35
Sudah
lama dia tidak tidur seaman seperti ini. Pagi itu anginnya sejuk, damai. Burung
berkicau bila matahari perlahan-lahan menonjolkan sinarnya. Hidungnya dapat bau
angin segar, embun di hujung daun tulip dan petunia. Allisa ketawa geli bila
dia dapat rasa sesuatu menggeletek di belakang lehernya. Memaksa dia untuk
bangun.
“Pagi
sayang,” bisik suara itu.
Allisa
tersenyum geli. Dia tolak wajah itu menjauhi wajahnya. Dia masih mahu tidur
lagi.
“Bangunlah
pemalas,” suara itu berbisik lagi. Kali ini siap tiup-tiup di telinganya.
Allisa
tidak tahan. Matanya terbuka luas dan tangan dia spontan memegang telinganya
yang mula memerah. “Daniel!” teriaknya sambil berpusing. Tetapi Daniel tiada di
sebelahnya. Pantas dia duduk. Mata melilau mencari Daniel. Dia pasti tadi lelaki
itu ada berbaring di sebelahnya.
“Daniel!”
panggilnya. Suaranya bergema di setiap penjuru padang tulip. “Da.Ni.El!” Allisa
takut. Mana Daniel telah larikan diri? Adakah ini satu gurauan? “Daniel, saya
tak suka gurauan macam ni...”
“Saya
baring kat sinilah bijak.”
Kepala
Allisa tertoleh-toleh. Baring dekat mana? Kenapa dia tidak nampak pun?
Dia
bangun. Leher dipanjangkan. “Saya tak nampak awak.”
“Saya
di depan.”
Tanpa
berfikir panjang, Allisa bergerak ke hadapan. “Mana?”
“Depan
lagi.”
Allisa
berlari anak. Dia berasa gementar. Ada sesuatu yang tidak kena. “Awak kat mana
sebenarnya Daniel? Cuba bangun. Bagi saya nampak awak,” ujarnya sambil terus
berlari. Badan sudah berasa penat. Semakin dia berlari ke hadapan, seolah-olah
dia masih berada di tempat sama. Jarak antaranya dengan hujung ufuk tidak
berubah. Bila dia paling ke belakang, dia masih boleh nampak bekas tempat dia
dan Daniel baring. Dia mendesah bila pagi-pagi dia sudah berbuat senaman. Dia
cekak pinggangnya. Kepala dongak ke langit. Kepala berfikir di mana sebenarnya
Daniel berada?
Dia
berpaling dan tanpa amaran, dia jatuh ke bawah. Tangan tergawang-gawang mencari
tempat untuk berpaut. Angin yang menderu dari belakang tubuhnya buatkan liang
romanya naik. Dia kesejukan. Pelik. Dia jatuh ke atas langit dan bila pandang
ke bawah dia nampak sebuah pulau kecil yang terapung dalam kalangan kapas awan.
Di tebing pulau itu dia nampak sebuah bangunan putih. Dia kenal bangunan itu.
Hospital Besar Brynn!
Ini
bermakna dia berada beberapa ratus kaki dari tapak bumi! Apa yang berlaku
sebenarnya?
Saat
dirinya berpapasan dengan tingkap bilik aras lima, dia nampak tubuh seorang
perempuan terbaring kaku di atas tilam, badannya kurus melidi dengan rambut
hitam yang panjang sehingga ke hujung kaki. Mulutnya terbuka luas. Itu dia! Itu
dia!
Dia
terus jatuh melepasi Pulau Brynn, melepasi beberapa buah pulau kecil sehingga
bila dia searas dengan jarum menara jam, tempat yang dia jatuh pertama kali dia
mendarat di Darmadin, badannya berhenti jatuh. Dia hampir fikir yang dia akan
mati. Dia sudah pun menutup matanya dan berdoa di dalam hati mohon tuhan ampuni
segala dosanya. Sebaliknya, dia tersekat di udara. Dia terpinga-pinga. Tapak
bandar Darmadin masih sukar untuk dilihat awal pagi ini. Awan-awan pagi
menyelubungi sekeliling kawasan menara jam.
Dia
cuba untuk tegakkan badannya tetapi dia tidak mampu. Badannya tidak memberi
kerjasama yang memberansangkan sebaliknya dia terpusing melihat bawah Pulau
Brynn. Matanya bulat melihat pemandangan tersebut. Ini bukan yang dia mahu. Dia
hendak berdiri dan berjalan dari sini. Dia mengeluh kesal. Serentak itu, dia
kembali jatuh lalu dia terhempas di atas satu permukaan lembut sebelum jatuh
berguling ke atas permukaan keras.
Dengan
sepenuh kudrat yang ada dia bangun. Kepala berpinar, belakang badanya sakit.
Visinya lari sekejap. Dia hilang imbangan dalam posisi itu. Namun badannya
sempat disambut oleh seseorang.
“Cik
tak apa-apa?”
Allisa
pandang muka lelaki yang menyelamatkannya. Dia senyum nipis. Dia tolak tangan
lelaki itu dari terus memaut lengannya. Dia rasa tidak selesa. Lantas dia cuba
bangun. Situasi ini sama seperti hari itu dan orang yang sepatutnya berada di
tempat lelaki asing itu ialah Daniel. Bila dia dapat stabilkan dirinya, dia
cuba cari wajah Daniel dalam kerumunan orang yang mengurumuni dirinya yang
‘baharu sahaja terjun dari menara jam’.
“Cik
tak apa-apa?”
Lelaki
asing itu terus menyoalnya seperti tidak memahami isyarat yang dia beri tadi.
“Ya, ya saya okey.” Dia cuba keluar dari bulatan perhatian ini. Dia cuba
meloloskan dirinya namun semakin ramai yang cuba menghimpitnya. Bila dia rasa
dia dapat keluar dari kerumunan itu, tubuh tegap seorang lelaki melanggari tubuhnya.
Allisa berdecit sakit. Sudahlah belakangnya masih lagi rasa sengal-sengal,
sekarang ini tambah pula sengal di bahu. Teringin pula dia lihat wajah lelaki
yang melanggarnya dan dia pusing.
Suasana
sekeliling berubah. Dari sebuah bandar yang sesak dengan perhatian dari orang
asing, dia berdiri di dalam kamarnya sendiri. Tetapi tekanan dirasakan sangat
berat dan dia dapat dengar esakan orang menangis. Pembantu-pembantu rumahnya
menangis. Dia berjalan mendekati tempat tumpuan pembantu-pembantu rumahnya. Dia
terpaksa menyelit semula untuk ke tengah. Bila dia sampai ke tengah bulatan,
badannya berhenti bergerak. Bibirnya mengering.
“Tipu...
tipu... tipu...!” marah lelaki di sebelah Allisa.
Gadis
itu menoleh. Matanya terus tertancap pada wajah itu. Wajah yang dia rindu.
“Ini
semua dusta! Ini bukan yang saya harapkan bila saya pulang! Apa semua ni?!”
“Bawa
bertenang Juliane,” cakap seoran lelaki dengan suara serak basah yang dalam.
Allisa pandang lelaki tua itu.
“Beritahu
saya yang semua ni gurauan, tuanku...” rintih Juliane. Air matanya sudah
mengalir.
Raja
Dominick tertunduk lemah. Dia tidak mampu menidakkan. Ia terlalu pahit untuk
sesuatu yang manis.
Juliane
mendengus. “Dia ada majlis ulangtahun malam ini, demi tuhan!” Juliane merengus
lalu beredar. Tidak lama kemudian semua orang dalam bilik dapat dengar pintu
bilik itu dihempas kuat sehingga ke siling rasa gegarannya bersama suara Julie
di luar biliknya, menjerit-jerit pada Juliane supaya melepaskan tangannya dalam
selang bertanyakan keadaan sahabatnya.
“Julie...”
Kedengaran
keluhan kesal di bibir Raja Dominick. Lelaki tua itu duduk semula di sebelah
cucunya. Rambut yang menutupi dahi gadis itu diselak. Lalu dia usap penuh
kasih. Allisa mendekati Raja Dominick. Seperti setiap orang di dalam bilik ini
tidak nampak akan kewujudan dirinya di dalam bilik ini.
“Kenapa
pergi sejauh ini sayang?” soal Raja Dominick lalu dia kucup dahi cucunya.
Bahu
Allisa semakin memberat. Wajahnya semakin menunduk. Melihat dirinya sendiri
terbaring kaku di atas katil, bernafas perlahan dan mata terpejam rapat. Itu
ialah dia tiga tahun lalu. Dia masih lagi tidak faham kenapa dia berbuat
demikian. Matanya tertancap lama pada kening kirinya. Kening yang bebas dari
sebarang parut. Jika ini benar memorinya empat tahun lalu jadi mengapa ia
dirasakan seperti memori orang lain? Dia menjadi semakin keliru dengan situasi
yang dia berhadapan kini.
Dia
temukan satu nota di meja lampu sebelah katilnya dan dalam nota tersebut, dia
kenal gaya tulisan yang ditulis di atas nota tersebut.
‘Tanggungjawab
ini terlalu berat untuk saya tanggung sendiri. Maafkan saya. Allisa.’
RASA
seperti masa bergerak perlahan, pergerakannya juga perlahan mengikut rentak
langkah datuknya. Tadi, selepas hampir dua minit raja itu menatap tubuhnya, dia
ikut Raja Dominick keluar dari kamarnya yang penuh air mata. Di tangga berpilin
rumahnya, Stuart, pembantu peribadi datuknya sudah sedia menunggu. Pada Stuart,
datuknya minta supaya dihantar kad mohon maaf kepada setiap tetamu yang
dijemput dan minta pembantu istana bersihkan dewan kerana majlis dibatalkan.
Ketika Raja Dominick mengarahkan setiap satu tugas pada Stuart, riak wajah
datuknya seperti tiada semangat untuk meneruskan aktiviti di istana. Melihatkan
wajah itu, hati Allisa jadi lebih berat. Rasa kesal bertambah-tambah.
Dari
rumahnya, Raja Dominick menuju ke bangunan istana. Berjalan masuk ke dalam,
melalui lorong yang kelam dan beberapa siri tingkap yang tinggi, langsir yang
labuh dan lukisan dan foto yang bergantungan sepanjangnya. Ianya seperti satu
ringkasan kehidupan diraja. Dari zaman nenek moyangnya kepada dirinya, berdiri
dan duduk, dalam pelbagai jenis pakaian, tersenyum memandang ke arah pelukis
dan ada antaranya ke arah kamera seluloida. Terdapat juga wajah Julie dan
Juliane di dalam bingkai kecil. Allisa tersenyum nipis. Kenangan mencurah-curah
memasuki ruang mindanya. Tetapi tiada memori sepanjang seminggu yang dia
lupakan kecuali yang dia ingin sekali lupakan.
Raja
Dominick berhenti berjalan dan berdiri di hadapan gambar berbingkai besar.
Allisa mendekati datuknya, mata terpahat pada potret. Ia ada Raja Dominick,
Raja Louis, Permaisuri Raina dan dia. Sebuah lukisan yang tampak sempurna,
bahagia dan harmoni tetapi dengan suasana sekeliling, sempurna, bahagia dan
harmoni itu nampak palsu. Setiap seorang seperti dipaksa memakai topeng senyum
dan bergembira. Allisa tidak pernah ingat dia pernah ada gambar palsu seperti
ini.
Bunyi
esakan menarik perhatiannya. Raja Dominick menyapu air mata yang menitis satu
persatu. “Terlalu awal untuk aku berasa sepi wahai Raina. Aku masih berduka
tentang ibumu, kesedihan permegianmu bersama menantuku masih baharu dan kini cucuku
ingin mengikutmu. Tidakkah kau kasihani ayahmu ini? Jika ya, pulangkan cucuku.
Berikan dia petunjuk dan bimbingan. Dia terlalu muda untuk kerusimu dan aku
tiada kuasa untuk memerintah kerajaan ini lagi. Oh Raina...”
Allisa
cuba sapu air mata yang mengalir itu tetapi dirinya umpama roh yang mengembara.
Dia semakin lama sudah tidak mampu untuk menyentuh waima disedari kehadirannya.
Dia masih lagi tidak faham dengan situasinya namun dia dapat tangkap yang dia
sedang menjelajah masa lampau. Jika dia berada di landasan yang betul, dia
berkemungkinan akan dapat lihat memori yang hilang.
Kali
ini dia dengar esak tangis lagi. Namun ia bukan milik datuknya. Ia milik
seorang gadis.
Allisa
lihat ke arah punca suara dan dia dapat lihat dirinya. Berlari melepasi lorong
yang dia dan Raja Dominick berdiri dan nampaknya, hanya dia seorang sahaja yang
dengar. Tanpa tangguh, Allisa kejar dirinya sendiri sambil kepalanya sesekali
menoleh memandang datuknya pada waktu itu sebelum berjumpa dengan datuknya yang
akan datang.
DIA hampir kehilangan jejak dirinya yang
dahulu apabila dia lihat ‘Allisa’ berdiri di hadapan bilik bacaan datuknya.
‘Allisa’ itu hanya berdiri, lansung tiada niat ingin mengetuk atau merempuh
masuk. Esakannya sesekali kedengaran. Allisa berjalan mendekati ‘Allisa’. Dia
lihat dirinya berpakaian gaun, rambut disanggul tinggi dengan beberapa simpulan
lipan di kiri dan kanan kepalanya dan diikat dengan ribon. Dirinya yang dahulu
kelihatan sihat. Tiada tanda-tanda kelaparan atau lebam di bawah mata akibat
gangguan tidur dan kualiti tidur yang rendah. Sekali lagi dia perasankan kening
kirinya tiada lansung kesan oarut yang sepatutnya wujud.
‘Allisa’
sapu kesan air matanya, tarik nafas sedalam mungkin dan dengan ketukan yang
lembut, dia berjalan masuk. Pintu dibuka kecil cukup untuk ‘Allisa’ seorang
sahaja yang masuk. Allisa tidak sempat untuk meloloskan dirinya namun dia
sedikit terkejut bila dia mampu tembusi papan pintu. Kemudian dia terlanggar
pula tubuh Stuart, dimana dia tembus juga. Dia mula rasa seronok memasuk dan
menarik semula tangannya dari tubuh Stuart. Tiba-tiba Stuart menunduk, jelas
mengejutkan dirinya yang terleka tadi dan Stuart tinggalkan ruang itu. Yang ada
hanya ‘Allisa’ dan Raja Dominick. Kedengaran hujan mulai lebat di luar.
“Atuk
dah minta Graham bawa anak-anak mereka jauh dari kamu untuk seketika seperti
yang kamu pinta. Kamu tidak menyesal, bukan?” suara Raja Dominick bergema di
seluruh ruang bilik bacaan tersebut. Lelaki separuh abad itu berdiri di hadapan
pendiang, badannya menghadap ‘Allisa’.
‘Allisa’
mengangguk. Dia lansung tidak mengeluarkan suaranya.
Raja
Dominick mengeluh kecil. Dia merapati ‘Allisa’ lalu tubuh itu dipeluk. Belakang
kepalanya diusap. “Atuk tahu kamu terpaksa tapi itu tak bermakna kamu boleh
tolak mereka pergi. Mereka berhak tahu. Nak atuk batalkan – ”
Belum
sempat Raja Dominick habiskan kata-katanya, ‘Allisa’ sudah menggelengkan
kepalanya. Bersungguh. Gadis itu leraikan pelukan mereka dan dia menjarakkan
diri.
Allisa
tidak faham. Kenapa dirinya tika itu lansung tidak berkata apa-apa dan kenapa
dia minta datuknya hantar Julie dan Juliane jauh darinya? Bila dia lihat
situasi ini, dia mula mengingati memorinya yang dia lupa. Walaupan
berlubang-lubang... sepanjang seminggu, dia bersendiri. Mengurungkan diri.
Tidak mahu makan dan tidak mahu berjumpa sesiapa. Bila dia rindukan ibu dan
bapanya, dia senyap-senyap pergi ke taman bunga kesayangannya. Melihat dan
menyiram bunga petunia.
“Kesian
cucu atuk. Ada mulut tapi kotak suara terkunci. Kenapa Raina buat cucu aku
macam ni?” keluh Raja Dominick perlahan tetapi cukup untuk ‘Allisa’ dengar.
Juga Allisa.
SAAT
dia dengar keluhan Raja Dominick, dunia Allisa seperti bergegar. Suasana mula
hilang imbangan. Seperti visi yang tidak jelas. Dia lihat semuanya dengan rasa
takut. Gementar. Suara Raja Dominick berdengung di setiap pelusuk kepalanya dan
lama-kelamaan suara datuknya bertukar menjadi satu suara asing yang bernada
tinggi. Telinganya berdesing. Dia tekup kedua belah telinganya. Ini lebih teruk
dari waktu dia lemas. Dia tidak mampu melihat. Dia tidak mampu berfikir. Dia
tidak mampu mendengar. Dia tidak mampu bernafas. Lagilah hendak berdiri. Dia
meniarap. Air mata mengalir laju. Dia menjerit sakit. Sesiapa datang tolong
dia. Sesiapa dengar rintihannya. Dia takut.
Di
tengah-tengah kesengsaraan yang dia rasakan, satu sentuhan lembut hinggap di
wajahnya. Menyapu air matanya. Membelai ubun-ubunnya. Dia tidak mampu lihat
dengan jelas akan gerangan orang yang mendengar rintihannya tetapi
sekelilingnya bergerak lambat. Dia yang tadi tertiarap, berbaring di atas
pangkuan orang itu.
“Jangan
tolaknya sayang. Terima dia. Ini ujian mu,” katanya. Suaranya lembut.
Menenangkan jiwanya yang kucar kacir tadi.
Dunianya
mula tenang. Warna-warna gelap mula pudar dan bertukar menjadi warna-warna
lembut. Suara-suara yang menghentam kepalanya, mengundur diri. Perlahan juga
Allisa mampu untuk mendengar, melihat dan berfikir.
“Ibu...”
Permaisuri
Raina tersenyum. “Maafkan ibu sayang.”
“Kenapa?”
Permaisuri
Raina tidak menjawab. Sebaliknya wanita itu kucup dahinya lalu dia belai rambut
depannya. “Ibu terpaksa berikannya padamu. Ianya satu warisan. Ia bolej jadi
sahabatmu dan ia juga boleh jadi musuhmu. Buat masa ini, kotak suaramu, ibu
terpaksa kunci demi kebaikanmu. Ingat pesan ibu, selagi kebenaran tidak
diketahui, selagi itu kunci itu akan kekal terkunci.”
Allisa
pandang wajah Permaisuri Raina dengan rasa tidak faham. Dia pernah dengar dari
wanita sihir itu, akan pesan yang sama. Dia ingin membuka mulut namun suasana
sekeliling yang mula berubah membantutkan keinginannya.
Dia
berada di dalam dewan tari. Disebelah ibunya, Raja Louis memandangnya dengan
senyuman lega. Lantas lelaki itu peluk tubuhnya. Matanya membulat. Dia pandang
kedua wajah ibu bapanya dengan rasa tidak faham. Dia yang tadi hanya
bayang-bayang kini mempunyai tubuh yang solid. Perjalanan memorinya tidak
konsisten. Ada sesuatu yang...
‘Bam,
bam, bam!’
Mereka
bertiga pandang ke arah pintu dewan.
“Dia
dah sampai. Saya akan cuba tahan dia. Awak bawa anak kita pergi,” arah Raja
Louis.
Permaisuri
Raina menggeleng. “Saya tak mahu tinggalkan awak. Kita lawan sama-sama. Tiada
siapa lagi boleh tolong kita lindungi Allisa dari dia.”
Raja
Louis pandang wajah Permaisuri Raina lama. Wajahnya menegang. Namun kemudian ia
mengendur. Dia tahu isterinya tidak akan berganjak walau macam mana pun dia
cakap. “Baiklah.”
Permaisuri
Raina pandang pintu dewan yang tidak lama lagi boleh runtuh itu. Kemudian dia
pandang wajah puterinya. “Pergi. Ibu dan ayah akan tahan dia.”
Allisa
menggeleng. Dia keliru. Apa yang sedang terjadi.
Permaisuri
Raina mendongak memandang atas. “Aria, bawa Allisa pergi. Makcik harapkan pada
kamu.”
Aria?
“Baik
tuanku.”
“Cepat!”
laung Raja Louis. Pedang sudah berada di tangan.
Aria,
saudara Allisa belah ibunya, bantu dia bangun. “Cepat tuan puteri.”
Allisa
menggeleng. Dia tidak mahu tinggalkan ibu bapanya. Dia sudah tahu apa akan
jadi. Ini malam kejadian sebelum ibu bapanya pergi. Perpisahan buat selamanya
dan dia ada peluang untuk selamatkan mereka!
“Pergi
Allisa! Aria tarik dia. Paksa dia!” arah Permaisuri Raina.
Allisa
rentap tangannya dari pegangan Aria. Dia tidak mahu lepaskan peluang ini.
Memori atau tidak. Selama ini dia ratapi pemergian mereka. Selama ini dia
salahkan dirinya kerana tidak berdaya untuk selamatkan mereka. Dia sudah ingat
saat ini. Terlalu jelas. Wanita sihir itu ada di balik pintu itu dan akan
melepaskan tembakan sihir kepada ibu bapanya yang tiada apa-apa kuasa untuk
melawan wanita seperti itu. Tiada siapa di dalam keluarganya yang belajar
sihir. Tidak. Aria!
“Aria,
tolong ibu bapa saya. Awak belajar ilmu sihir kan? Selamatkan mereka!”
Aria
terbejat. Dia yang tadi begitu berusaha cuba menariknya tidak jadi berbuat
demikian. Mata gadis itu membulat. “Macam mana awak tahu?”
Allisa
pula yang tersentap. Dalam koleksi memorinya, dia nampak Aria buat sihir ketika
mereka cuba lari dari dewan ini. Dia nampak Aria tahan wanita sihir itu dengan
mudah. Tetapi Aria tunjukkan kuasanya bila ibu bapanya sudah tidak bernafas.
“Tiada
siapa patut tahu yang saya belajar ilmu sihir...”
Pintu
dewan meletup. Keadaan semakin cemas.
“Aria
tolong!”
Mata
gadis itu berubah. Senyuman sinis terukir. “Buat apa saya tolong orang yang nak
mati?”
Bibir
Allisa mengering. Ini satu kejutan buatnya. “Awak nak keluarga saya mati?”
Aria
tertawa kecil. “Pembetulan. Saya nak kuasa yang ada pada ibu awak. Tetapi dia
dah beri semua kuasa yang dia ada pada awak. Jadi dia dah tidak berguna pada
saya. Kesian, tiada siapa yang dapat membantu tuanku raja dan permaisuri, sebab
saya dah tidurkan seluruh kerajaan dan mereka akan sedar bila tuanku raja dan
permaisuri... mati.” Dia ketawa kuat.
Allisa
menggeleng. Dia tidak boleh terima semua ini dan bila dia toleh kepalanya ke
arah ibu bapanya berada, dia hanya nampak mayat mereka. Dia dah terlambat. Dia
dah terlambat! Dia berlari mendapatkan mayat mereka. Menggeletar dia pegang
tubuh kaku ibunya. Air matanya merembes. Dia cari wanita sihir itu tetapi tubuh
wanita itu sudah terikat di batang kayu, terbakar dalam api yang marak. Wanita
itu merintih kesakitan. Allisa terkejut. Dia cuba bangun tetapi kakinya melekat
di lantai. Api mula merebak ke arahnya. Mayat ibu bapanya melebur. Yang tinggal
hanya darah mereka yang mula membanjiri lantai. Menjadi minyak pada api yang
marak.
Dia
ingin menjerit meminta tolong. Tetapi suaranya tidak keluar. Dia jerit sekuat
mana, tiada satu oktaf pun yang kedengaran. Dia menangis menyedari yang dia
terperangkap dalam memorinya.
“Suri...”
Allisa
angkat kepalanya. Di tengah lautan darah dengan api yang marak, dia dengar
suara seorang gadis. Pelik, tiada siapa pun yang berada di situ melainkan
dirinya tetapi dia dengar suara seseorang.
“Awak
dengar saya?”
Ingin
sahaja Allisa menjawab. Namun kerana batas di suaranya, dia hanya mampu
mengangguk.
“Saya
akan bantu awak kerana awak dah bantu saya,” kata gadis itu.
Kening
Allisa bercantum. Patut ke dia percaya suara ini? Tetapi dia ada pilihan lain
ke?
“Tutup
mata awak.”
Allisa
tutup matanya.
“Ikut
cakap saya, ‘semua ini hanya mimpi.’”
“Semua
ini hanya mimpi,” bisiknya di dalam hati.
Suasana
jadi sepi. Tiada lagi bunyi api yang marak. Atau bau hanyir darah. Dalam dia
menanti arahan seterusnya, dia kesan kehadiran seseorang di hadapannya. Terlalu
lama dia rasakan suara itu memberikan arahan seterusnya jadi dia cuba intai
sedikit. Dia nampak susuk tubuh seorang gadis dan senyuman manis yang terukir
di hujung bibir gadis itu.
“Sehingga
kita berjumpa lagi.”
Allisa
pantas membuka matanya. Tiada. Gadis yang dia intai tadi tiada, diganti siling
kosong bewarna biru kelabuan. Dia tutup matanya semula. Hilangkan segala rasa
penat yang dia rasakan sepanjang perjalanan ‘semua ini hanya mimpi’. Walaupun
itu mimpi, tetapi ada antaranya ialah koleksi memorinya. Dia pusing badannya,
menghadap ke kanannya. Bila dia buka matanya, dia nampak Bianca tidur lena. Jam
dikerling sekilas. 2.30 pagi.
Perlahan
dia bangkit, tubuh Bianca digoncang sedikit. Bila gadis itu raih kewarasan,
Allisa duduk semula di katilnya. Menunggu Bianca bangun. Dia perlu tahu juga.
Sesuatu yang mengganggu benaknya sejak dia dengar perbualan sehala datuknya
dengan dirinya dahulu. Tiada lagi orang yang mampu menjawab soalannya saat ini,
melainkan Bianca.
“Ada
apa-apa yang saya boleh bantu cik?” soal Bianca sambil menahan sengapnya.
“Saya
sepatutnya tidak mampu bersuarakan, Bianca? Kotak suara saya sepatutnya
terkuncikan? Jadi kenapa saya boleh bersuara sekarang ini?”
No comments:
Post a Comment