37
Dia
telah selamat sampai ke rumah. Selamat dimarahi. Dinasihati. Tidak lebih dan
tidak kurang. Dia terima semuanya. Dia tahu yang dia sudah buat kesilapan kali
ini. Dia akhirnya sedar. Perjalanan dari Beth ke Darmadin buatkan dia banyak
berfikir. Dia sudah banyak lukakan hati orang. Lebih-lebih lagi hati Anita.
Gadis itu terima segala kedinginannya, kemarahannya tetapi tidak pernah
sekalipun gadis itu menyerah kalah dalam merebut cinta dia. Allisa? Gadis itu
tinggalkan dia begitu sahaja dengan sepecuk surat! Dia tahu yang Allisa tidak
mahu apa-apa hubungan dengannya walaupun diakhirnya Allisa mengaku cintakan dia
juga, semua itu hanya bawa kesedihan dan kemarahan dalam hati dia dan dia
lansung tiada hati ingin buka surat peninggalan tuan puteri itu.
‘Tok,
tok, tok.’
Daniel
angkat wajahnya dari terus tertunduk menghadap muka meja kerjanya. Nafas dihela
berat. Dia tiada keinginan untuk berjumpa sesiapapun. Tetapi dia juga tiada
niat untuk menghalau. Lantas dia putarkan kerusinya menghadap ke luar tingkap,
membelakangkan pintu.
Pintu
terbuka perlahan. Berhati-hati dan sedikit takut-takut. Dia pasti itu bukan
abangnya atau papanya. Dengar dari derap langkah, ianya seorang perempuan.
“Tuan
muda...”
Daniel
pejamkan matanya. Kenapa mesti wanita ini? Satu-satunya wanita yang dia tidak
mahu bersua muka hari ini. Dia takut.
“Tuan
muda...”
Selain
Puan Scot, pada wanita inilah dia mengadu dan menumpang kasih. Dia takut jika
dia berhadapan dengan Mary secara berhadapan, dia akan runtuh.
Mary
berasa serba salah. Sedikit kecewa juga. Dia tidak berharap dia akan berhadapan
dengan Daniel hari ini tetapi dia berharap yang Daniel kuat menempuh dugaan dan
tidak cepat terusik dengannya. Bila dia lihat tuan muda ini bersikap begini,
dia mula fikir yang dia sepatutnya tahu akan akibatnya jika dia pilih pilihan
ini dan berterus terang dengan tuan muda itu sejak awal. Tidaklah keadaan
menjadi begini.
Dia
tarik nafasnya dalam. Dia harus naikkan semangat Daniel. Esok hari perkahwinan anak
muda itu dan dia tidak mahu lihat Daniel berjalan dengan rupa mayat hidup
seperti tiga bulan lepas. Dia bersyukur bila Anita minta tunda perkahwinan
tempoh hari. “Makcik nak minta maaf. Sebab makcik tak beritahu kamu awal-awal
akan perkara yang sudah lama makcik tahu, kamu merana. Kalau dapat putar waktu,
memang makcik nak perbetulkan keadaan ni.”
Daniel
ketap bibirnya. “Ini bukan salah makcik. Benda dah nak jadi,” pingkas Daniel.
Dia tidak suka bila Mary letakkan seluruh kesalahan di atas bahu wanita itu sedangkan
dari mula tiada siapa yang bersalah. Semua ini ialah kerja takdir.
Tanpa
sedar, Mary ukir senyum nipis. Hati tuanya gembira bila anak muda itu ingin
juga membuka suara. “Kamu tahu, kamu banyak mengingatkan makcik pada ayah
kamu.”
Mendengarkan
kata-kata Mary, menarik perhatian Daniel untuk berpaling tetapi dia cepat-cepat
tahan diri dia dari berbuat demikian.
“Ayah
kamu sebelum dia berkahwin dengan ibu kamu, dia bercinta dengan seorang gadis
yang tiada siapa pun tahu asal usulnya. Gadis itu berbeza dan dia menawan.
Tiada siapa pun di bandar ini tahu yang ayah kamu dan gadis itu ada hubungan
sehinggalah ayah kepada ayah kamu menyuruhnya berkahwin dengan ibu kamu. Ayah
kamu menentang sehabis mungkin tetapi ibu kamu dia lansung tidak menarik diri
dari perjanjian itu. Makcik tak tahu apa yang ibu kamu fikirkan, apa yang
makcik tahu, ibu kamu lansung tidak mencintai ayah kamu. Entah macam mana,
suatu hari, akhirnya ayah kamu bersetuju juga untuk berkahwin. Itupun
bersyarat. Dia kata pada ibu kamu, jangan harap rumah tangga seperti pasangan
lain dan jangan harap zuriat dari dia. Bila makcik tahu apa yang ayah kamu
tetapkan, makcik bersungguh menyuruh ibu kamu untuk putuskan pertunangan tu,
tapi ibu kamu degil juga.
Makcik
yang masa tu hanya pembantu ibu kamu, tak boleh buat apa dan biarkan ibu kamu
dengan keputusan dia dan lihat dia berkahwin dengan ayah kamu. Tujuh tahun, ibu
kamu menderita mengharungi rumah tangga yang tidak pernah bahagia. Ayah kamu
tunaikan janji dia dan ibu kamu perlahan-lahan cuba ambil hati ayah kamu.
Sayangnya, seperti yang kamu tahu, ayah kamu suka mengembara dan dia jarang
pulang ke rumah.” Mary sapu air mata dengan lengan bajunya. Tidak mampu menahan
rasa sedih bila setiap kali mengingati Shelby, ibu Daniel.
“Setiap
kali ayah kamu pulang, ibu kamu pasti akan masak dan cuba seboleh mungkin untuk
tarik perhatian ayah kamu walaupun sedikit. Lama-lama usaha dia menjadi. Ayah
kamu mula selalu jenguk rumah dan habiskan masa dia dengan ibu kamu. Mereka
bahagia dan mereka dapat kamu. Tetapi bahagia mereka hanya sekejap. Lima bulan
selepas ibu kamu mengandungkan kamu, ayah kamu hilang dan tidak pernah pulang.
Ibu kamu pula, kerana pertumpahan darah yang banyak dan kerana terlalu rindukan
ayah kamu, dia ikut pergi bersama ayah kamu dan bila mama kamu datang dan mahu
menjaga kamu, dia ajak makcik juga untuk bekerja di sini dan jaga kamu.” Di
hujung ayatnya, wanita itu tertawa kecil. Malu bila dia tiba-tiba menangis dan
hidung berhingus. Sungguh, dia rindukan Shelby. Bila dia cuba cari sapu tangan
untuk menyapu hingusnya, dia terjumpa sepucuk surat dalam poket apronnya
bersama-sama sapu tangannya. Dia cepat tersedar akan tujuan dia masuk ke bilik
ini tadi. Bila umur semakin meningkat, dia semakin cepat lupa.
Dia
sapu hingusnya dahulu kemudian baharu dia letak surat itu di atas meja.
“Sebenarnya tujuan makcik masuk bilik kamu sebab makcik nak serahkan surat ni.
Makcik jumpa dalam beg kamu masa makcik kemas tadi. Lagipun makcik tengok kamu
tak buka lagi surat tu, itu yang makcik bawa ke sini.”
Mary
tunggu riaksi dari Daniel dan seperti tadi, anak muda itu tetap tidak mahu
memandangnya. Apa yang dia boleh lakukan jika itu pilihan Daniel? Dia mengundur
perlahan-lahan lalu menunduk sedikit sebelum beredar.
“Makcik!”
Mary
berhenti berjalan. Perlahan dia pusing tubuh gempalnya. Dia nampak Daniel,
badan berpusing memandang ke arahnya, wajah separuh terdesak. “Ya, tuan muda?”
Daniel
basah bibirnya. Liur ditelan. “Apa... jadi pada gadis yang ayah saya cintakan
tu?”
Mary
tidak ambil masa yang lama untuk menjawab. “Gadis itu tidak pernah diketahui
kerana tiada siapa pernah melihatnya. Lama ditelan bumi.” Suasana sepi sebelum Mary
menunduk hormat dan ucap selamat malam.
Daniel
panggung kepalanya. Dia jadi kasihan pada dirinya sendiri bila dia dengar kisah
ibu bapanya dari mulut Mary. Jalan cerita yang hampir serupa dengan kisahnya.
Seperti dia sudah dapat agak apa kesudahan untuk dirinya juga. Ibunya tunggu
tujuh tahun lamanya dan Anita... 10 tahun atau lebih. Kekasih ayahnya sudah
lama mati sebelum ibu dan ayahnya bertunang dan Allisa?
Dia
pandang surat yang terletak elok di atas mejanya. Patutkah dia baca surat tu
sedangkan dia tahu dalamnya mungkin penuh dengan alasan yang sama? Ayat yang
bakal mencalarkan hati? Hakikatnya, dia tidak akan tahu selagi dia tidak baca
surat itu. Allisa sudah beri dia peluang. Dia juga harus beri Allisa peluang.
Berhati-hati
dia tarik lilin yang melekat di bibir sampul. Surat dikeluarkan. Tulisan
berlingkar yang halus dan kemas memenuhi dua helai kertas coklat itu. Mata Daniel
laju membaca setiap patah kata tanpa meninggalkan satu huruf pun. Semakin lama
dia baca, perasaan marah dan kecewanya pada Allisa kian memudar. Yang tinggal
hanya pasrah.
Kehadapan Daniel,
Pertama sekali saya
ingin ucap ialah saya minta maaf. Saya sepatutnya bagi awak peluang tiga hari
tapi saya tak tunaikan janji saya. Ada sesuatu yang saya harus buat di Brynn.
Sejak malam semalam, memori saya timbul sedikit demi sedikit dan saya keliru dan
saya mahukan jawapan. Sekali lagi saya mohon kemaafan dari awak sebab masalah
saya, awak merana. Saya tahu lambat laun saya harus juga jelaskan hal ini pada
awak, saya tak sangka ia akan jadi seawal ini.
Saya juga nak
ucapkan terima kasih kerana sepanjang dua hari saya di Beth, awak buat saya
rasa gembira sangat. Saya dah lama tak rasa gembira seperti ini dengan awak
Daniel. Jujur, saya rindu masa yang kita ada dahulu. Masa yang kita habiskan
dengan berbual, ketawa dan bermain. Walaupun sekejap, ia kekal dalam memori
saya. Tentang apa yang berlaku di ladang tulip semalam, juga tidak akan saya
lupakan. Walau macam mana awak dan saya, kita saling cinta... bila tiada takdir
bersama kita, usahalah macam mana sekalipun, kita hanya bawa kesedihan pada
orang yang kita sayang dan saya tak mahu tu.
Ingat tak masa kita
jumpa dengan perempuan gipsi yang menakutkan tu...? Awak ingat tak apa yang dia
cakap? Yang walaupun kita tidak ada takdir untuk bersama di sini tetapi di satu
tempat yang lain, kita pasti akan bersama. Mungkin nanti bila kita dilahirkan
semula, kita akan berjumpa dan jatuh cinta dan berkahwin dan bahagia tanpa ada
halangan dari apa sekalipun. Pada masa itu, saya cuma berharap yang awak akan
ingat saya dan saya akan ingat awak.
Dan ada baiknya juga
hubungan ini sehingga di sini. Dari mula tuhan tahu Anita memang untuk awak.
Dia ada segalanya untuk awak. Awak beritahu saya yang awak ada satu ciptaan
untuk ubah suai basikal kepada satu kenderaan bermotor. Saya rasa itu satu idea
yang bernas dan Anita mampu bantu awak dari segi kewangan. Keluarga dia kuat di
situ dan dia sangat-sangat cintakan awak. Saya tahu ia mungkin kedengaran
seperti mengambil kesempatan tapi saya rasa suatu hari nanti awak akan cintakan
dia juga. Saya dapat rasakan. Firasat perempuan selalu betul. Tentang sumpahan
yang saya beri pada awak masa kejadian saya simbah air teh pada awak tempoh
hari, saya minta maaf dan saya tarik balik kata-kata tu. Saya nak lihat awak
bahagia Daniel. Saya doakan kebahagiaan awak.
Saya juga nak minta
maaf jika selama ini saya ada buat awak terasa hati atau menceroboh kawasan
yang tak sepatutnya. Saya rasa tempat tu selesa dan tenang. Sebelum ni saya
sukar untuk tidur malam dan sering mimpikan sesuatu yang tidak munasabah yang
saya lansung tidak faham. Kalaulah mimpi-mimpi itu ada bawa maksud pada
persoalan yang saya alami ini, saya akan rasa sangat gembira!
Akhir kata, saya
akan cuba hadiri hari perkahwinan awak. Ada banyak perkara yang saya harus
uruskan dan saya pasti lagi beberapa minggu dari sekrang, saya akan naik
takhta. Doakan untuk saya kerana saya sangat perlukannya.
Ikhlas, Allisa L.
Reed.
TIADA
satu ayat pun yang mampu dia proseskan saat ini. Semuanya terlalu mengejutkan
untuk dia telan. Sistem dalam kepalanya terhenti berfungsi. Badannya jadi kaku.
Mendengarkan setiap patah kata datuknya, buatkan kepalanya rasa berpinar-pinar.
Nafasnya pendek. Hampir terlepas garfu dan pisau di tangannya dek terlalu
terkejut. Dia cuba tarik nafas, isi setiap darahnya dengan oksigen agar dia
mampu terus berfikir. Dia tidak boleh tersekat. Ini baharu permulaan.
Dengan
tangan yang menggeletar, dia cuba potong hirisan daging yang dipanggang. Dia
telan liurnya bersama suapan kepingan daging yang dia potong tadi. Dia perlu
tenangkan diri dia. Hendak atau tidak dia harus telan satu-satu tiap patah kata
Raja Dominick.
“Atuk
faham yang masih ada beberapa memori kamu yang belum pulih tetapi untuk
terangkannya buat kali kedua, seperti membunuh kamu dari dalam buat kali dua.”
Dia
patut dengar pesanan datuknya. Tetapi dia degil. Dia hendak tahu juga. Dia
perlu tahu.
“Sebab
kenapa kamu sembunyikan hal ini dari sahabat kamu, tunang kamu dan sebab kenapa
ibu kamu kunci kotak suara kamu ialah kuasa yang ada dalam diri kamu sangat
kuat sehingga jika kamu tidak mampu mengawal emosi yang ada dalam diri kamu, ia
akan membinasakan orang-orang disekeliling kamu, sayang.”
Allisa
masih lagi mengunyah dagingnya. Semakin lama dia cuba telan semakin payah,
besar dan liat gumpalan itu dirasakan. Bisa menyekat kerongkongnya. Cekik dia
sehingga dia tidak mampu bernafas.
“Jadi
kuasa apa yang ada dalam diri saya?” Suaranya masa itu seperti bergetar
ketakutan. Serak dan kering.
Raja
Dominick mengeluh kecil. Jika dahulu dia berhadapan Allisa yang bisu, sekarang
dia berhadapan dengan Allisa mampu mengekspreskan ketakutannya. Suara yang yang
menggeletar itu buatkan dia jadi takut juga. “Ianya kuasa untuk menakluk dan
merubah seseorang hanya dengan berkata-kata. Ia terlalu halus juga terlalu kuat
sehingga mampu menukar seekor ayam menjadi singa. Jika ia jatuh pada tangan
yang salah, kerajaan ini akan huru hara.”
Glup!
Perit
dan pahit. Sakit yang dirasakan sehingga ke hidungnya. Matanya berair. Menerima
setiap patah kata itu membawa dia kepada siri memori yang janggal sepanjang dia
sedar dari tidur. Bila dia marah, kata-kata yang lahir dari mulutnya menuntut
seseorang untuk mematuhi setiap arahannya tanpa kerelaan empunya badan.
“Empat
tahun lepas, kuasa itu hampir jatuh ke tangan perempuan sihir tu, tetapi atas
tindakan pantas ibu kamu, dia tidak mampu ambil kuasa itu kerana ianya terkunci
jauh di dalam kotak suara kamu.”
Allisa
masih berdebar. Perbualan mereka terhenti dua minit lepas. Dia mahupun datuknya
seperti tiada hati untuk menyambung bual tentang perkara ini. Akan tetapi dalam
kepalanya masih lagi ada tanda tanya lebih-lebih lagi, tidakkah datuknya
tertanya-tanya bagaimana dia boleh bersuara semula? Sedangkan dalam memorinya
jelas, datuknya mengetahui akan sumpahan yang ibunya letak pada kotak suaranya
empat tahun lepas. Ada sesuatu yang tidak kena. Konsistensi antara memorinya
dan dengan apa yang sedang berlaku sekarang tidak sekata. Seperti yang pernah
berlaku tiga bulan lepas bila dia tanyakan pada Julie tentang parut di kening
kirinya ini. Seolah-olah semua ini...
“Allisa?”
Dia
angkat wajahnya. Kening terangkat. Sedikit cemas bila semua mata memandangnya;
Raja Dominick dan Bianca. Bingung pun ada juga kerana kehadiran Bianca di
sebelahnya yang tiba-tiba. Dia pandang semula datuknya. “Y... ya?”
Wajah
Raja Dominick berkedut seribu. Terukir kerisauan yang ketara bersama satu
keluhan berat. Penuh penyesalan. Matanya redup memandang hidangan makan
malamnya. Hatinya menangis melihat cucunya begitu. Masih lagi mencari jawapan
dan dia sepatutnya membantu seboleh mungkin. Sebagaimana mendiang isterinya dan
anaknya pesan, setiap pewaris berbeza dugaannya kerana setiap orang berbeza
kompleksnya. Dia beranikan dirinya memandang sepasang anak mata bersinar
misteri itu. Ada yang berbeza di sinar mata itu. “Cucu baik-baik?”
Allisa
angguk sekali. Mata pandang ke arah datuknya sejak tadi tidak beralih. Dia
tidak mahu bawa aura yang mampu membuatkan situasi berubah menjadi tidak
terkawal. Apa yang dia fikirkan tadi dia simpan dahulu. Dia pandang Bianca di
sebelahnya. Tanpa mengutarakan soalan, dia ajukan melalui pandangan mata. Gadis
itu menunduk sekali lagi. Sedikit formal dari kebiasaan. Mungkin kemunculan
datuknya dalam ruang makan itu membuatkan remaja itu menjaga batas lebih dari
biasa.
“Ada
panggilan untuk tuan puteri.”
Badan
Allisa terundur ke belakang. Sedikit terkejut dengan pemberitahuan itu. Siapa
yang menelefonnya waktu makan begini? Adakah ianya kecemasan sehingga tidak
boleh tunggu malam sedikit? Allisa lentukkan kepalanya ke kiri sedikit, mata
dibesarkan dengan kening yang terangkat.
Bianca
tundukkan wajahnya. Mata mencuri pandang ke arah Raja Dominick. Bibirnya digigit
lalu dia pandang semula wajah Allisa bila dia nampak Raja Dominick menumpukan
perhatian ke arah mereka. “Ianya penting,” tambahnya. Jangan kata dia tidak
berusaha menolak panggilan itu. Mendengarkan permintaan di hujung talian, dia
antara hendak dan tidak, terpaksa masuk ke ruang makan dan mengganggu makan
malam anak beranak ini.
ALLISA
pandang gagang telefon di tangan Bianca dengan rasa cemas. Walau macam mana
sekalipun dia soalkan pada Bianca akan siapa yang menelefonnya, gadis itu
enggan mendedahkan malah menekankan betapa pentingnya untuk dia menjawab
panggilan dari pemanggil ini.
“Cik?”
Pantas
Allisa sambar gagang telefon itu dan letakkan pada telinga-mulutnya. Mata
pandang Biaca yang mengundurkan diri dari ruang tamu rumahnya. Namun fokus
matanya lari bila dia dengar suara di hujung sana.
Untuk
seketika jantungnya seperti berhenti berdegup. Untuk seketika dia seperti lupa
untuk bernafas. Bagaimana dalam masa sehari, suara ini mampu buatkan dia rasa seperti
hendak mati bila dia dengar? Dia teringatkan tindakannya meninggalkan lelaki
itu pagi tadi dalam keadaan tergesa-gesa. Hanya dalam sepucuk surat dia mampu
luahkan rasa dan harapannya. Seikhlas mungkin. Jujur, dia tidak pernah harap
yang lelaki ini akan menalefonnya waima menegurnya dengan lembut seperti ini.
Rasa bersalah bertimpa jatuh memberatkan pernafasannya.
“Saya
tak jangka yang awak akan telefon,” ucapnya. Tubuhnya dipeluk.
Lelaki
itu ketawa halus. “Saya sendiri pun tak jangka yang saya akan telefon istana
waktu makan malam begini.”
Allisa
tarik nafasnya. “Tentang pagi tadi... saya...” Dia tidak mampu meneruskan
kata-katanya.
Daniel
senyap dan sepi itu menjawab ucapan maaf yang Allisa berikan dalam suratnya,
yang bahawasanya dia sememangnya sudah melukakan hati itu. Masa tidak mungkin
akan dapat undur kesilapannya tetapi jika ia berundur ke titik itu semula, dia
akan tetap pilih pilihan yang sama. Keutamaan dia sekarang ini ialah jawapan
kepada kebenaran yang telah dia elak untuk tiga tahun lamanya.
“Kenapa
awak telefon?”
Kedengaran
suara itu mengeluh. “Saya tak tahu nak cakap macam mana...”
Kening
Allisa bercantum. Wajahnya berubah garang. “Saya takkan – ”
“Bukan!”
potong Daniel sedikit menjerit. Dia mendesah. “Saya bukan nak pujuk awak atau
rayu pada awak. Saya dah putus asa sejak awak tinggalkan saya di Beth pagi
tadi. Juga... saya turut harapkan perkara yang sama sebagaimana awak harapkan.”
Entah
kenapa bila Allisa dengar Daniel berkata begitu, dia jadi kecewa. Hilang riak
garang di wajahnya. Dia tersenyum tawar. Jika ia benar wujud alam lain itu...
dia fikir. Dia tidak akan lari lagi. Dia akan maju. Dia akan jujur dengan
hatinya sendiri. Jika... benar kata wanita gipsi itu, itu janjinya. Walaupun
penuh duka cita dan rasa kecewa di hujungnya, dia tidak akan lari lagi.
“Saya ada satu
pengakuan nak dibuat Allisa.”
Gadis
itu tersentak. Untuk seketika dia benarkan fikirannya melayang jauh ke satu
alam yang tidak pasti. “Pengakuan apa?” soalnya dengan suara yang dalam.
Tiba-tiba jadi gugup bila dia tertangkap dirinya sendiri mengalamun jauh.
Daniel
pandang lama permukaan muka surat diarinya. Matanya tidak lepas memandang
sebaris ayat yang dia tulis tempoh hari dan di atas beberapa noktah yang dia
tekankan, di atasnya dot-dot itu dia tulis satu nama yang asing tetapi rasa
begitu dekat dengannya. Aneh...
“Malam sebelum saya
jumpa awak depan bilik rahsia tempoh hari, saya ada datang jenguk awak.”
Mendengarkan
hal itu, otak Allisa pantas mengimbas hari di mana dia bertengkar dengan Daniel
di hadapan bilik rahsia. Hari itu sedikit kacau dan penuh air mata. “Malam tu?”
“Ya.
Saya datang jenguk masa awak tidur dan saya dengar awak meracau dalam tidur.”
Terbayang-bayang di mata Daniel saat dia melihat kelopak mata itu terbuka dan
membulat tanpa berkelip, menumpahkan air mata titis demi titis. “Saya minta
maaf.”
Allisa
menggeleng seperti Daniel ada di hadapannya. Walaupun tika ini wajahnya merah
dek malu bila tidurnya dilihati oleh Daniel dan racaunya didengari juga,
hatinya lebih tertarik untuk mengetahui apa yang dia racaukan. Jantungnya
berdebar laju. “Saya cakap apa dalam tidur?”
Daniel
menarik nafasnya dalam. Matanya terus-terusan melihat sebaris ayat itu. Mulanya
dia tidak faham akan apa yang dia tulis namun malam ini seperti dia terima satu
pencerahan yang tiba-tiba. Dia rasa yakin dan pada masa yang sama dia juga
sedikit ragu-ragu. Adakah betul terjemahannya ini? Jika betul, adakah ini mampu
membantu Allisa dalam mencari cebisan teka teki yang dicari?
“Daniel?”
“Suri...”
Nama itu berdengung-dengun dalam kepalanya. “Awak minta saya panggil awak
Suri,” jawab Daniel.
“Suri...”
---
I have finished posting "mimpi' at other site called "ilham karangkraf" and has entered the new arc so feel free to go there. sorry for the late post in here. :)
No comments:
Post a Comment