Monday, November 12, 2012

Dua belas



Dua belas : Api Cemburu China Town

12 April 2731, 1300pm, China Town

     Kasturi menghabiskan kuah ramennya dengan perlahan-lahan. Sengaja dia melambat-lambatkan rentak suapannya kerana hatinya masih lagi sakit dengan perangai Fairul. Malah Kasturi lansung tidak mengendahkan pandangan mata Fairul yang tajam itu.

     Fairul manahan rasa geli di hatinya. Kasturi yang dilihat di hadapannya sungguh comel. Mukanya yang sedang menahan marah itu seperti gula-gula lolipop. Macam-macam warna ada terlukis di wajah bersih Kasturi. Fairul menggeleng-geleng. Sampai bilalah agaknya Kasturi mahu melancarkan perang dingin dengannya? Rasanya sudah lebih lima kali dia meminta maaf namun usahanya membuahkan hasil yang tidak memuaskan. Perempuan... hati mereka memang sukar untuk dijangka.

     You’ve got mail, you’ve got mail.”

     Tiba-tiba telefon milik Fairul bergetar di poket jaketnya. Pantas Fairul mencapai telefonnya yang berbentuk bulat itu. Nampaknya, dia menerima e-mel daripada gadis yang ditunggu-tunggu. Fairul tersenyum tanpa sedar.

     Kasturi menjeling tingkah Fairul. Hatinya menjadi sakit melihat Fairul tersenyum-senyum menyentuh skrin telefonnya. Entah dengan siapa dia berbalas mel tapi apa yang Kasturi pasti, pengirim itu pasti seorang perempuan. Kalau tidak, kenapa mesti wajah Fairul berseri-seri saat telefonnya bergetar. Menipulah lelaki akan tersenyum bahagia mendapat mel dari seorang lelaki, melainkanlah lelaki itu... Sesaat kemudian telefon itu akan berbunyi sekali lagi. Kasturi mencebik sambil hatinya mengajuk lagu pesanan mel Fairul.

     You’ve got mail, you’ve got mail. Haktuih!’ marah Kasturi dalam hati lalu mencampak sudu supnya ke dalam mangkuk ramennya. Licin sudah mangkuk itu dari sisa kuah ramen. Kasturi menyedut minumannya dengan rakus lalu bangun dari duduknya dan menonong berjalan ke luar kedai ramen tersebut meninggalkan Fairul yang tercengang-cengang dengan perubahan angin ribut taufan yang melanda Kasturi.

     Pantas Fairul berlari ke luar, mengejar langkah Kasturi setelah meletakkan beberapa keping not merah dan hijau beserta syiling di atas meja. Tidak sampai beberapa saat, Fairul sudah berada di belakang Kasturi dan tangan gadis itu ditarik supaya berhenti melangkah ke hadapan dengan kelajuan kilat itu.

     Kasturi sedaya upaya cuba meloloskan pegangan kejap Fairul tetapi Fairul lebih kuat darinya. Kasturi merengus. Dadanya seperti sesak dengan lebihan oksigen di paru-parunya. Dia tidak faham kenapa dia mesti bersikap sebegitu. Tetapi apa yang pasti dia tidak suka Fairul memperlakunya begitu di hadapan khalayak ramai di jalan yang sesak dengan orang berjual beli dan mencuci mata.

     “Awak ni kenapa?” soal Fairul dalam nada yang tertahan-tahan. Dia cuba menahan sabar. Sekarang ini dia betul-betul tidak faham dengan kemarahan yang melanda hati Kasturi.

    “Hisy... lepaslah,” kata Kasturi dengan keras. Mukanya merah menahan malu apabila perlakuan mereka menjadi tontonan umum.

     “Saya takkan lepas tangan awak selagi awak tak beritahu saya. Awak marah saya, Kasturi? Fasal apa? Cuba cakap. Jangan bisu aje boleh tak?” luah Fairul sambil matanya tidak lepas daripada cuba memandang anak mata Kasturi.

     Kasturi melarikan anak matanya. Dia tidak mahu Fairul membaca gelora jiwanya. Biarlah. Biarlah Fairul tidak mengetahuinya kerana dia sendiri tidak pasti dengan apa yang dia rasakan sekarang ini.

     “Kasturi!”

     “Hiisyy!”

     “Eh, awak pandang muka saya boleh tak?” marah Fairul lalu tangannya yang satu lagi menarik dagu Kasturi, menyuruh gadis itu melihat wajahnya. Kini sabarnya telah terbang entah ke mana. Perangai Kasturi hari ini benar-benar menduga kesabarannya hari ini.

     “Saya minta maaf kalau tadi saya tak endahkan perasaan awak dan bawak kereta macam orang gila tapi saya dah minta maafkan? Awak nak suruh saya buat macam mana? Melutut? Sembah awak? Okay.” Lalu Fairul melepaskan pegangannya dan mula melutut di hadapan Kasturi.

     “Awak jangan jadi gila!” Pantas Kasturi manahan Fairul dari menyembah dirinya. Pipinya bertambah-tambah merah. Malu. Sesungguhnya dia malu, terkejut dan rasa bersalah. Dia berasa seperti hendak menangis sahaja waktu itu.

     “Jangan...” tambah Kasturi lagi lalu mencangkung di hadapan Fairul. Dia kemudian menekup mukanya dengan kedua belah tangannya. Dia betul-betul malu dengan Fairul. Dia malu kerana tidak dapat mengawal emosinya. Rasa marahnya, rasa cemburunya dan semuanya bercampur aduk. Ya, dia marah dan cemburu. Dua perkara yang dia belajar hari ini ialah apabila rasa cemburu dikuasai marah, seseorang itu akan menjadi hilang kawalan diri. Dan dia... dia cukup memalukan.

     Fairul terkejut dengan aksi spontan Kasturi yang menghalang tindakannya. Dia sendiri pun tidak menyangka akan bertindak sejauh itu. Tetapi apa yang membuatkan lidahnya kelu ialah melihat orang yang dia cintai menangis di hadapannya kerana kebodohannya. Fairul melepaskan keluhan. Mana hilang janjinya terhadap Kasturi untuk memastikan air mata gadis itu tidak tumpah lagi.

     “Kasturi...” panggil Fairul perlahan cuba untuk memujuk. Perlahan-lahan Fairul cuba menyentuh bahu Kasturi namun Kasturi pantas menepis tangan Fairul. Fairul mengetap bibirnya. Lalu dia berdiri dan berjalan menuju ke keretanya meninggalkan Kasturi di situ.

     ‘Ingat dia sorang saja ada ego, aku pun ada,’ marah Fairul dalam hatinya.

     Tangannya dialih apabila tiada lagi suara mahupun sentuhan dari lelaki itu. Tiada. Fairul tiada di hadapannya. Kasturi melihat sekelilingnya. Tiada. Rasa menyesal bertandang di hatinya. Menyesal kerana menepis tangan lelaki itu. Ah, bodohnya diri ini. Sombong tidak bertempat!

     Tidak semena-mena air takungan matanya pecah lagi. Malah lebih lebat dari sebelum itu. Bahunya terhinjut-hinjut manahan sendu. Pantas Kasturi menutup mukanya. Tidak guna dia menyesal. Dia sudah di tinggalkan. Sudah tentu Fairul penat melayan kerenahnya. Ah, lelaki...

     Tiba-tiba badannya terasa seperti dipeluk dari belakang. Kasturi terkejut bilamana dia mengangkat muka, dunianya bertukar gelap namun itu hanya untuk seketika apabila selimut yang meneyelimutinya itu diselak sedikit. Tersembul wajah manis Fairul beserta Ray Ban hitamnya.

     “Saya pergi sekejap jer awak dah ngongoi macam budak kecik. Apalah awak ni, manja betul! Nah pakai ni. Tutup mata awak yang sembap tu. Dah macam beruang panda jer saya tengok,” Fairul mengusik dan dengan berhati-hati dia memakaikan Kasturi Ray Bannya. Kemudian dia menyapu hidung Kasturi yang sudah mengalir dengan lendir putih dengan selimut yang menyelimuti tubuh Kasturi.

     “Eeee. Kalah budak kecik awak ni tau!” kata Fairul lalu ketawa mengejek. Kasturi pantas memukul badan Fairul dengan sepuas hatinya. Geram kerana Fairul mempermainkannya. Geram! Geram!

     “Nanti awak dry clean balik selimut saya tu,” tambah Fairul sambil ketawa mengekek. Tidak serik-serik dengan pukulan Kasturi yang boleh tahan bisanya itu. Alahai, pukul-pukul manja aja. Fairul terimanya sebagai tanda Kasturi menyayanginya walaupun dia belum pasti dengan perasaan Kasturi yang sebenarnya. Biarlah masa yang menentukannya. Bisik hati Fairul.



     MEREKA melihat apartment yang bercerikan urban klasik ala-ala eropah itu dengan rasa yang sukar difahami. Bangunan yang bewarna deep green dan crimson lake itu menampakkan bangunan itu kelihatan sangat... historic.

     Kasturi berpaling melihat Fairul, kemudian ke genggaman tangannya. Kertas yang sudah berkeronyok itu, Kasturi pandang sekali lagi. Di atas kertas itu, telah Kasturi tulis alamat rumah arwah Farid dan dia lansung tidak menyangka lelaki itu akan tinggal di rumah seperti ini dan bukannya rumah banglo.

     “Awak rasa macam mana dia simpan semua pokok-pokok dia tu ye?” soal Fairul hairan.

     Kasturi menjungkit bahu.

     Teringat pesan Amran pagi tadi sebelum mereka bertolak untuk melakukan tugas mereka dan menjenguk ke rumah arwah.

     “Hati-hati ya kat rumah arwah. Hari tu saya tengok rumah dia penuh pokok-pokok eksotik. Okay?” Amran berkata sambil tersenyum sumbing sambil membuat tanda bagus.

     “Awak rasa rumah nombor 15 tu tingkat paling atas sekali ke?” soal Kasturi pula.

     “Entah,” jawab Fairul senada. Matanya melilau mencari tanda-tanda kehadiran dedaunan melambai di bahagian rooftop. Malang sekali, cuaca yang mendung menyukarkan dirinya untuk melihat bahagian atas bangunan itu.

     Kasturi lihat sekitar kawasan. Mencari kelibat manusia. Namun hampa. Tiada seorang pun orang yang boleh membantunya. Kasturi melepaskan keluhan. Kenapalah arwah Farid suka membuli dirinya sehinggakan lelaki itu sudah meninggal pun, lelaki itu masih boleh membulinya.

     “Arwah tak de sebut apa-apa fasal rumah dia dalam surat?” Fairul berpaling memandang wajah Kasturi yang monyok. Kasturi pantas menggeleng. Mengingati isi kandungan surat tersebut membuatkan hatinya seperti berada di dalam kereta roller coaster. Sekejap sedih, sekejap gembira, sekejap kecewa dan sekajap dia berasa seperti mahu sahaja dia menumbuk-numbuk muka lelaki itu.

     Tetapi, hatinya tersentuh apabila arwah Farid menulis tentang peristiwa mereka berkongsi pau ayam di gerai pau tidak jauh dari kedai ramen yang dia dan Fairul makan tadi. Ah, nanti-nanti sahajalah dia melayan perasaannya kerana dia ternampak seorang gadis yang genit datang menghampiri mereka.

     Gadis genit yang sangat comel pada pandangan mata Kasturi. Dengan rambut potongan bob, berkulit putih dan licin, dahi yang luas dan hidung yang mancung. Tubuhnya pula keding yang apabila ditiup angin dengan mudah sahaja dia terbang. Gadis itu nampak simple dengan top shirt bewarna pink kemudian disarung pula quarter cut suspender bewarna biru bersama-sama long striped stokins yang bewarna warni. Tidak lupa snikersnya yang bercorak bintang-bintang kecil itu.

     “Ah!” kata gadis itu terkejut melihat tetamu yang berdiri di hadapan pintu bangunan apartmentnya. Matanya berkelip-kelip memandang Kasturi dan Fairul. Dia berasa teruja melihat seorang wanita cantik dan seorang lelaki kacak berdiri di situ. Rasa pernah sahaja dia melihat wajah kakak itu.

     “EH!!!” jerit gadis itu terkejut. Dia berlari mendekati Kasturi sambil kedua belah tangannya kejap memegang tali beg sandangnya yang tersangkut di bahu.

     Kasturi mengundur beberapa tapak ke belekang apabila si tubuh genit itu berlari mendekati dirinya. Sudahlah matanya membulat dan bersinar-sinar memandang Kasturi. Fairul pula hanya mampu tersengih melihat aksi kedua perempuan itu.

     “Kakak ni...” kata gadis itu meleret. Kasturi dan Fairul mengerut dahi.

     “Kasturikan?” laju sahaja dia menyudahkan ayatnya. Matanya berkelip-kelip meminta kepastian.

     Kasturi menelan liur. Dia kemudian berpaling ke belakang melihat Fairul. Meminta lelaki itu menjawab bagi pihaknya. Kasturi tidak mampu melawan panahan bersinar gadis itu. Ia terlalu terang.

     Fairul menggaru belakang lehernya. Aisehmen... Ni yang payah ni bila dua orang perempuan memandangnya dengan pandangan serupa. Pandangan panahan sinar kuasa tiga. Fairul tersekat. Pantas dia menarik nafas lalu melangkah ke depan, ke sisi Kasturi. Kemudian dia mencangkung di hadapang gadis comel itu.

     “Beginilah dik, boleh abang tau adik ni siapa?” pinta Fairul dengan lembut sambil menghulurkan senyumannya yang killer itu.

     Serta-merta pipi gadis comel itu bertukar merah. Dia berasa seperti sudah jatuh cinta sahaja. Ah~ Love at first sight?

      “Erm...” Gadis itu seperti teragak-agak untuk menjawab. Matanya bersilih ganti memandang wajah Fairul dan Kasturi. Akhir sekali matanya mendarat pada bibir Fairul, dimana senyuman killer itu masih lagi tersemat di wajah lelaki itu.

     “Erm...”

     Kasturi dan Fairul sabar menanti.

     “Hisy... susahlah saya nak jawab sebab muka abang ni handsome sangat!” kata gadis itu lalu membenamkan wajahnya ke telapak tangannya.

     Nak pengsan sahaja Kasturi mendengar jawapan budak genit itu. Fairul pula sudah tersengih-sengih perasan. Mereka berpandangan. Kelu untuk berbuat apa-apa.

     “Sebenarnya nama saya Nurayunisha, umur 20 tahun,” jawab Nura jujur dengan muka yang tertunduk. Pipinya bertambah merah. Kasturi dan Fairul melihat Nura dengan mata yang hampir terjojol. Tidak menyangka gadis yang mempunyai tingginya tidak sampai 145cm itu berusia 20 tahun.

     “Nak panggil apa?” soal Kasturi lembut kerana teragak-agak untuk memanggil nama gadis genit yang mempunyai pelbagai variasi nama. Lagipun dia kasihan melihat Nura yang tiba-tiba sahaja di-attack senyuman killer Fairul itu. Dia faham perasaan gadis itu kerana dia sendiri pernah mengalaminya dulu.

     “Nura.”

     “Macam mana boleh tahu nama akak ni?” soal Fairul pula.

     “Dari Abang Farid.”

     “Abang Farid?” Kasturi hairan. Setahunya, arwah tidak ada adik waima adik angkat sekalipun. Jadi siapa Nura pada arwah Farid.

     “Saya...”

     “... saya girlfriend Abang Farid.”

     “Hah?!” Serentak Kasturi dan Fairul menerit terkejut sehingga membuatkan Nura yang kecil itu terkulat-kulat melihat kakak dan abang di hadapannya itu. Sempat lagi di dalam fikirannya berkata betapa peliknyalah kakak dan abang itu kerana terkejut akan hal seperti itu.

     ‘Apa yang pelik sangat pun aku bercinta dengan Abang Farid...?’ bisik hatinya.    
    


     INILAH rumah Abang Farid.” Senyuman Nura tidak lekang dari mulutnya. Matanya menjadi sepet akibat tersenyum dengan gembira sekali. Kedua belah tangannya disorokkan di belakang badannya sambil kedua belah kakinya dijongketkan. Badannya pula terbongkok sedikit ke hadapan. Aksinya sangat comel dan menghiburkan. Tidak pernah sekalipun Kasturi waima Fairul melihat gadis itu menunjukkan reaksi duka apabila bercerita tentang kehidupan yang dilaluinya kini apabila arwah Farid tiada lagi di sisinya.

    “...dan yang ini pulak rumah saya. Saya tinggal depan rumah dia je. Hehe,” katanya ceria sambil tangan kirinya menunjukkan ke arah sebuah pintu bewarna jingga yang bertentangan dengan pintu rumah Farid yang bewarna biru.

     Colourful betul pintu-pintu kat apartment ni ya,” komen Fairul jujur. Matanya dan mata Kasturi dari tadi lagi seronok melihat pintu-pintu rumah kawasan kejiranan arwah dan Nura yang pelbagai corak dan dekorasinya.

     Nura ketawa geli hati. “Most pintu-pintu rumah kitaorang melambangkan personaliti kitaorang. Macam saya, warna oren. Itu sebab saya ni ceria dan aktif sepanjang masa,” terang Nura senang hati. Kasturi dan Fairul mengangguk faham.

     “Cuba teka pintu rumah Abang Farid warna apa?” soal Nura sambil menjongkit-jongkitkan keningnya. Kedua-dua kakak dan abang yang berdiri di hadapannya berpandangan seketika. Dia gembira melihat mereka berdua sudah bertembung kening, cuba berfikir warna pintu rumah arwah Farid.

     Sebolehnya, dia cuba meluangkan masa mereka untuk berada di situ lebih lama supaya hidupnya tidak kembali suram. Dia sebenarnya sunyi. Tiada lagi bunyi jerit gempita arwah Farid, gelak ketawa lelaki itu, siulan kecil yang terbit dari bibir nipis itu, dan kadang-kadang suara tangisan itu akan bergema. Nura rindu semua itu. Jadi, biarlah kesempatan yang ada kini, dia guna sebaiknya.

     “Biru?”

     “Ungu?”

     “Hei!!” jerit Kasturi dan Fairul serentak. Mereka pelik bagaimana jawapan mereka boleh berbeza sedangkan warna yang mereka nampak itu senada.

     Nura ketawa melihat aksi mereka. Dia menekan-nekan perutnya yang sakit kerana ketawa. Tangan kanannya pantas menyeka air matanya yang mengalir. Dahi Kasturi dan Fairul berkerut melihat gadis itu ketawa terbahak-bahak melihat aksi spontan mereka.

     Well, both is right but the correct answer is Violet. Violet ni melambangkan Abang Fairul punya personaliti. Seorang yang sedikit susah untuk difahami perwatakannya tetapi bila kita betul-betul tahu nature dia, dia sebenarnya seorang yang...”

     “...loveable,” kata Nura perlahan. Kepalanya tiba-tiba menunduk.

     Entah kenapa air mata yang dari tadi Nura cuba sapu tidak berhenti mengalir. Sebaliknya menjadi lebat, laju menuruni pipi mulusnya. Pantas dia menyapu wajahnya menggunakan kedua belah tangannya dengan rakus.

     Kasturi dan Fairul tergamam. Terkejut melihat Si Ceria Nura bertukar mendung. Nampaknya gadis itu telah lama menyimpan duka di dalam hati. Kasturi jatuh kasihan pada Nura. Dia berasa sangat dekat dengan Nura kerana dia juga pernah kehilangan seorang lelaki yang sangat dia cintai lebih-lebih lagi lelaki itu membesar bersamanya. Perlahan-lahan Kasturi mendekati Nura lalu gadis itu diraih dan dipeluk dengan penuh kasih sayang.

     Fairul tersenyum. Sebentar tadi Kasturi dipujuk, sekarang Kasturi memujuk. Hm, what an emotional day.
    


     SETELAH tangis Nura reda, tangannya lincah menekan-nekan punat nombor keselamatan rumah arwah Farid. Seketika bunyi kata laluan diterima menerjah gegendang telinga mereka.

     “Masuklah,” pelawa Nura dengan senyuman yang lebar. Fairul mendahului Kasturi untuk memasuki rumah itu dek rasa teruja untuk melihat tumbuhan eksotik yang arwah Farid bela. Kasturi sedikit teragak-agak untuk melangkah. Sebuah tanda tanya timbul di benaknya apabila mengingati benda yang diterimanya sekali bersama-sama surat arwah Farid.

     “Eh, mana pokok-pokok dia Nura?” suara Fairul mematikan lamunan Kasturi. Rupanya tinggal dia seorang sahaja yang masih lagi di luar sedangkan Nura dan Fairul sudah berada di dalam rumah. Pantas Kasturi menjenguk mukanya ke dalam rumah.

     “Pokok?” soal Nura pelik, tidak faham dengan soalan Fairul.

     “Yelah, abang dengar yang arwah suka bela pokok eksotik. Tu yang abang dok cari kat mana dia simpan. Teringin jugak abang nak tengok,” jawab Fairul dengan nada teruja. Kepalanya terjengah-jengah di setiap bilik yang ada. Memang dasar tidak tahu malu betul.

     Nura ketawa kelucuan mendengar jawapan Fairul. Tidak menyangka ada juga orang berminat untuk melihat pokok-pokok kesayangan arwah Farid. Kasturi pula tersenyum mendengar jawapan dan ketawa gembira Nura. Sambil itu matanya melilau melihat foto-foto yang bergantungan di dinding juga yang di tempatkan di atas meja.

     “Kalau abang cakap fasal pokok-pokok tu, mereka ada di atas, di rooftop. Pokok-pokok tu dah banyak dan ada yang dah besar sama tinggi dengan saya ni. Jadi tak sesuai duduk dalam rumah ni. Nasib baik tuan bangunan ni sudi berikan bahagian rooftop tu kat Abang Farid tapi kunci rooftop tu dah hilang lah. Dah lebih sebulan rasanya Nura tak jenguk tempat tu sebab kuncinya tak de,” jelas Nura panjang lebar sambil turut serta bersama Kasturi melihat foto-foto lama yang diambil semasa mereka masih lagi bersekolah tadika dan seterusnya.

     “Laa, yeke...” dan Fairul terus-terusan bercakap tetapi butir bicaranya tidak berapa kedengaran kerana lelaki itu telah memanjat anak tangga ke atas. Rupanya ada bilik lagi di atas.

     “Kunci rooftop?” soal Kasturi terkejut. Matanya membulat melihat Nura yang khusyuk melihat foto dirinya dan arwah Farid ketika mereka berkhelah di Evergreen lima tahun dahulu.

     “Yup, the only space yang guna kunci. Lagipun rooftop tu terbiar, tu yang Abang Farid dapat guna space tu. Ada la jugak manfaat rooftop tu dari terbiarkan. Hah, ini gambar akak dengan Abang Farid. Saya jealous tengok gambar ni tau,” kata Nura. Dihujung katanya terselit satu ketawa kecil. Tangan kecil Nura pantas mengunjukkan foto itu pada Kasturi yang seperti mengelamun itu.

     “Akak?” panggil Nura lalu melambai-lambaikan tangannya di hadapan wajah Kasturi.

     “Hah? Apa? Sorry Nura, akak tak sengaja tadi,” ucap Kasturi malu. Malu ditangkap mengelamun. Nura pula sudah mengekek ketawa.

     “Apalah akak ni, patutlah Abang Farid selalu risaukan akak. Ni, saya tunjuk gambar akak dengan Abang Farid. The only picture yang korang ambil bersamakan?” soal Nura di hujung tawanya.

     Kasturi melihat foto itu. Foto dirinya sedang terkedu menahan malu. Di sebelahnya pula duduk arwah Farid sedang menjerit marah. Waktu itu mereka sedang menikmati pau ayam yang mereka kongsi diawal penubuhan unit C14 dan ketika itu mereka menjalankan penyiasatan di China Town.



     WAKTU itu adalah antara hari terakhir musim sejuk. Perut masing-masing sudah berkeroncong kerana kesejukan. Dompet Kasturi pula tertinggal di pejabat. Dompet Farid juga tertinggal. Mereka ke China Town dalam keadaan tergesa-gesa kerana salah seorang suspek yang disyaki berada dalam keadaan bahaya. Setelah suspek dapat dipindahkan ke tempat yang lebih selamat iaitu di bawah kawalan research unit C14, tinggal mereka berdua sahaja di situ dengan perut kosong tanpa sebarang wang.

     Sekali lagi perut Kasturi berbunyi. Farid menjeling Kasturi di sisi. Kasturi membuat muka selamba walaupun mukanya sudah bertukar merah. Sudah dua kali dia ditangkap oleh Farid. Kali ini pula, perut Farid berbunyi. Pantas Farid mengalihkan wajahnya dari memandang wajah Kasturi. Malu!

     Hendak sahaja dia pulang tetapi sebaik sahaja mereka hendak pulang, radio menyiarkan berita ribut salji telah menimpa Square Enix. Perubahan cuaca yang mendadak memaksa Kasturi dan Farid bersidai di bawah jambatan. Tidak jauh dari mereka terdapat gerai menjual pau. Aroma yang terbang ke sekitarnya menarik perhatian Kasturi dan Farid.

     Sekali lagi perut mereka berbunyi. Lebih kuat dari sebelum ini. “Kau...” panggil Farid tiba-tiba. Kasturi melihat Farid.

     “... kau nak pau tak?”

     Pantas Kasturi meluruskan pandangan. Pau? Kasturi menelan liur. Dengan perlahan-lahan Kasturi mengangguk. Tetapi mereka tidak bawa dompet. Farid mengeluh. Kepulan asap yang keluar dari mulutnya dapat Kasturi lihat. “Aku pergi tengok syiling kat dalam kereta,” kata Farid mendatar lalu melangkah ke kereta buruknya.

     Laci syiling dibuka. Terdapat sekeping syiling 50 sen di dalamnya. Farid tidak percaya dengan penemuannya itu. Musibah apa pula yang menimpanya sekarang. Sudahlah enjin keretanya tidak dapat berfungsi, sekarang ni dia cuma ada 50 sen sahaja? Farid merengus kuat. Dengan laju, dia menggeledah setiap bawah tempat duduk mencari kemungkinan syiling-syiling itu berterabur di situ.

     Kasturi berpaling melihat kereta Farid. Kemudian melihat jam tangan digitalnya. Tiga minit berlalu, namun Farid tidak muncul-muncul juga. Frost bite kah? Takkanlah! Kasturi melangkah mendekati kereta Farid yang berada di luar kawasan bawah jambatan.

     Belum sempat Kasturi melangkah ke luar  bawah jambatan, Farid muncul sambil berpeluk tubuh. “Jom,” kata Farid sepatah lalu melangkah ke gerai pau. Kasturi membuat muka lalu membuntuti langkah Farid. Angin panas dari periuk kukus pau menerjah pipi Kasturi saat kain tulisan cina yang digantung di hujung bumbung gerai pau itu dialih. Aroma pau ayam menusuk hidungnya.

     Kasturi mengambil tempat di sebelah Farid. “Makan apa?” soal seorang pakcik yang berbadan gemuk itu. Kasturi dan Farid melihat menu yang digantung. Terdapat tanda halal di hujung papan menu itu.

     “Pau ayam satu,” pesan Farid laju. Kasturi menoleh pada Farid. Satu?

     “Aku ada dua ringgit jelah. Kita kongsi je,” jawab Farid selamba. Kasturi tergamam. Dalam kereta dia ada dua ringgit sahaja? Dua ringgit? Kasturi tersenyum meleret. Tidak semena-mena ketawa kecilnya meletus.

     “Yang kau ketawa tu apasal? Nasib baiklah ada dua ringgit dari ada 50 sen saja. Kalau kau taknak, biar aku sorang je makan,” ugut Farid.

     “Nak,” pantas Kasturi menjawab. Wajahnya terkulat-kulat. Farid yang pertama kali melihat wajah Kasturi yang gelabah itu, ketawa dengan besar. Kasturi terkejut. Pertama kali buatnya juga melihat Farid ketawa sebegitu.

     “Kau ni kelakarkan,” komen Farid di hujung tawanya. Kasturi menjeling geram. Sekali lagi Farid ketawa terbahak-bahak.

     “Amboi... seronok pakcik tengok kamu berdua. Musim-musim sejuk macam ni bagus kalau kita mengeratkan silaturrahim. Nah, kuih pau ayam kamu.” Pakcik itu kemudian meletakkan sepinggan pau ayam yang boleh tahan saiznya. Kemudian dia meletakkan dua cawan teh hijau dan sebatang kuih dango.

     Farid terkejut melihat hidangan sampingan itu. “Eh, kami tak pesan dango dan teh.”

     “Tak pe, pakcik belanja. Lagipun dango tu pun tinggal sebatang. Dah lama ke kahwin?” soal pakcik itu tiba-tiba.

     Farid dan Kasturi yang enak meneguk teh hijau itu tersembur dek soalan cepumas dari pakcik itu. Ke situ pulak pakcik itu fikir akan hubungan mereka. “Pak... pakcik!” jerit Kasturi dan Farid serentak. Muka mereka berdua sudah bertukar warna. Pakcik itu pula sudah ketawa geli hati.

     “Pakcik usik jer... kenapa betul ke?”

     “Pakcik!”

     Orang tua itu sudah ketawa gembira. Terhibur sedikit hatinya melihat kerenah budak-budak muda zaman sekarang ini. Teringat zaman mudanya dulu-dulu. “Apa salahnya, kalau dah jodoh tak ke mana. Satu hari nanti kamu akan faham benda-benda macam tu,” pesan lelaki tua itu sambil dirinya sibuk menuang lagi teh hijau ke dalam cawan Farid dan Kasturi.

      Kasturi menunduk mendengar pesanan lelaki tua itu. Farid pula sibuk membahagikan pau ayam itu kepada dua bahagian. Kemudian dia menyerahkan sebahagian pau itu pada Kasturi. Sebahagian lagi untuknya. Pakcik itu tersenyum senang lalu membongkok mengambil sesuatu.   

      “Meh, pakcik ambil gambar kamu berdua buat kenang-kenagan. Kenangan yang kita kongsi waktu kita sama-sama susah adalah lebih berharga kerana waktu tu kita tahu siapa kawan dan siapa lawan. Lagipun manalah tahu nanti dah kahwin teringat balik gerai cinta kamu bersemi...” kata pakcik itu bergurau. Sekali lagi Kasturi terkedu mendengar kata-kata pakcik itu. Mukanya betul-betul merah. Farid pula sudah menjerit memanggil pakcik itu dan pada masa itulah gambar mereka dirakam dan  kenangan itu tinggal kenangan.



     HA’AH. Tiada siapa sangka arwah meninggal dua bulan lepas tu,” jawab Kasturi setelah soalan Nura dibiarkan sepi buat seketika. Lalu dia mengambil foto itu. Sebuah senyuman kecil muncul di hujung bibir Kasturi. Nampaknya dia tiada jodoh dengan lelaki yang bernama Muhammad Farid Lizuka.

     Fairul yang baru turun dari tingakat atas menuju ke Kasturi. Turut sama mahu melihat foto yang Kasturi lihat. Lagipun perasaannya melonjak-lonjak ingin tahu apabila melihat satu senyuman yang pernah Kasturi berikannya beberapa jam yang lepas.

     “Abang Farid pernah cakap yang gambar tu antara favourite dia,” cakap Nura lalu berlalu ke dapur mahu membiarkan Kasturi melayan perasaannya sendiri. Dahulu dia cemburukan Kasturi apabila pertama kali melihat foto itu dan arwah Farid sering bercerita tentang Kasturi padanya. Tetapi dia sedar dari cara arwah Farid bercerita tentang Kasturi, sebenarnya arwah Farid kagum dan menghormati gadis itu walaupun cara dia melayan Kasturi sedikit kasar namun ada satu perkara yang membuatkan arwah Farid tidak senang duduk apabila kes itu dikaji dengan lebih dalam lagi membuatkan lelaki itu bertambah kasar melayan Kasturi.

     Fairul menjengah sedikit dari bahu kiri Kasturi. Dalam foto tersebut ada Kasturi dan seorang lelaki yang tidak Fairul kenali. Arwah Faridkah? Hatinya rasa tidak senang apabila melihat foto itu. Raut wajah Kasturi yang malu-malu dalam foto itu dan wajah Kasturi sekarang ini dibandingkan. Dia menjadi gelisah. Pantas dia merampas foto itu dari tangan Kasturi.

     “Hei!” marah Kasturi. Matanya tajam merenung wajah Fairul.

     Fairul buat muka toya lalu meletakkan semula foto tersebut di tempat asalnya.
                                            
     “Awak datang sini nak main imbas kenangan atau nak buat kerja?” sindir Fairul tajam. Sungguh hatinya sangat sakit melihat gadis yang dia cintai merindui lelaki lain.

     Kasturi terkesima menerima teguran itu. Pandangannya yang tajam tadi bertukar rupa. Baru sedar tujuan asalnya tetapi bukankah Fairul juga begitu tadi. Bersemangat mahu melihat pokok-pokok eksotik itu. Kasturi rasa darahnya seperti mendidih. Mahu sahaja dia membalas sindiran Fairul, Nura sudah muncul bersama sedulang air jus oren.

     “Jemput minum,” ajak Nura gembira dengan senyuman yang lebar. Dia meletakkan dulang itu di meja di ruang tamu.

     Kasturi menjeling Fairul lalu dengan hati yang membara melangkah ke ruang tamu. “Nura ni susah-susah je. Terima kasih,” ucap Kasturi lalu tersenyum. Senyum yang dibuat-buat.

     Fairul mengeluh. Nak kata menyesal tak juga, nak kata tak menyesal pun tak juga. Dia seperti tersepit antara perasaan cemburu dan bersalah. Susahlah macam ni. Love really is messy!

     “Erm, Nura kenal kunci ni tak?” soal Kasturi setelah melabuhkan punggungnya di atas sofa empuk itu. Nura yang duduk di sebelah Kasturi memandangnya dengan rasa tidak percaya.

     “Eh, mana akak dapat kunci ni?” soal Nura dengan mata yang tidak berkelip. Nura pantas mengambil kunci yang diunjuk oleh Kasturi. Kasturi pula hanya mampu tersenyum tawar. Kunci itulah yang datang bersama-sama dengan surat arwah Farid. Kunci kepada rooftop juga kunci kepada segalanya.

-----

ni adalah gmbar pling latest yg dilukis ymayu. huhu. sbenarnya ada lagi tpi ini yg plg smpat dipost utk dipasangkan dgn kasturi. Oh, gmbar atas tu Fairul. 

2 comments: