38
Telefon
terlepas dari ganggang. Dunianya berputar ligat. Retinanya tidak mampu
memfokuskan pada satu objek di hadapannya. Jantung berdegup lebih laju dari
tadi malah dari kebiasaannya. Dia tercungap-cungap mencari nafas. Tiba-tiba dia
rasa gementar. Bercelaru dan takut.
“Suri...
Awak minta saya panggil awak Suri.”
Terhuyung
hayang dia cuba cari pusat diriannya. Bibirnya kering. Hatinya menyebut nama
‘Suri’ berulang kali, meninggalkan dengung yang tiada penghujung di tempurung
kepalanya sehinggalah nama itu menghentam satu rak laci yang paling tinggi,
membongkar isinya. Nama itu... Dia kenal. Dia pernah mendengarnya sekali. Di
dalam mimpi. Suara gadis yang wujud dalam mimpinya ada menyebut sekali nama
itu. Suri...
Bila
fokus matanya dapat raih titik tengahnya, dia mula dapat melihat dengan jelas
sedikit demi sedikit. Aroma bunga petunia jelas di hidungnya bila sesekali
angin bertiup lembut. Dia tersentak. Dia kini berada di taman belakang
biliknya. Namun tiada kelihatan binaan rumahnya atau istana atau pagar yang
memagari perimeter kawasan istana. Tiada hutan yang tumbuh berkelompok pada
satu-satu tempat atau apa-apa kewujudan makhluk lain selain dia, bulan,
bintang, malam yang tenang dan perigi. Satu-satunya perigi yang dia lihat pagi
tadi dan hanya dia sahaja yang mampu melihatnya. Hairannya, perasaan takut yang
dia rasakan tadi lenyap. Tiada rasa gentar seperti yang dia rasakan. Satu rasa
takjub mengusai hatinya. Bulan penuh memantulkan cahaya terang matahari.
Keemasan, bersinar seperti mutiara dengan lekuk besar pada hemisferanya namun
itulah pesonanya.
Matanya
bulat melihat bulan itu yang seakan dekat dengan tanah tempat dia berdiri.
Bulan itu seakan membesar seperti belon yang ditiup dengan sepenuh hati.
Menyingkir kilauan bintang-bintang yang berada jauh darinya; kelihatan kecil
dan terkedip-kedip sinarnya. Bulan it membesar dengan besar sekali tidak
membenarkan Allisa mengerdipkan matanya sehingga bila dia tersedar kepalanya
tertunduk ke dalam lubang perigi, melihat biasnya, bias bulan dan bintang.
Malam masih lagi tenang. Tiada awan yang berkumpul dan berarak dan dia tidak
berganjak dari melihat bias wajahnya.
Air
tenang di dalam perigi itu seolah cermin licin, memantul cahaya; membiaskan apa
yang terbias di permukaannya. Hanya satu yang berbeza.
Allisa
sentuh hujung kening kirinya. Permukaan kulit jarinya merasai kesan parut itu
namun dalam bias air itu, wajah gadis yang yang memandang ke arahnya kekal
memandang kearahnya. Mata Allisa mengecil. Bibirnya mengetap. Namun biasnya
tidak berbuat demikian. Mata masih bulat merenungnya semula. Mulut sedikit
terbuka. Terpegun dengan apa yang dilihat. Allisa sedar. Apa yang sedang
berlaku tika ini sudah tidak konsisten dengan apa yang sepatutnya. Ia sudah
mula lari. Konsistensi itu.
“Awak
siapa?” soalnya berani.
Biasnya
yang tadi bermata bulat dengan bibir membentuk ‘O’ itu berubah wajah. Gadis itu
tersenyum. “Saya ialah awak,” jawabnya namun bibirnya tidak berbicara.
Allisa
cuba mencerna maksud kata gadis di dalam perigi itu. Dia cuba cari maksud
jawapan itu pada setiap yang berlaku, setiap babak yang konsistensinya lari.
Setiap gambar rajah yang berlubang dia bandingkan dengan jawapan biasnya dan
jawapan dari Daniel. “Jadi... siapa Suri?”
Gadis
itu tersenyum manis. Bibirnya lebar mengukir senyuman. “Awak.”
Ia
semakin pelik. Jika gadis di dalam biasnya ialah dia dan dia ialah Suri...
siapa Allisa? Kepalanya canggung. Ini tidak masuk akal. Dia mula mempersoalkan
identitinya sendiri. Allisa pandang biasnya. Persoalan tadi dengan tanda soal
besar dia letupkan. Dia olah semula jawapannya tadi. Ianya jawapan yang jelas
tetapi dia masih ragu-ragu. Dia rasa seperti orang gila.
“Awak
Allisa, bukan?” tekanya.
Gadis
itu tidak memberi respon. Sekali lagi Allisa mengetap bibir. Dia paksa dirinya
untuk cari lagi jawapan yang dia tertinggal. Perincian kecil yang mungkin dia
tidak nampak atau terlepas pandang. Lama dia fikir dan pada saat itu dia jumpa
juga. Mimpi-mimpi memori yang dia alami ketika dia di Beth. ‘Allisa’ yang dia
nampak, setiap satu konsistensinya jelas. Dia tidak nampak sebabnya kerana dia
yang mencari jawapan yang ‘Allisa’ mahukan dan bukannya dia mahukan! Dan pada
akhir mimpi itu, ayat itu bukan sebarang ayat. Ianya satu jawapan yang dia
cari.
Allisa
ingin mencuba sekali lagi. Dalam sekali helaan nafas dan suara yang tenang dia
bersuara, “awak ialah Allisa dan saya ialah Suri. Namun kita ialah orang yang
sama.” Matanya memandang kembarnya itu. Dia yakin yang gadis itu menunggu
jawapan ini dari dia. “Semua ini hanya... mimpi.”
Akhirnya
gadis itu tertawa gembira sambil mengangguk. Lantas dihulurkan jemarinya mahu
‘dia’; Suri sambut tangannya dan Suri tidak teragak-agak menyambut jemari
tersebut. Saat Suri melepasi cermin air itu dia menutup matanya dan hatinya
terus berbisik yang semua ini hanya mimpi. Hanya mimpi.
BILA
dia buka matanya, serta merta bibirnya terukir senyuman. Dia terlompat sedikit.
Tangan kirinya meraih tangan kiri Allisa. Tubuh gadis itu dilihat atas bawah
dengan rasa tidak percaya. Bila matanya kembali mendarat pada wajah Allisa,
kedua belah tangannya menggenggam erat kedua belah tangan kembarnya. Kepalanya
tergeleng-geleng tetapi dia ketawa.
“Apa
yang berlaku sebenarnya?” soalnya lebih kepada dirinya sendiri.
Matanya
melilau melihat sekitarnya. Walaupun sekali, dia ingat tempat ini. Di sinilah
dia... Allisa jumpa Permaisuri Raina buat kali terakhir. Sebuah alam awanan
yang bewarna merah jambu dan biru dan kakinya terapung di awanan, di bawahnya
tiada tanah seakan dia berdiri di atas kaca tebal dan dia yakin dia tidak akan
jatuh seperti di dalam mimpinya sebelum ini.
Dia
pandang semula wajah Allisa dan tidak semena-mena, dia ketawa gementar lagi.
Selepas itu dia hembus nafas. Tadi dia begitu yakin yang selama ini dia hanya
alami mimpi; setiap pertemuannya dengan Julie, Juliane, Willson, Bianca, Anita,
mereka di rumah agam Scot, mereka di Prace, mereka di Beth dan mereka di
Brynn... semua itu hanya mimpi. Mimpi. Dan jika benar ini mimpi, di mana
rialiti-nya?
“Dah
tak sabar nampaknya nak pulang?”
Suri
berpaling ke arah punca suara. Terkejut bila menyedari bukan dia dan Allisa
sahaja yang berada di ruangan tidak berpenghujung itu. Kening Suri bercantum.
“Awak?”
Kimihiro
menunduk hormat. Tangannya berpusing di udara lalu mempersembahkan dirinya
sambil kaki kanannya disilangkan ke belakang. Lagak seperti lelaki budiman.
Tiga saat kemudian dia berdiri semula. Tangan kanannya mencekak pinggang dan
tangan kirinya dibiar bebas. Berdiri ala-ala peragawan dengan sepasang kaki
panjang berpakaian serba hitam, bercermin mata berbingkai halus, rambut hitam,
iris biru cair dan kulit cerah tidak bermaya. “Kita berjumpa lagi,” ujarnya
ceria.
Terkebil-kebil
mata Suri melihat Kimihiro. Atas bawah kemudian kiri dan kanan. “Saya tak ingat
awaklah. Kita jumpa di mana?”
Terbejat
Kimihiro seketika. Allisa menutup mulutnya, ketawa pada riaksi Suri dan gadis
itu memandang Kimihiro dan Allisa dengan pandangan keliru.
“Saya
minta maaf kalau tadi saya tergores perasaan awak tapi saya memang tak ingat
jika saya pernah jumpa awak sebelum ini.”
Kimihiro
tersenyum tawar. Cermin matanya dibetulkan di atas tulang hidungnya. Kepala
tergeleng-geleng sambil berjalan mendekati Suri. Bila dia berada dekat berbeza
jarak 0.5 meter dari Suri, dia membongkok agar aras matanya dan Suri selari.
Kedua belah tangannya bercekak pinggang. “Jangan risau. Awak akan,” cakapnya
yakin.
Tidak
semena Suri terundur ke belakang, berasa sedikit terancam dengan kemesraan yang
ditunjukan Kimihiro. Wajah pucat dengan iris biru cair yang tampak seperti
tidak nyata. Bila dia lihat mata itu, dia rasakan sesuatu yang dia tidak dapat
jelaskan.
Kimihiro
tarik senyuman puas. Badannya ditegakkan semula lalu dia berpaling memandang
Allisa. Lama dia pandang wajah gadis itu kemudian dia berpaling semula ke arah
Suri yang masih lagi mendongak, memandang wajahnya. Perangai Suri itu
membuatkan Kimihiro berasa senang di dalam hati. Tidak pernah berubah... kata
hatinya.
“Saya
pasti awak ada banyak soalan yang bermain di fikiran awak. Allisa akan tolong
jawabkannya untuk awak. Kalau saya yang terangkan, awak kena bayar tambahan
perkhidmatan untuk itu.”
“Hah?”
Suri tercengang tidak faham.
Allisa
tarik tangan Suri menjauhi Kimihiro. “Awak akan fahamnya nanti. Saya ada banyak
benda untuk bercerita dengan awak sebelum kita berpisah,” cakap Allisa tetapi
masih, Suri dapati Allisa tidak membuka mulutnya ketika bercakap. Seperti gadis
itu sebenarnya bertelepati dengannya.
Apabila
dirasakan Kimihiro tidak mampu mendengari perbualan mereka dan kewujudan lelaki
itu seperti sebesar semut di atas jalan, Allisa berhenti menarik lalu dia
lepaskan jemari Suri. Tiada apa yang berubah di sekeliling mereka. Hanya ada
awanan merah jambu dan biru dan lantai kaca yang tebal seolah mereka terapung
tinggi di udara tanpa dapat mengetahui di mana tanahnya.
Mereka
berdiri secara berhadapan. Mata, hidung, bibir, tinggi dan lebar semuanya
seiras. Yang membezakan ialah parut di kening kiri. Jika dilihat dari jauh,
parut itu sukar untuk dikesan kerana ianya terlalu kecil. Berhati-hati Allisa
sentuh kening kiri Suri. Berasa simpati dengan kisah disebalik parut tersebut.
“Awak
tak rasa yang semua ini sesuatu yang menakjubkan? Mengetahui yang ada orang
lain yang seiras kita tetapi berbeza situasi? Saya dapati semua ini
menakjubkan.”
Suri
tergamam. Malu juga bila diperlakukan begitu. Sentuhan lembut Allisa
mengingatkan dia pada seseorang. Tangan besar dengan permukaan yang kasar dan
setiap kali tangan besar itu menyentuh kulit wajahnya, penuh rasa berhati-hati
dan terasa lembut membelai. Kemudian dia nampak senyuman manis seorang wanita,
berdiri di sebelah suaminya. Siapa?
“Itu
memori awak.”
“Memori?”
Allisa
mengangguk. Dia tiba-tiba duduk di atas lantai dan kakinya terjuntai ke bawah,
seakan dia duduk di atas kerusi. Dia mendongak memandang Suri dan menepuk-nepuk
tempat disebelahnya, menyuruh Suri turut duduk sepertinya.
Teragak-agak
Suri ikut duduk seperi Allisa. Janggal sekali, kakinya turut terjuntai ke bawah
sedangkan tadi lantai kaca ini keras dan kukuh. Tiada satu lubang pun yang
wujud.
Kedengaran
tawa halus Allisa. Menampakkan baris giginya yang putih bersih dan tersusun
rapi.
Rasa
kekok masih ada walau banyak mana sekalipun Suri lihat diri Allisa kerana
Allisa ialah dia dan dia ialah Allisa. Untuk itu, dia alihkan wajahnya dan
memandang ke bawah. Melihat kakinya terhayun-hayun di udara. Tiada pun angin
yang bertiup namun seakan merasa sejuk, seakan kakinya dicelup masuk ke dalam
air masin tika waktu petang, berkaki ayam dan dia dengar gelak tawa, tangis dan
rasa rindu yang menyelinap di sudut hatinya. Adakah ini memorinya juga?
“Macam
mana saya nak tahu apa yang bermain dalam kepala saya ini ialah memori saya
ataupun bukan? Bagaimana pula dengan memori saya berada di Brynn selama 15
tahun sebelum ini?” soal Suri. Dia menendang-nendang air yang kini menjadi
nyata di hadapan matanya. Kakinya sememangnya tercelup di dalam air laut namun
dia masih mampu melihat apa yang ada di bawahnya. Atau adakah itu biasan langit
di atasnya?
Diam
Allisa menarik lirik Suri ke arah gadis itu. Allisa sedang memandangnya. Mata
itu redup. Jemari gadis mendarat di bahagian halkumnya. Air mata Allisa
bertakung di tubir mata.
“Kebisuan
saya dan parut awak membezakan kedua memori yang wujud dalam kepala awak.
Adakah itu dapat membantu awak?” soalnya. Dia sapu air mata yang mengalir di
pipi. Dia tidak tunggu lama untuk Suri menjawab. “Saya minta maaf kerana telah
mencelarukan fikiran awak. Kerana saya ingin lari dari terus mencari jawapan,
saya telah menyebabkan awak terseksa.”
Suri
tidak tahu untuk berkata apa. Segalanya rasa begitu asing lagi buatnya. Dia
cuba untuk membezakan antara dua situasi memorinya yang ketara perbezaannya
namun buat masa ini, yang jelas hanyalah tempat dan suasana. Tempat tinggalnya
ialah sebuah rumah campuran tradisional dan moden di tengah kota raya yang
membangun dengan pesat juga jumlah penduduk yang ramai. Sejak awal pagi, kota
raya sudah sibuk sehingga ke malam. Lampu-lampu neon di puncak menara
sehinggalah sekecil-kecil bangunan. Asap karbon dioksida berterbangan di udara
datang dari ekzos kereta, kedengaran hon sana sini, pejalan kaki memenuhi sisi
jalan mengejar waktu dan bila burung terbang di udara, di atasnya terbang
sebuah kapal terbang penerbangan komersial. Warna-warni musim, festival, gelak
ketawa dan duka cita segalanya terlukis jelas dalam memori ini dan saat itu dia
wujud dalam kerumunan orang ramai berpakaian seragam, rambut diikat tinggi dan
berwajah garang. Di sisinya seorang lelaki tinggi lampai sedang tersenyum lebar
juga seorang gadis sedikit tinggi darinya ketawa mengekek membawa sebuah beg
kanvas. Itu... Julie dan Juliane. Tidak! Miza dan Yurino!
Selepas
itu, memorinya memasuki setiap ruang fikirannya, sangat terperinci kerana dia
yang alaminya sedangkan memori 15 tahunnya di Brynn, sedikit-sedikit, berlubang
sana dan sini dan dia ingat bila ia tiba-tiba menerjah ruang memorinya, menyakinkan
dia yang itu ialah rialitinya sedangkan itu semua hanya memori milik orang
lain. Milik Allisa Leann Reed.
Suri
menekup mulutnya. Rialitinya penuh dengan duka dan kecewa. Jika ada gembira ia
hanya sementara. Cinta yang dia ada untuk lelaki bernama Yurino Genji bertukar
menjadi satu pengkhianatan dan bila dia sedar dia hanya digunakan... saat itu
dia jumpa Kimihiro Watanuki. Pada lelaki itu dia membuat permintaan untuk lari dari segalanya.
Lari dari kenyataan. Dia pandang Allisa. Air matanya titis demi titis mengalir
laju lalu menjadi lebat. Semuanya bermula dari situ dan dari situ dia... dia...
“Allisa...”
Kembarnya
itu membuka kedua belah tangan, menjemputnya untuk mencurahkan perasaannya yang
selama ini tertutup kemas.
Suri
dakap tubuh gadis di sebelahnya. Dia hamburkan segala rasa kecewa dan kesal
yang ada. Sakit di hatinya mula memancut keluar setelah dia tutup tanpa tinggal
sebarang kebocoran sehingga ia tidak mampu menampung tekanan. Lalu inilah yang
terjadi. Kesilapan yang tidak dapat diundur. Berulang kali dia katakan pada
Daniel yang lari dari hakikat tidak mampu mengubah realiti. Ironinya, dia juga
serupa. Bermula dari kehilangan ayahnya, pemergian ibunya, rasa rendah diri dan
malu, setiap episod rialiti yang hadir, dia hanya tahu lari dan lari. Malah apa
yang terjadi antara dia dengan Daniel juga, dia pilih untuk lari dari perasaan
dia yang sebenarnya.
Badan
Suri tiba-tiba tegak. Mata membulat. “Bagaimana dengan Daniel? Besok hari
perkahwinan dia dan... dan... bagaimana saya nak jelaskan pada dia yang saya
ini bukan awak dan gadis yang dia cintakan itu bukan awak tapi saya?” Suri
tersenyap. “Atuk, Julie dan Juliane pula?” Wajah Suri tampak serabut. Setiap
satu masalah mula berlanggar antara satu sama lain.
“Tenang,”
ujar Allisa. Bibir gadis itu terukir senyuman lembut. Dia usap rambut pendek
Suri. Nafas dihela perlahan. “Kelak bila awak kembali ke dunia awak, semuanya
akan kembali semula ke tampat asalnya. Segala apa yang awak alami sepanjang
tempoh awak berada di kerajaan saya, umpama sebuah mimpi panjang di musim
panas.”
Mata
Suri membundar. Setiap patah kata yang menari masuk ke dalam fikirannya,
meresap ke dalam jiwanya. Patutkah dia berasa lega? Semua akan lupa siapa dia.
Seorang gadis yang jatuh dari langit dan jatuh cinta dengan tunang orang dalam
usaha untuk melarikan diri dari episod rialitinya. Namun sanggupkah dia jika
dia tinggalkan semua orang selepas apa yang telah dia buat? Ada baiknya mereka
lupa siapa dia.
“Ba...
bagaimana pula dengan Aria? Suara awak?”
Allisa
terdiam. Matanya meredup. Kebenaran yang ibunya katakan ialah Aria. Dalang
disebalik pembunuhan ibu bapanya namun hatinya berasa berat untuk mengakuinya.
Sukar untuk dia terima bila dia ingati dalam tempoh dia terseksa seminggu
sebelum dia memilih untuk melalui jalan yang perit ini, Aria ada disampingnya.
Saudaranya itu ada menemaninya tika dia sedih dan menangis bersama. Walaupun
dahulu dia tidak faham kenapa gadis itu kerap memohon maaf padanya namun
sekarang ini dia jadi lebih keliru bila dia tahu kebenarannya. Dengan kehilangan
Aria dari Kerajaan Neon, gadis itu bawa bersama jawapan lengkap yang dia
mahukan. Mungkin kerana itu juga suaranya masih terkunci.
Matanya
menangkap susuk tubuh tinggi lampai duduk disebelah Suri. Lelaki itu
memandangnya dengan pandangan simpati. Tubir mata Allisa hangat. Mengingati
setiap peristiwa yang berlaku tiga tahun lalu, mengingati saat dia terjumpa
perigi di tamannya... merupakan satu titik perubahan yang besar dalam hidupnya.
Dia katup kelopak matanya perlahan. Wajah Kimihiro muncul di mindanya. Tiga
tahun lalu, dia buat permintaan pada Kimihiro melalui perigi yang dia jumpa
itu. Permintaannya untuk mencari jawapan kepada pembunuh sebenar ibu bapanya
dan dia jumpa pembunuhnya. Apa pula kaitan antara Aria dan sahabat baik ibunya?
Ibu
dan anak. Lebih tepat, ibu susu dan anak. Ibu bapa Aria sudah lama pergi sejak
tragedi kebakaran kapal udara hampir dua dekad dahulu dan Aria bertuah
terselamat dalam kebakaran itu. Sebab kenapa Aria mahukan kuasanya ini? Dia
tidak pernah tahu. Gadis itu pendiam. Tidak banyak bercakap. Jarang melibatkan
diri dalam aktiviti keluarga dan sering mengasingkan diri dari kerumunan orang
ramai. Salah diakah kerana tidak pernah ambil inisiatif untuk berkawan dengan
Aria sedangkan dia juga seperti terkapai-kapai dalam menyesuaikan dirinya di
istana? Tiada jawapan yang tepat untuk itu.
Dia
kembali menoleh ke arah Suri. Melihat wajahnya sendiri pada orang lain seperti
melihat cermin di meja solek. Tiada apa yang berbeza melainkan parut di kening
itu. Parut itu bayaran kepada pelarian Suri dan tidur lenanya untuk tiga tahun
ialah bayaran untuk sebuah jawapan manakala untuk dia bangkit semula, walaupun
berat... dia harus lakukannya juga.
“Oh
Suri... tanpa suara ini saya masih boleh lagi berbicara dengan awak. Hanya
mereka yang benar-benar memerlukan saya akan mendengarnya. Hati yang ikhlas dan
niat yang jujur adalah asasnya. Tentang Aria... dia tidak akan apa-apakan saya.
Saya jamin awak itu,” beritahu Allisa lembut. “Dan atas kebaikan awak, saya
doakan awak ini. Semoga bila awak sedar dari mimpi ini, awak akan jumpa apa
yang awak cari. Awak terus percaya pada diri awak dan tidak akan lari lagi,”
doanya lalu tersenyum simpul matanya memandang ke arah lelaki yang dari
menunduk memandang ke bawah.
“Betul
tak, Kimihiro?”
Suri
tersentak. Pertanyaan tiba-tiba Allisa itu menyedarkan Suri pada kewujudan
Kimihiro di sebelahnya. Lelaki itu duduk tenang menghadap ke arah laut tenang
di hadapan mereka dengan kaki tercelup ke dalamnya. Lelaki itu menoleh ke arah
mereka dan mengukir senyum tipis.
“Awak
dah sedia Allisa?” soal Kimihiro pula.
Gadis
itu tertawa kecil. Di hujung tawa itu seperti kedengaran satu helaan pendek
yang menggeletar.
Suri
pandang kedua mereka dengan pandangan keliru. Apa yang mereka bualkan pun dia
tidak tahu.
Allisa
tarik nafasnya dalam lalu dia lepaskannya melalui bibirnya bersama-sama
kata-kata perintah yang dia lafazkan dari lubuk hatinya. Dia tahu air matanya
bertakung dan dia tahu seperti sukar untuk dia lepaskan Suri namun dia harus
juga lakukannya kerana inilah bayarannya. Dia harus lepaskan ikatan yang ada
antara Suri dari dunianya dan dunianya dari Suri.
Tiba-tiba
angin bertiup kencang ke arah mereka. Suri alihkan wajahnya lantas memandang ke
arah kembarnya. Angin yang bertiup kembali reda. Gadis itu sedikit pelik bila
angin bertiup ganas sedangkan tadi seperti tiada tanda akan kehadiran sebegitu.
Anak mata Suri mendarat lama pada tubuh Allisa yang semakin lama semakin
menghilang.
“Allisa!”
Gadis
itu masih lagi tersenyum manis. Kedua belah tangan Suri digenggam kuat. “Saya
harap awak tak akan lupakan saya, Suri,” ujarnya walaupun dia tahu itu semuanya
hanya sia-sia. Matanya menjeling Kimihiro. “Saya dah bayar seperti yang
dijanjikan, awak... jaga kawan saya baik-baik ya, Kimihiro? Kalau tak, saya
akan sumpah awak!” ugut Allisa.
“Apa
awak cakap ni Allisa?” Suri panik.
Tubuh
Allisa semakin lama menyatu dengan cahaya dan hilang upaya padu. Dalam sekelip
mata gadis itu hilang bersama-sama cahaya samar dan bayu lembut yang menyisir.
Yang masih berlegar hanya bayangan senyuman gadis itu seperti gadis itu masih
lagi di situ. Tersenyum manis.
Dalam
dimensi yang asing, Allisa kembali semula ke tempatnya semula. Tersedar dalam
keadaan yang tenat dengan tubuh yang keding tidak bermaya. Walaupun dia tahu
suranya tidak mungkin akan keluar, dia cuba untuk memanggil. Di dalam bilik
jauh dari bisik-bisik manusia, dia cuba untuk menarik perhatian. Cuba untuk
memberitahu yang dia sudah kembali. Dia sudah kembali.
No comments:
Post a Comment