Dua
belas : Api Cemburu China Town
12
April 2731, 1300pm, China Town
Kasturi menghabiskan kuah ramennya dengan
perlahan-lahan. Sengaja dia melambat-lambatkan rentak suapannya kerana hatinya
masih lagi sakit dengan perangai Fairul. Malah Kasturi lansung tidak
mengendahkan pandangan mata Fairul yang tajam itu.
Fairul manahan rasa geli di hatinya.
Kasturi yang dilihat di hadapannya sungguh comel. Mukanya yang sedang menahan
marah itu seperti gula-gula lolipop. Macam-macam warna ada terlukis di wajah
bersih Kasturi. Fairul menggeleng-geleng. Sampai bilalah agaknya Kasturi mahu
melancarkan perang dingin dengannya? Rasanya sudah lebih lima kali dia meminta
maaf namun usahanya membuahkan hasil yang tidak memuaskan. Perempuan... hati
mereka memang sukar untuk dijangka.
“You’ve
got mail, you’ve got mail.”
Tiba-tiba telefon milik Fairul bergetar di
poket jaketnya. Pantas Fairul mencapai telefonnya yang berbentuk bulat itu.
Nampaknya, dia menerima e-mel daripada gadis yang ditunggu-tunggu. Fairul
tersenyum tanpa sedar.
Kasturi menjeling tingkah Fairul. Hatinya
menjadi sakit melihat Fairul tersenyum-senyum menyentuh skrin telefonnya. Entah
dengan siapa dia berbalas mel tapi apa yang Kasturi pasti, pengirim itu pasti
seorang perempuan. Kalau tidak, kenapa mesti wajah Fairul berseri-seri saat
telefonnya bergetar. Menipulah lelaki akan tersenyum bahagia mendapat mel dari
seorang lelaki, melainkanlah lelaki itu... Sesaat kemudian telefon itu akan
berbunyi sekali lagi. Kasturi mencebik sambil hatinya mengajuk lagu pesanan mel
Fairul.
‘You’ve
got mail, you’ve got mail. Haktuih!’
marah Kasturi dalam hati lalu mencampak sudu supnya ke dalam mangkuk ramennya.
Licin sudah mangkuk itu dari sisa kuah ramen. Kasturi menyedut minumannya
dengan rakus lalu bangun dari duduknya dan menonong berjalan ke luar kedai ramen
tersebut meninggalkan Fairul yang tercengang-cengang dengan perubahan angin
ribut taufan yang melanda Kasturi.
Pantas Fairul berlari ke luar, mengejar
langkah Kasturi setelah meletakkan beberapa keping not merah dan hijau beserta
syiling di atas meja. Tidak sampai beberapa saat, Fairul sudah berada di
belakang Kasturi dan tangan gadis itu ditarik supaya berhenti melangkah ke
hadapan dengan kelajuan kilat itu.
Kasturi sedaya upaya cuba meloloskan
pegangan kejap Fairul tetapi Fairul lebih kuat darinya. Kasturi merengus.
Dadanya seperti sesak dengan lebihan oksigen di paru-parunya. Dia tidak faham
kenapa dia mesti bersikap sebegitu. Tetapi apa yang pasti dia tidak suka Fairul
memperlakunya begitu di hadapan khalayak ramai di jalan yang sesak dengan orang
berjual beli dan mencuci mata.
“Awak ni kenapa?” soal Fairul dalam nada
yang tertahan-tahan. Dia cuba menahan sabar. Sekarang ini dia betul-betul tidak
faham dengan kemarahan yang melanda hati Kasturi.
“Hisy... lepaslah,” kata Kasturi dengan
keras. Mukanya merah menahan malu apabila perlakuan mereka menjadi tontonan
umum.
“Saya takkan lepas tangan awak selagi awak
tak beritahu saya. Awak marah saya, Kasturi? Fasal apa? Cuba cakap. Jangan bisu
aje boleh tak?” luah Fairul sambil matanya tidak lepas daripada cuba memandang
anak mata Kasturi.
Kasturi melarikan anak matanya. Dia tidak
mahu Fairul membaca gelora jiwanya. Biarlah. Biarlah Fairul tidak mengetahuinya
kerana dia sendiri tidak pasti dengan apa yang dia rasakan sekarang ini.
“Kasturi!”
“Hiisyy!”
“Eh, awak pandang muka saya boleh tak?”
marah Fairul lalu tangannya yang satu lagi menarik dagu Kasturi, menyuruh gadis
itu melihat wajahnya. Kini sabarnya telah terbang entah ke mana. Perangai
Kasturi hari ini benar-benar menduga kesabarannya hari ini.
“Saya minta maaf kalau tadi saya tak endahkan
perasaan awak dan bawak kereta macam orang gila tapi saya dah minta maafkan?
Awak nak suruh saya buat macam mana? Melutut? Sembah awak? Okay.” Lalu Fairul
melepaskan pegangannya dan mula melutut di hadapan Kasturi.
“Awak jangan jadi gila!” Pantas Kasturi
manahan Fairul dari menyembah dirinya. Pipinya bertambah-tambah merah. Malu.
Sesungguhnya dia malu, terkejut dan rasa bersalah. Dia berasa seperti hendak
menangis sahaja waktu itu.
“Jangan...” tambah Kasturi lagi lalu
mencangkung di hadapan Fairul. Dia kemudian menekup mukanya dengan kedua belah
tangannya. Dia betul-betul malu dengan Fairul. Dia malu kerana tidak dapat
mengawal emosinya. Rasa marahnya, rasa cemburunya dan semuanya bercampur aduk.
Ya, dia marah dan cemburu. Dua perkara yang dia belajar hari ini ialah apabila
rasa cemburu dikuasai marah, seseorang itu akan menjadi hilang kawalan diri.
Dan dia... dia cukup memalukan.
Fairul terkejut dengan aksi spontan
Kasturi yang menghalang tindakannya. Dia sendiri pun tidak menyangka akan
bertindak sejauh itu. Tetapi apa yang membuatkan lidahnya kelu ialah melihat
orang yang dia cintai menangis di hadapannya kerana kebodohannya. Fairul
melepaskan keluhan. Mana hilang janjinya terhadap Kasturi untuk memastikan air
mata gadis itu tidak tumpah lagi.
“Kasturi...” panggil Fairul perlahan cuba
untuk memujuk. Perlahan-lahan Fairul cuba menyentuh bahu Kasturi namun Kasturi
pantas menepis tangan Fairul. Fairul mengetap bibirnya. Lalu dia berdiri dan
berjalan menuju ke keretanya meninggalkan Kasturi di situ.
‘Ingat dia sorang saja ada ego, aku pun
ada,’ marah Fairul dalam hatinya.
Tangannya dialih apabila tiada lagi suara
mahupun sentuhan dari lelaki itu. Tiada. Fairul tiada di hadapannya. Kasturi
melihat sekelilingnya. Tiada. Rasa menyesal bertandang di hatinya. Menyesal
kerana menepis tangan lelaki itu. Ah, bodohnya diri ini. Sombong tidak
bertempat!
Tidak semena-mena air takungan matanya
pecah lagi. Malah lebih lebat dari sebelum itu. Bahunya terhinjut-hinjut
manahan sendu. Pantas Kasturi menutup mukanya. Tidak guna dia menyesal. Dia
sudah di tinggalkan. Sudah tentu Fairul penat melayan kerenahnya. Ah, lelaki...
Tiba-tiba badannya terasa seperti dipeluk
dari belakang. Kasturi terkejut bilamana dia mengangkat muka, dunianya bertukar
gelap namun itu hanya untuk seketika apabila selimut yang meneyelimutinya itu
diselak sedikit. Tersembul wajah manis Fairul beserta Ray Ban hitamnya.
“Saya pergi sekejap jer awak dah ngongoi
macam budak kecik. Apalah awak ni, manja betul! Nah pakai ni. Tutup mata awak
yang sembap tu. Dah macam beruang panda jer saya tengok,” Fairul mengusik dan
dengan berhati-hati dia memakaikan Kasturi Ray Bannya. Kemudian dia menyapu
hidung Kasturi yang sudah mengalir dengan lendir putih dengan selimut yang
menyelimuti tubuh Kasturi.
“Eeee. Kalah budak kecik awak ni tau!”
kata Fairul lalu ketawa mengejek. Kasturi pantas memukul badan Fairul dengan
sepuas hatinya. Geram kerana Fairul mempermainkannya. Geram! Geram!
“Nanti awak dry clean balik selimut saya tu,” tambah Fairul sambil ketawa
mengekek. Tidak serik-serik dengan pukulan Kasturi yang boleh tahan bisanya
itu. Alahai, pukul-pukul manja aja. Fairul terimanya sebagai tanda Kasturi
menyayanginya walaupun dia belum pasti dengan perasaan Kasturi yang sebenarnya.
Biarlah masa yang menentukannya. Bisik hati Fairul.
MEREKA
melihat apartment yang bercerikan urban klasik ala-ala eropah itu dengan rasa
yang sukar difahami. Bangunan yang bewarna deep
green dan crimson lake itu
menampakkan bangunan itu kelihatan sangat... historic.
Kasturi berpaling melihat Fairul, kemudian
ke genggaman tangannya. Kertas yang sudah berkeronyok itu, Kasturi pandang sekali
lagi. Di atas kertas itu, telah Kasturi tulis alamat rumah arwah Farid dan dia
lansung tidak menyangka lelaki itu akan tinggal di rumah seperti ini dan
bukannya rumah banglo.
“Awak rasa macam mana dia simpan semua
pokok-pokok dia tu ye?” soal Fairul hairan.
Kasturi menjungkit bahu.
Teringat pesan Amran pagi tadi sebelum
mereka bertolak untuk melakukan tugas mereka dan menjenguk ke rumah arwah.
“Hati-hati ya kat rumah arwah. Hari tu
saya tengok rumah dia penuh pokok-pokok eksotik. Okay?” Amran berkata sambil
tersenyum sumbing sambil membuat tanda bagus.
“Awak rasa rumah nombor 15 tu tingkat
paling atas sekali ke?” soal Kasturi pula.
“Entah,” jawab Fairul senada. Matanya
melilau mencari tanda-tanda kehadiran dedaunan melambai di bahagian rooftop. Malang sekali, cuaca yang
mendung menyukarkan dirinya untuk melihat bahagian atas bangunan itu.
Kasturi lihat sekitar kawasan. Mencari
kelibat manusia. Namun hampa. Tiada seorang pun orang yang boleh membantunya.
Kasturi melepaskan keluhan. Kenapalah arwah Farid suka membuli dirinya
sehinggakan lelaki itu sudah meninggal pun, lelaki itu masih boleh membulinya.
“Arwah tak de sebut apa-apa fasal rumah
dia dalam surat?” Fairul berpaling memandang wajah Kasturi yang monyok. Kasturi
pantas menggeleng. Mengingati isi kandungan surat tersebut membuatkan hatinya
seperti berada di dalam kereta roller coaster. Sekejap sedih, sekejap gembira,
sekejap kecewa dan sekajap dia berasa seperti mahu sahaja dia menumbuk-numbuk
muka lelaki itu.
Tetapi, hatinya tersentuh apabila arwah
Farid menulis tentang peristiwa mereka berkongsi pau ayam di gerai pau tidak
jauh dari kedai ramen yang dia dan Fairul makan tadi. Ah, nanti-nanti sahajalah
dia melayan perasaannya kerana dia ternampak seorang gadis yang genit datang
menghampiri mereka.
Gadis genit yang sangat comel pada
pandangan mata Kasturi. Dengan rambut potongan bob, berkulit putih dan licin,
dahi yang luas dan hidung yang mancung. Tubuhnya pula keding yang apabila
ditiup angin dengan mudah sahaja dia terbang. Gadis itu nampak simple dengan top shirt bewarna pink
kemudian disarung pula quarter cut
suspender bewarna biru bersama-sama long
striped stokins yang bewarna warni. Tidak lupa snikersnya yang bercorak bintang-bintang kecil itu.
“Ah!” kata gadis itu terkejut melihat
tetamu yang berdiri di hadapan pintu bangunan apartmentnya. Matanya
berkelip-kelip memandang Kasturi dan Fairul. Dia berasa teruja melihat seorang
wanita cantik dan seorang lelaki kacak berdiri di situ. Rasa pernah sahaja dia
melihat wajah kakak itu.
“EH!!!” jerit gadis itu terkejut. Dia
berlari mendekati Kasturi sambil kedua belah tangannya kejap memegang tali beg
sandangnya yang tersangkut di bahu.
Kasturi mengundur beberapa tapak ke
belekang apabila si tubuh genit itu berlari mendekati dirinya. Sudahlah matanya
membulat dan bersinar-sinar memandang Kasturi. Fairul pula hanya mampu
tersengih melihat aksi kedua perempuan itu.
“Kakak ni...” kata gadis itu meleret.
Kasturi dan Fairul mengerut dahi.
“Kasturikan?” laju sahaja dia menyudahkan
ayatnya. Matanya berkelip-kelip meminta kepastian.
Kasturi menelan liur. Dia kemudian
berpaling ke belakang melihat Fairul. Meminta lelaki itu menjawab bagi
pihaknya. Kasturi tidak mampu melawan panahan bersinar gadis itu. Ia terlalu
terang.
Fairul menggaru belakang lehernya.
Aisehmen... Ni yang payah ni bila dua orang perempuan memandangnya dengan
pandangan serupa. Pandangan panahan sinar kuasa tiga. Fairul tersekat. Pantas
dia menarik nafas lalu melangkah ke depan, ke sisi Kasturi. Kemudian dia
mencangkung di hadapang gadis comel itu.
“Beginilah dik, boleh abang tau adik ni
siapa?” pinta Fairul dengan lembut sambil menghulurkan senyumannya yang killer itu.
Serta-merta pipi gadis comel itu bertukar
merah. Dia berasa seperti sudah jatuh cinta sahaja. Ah~ Love at first sight?
“Erm...” Gadis itu seperti teragak-agak
untuk menjawab. Matanya bersilih ganti memandang wajah Fairul dan Kasturi.
Akhir sekali matanya mendarat pada bibir Fairul, dimana senyuman killer itu masih lagi tersemat di wajah
lelaki itu.
“Erm...”
Kasturi dan Fairul sabar menanti.
“Hisy... susahlah saya nak jawab sebab
muka abang ni handsome sangat!” kata
gadis itu lalu membenamkan wajahnya ke telapak tangannya.
Nak pengsan sahaja Kasturi mendengar
jawapan budak genit itu. Fairul pula sudah tersengih-sengih perasan. Mereka
berpandangan. Kelu untuk berbuat apa-apa.
“Sebenarnya nama saya Nurayunisha, umur 20
tahun,” jawab Nura jujur dengan muka yang tertunduk. Pipinya bertambah merah. Kasturi
dan Fairul melihat Nura dengan mata yang hampir terjojol. Tidak menyangka gadis
yang mempunyai tingginya tidak sampai 145cm itu berusia 20 tahun.
“Nak panggil apa?” soal Kasturi lembut
kerana teragak-agak untuk memanggil nama gadis genit yang mempunyai pelbagai
variasi nama. Lagipun dia kasihan melihat Nura yang tiba-tiba sahaja di-attack senyuman killer Fairul itu. Dia faham perasaan gadis itu kerana dia sendiri
pernah mengalaminya dulu.
“Nura.”
“Macam mana boleh tahu nama akak ni?” soal
Fairul pula.
“Dari Abang Farid.”
“Abang Farid?” Kasturi hairan. Setahunya,
arwah tidak ada adik waima adik angkat sekalipun. Jadi siapa Nura pada arwah
Farid.
“Saya...”
“... saya girlfriend Abang Farid.”
“Hah?!” Serentak Kasturi dan Fairul
menerit terkejut sehingga membuatkan Nura yang kecil itu terkulat-kulat melihat
kakak dan abang di hadapannya itu. Sempat lagi di dalam fikirannya berkata
betapa peliknyalah kakak dan abang itu kerana terkejut akan hal seperti itu.
‘Apa yang pelik sangat pun aku bercinta
dengan Abang Farid...?’ bisik hatinya.
“INILAH
rumah Abang Farid.” Senyuman Nura tidak lekang dari mulutnya. Matanya menjadi
sepet akibat tersenyum dengan gembira sekali. Kedua belah tangannya disorokkan
di belakang badannya sambil kedua belah kakinya dijongketkan. Badannya pula
terbongkok sedikit ke hadapan. Aksinya sangat comel dan menghiburkan. Tidak
pernah sekalipun Kasturi waima Fairul melihat gadis itu menunjukkan reaksi duka
apabila bercerita tentang kehidupan yang dilaluinya kini apabila arwah Farid
tiada lagi di sisinya.
“...dan yang ini pulak rumah saya. Saya
tinggal depan rumah dia je. Hehe,” katanya ceria sambil tangan kirinya
menunjukkan ke arah sebuah pintu bewarna jingga yang bertentangan dengan pintu
rumah Farid yang bewarna biru.
“Colourful
betul pintu-pintu kat apartment ni ya,” komen Fairul jujur. Matanya dan mata
Kasturi dari tadi lagi seronok melihat pintu-pintu rumah kawasan kejiranan
arwah dan Nura yang pelbagai corak dan dekorasinya.
Nura ketawa geli hati. “Most pintu-pintu rumah kitaorang
melambangkan personaliti kitaorang. Macam saya, warna oren. Itu sebab saya ni
ceria dan aktif sepanjang masa,” terang Nura senang hati. Kasturi dan Fairul
mengangguk faham.
“Cuba teka pintu rumah Abang Farid warna
apa?” soal Nura sambil menjongkit-jongkitkan keningnya. Kedua-dua kakak dan
abang yang berdiri di hadapannya berpandangan seketika. Dia gembira melihat mereka
berdua sudah bertembung kening, cuba berfikir warna pintu rumah arwah Farid.
Sebolehnya, dia cuba meluangkan masa
mereka untuk berada di situ lebih lama supaya hidupnya tidak kembali suram. Dia
sebenarnya sunyi. Tiada lagi bunyi jerit gempita arwah Farid, gelak ketawa
lelaki itu, siulan kecil yang terbit dari bibir nipis itu, dan kadang-kadang
suara tangisan itu akan bergema. Nura rindu semua itu. Jadi, biarlah kesempatan
yang ada kini, dia guna sebaiknya.
“Biru?”
“Ungu?”
“Hei!!” jerit Kasturi dan Fairul serentak.
Mereka pelik bagaimana jawapan mereka boleh berbeza sedangkan warna yang mereka
nampak itu senada.
Nura ketawa melihat aksi mereka. Dia
menekan-nekan perutnya yang sakit kerana ketawa. Tangan kanannya pantas menyeka
air matanya yang mengalir. Dahi Kasturi dan Fairul berkerut melihat gadis itu
ketawa terbahak-bahak melihat aksi spontan mereka.
“Well,
both is right but the correct answer is Violet. Violet ni melambangkan
Abang Fairul punya personaliti. Seorang yang sedikit susah untuk difahami
perwatakannya tetapi bila kita betul-betul tahu nature dia, dia sebenarnya
seorang yang...”
“...loveable,”
kata Nura perlahan. Kepalanya tiba-tiba menunduk.
Entah kenapa air mata yang dari tadi Nura
cuba sapu tidak berhenti mengalir. Sebaliknya menjadi lebat, laju menuruni pipi
mulusnya. Pantas dia menyapu wajahnya menggunakan kedua belah tangannya dengan
rakus.
Kasturi dan Fairul tergamam. Terkejut
melihat Si Ceria Nura bertukar mendung. Nampaknya gadis itu telah lama
menyimpan duka di dalam hati. Kasturi jatuh kasihan pada Nura. Dia berasa
sangat dekat dengan Nura kerana dia juga pernah kehilangan seorang lelaki yang
sangat dia cintai lebih-lebih lagi lelaki itu membesar bersamanya.
Perlahan-lahan Kasturi mendekati Nura lalu gadis itu diraih dan dipeluk dengan
penuh kasih sayang.
Fairul tersenyum. Sebentar tadi Kasturi
dipujuk, sekarang Kasturi memujuk. Hm, what
an emotional day.
SETELAH
tangis Nura reda, tangannya lincah menekan-nekan punat nombor keselamatan rumah
arwah Farid. Seketika bunyi kata laluan diterima menerjah gegendang telinga
mereka.
“Masuklah,” pelawa Nura dengan senyuman
yang lebar. Fairul mendahului Kasturi untuk memasuki rumah itu dek rasa teruja
untuk melihat tumbuhan eksotik yang arwah Farid bela. Kasturi sedikit
teragak-agak untuk melangkah. Sebuah tanda tanya timbul di benaknya apabila
mengingati benda yang diterimanya sekali bersama-sama surat arwah Farid.
“Eh,
mana pokok-pokok dia Nura?” suara Fairul mematikan lamunan Kasturi. Rupanya
tinggal dia seorang sahaja yang masih lagi di luar sedangkan Nura dan Fairul
sudah berada di dalam rumah. Pantas Kasturi menjenguk mukanya ke dalam rumah.
“Pokok?” soal Nura pelik, tidak faham
dengan soalan Fairul.
“Yelah, abang dengar yang arwah suka bela
pokok eksotik. Tu yang abang dok cari kat mana dia simpan. Teringin jugak abang
nak tengok,” jawab Fairul dengan nada teruja. Kepalanya terjengah-jengah di setiap
bilik yang ada. Memang dasar tidak tahu malu betul.
Nura ketawa kelucuan mendengar jawapan
Fairul. Tidak menyangka ada juga orang berminat untuk melihat pokok-pokok
kesayangan arwah Farid. Kasturi pula tersenyum mendengar jawapan dan ketawa gembira
Nura. Sambil itu matanya melilau melihat foto-foto yang bergantungan di dinding
juga yang di tempatkan di atas meja.
“Kalau abang cakap fasal pokok-pokok tu,
mereka ada di atas, di rooftop.
Pokok-pokok tu dah banyak dan ada yang dah besar sama tinggi dengan saya ni.
Jadi tak sesuai duduk dalam rumah ni. Nasib baik tuan bangunan ni sudi berikan
bahagian rooftop tu kat Abang Farid tapi kunci rooftop tu dah hilang lah. Dah lebih sebulan rasanya Nura tak
jenguk tempat tu sebab kuncinya tak de,” jelas Nura panjang lebar sambil turut
serta bersama Kasturi melihat foto-foto lama yang diambil semasa mereka masih
lagi bersekolah tadika dan seterusnya.
“Laa, yeke...” dan Fairul terus-terusan
bercakap tetapi butir bicaranya tidak berapa kedengaran kerana lelaki itu telah
memanjat anak tangga ke atas. Rupanya ada bilik lagi di atas.
“Kunci rooftop?”
soal Kasturi terkejut. Matanya membulat melihat Nura yang khusyuk melihat foto
dirinya dan arwah Farid ketika mereka berkhelah di Evergreen lima tahun dahulu.
“Yup, the
only space yang guna kunci. Lagipun rooftop
tu terbiar, tu yang Abang Farid dapat guna space tu. Ada la jugak manfaat rooftop tu dari terbiarkan. Hah, ini
gambar akak dengan Abang Farid. Saya jealous
tengok gambar ni tau,” kata Nura. Dihujung katanya terselit satu ketawa kecil.
Tangan kecil Nura pantas mengunjukkan foto itu pada Kasturi yang seperti
mengelamun itu.
“Akak?” panggil Nura lalu
melambai-lambaikan tangannya di hadapan wajah Kasturi.
“Hah? Apa? Sorry Nura, akak tak sengaja tadi,” ucap Kasturi malu. Malu
ditangkap mengelamun. Nura pula sudah mengekek ketawa.
“Apalah akak ni, patutlah Abang Farid
selalu risaukan akak. Ni, saya tunjuk gambar akak dengan Abang Farid. The only picture yang korang ambil
bersamakan?” soal Nura di hujung tawanya.
Kasturi melihat foto itu. Foto dirinya
sedang terkedu menahan malu. Di sebelahnya pula duduk arwah Farid sedang
menjerit marah. Waktu itu mereka sedang menikmati pau ayam yang mereka kongsi
diawal penubuhan unit C14 dan ketika itu mereka menjalankan penyiasatan di
China Town.
WAKTU
itu adalah antara hari terakhir musim sejuk. Perut masing-masing sudah
berkeroncong kerana kesejukan. Dompet Kasturi pula tertinggal di pejabat. Dompet
Farid juga tertinggal. Mereka ke China Town dalam keadaan tergesa-gesa kerana
salah seorang suspek yang disyaki berada dalam keadaan bahaya. Setelah suspek
dapat dipindahkan ke tempat yang lebih selamat iaitu di bawah kawalan research
unit C14, tinggal mereka berdua sahaja di situ dengan perut kosong tanpa
sebarang wang.
Sekali lagi perut Kasturi berbunyi. Farid
menjeling Kasturi di sisi. Kasturi membuat muka selamba walaupun mukanya sudah
bertukar merah. Sudah dua kali dia ditangkap oleh Farid. Kali ini pula, perut
Farid berbunyi. Pantas Farid mengalihkan wajahnya dari memandang wajah Kasturi.
Malu!
Hendak sahaja dia pulang tetapi sebaik
sahaja mereka hendak pulang, radio menyiarkan berita ribut salji telah menimpa
Square Enix. Perubahan cuaca yang mendadak memaksa Kasturi dan Farid bersidai
di bawah jambatan. Tidak jauh dari mereka terdapat gerai menjual pau. Aroma
yang terbang ke sekitarnya menarik perhatian Kasturi dan Farid.
Sekali lagi perut mereka berbunyi. Lebih
kuat dari sebelum ini. “Kau...” panggil Farid tiba-tiba. Kasturi melihat Farid.
“... kau nak pau tak?”
Pantas Kasturi meluruskan pandangan. Pau?
Kasturi menelan liur. Dengan perlahan-lahan Kasturi mengangguk. Tetapi mereka
tidak bawa dompet. Farid mengeluh. Kepulan asap yang keluar dari mulutnya dapat
Kasturi lihat. “Aku pergi tengok syiling kat dalam kereta,” kata Farid mendatar
lalu melangkah ke kereta buruknya.
Laci syiling dibuka. Terdapat sekeping
syiling 50 sen di dalamnya. Farid tidak percaya dengan penemuannya itu. Musibah
apa pula yang menimpanya sekarang. Sudahlah enjin keretanya tidak dapat
berfungsi, sekarang ni dia cuma ada 50 sen sahaja? Farid merengus kuat. Dengan
laju, dia menggeledah setiap bawah tempat duduk mencari kemungkinan syiling-syiling
itu berterabur di situ.
Kasturi berpaling melihat kereta Farid.
Kemudian melihat jam tangan digitalnya. Tiga minit berlalu, namun Farid tidak
muncul-muncul juga. Frost bite kah?
Takkanlah! Kasturi melangkah mendekati kereta Farid yang berada di luar kawasan
bawah jambatan.
Belum sempat Kasturi melangkah ke
luar bawah jambatan, Farid muncul sambil
berpeluk tubuh. “Jom,” kata Farid sepatah lalu melangkah ke gerai pau. Kasturi
membuat muka lalu membuntuti langkah Farid. Angin panas dari periuk kukus pau
menerjah pipi Kasturi saat kain tulisan cina yang digantung di hujung bumbung
gerai pau itu dialih. Aroma pau ayam menusuk hidungnya.
Kasturi mengambil tempat di sebelah Farid.
“Makan apa?” soal seorang pakcik yang berbadan gemuk itu. Kasturi dan Farid
melihat menu yang digantung. Terdapat tanda halal di hujung papan menu itu.
“Pau ayam satu,” pesan Farid laju. Kasturi
menoleh pada Farid. Satu?
“Aku ada dua ringgit jelah. Kita kongsi
je,” jawab Farid selamba. Kasturi tergamam. Dalam kereta dia ada dua ringgit
sahaja? Dua ringgit? Kasturi tersenyum meleret. Tidak semena-mena ketawa
kecilnya meletus.
“Yang kau ketawa tu apasal? Nasib baiklah
ada dua ringgit dari ada 50 sen saja. Kalau kau taknak, biar aku sorang je
makan,” ugut Farid.
“Nak,” pantas Kasturi menjawab. Wajahnya
terkulat-kulat. Farid yang pertama kali melihat wajah Kasturi yang gelabah itu,
ketawa dengan besar. Kasturi terkejut. Pertama kali buatnya juga melihat Farid
ketawa sebegitu.
“Kau ni kelakarkan,” komen Farid di hujung
tawanya. Kasturi menjeling geram. Sekali lagi Farid ketawa terbahak-bahak.
“Amboi... seronok pakcik tengok kamu
berdua. Musim-musim sejuk macam ni bagus kalau kita mengeratkan silaturrahim.
Nah, kuih pau ayam kamu.” Pakcik itu kemudian meletakkan sepinggan pau ayam
yang boleh tahan saiznya. Kemudian dia meletakkan dua cawan teh hijau dan
sebatang kuih dango.
Farid terkejut melihat hidangan sampingan
itu. “Eh, kami tak pesan dango dan teh.”
“Tak pe, pakcik belanja. Lagipun dango tu
pun tinggal sebatang. Dah lama ke kahwin?” soal pakcik itu tiba-tiba.
Farid dan Kasturi yang enak meneguk teh
hijau itu tersembur dek soalan cepumas dari pakcik itu. Ke situ pulak pakcik
itu fikir akan hubungan mereka. “Pak... pakcik!” jerit Kasturi dan Farid
serentak. Muka mereka berdua sudah bertukar warna. Pakcik itu pula sudah ketawa
geli hati.
“Pakcik usik jer... kenapa betul ke?”
“Pakcik!”
Orang tua itu sudah ketawa gembira.
Terhibur sedikit hatinya melihat kerenah budak-budak muda zaman sekarang ini.
Teringat zaman mudanya dulu-dulu. “Apa salahnya, kalau dah jodoh tak ke mana.
Satu hari nanti kamu akan faham benda-benda macam tu,” pesan lelaki tua itu
sambil dirinya sibuk menuang lagi teh hijau ke dalam cawan Farid dan Kasturi.
Kasturi menunduk mendengar pesanan lelaki
tua itu. Farid pula sibuk membahagikan pau ayam itu kepada dua bahagian.
Kemudian dia menyerahkan sebahagian pau itu pada Kasturi. Sebahagian lagi
untuknya. Pakcik itu tersenyum senang lalu membongkok mengambil sesuatu.
“Meh, pakcik ambil gambar kamu berdua
buat kenang-kenagan. Kenangan yang kita kongsi waktu kita sama-sama susah
adalah lebih berharga kerana waktu tu kita tahu siapa kawan dan siapa lawan.
Lagipun manalah tahu nanti dah kahwin teringat balik gerai cinta kamu
bersemi...” kata pakcik itu bergurau. Sekali lagi Kasturi terkedu mendengar
kata-kata pakcik itu. Mukanya betul-betul merah. Farid pula sudah menjerit
memanggil pakcik itu dan pada masa itulah gambar mereka dirakam dan kenangan itu tinggal kenangan.
“HA’AH.
Tiada siapa sangka arwah meninggal dua bulan lepas tu,” jawab Kasturi setelah
soalan Nura dibiarkan sepi buat seketika. Lalu dia mengambil foto itu. Sebuah
senyuman kecil muncul di hujung bibir Kasturi. Nampaknya dia tiada jodoh dengan
lelaki yang bernama Muhammad Farid Lizuka.
Fairul yang baru turun dari tingakat atas
menuju ke Kasturi. Turut sama mahu melihat foto yang Kasturi lihat. Lagipun
perasaannya melonjak-lonjak ingin tahu apabila melihat satu senyuman yang
pernah Kasturi berikannya beberapa jam yang lepas.
“Abang Farid pernah cakap yang gambar tu
antara favourite dia,” cakap Nura
lalu berlalu ke dapur mahu membiarkan Kasturi melayan perasaannya sendiri.
Dahulu dia cemburukan Kasturi apabila pertama kali melihat foto itu dan arwah
Farid sering bercerita tentang Kasturi padanya. Tetapi dia sedar dari cara
arwah Farid bercerita tentang Kasturi, sebenarnya arwah Farid kagum dan
menghormati gadis itu walaupun cara dia melayan Kasturi sedikit kasar namun ada
satu perkara yang membuatkan arwah Farid tidak senang duduk apabila kes itu
dikaji dengan lebih dalam lagi membuatkan lelaki itu bertambah kasar melayan
Kasturi.
Fairul menjengah sedikit dari bahu kiri
Kasturi. Dalam foto tersebut ada Kasturi dan seorang lelaki yang tidak Fairul
kenali. Arwah Faridkah? Hatinya rasa tidak senang apabila melihat foto itu. Raut
wajah Kasturi yang malu-malu dalam foto itu dan wajah Kasturi sekarang ini
dibandingkan. Dia menjadi gelisah. Pantas dia merampas foto itu dari tangan
Kasturi.
“Hei!” marah Kasturi. Matanya tajam
merenung wajah Fairul.
Fairul buat muka toya lalu meletakkan
semula foto tersebut di tempat asalnya.
“Awak datang sini nak main imbas kenangan
atau nak buat kerja?” sindir Fairul tajam. Sungguh hatinya sangat sakit melihat
gadis yang dia cintai merindui lelaki lain.
Kasturi terkesima menerima teguran itu.
Pandangannya yang tajam tadi bertukar rupa. Baru sedar tujuan asalnya tetapi
bukankah Fairul juga begitu tadi. Bersemangat mahu melihat pokok-pokok eksotik
itu. Kasturi rasa darahnya seperti mendidih. Mahu sahaja dia membalas sindiran
Fairul, Nura sudah muncul bersama sedulang air jus oren.
“Jemput minum,” ajak Nura gembira dengan
senyuman yang lebar. Dia meletakkan dulang itu di meja di ruang tamu.
Kasturi menjeling Fairul lalu dengan hati
yang membara melangkah ke ruang tamu. “Nura ni susah-susah je. Terima kasih,”
ucap Kasturi lalu tersenyum. Senyum yang dibuat-buat.
Fairul mengeluh. Nak kata menyesal tak
juga, nak kata tak menyesal pun tak juga. Dia seperti tersepit antara perasaan
cemburu dan bersalah. Susahlah macam ni. Love
really is messy!
“Erm, Nura kenal kunci ni tak?” soal
Kasturi setelah melabuhkan punggungnya di atas sofa empuk itu. Nura yang duduk
di sebelah Kasturi memandangnya dengan rasa tidak percaya.
“Eh, mana akak dapat kunci ni?” soal Nura
dengan mata yang tidak berkelip. Nura pantas mengambil kunci yang diunjuk oleh
Kasturi. Kasturi pula hanya mampu tersenyum tawar. Kunci itulah yang datang
bersama-sama dengan surat arwah Farid. Kunci kepada rooftop juga kunci kepada segalanya.
-----
ni adalah gmbar pling latest yg dilukis ymayu. huhu. sbenarnya ada lagi tpi ini yg plg smpat dipost utk dipasangkan dgn kasturi. Oh, gmbar atas tu Fairul.
best2.. smbng lgi ya
ReplyDeleteok!
ReplyDeletehehe, tq for reading