daniel jauh dari awak, saya jadi ragu-ragu semula All. Dan sekarang ini... Oh All, apa awak nak buat?”

Allisa menggeleng. Air matanya bertakung namun dia tahan. Dia pantas menyeka mereka dari gugur. Dia tidak mahu menangis. Dia sudah puas. Penat. Tiada guna jika sehingga dia menangis air mata darah sekalipun, hubungan dia dengan Daniel... hanya bermakna untuk menjadi orang asing sesama mereka. “Saya nak terus tolak dia. Saya akan. Saya nekad Jul,” bicaranya. Mata masih lagi tidak lepas mengintai dari hujung mata, ke arah Daniel yang duduk di sofa bersama Bianca, menunggunya habis berbicara di telefon.

“Boleh ke saya anggap yang awak pasti akan pulang ke Brynn?” soal Julie mendatar.

“Ya...”

“All...”

“Juliane?” Allisa tukar topik. “Dia macam mana? Dah seminggu dia dah tak telefon. Semalam saya telefon pun dia tak ada kat rumah. Awak tahu apa-apa?”

Lama Julie jeda sebelum gadis itu bersuara. “Awak masih sayang abang saya?”

“Kenapa Jul? Apa yang berlaku?” Mendengarkan nada suara Julie begitu, Allisa gelisah. Juliane buat sesuatu yang bahaya? Namun apa yang membuatkan lelaki itu bertindak sedemikian? Sedangkan selama dia berbual dengan Juliane di telefon, lelaki itu ceria. Penuh dengan ayat-ayat menggoda.

“Kalau macam tu saya tunggu kepulangan awak di Brynn. Sehingga kita berjumpa lagi All.”

“Jul! Jul!” Bibir Allisa memuncung dan dia memandang ke arah gagang telefon dengan rasa sebal. Perlahan dia letak gagang telefon ke tempatnya. Fikirannya penuh dengan persoalan akan keadaan Juliane. Sihatkah lelaki itu? Dia berdoa supaya tiada apa-apa yang buruk menimpa Juliane. Jam di dinding, dia lihat. Dua hari sahaja lagi. Dia perlu tempuh hari ini dan dua hari lagi dan dia akan dapat pulang ke Brynn dan berjumpa dengan kekasihnya.

“Cik...”

Allisa berpaling. Bianca berdiri di sebelahnya memakai riak risau.

“Cik tak apa-apa?”

“Saya tak apa-apa Bianca,” ujarnya sedangkan dalam hati, ribut taufan dan segala bala bencana mula berpusar dalam hatinya. Keadaan hatinya tidak berapa stabil dan fizikalnya mula  mengheretnya ke tanah. Berat. Berat. Allisa berpaut pada meja telefon. Lalu dengan kudarat yang masih ada, dia tanya Bianca samaada gadis itu sudah ambil kunci bilik dari Daniel kerana dia sangat perlukan tilam saat ini.


“SAYA minta maaf. Saya cakap saya nak beri awak peluang tapi... hari ini kita lansung tak buat apa-apa dan bazir masa yang ada,” ucap Allisa petang itu bila mereka keluar untuk makan malam. Hari sudah pun gelap dan lampu jalan sudah diterangi. Sambil menunggu hidangan mereka tiba, Allisa ambil peluang untuk ucap maaf atas kesalahannya melanggar janji.

Daniel menggeleng. “Saya tak kisah. Janji, untuk dua hari seterusnya, awak ada,” cakapnya bersama senyuman ceria.

Melihatkan senyuman ceria Daniel, Allisa tidak dapat sorok senyumannya juga. Sejak mereka keluar dari hotel tadi dia dengar Daniel menyanyi-nyanyi kecil dan bercakap banyak. Cerita-cerita yang tiada kaitan dengan mereka. Tidak berkait dengan kisah duka berputus cinta atau tentang Anita. Suasana yang menyelubungi diri lelaki itu seperti pagi tadi.

“Kalau macam tu, makan malam ni saya belanja. Untuk tebus kesalahan saya,” putus Allisa. Dia buat tanda OK dengan jemarinya.

“Ooo... tidak. Saya belanja. Kan saya kata saya tak kisah.”

Allisa menggeleng. Tetap enggan untuk mengalah. “Bolehlah Danny?” pujuknya. Dia guna teknik comel dan manjanya.

Daniel ketawa senang. “Awak nak pikat saya ke?”

“Bukan dah terpikat ke?”

“Yakinnya.”

“Kalau macam tu saya nak balik bilik dan teman Bianca makan. Kesian dia makan seorang diri kat bilik...” rajuk Allisa. Padahal pembantu yang seorang itu yang sukarela untuk tidak menyertai makan malam mereka. Allisa bangkit.

“Okey. Saya terpikat. Saya terpikat. Duduk.”

“Saya bukan nak yang itu...” Dia masih lagi mahu lancarkan perang rajuk yang baharu mula.

Daniel garu kepalanya. Sebenarnya siapa pikat siapa sekarang ini? Bukan dia yang sepatutnya ke? Sejak pagi tadi Allisa buat perangai macam ini walaupun jauh di sudut hati dia suka dengan riaksi Allisa yang macam ini tetapi dia masih lagi ada rasa tidak jamin. “Baiklah. Awak boleh belanja. Tapi...!” Daniel pandang kiri dan kanannya sebelum dia lihat Allisa kembali mengambil tempat duduk. Nampaknya terpaksalah dia mengalah sedikit demi merebut peluang untuk merubah fikiran Allisa dan bersama dengannya.

“Tapi...?” soal Allisa dengan tanda soal yang tergantung di kepalanya.


MATA Daniel terbuka luas. Dia tidak pernah melihat rupa sebenar sebuak sarkas. Ini adalah pertama kalinya menjenguk ke tempat sebegini. Lampu neon bewarna-warni, bergantungan di setiap khemah dan sepanjang jalan menuju ke setiap khemah. Lagu-lagu dari alat instrumental yang kedengaran ceria diiringi gelak tawa kanak-kanak dan ngauman sang haiwan. Semuanya tampak bersinar di matanya. Tidak pernah dia bayangkan suatu hari nanti dia akan menapakkan kakinya ke tapak pesta seperti ini.

“Dah sedia?”

Daniel pandang Allisa. Berasa sungguh teruja dan gementar. Pesta yang dia selalu lihat dalam akhbar dan novel ada depan matanya. Dia tidak tahu hendak beriaksi bagaimana.

“Jangan risau. Saya akan tunjuk pada awak.” Allisa hulur jemarinya. Berharap Daniel akan menyambutnya dan mereka akan menjelajah setiap khemah dan kiosk satu persatu. Allisa akan tunjuk bagaimana caranya untuk bergembira di sini. Pertama kali dia menjejakkan kaki ke tapak pesta begini ialah dua bulan lalu di Prace. Ahli-ahli sarkas kebanyakan ialah orang-orang gipsi yang mengembara dari satu bandar ke bandar yang lain untuk mencari rezeki dan sudah tentulah ianya banyak diadakan di tempat-tempat seperti di Prace dan Beth juga.

Belum sempat Allisa berlari sambil menarik Daniel menuju ke kiosk untuk bermain, lelaki itu menahannya.

“Terima kasih,” ucap Daniel dalam nada berbisik.

Allisa ukir senyum. “Jom!”

Seperti lipas kudung, sana-sini-situ mereka lewati dan main. Ketawa dan melompat gembira. Kadang kecewa bila tidak mampu memenangi satu-satu pertandingan, mereka akan berganjak ke permainan lain dan main sehingga rasa puas. Tembak, pusing, langgar, baling, menjerit, sasar, dan terlepas. Bila letih mereka duduk seketika sambil menghirup minuman atau menjilat manisan sambil saling bertukar cerita yang mereka tidak pernah cerita. Bila makanan di tangan habis, mereka pusing lagi. Malam masih muda. Bosan dengan permainan di kiosk, mereka mula menjelajah khemah-khemah yang ada. Persembahan dan magis. Lompat dan terbang di langit. Mulut mereka tidak mampu tutup. Mata mesti terbeliak takjub. “Wahhh!”

Persembahan selesai. Allisa pandang Daniel dan Daniel pandang Allisa. “Rumah hantu?”

Allisa menolak keras. Dia tidak mahu dan dia tidak akan jejak. Dia tidak suka! Tetapi dia jumpa yang lebih seronok. Ada papan tanda yang menarik minatnya. Tanpa tanya pendapat Daniel, dia seret lelaki itu memasuki khemah kecil itu.  

‘Esmeralda de la Oracle.’

Bila mereka masuk sahaja, retina mereka tidak dapat mengesan sebarang figura kerana terlalu gelap dan yang hanya mampu mereka fokuskan ialah satu titik hijau yang menarik mereka menuju ke arah cahaya tersebut di mana ia semakin lama semakin mengembang lalu menyerlahkan seorang wanita berkulit sawo matang dengan hiasan rambut yang keperangan, anting-anting pelepah burung, tiga lapis kalung rantai dan baju guni yang abstrak warnanya.

“Mari orang muda, duduk di hadapanku, beri ku jarak tuk ku lihat iris matamu, kerna di situ ku tahu tujuanmu,” seru wanita itu.

Allisa tidak teragak untuk patuh tetapi Daniel menahan. Jemari mereka masih lagi berlingkar sesama mereka. Gadis itu pandang wajah Daniel dengan kerutan di dahi, kening terangkat.

“Mungkin kita patut keluar. Saya rasa tak selesa...” bisik Daniel. Sejak dia mula-mula masuk lagi dia sudah rasakannya tetapi dia pendamkan kerana dia ikutkan sahaja fiil Allisa tetapi melihatkan dekorasi dalam khemah ini dan penampilan wanita itu, dia ragu-ragu.

Allisa tersenyum senang. “Jangan risau. Dia takkan apa-apakan kita. Dah lama saya teringin nak jumpa dia. Sejak di Prace,” beritahu Allisa. Walaupun di sering ke sarkas di sana tetapi dia tidak pernah memasuki ke dalam khemah tilik nasib kerana Vincent mahupun Adella tidak percaya akan perkara-perkara seperti ini. Dia dan Julie tidak boleh kata banyak memandang mereka pun tidak berani hendak masuk jika mereka berdua sahaja tanpa berteman dengan lelaki. Tetapi dia teringin sekali mencuba kerana dia sering dengar pembantu-pembantu di rumah Vincent bercerita tentang itu dan ini bila setiap kali mereka berjumpa penilik nasib. Lagi-lagi penilik nasib gipsi.

Daniel ketap bibirnya. Dia lihat wanita di meja kecil itu sambil meramas-ramas bebola kristal sebesar setekup tapak tangannya. Tadi dia lihat wanita itu ketika menyeru mereka lansung tidak memandang ke arah mereka. Malah bila dia lihat lebih lama lagi, dia dapat rasa yang wanita itu buta. “Saya tak tahu Allisa... dia tak nampak meyakinkan,” Daniel beralasan. Dia muncungkan mulutnya ke wanita itu dan dalam takut-beraninya dia lambaikan tangannya di hadapan wajah wanita itu. Anak mata wanita itu lansung tidak bergerak.

“Nampak?”

“Dia yang mencari petunjuk, lelaki yang sesat dalam takdir, gadis yang kehilangan mimpi, orang yang celik belum mampu melihat dan orang yang buta belum buta hatinya. Sekali kamu berpusing, peluang untuk mu belum tentu kembali,” cakap wanita itu seakan-akan mengetahui setiap butir bicara mereka sedangkan jelas sekali tadi mereka bercakap seperti dalam kelambu.

Allisa pandang Daniel dengan senyuman mengejek. Sambil bercekak pinggang, dia tunggu jawapan Daniel. Berpeluk tubuh.

Melihatkan keegganan Allisa untuk berganjak, Daniel tiada pilihan lain selain dari menemani gadis itu. Lagipula dia sudah berjanji dengan gadis itu yang dia akan terima setiap bayaran dari gadis itu untuk setiap tiket khemah dan koin kiosk di sarkas jika gadis itu benarkan dia bayar makan malam mereka tadi. Hendak tidak hendak, dia turutkan juga. Lalu dia duduk di salah satu kerusi dan Allisa di sebelahnya.

“Saya All...”

“Tidak perlu nama wahai orang muda,” celah wanita gipsi itu. Dia menggerak-gerakkan jemarinya di sekitar bebola kristal itu. “Cukup ku dengar suara-suara mu kerna aku tahu dari awal yang akan ku terima lawatan dari bakal tuanku permaisuri dan lelaki yang dikasihani oleh keluarga tersumpah. Selamat datang ke khemah kodi ku.”

Allisa mengukir senyum. Dia pandang Daniel yang jelas terkejut. Mereka kemudian kembali melihat wanita gipsi yang meramas bebola hijaunya. Mata itu terbeliak luas seperti sedang melihat ke dalam bebola tersebut.

“Jawapan yang dicari oleh mu tidak mampu ku jawap setiap satunya tetapi hanya satu ku mampu beri jalannya dan bila dirasakan yang jalan mu sebelum ini seperti dihalang satu beban yang maha berat, percayalah beratnya beban itu mampu diangkat oleh mu kerana dia berikannya kepadamu mengetahui kemampuanmu. Kasih sayang keluarga mu tiada pernah kenal erti sempadan samaada dikasihani mahupun lahir dari kandungnya sendiri.

Sebagaimana dicari seberapa banyak pintu kepada cintamu, kerana di sini tiada satu pun mampu memberikan cinta yang diingini, kerana ianya berada di sebelah hujung sana, kuat dan tidak mampu dipisahkan walaupun bermain takdir yang berbelit. Saya doakan kebahagiaan buat mu wahai lelaki yang dikasihani dan terimalah apa yang ada untukmu kerana itu adalah untukmu. Tetapi doaku buat bakal tuanku permaisuri, jalan yang pasti tidak mampu ku tunjuk kerana ia gelap dan sunyi melainkan berdua direstui oleh mu dan nya. Tangis tidak mampu dielak dan bila di hujungnya, pelangi tetap menunggumu.” Wanita gipsi itu berhenti meramas bebolanya. Cahaya hijau dari bebola kristal itu malap dan suasana khemah itu terus bertukar gelap bersama-sama dua manusia yang tenggelam dalam laut yang dalam dipenuhi persoalan yang lain.  


MEREKA saling senyap. Tidak tahu berkata apa. Seperti baharu sedar dari lena yang panjang dan bila mereka terjaga, ianya seperti mereka terjaga di dimensi yang lain.

“Awak... nak balik?”

Allisa pandang sekelilingnya. Suasana tapak pesta masih lagi meriah. Pengunjung masih riuh di kiosk-kiosk permainan. Dia tidak mahu pulang lagi. Tidak puas bermain. Tetapi dia masih asyik fikirkan kata-kata wanita gipsi itu.

“...jalan yang pasti tidak mampu ku tunjuk kerana ia gelap dan sunyi melainkan berdua direstui oleh mu dan nya...”

Dia tidak faham. Siapa ‘nya’ yang wanita itu maksudkan?

“Itu apa?”

Allisa pandang ke arah khemah sederhana besar yang diunjuki oleh Daniel. Dia tersenyum kecil lalu dia pandang Daniel. “Rumah cermin. Nak cuba?”

Dua kening Daniel bertemu. “Tak pernah tahu. Apa tu?”

Gadis itu ketawa kecil. Dia lihat jam di pergelangan tangannya. Ada 30 minit sebelum tengah malam. Selepas rumah kaca ini, dia mahu pulang. Kasihan pula tinggalkan Bianca lama-lama di bilik. Sebelum gadis itu meroyan sebab dia tidak balik-balik, baik dia cepat masuk ke dalam. “Jom. Awak pasti suka!”

Lantas mereka bergerak ke sana. Tirai khemah dibuka dan mereka masuk. Sebuah cermin besar tersegam di pintu hadapan. Allisa dan Daniel, masing-masing melihat biasan figura mereka di dalam cermin.

“Baik awak ingat baik-baik rupa awak. Sebab nanti awak lupa rupa sebenar awak,” usik Allisa. Salah satu tempat yang dia suka pergi bila ke sarkas ialah rumah cermin. Dia dan Julie akan habiskan masa di hadapan satu-satu cermin dengan membuat ekspresi yang berbeza pada setiap cermin yang berbeza. Kemudian mereka akan ketawa seperti orang gila bila lihat rupa mereka yang buruk dan hodoh. Kadang-kadang ia akan membentuk rupa mereka menjadi cantik dan seksi.

“Harv! Pegang tangan mama. Sesat susah nanti!”

Mereka lihat seorang emak sedang memarahi anaknya yang berjalan sesuka hatinya dan mengakibatkan si emak berasa susah hati. Daniel pandang Allisa. Dia hulur tapak tangannya. “Baik awak pegang tangan saya. Saya taknak awak sesat juga.”

“Ok.” Allisa letak tapak tangannya di tapak tangan Daniel. Lelaki itu genggam erat tangannya. Erat. Lama Allisa pandang jemari mereka bertaut. Sedangkan selama mereka berada di pesta ini, mereka berpegang tangan ke hulu dan ke hilir tetapi tidak pula dia berasa seperti ini. Rasa berdebar sakan.

Kemudian masuk beberapa lagi orang pengunjung dan suasana di dalam rumah cermin semakin riuh. Kedengaran gelak ketawa di mana-mana. Begitu juga Daniel. Nampaknya lelaki itu menikmati waktu lucu dengan leka. Daniel menariknya ke cermin yang seterusnya dan seterusnya. Dia ketawa dan dia suka. Dalam dia bergembira, mata tidak lepas melihat bias tangan mereka yang terkunci erat.

“Maaf,” ucap seseorang bila tiba-tiba ada orang yang melanggar bahunya. Dalam keadaan ramai ini sememangnya mudah boleh terlanggar bahu dan terpijak kasut.

Allisa senyum manis. “Tak mengapa.”

Lelaki yang melanggarnya itu balas senyumnya dan berlalu. Allisa urut bahunya. Sedikit sakit tetapi tidak terlalu lama. Sakit itu hilang. Dia lihat kembali ke arah cermin. Namun Daniel tiada di sebelahnya. Mahupun di mana-mana berdekatannya. Tiada siapa di situ melainkan dia. Dia mula berasa tidak enak. Langkah kaki mula diatur mencari jejak Daniel namun bila tiba di jalan mati, dia tidak jumpa sesiapa.

“Daniel?!” panggilnya.

Sekilas, dia nampak bayang Daniel yang membelok di satu simpang. Allisa tersenyum lega. “Daniel nanti! Tunggu saya.” Dia berlari menuju ke simpang itu lalu dia belok. Terkejut, tiada siapa di situ dan ianya satu lagi jalan mati. Dia sekatakan pernafasannya. Penat berlari mengejar bayang ilusi. Cermin di hadapannya dipandang. Cermin yang ini ialah cermin biasa yang tiada apa-apa kesan istimewa. Begitu juga disebelah cermin tersebut. Disebelah yang satu lagi. Dan seterusnya dan seterusnya sehingga dia tersedar, yang dia terperangkap dalam sebuah bulatan cermin yang berbentuk oktagon. Allisa takut. Dia cuba menolak-nolak cermin di hadapannya tetapi ia lansung tidak berganjak.

Allisa berasa sesuatu. Sesuatu di belakangnya. Kehadirannya sangat kuat sehingga bulu romanya berdiri tegak. Liurnya ditelan kuat. Dia takut untuk berpusing tetapi kakinya bergerak sendiri. Seperti ada tali yang mengikat di kakinya, memaksa dia untuk berpusing. Allisa tundukkan wajahnya. Pernafasannya tidak selari. Jantung berdegup kuat. Bila dia betul-betul berhadapan dengan cermin di belakangnya, kali ini tali itu diikat di dagunya dan memaksa dia mengangkat muka. Sedaya upaya dia melawan tetapi tekanannya terlalu kuat dan dia akhirnya melihat biasan dirinya sedang menyentuh permukaan cermin. Biasnya menangis.

Refleks, tangan Allisa menyentuh permukaan wajahnya. Namun tiada sebarang jejak air mata yang mengalir di permukaan pipi. Allisa lihat semula biasnya. Bias itu masih menangis dan jemari itu masih melekap di cermin. Bibir biasnya bergerak-gerak. Cuba memberitahu sesuatu padanya. Allisa pantas sedar, yang di kiri kening biasnya, lansung tiada satu calar pun.

“Awak!”

Serentak itu, tiba-tiba cermin itu berpusing mengelinginya. Semakin laju. Allisa rebah. Oksigen semakin berkurangan. Dia cuba mengesotkan badannya ke hadapan. Namun pandangannya makin kabur. Dia panik. Batuknya makin kuat. Dia mencungap. “Tolong...”

“Bertenang sayang...”

Itu suara ibunya. Dalam kekaburan itu dia dengar suara ibunya. Allisa terbaring lemah. Ruang udara semakin berkurangan. Dia nampak cahaya putih. Semakin terang dan menyilaukan. “Tolong...”

Dalam cahaya putih itu dia nampak ibunya menghulurkan jemari runcing. Allisa cuba hulur jemarinya namun kandungan oksigen dalam badannya semakin berkurangan. Darah yang mengalir semakin perlahan menuju ke otaknya.

“Cepat sayang...”

Allisa kuatkan semangatnya. Dia angkat tinggi lagi tangannya. Lagi sedikit. Sedikit... Dapat!

“Dapat pun dia!”

Tiba-tiba wajah ibunya terkoyak dua. Dalam tubuh wanita itu keluar seorang manusia yang terbakar dan berbau hanyir. Jemari Allisa terasa bahang dan darah mula mengalir dari jemari wanita itu jatuh ke tubuhnya. Allisa cuba menarik tangannya tetapi dia tidak mampu. Pernafasannya tersekat. Oksigen dalam tangkinya habis. Dia tercekik. Wanita itu ketawa kuat.

“Mati! Mati! Mati! Waris Reed musnah! Mati!!!”


Allisa tidak mampu bertahan lalu matanya tertutup. Sayup-sayup dia dengar jeritan nyaring wanita itu mentertawakannya berselang-seli jeritan kesakitan seorang wanita lain yang dia ketahui siapa.

No comments:

Post a Comment